Wednesday, August 14, 2013

Love or Hate Me,Idiot?!

27       
  
ISABELLE melangkah keluar dari pintu lif dengan wajah yang puas. Yang penting apa yang dirancang bersama Gary sebelum ini bakal tercapai tidak lama sahaja lagi. Nampak pada gaya Darren masih lagi berkeras hati tidak mahu menerimanya kembali bersama seperti dahulu. Tak mengapa… dia cuma tunggu masa sahaja. Hatinya benar-benar terluka dengan lelaki itu. Dapat dirasakan api dendamnya kian membara hari demi hari. Terutama pada gadis bernama Ainur Batrisya yang dianggap telah merampas kekasih hatinya itu. Ketika dia melangkah ke arah Audinya, telefon bimbitnya terus berbunyi.

“Isy, siapa pulak yang call aku ni? Mengacau betul…” dia marah-marah. Ditekan punat telefonnya tanpa melihat terlebih dulu nama si pemanggil.

“Hah, nak apa?”

Dia bersuara agak kasar. Langsung tiada adab serta mencirikan kelembutan sifat seorang wanita.

“Bella, kau pegi merayau ke mana hah? Kau ingat aku tunggul kayu ke kat rumah ni?” herdikan suara garau yang amat dikenalinya itu begitu menggerunkan.

Dia mendengus perlahan. “Bella… Bella tadi jumpa kawan.” Jawabnya ringkas. Namun ada getaran pada suaranya.

“Huh, jumpa kawan ke, bapak ayam ke, apa aku peduli? Aku nak duit sekarang! Aku nak pakai dalam seribu je.”

Isabelle mengetap bibirnya. Dia meramas telefon bimbitnya dengan rasa berbaur.

“Kan Bella baru je bagi tiga ribu ringgit minggu lepas. Takkanlah tak cukup lagi?” dia sudah berang dengan permintaan lelaki itu.

“Ah, mana cukup seribu. Kau kasi aku sikit sangat. Atau… kau memang tak cukup duit sekarang ni? Jangan risau, aku call kawan aku ni. Dia orang kenamaan, Tan Sri lagi… untuk malam ni je kau boleh dapat paling kurang pun lima ribu. Kau nak terima tak tawaran aku ni?”

Berderau darahnya. Walaupun ini bukanlah pertama kali dia mendengar kata-kata biadap itu, tetapi sukar untuknya menerima hakikat bahawa yang mengucapkannya adalah dari mulut darah daging sendiri. Tergamak seorang ayah mahu menjual anak sendiri… hatinya tersayat pilu. Walaupun sudah berjuta kali lelaki itu mencincang lumat perasaannya sebelum ini.

“Tak payah… Bella masih ada lagi simpanan sendiri. Kalau daddy nak nanti Bella keluarkan duit tu dari bank esok.”

Lelaki itu merengus kasar.

“Aku nak pakai sekarang. Kau ni tak faham bahasa ke hah? Dah jadi biul macam mak kau? Nasib baik dia dah mampus. Hidup tahu menyusahkan aku aje. Tapi untung jugak aku dapat anak yang cantik macam kau. Senang sikit hidup aku…” lelaki itu tertawa besar. Seolah manusia yang tidak berperasaan.

Isabelle terasa jijik mendengar setiap patah perkataan itu. Sungguh menjengkelkan!

“Hoi, kau dengar tak ni?!”

Jerkahan itu menyentakkannya. Dia mengangguk lemah.

“Ya… dengar…”

“Huh, bercakap dengan kau ni macam aku cakap dengan tunggul. Asyik nak menyakitkan hati aku aje. Sampai rumah nanti kalau duit tu takde kat tangan aku ni mampuslah kau aku kerjakan. Biar mampus sama macam mak kau yang tak berguna tu!”

Suara itu bagai halilintar membelah gegendang telinganya. Dengan segera talian dimatikan. Dia merenung tajam telefonnya dengan mata merah menyala bagai biji saga. Tubir matanya turut bergenang.

Tak guna… dasar orang tua sial!

Perlahan air matanya menitis jua walaupun sedari tadi cuba ditahan…
*****

MENCERLUNG tajam mata bapanya memanah ke wajahnya. Dia sudah kering air mata. Sudah tidak terdaya hendak menangis lagi. Herdikan dan kata cacian dari insan yang tidak layak langsung dipanggil bapa itu begitu menghiris hati. Tergamak bapa kandung sendiri memperlakukan dirinya sebegitu. Dengan memperjudikan nasib anak perempuan satu-satunya yang lahir sebagai zuriatnya itu.

“Daddy… Bella… Bella tak mahu tinggal dengan Uncle Ben. Bella takut…” terketar-ketar suaranya.

“Hei, kau jangan nak cuba melawan cakap aku ye. Kau nak kena penampar ke macam tadi hah?” herdik Mr. Tan.

Isabelle menggeleng berkali-kali. Air mata yang berjuraian disekanya. Seketika kemudian terdengar suara bapanya sedang bercakap dalam telefon. Sesekali tawanya berdekah-dekah memenuhi segenap rumah banglo itu.

“Haiya… lu jangan risaulah. Ini amoi manyak cantik lorr… ya, ya, jangan lupa ya, duit tu nanti gua angkat sekali.” Mr. Tan ketawa lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi.

Isabelle memandang sayu ke wajah lelaki itu. Dia mengetap bibirnya yang luka akibat kesan penampar tadi. Kesakitan itu sudah tidak terasa lagi jika mahu dibandingkan dengan betapa dalamnya luka di hatinya saat ini.

Mama… mama…

Hatinya merintih memanggil-manggil mendiang mamanya yang telah setahun pergi meninggalkan dirinya terkontang-kanting seorang diri. Dia memejamkan matanya. Bayangan wajah mama terpampang jelas di ruang mata. Dalam usia yang sebegitu muda, ketika dia baru sahaja menjangkau ke usia lima belas tahun, dia sudah kehilangan satu-satunya insan paling disayangi di muka bumi ini. Mamanya telah pergi akibat penyakit barah yang dihidapinya sejak sekian lama.

“Mama, apa yang harus Bella lakukan ma? Bella takut… Tuhan, apa yang harus aku lakukan? bantulah aku… tolonglah aku…” rintihnya.

Dia menangis teresak-esak.

“Hoi, yang kau menangis lagi ni buat apa? Kejap lagi kawan aku si Ben tu nak datang sini ambik kau. Aku tak nak dia tengok keadaan kau yang macam ni. Nanti hilang pulak selera dia. Dah, dah… sekarang kau pegi masuk dalam bilik, tukar baju kau tu. Nah, pakai baju ni.” Lantang suara bapanya bergema.

Dia tersentak. Sambil menggeleng lemah, dia mengengsot lalu memegang tangan Mr. Tan. “Tolonglah daddy… jangan buat Bella macam ni. Bella rayu sangat, tolonglah… Bella takut… Bella tak nak ikut Uncle Ben, daddy… daddy…”

Namun rayuannya tidak dipedulikan langsung. Mr. Tan mendengus kasar lalu menepis tangannya. Dia bercekak pinggang sambil memandang anaknya dengan muka bengis.

“Kau ni tak faham bahasa ke hah? Kalau kau tak ikut si Ben tu, mana aku nak dapat duit hm? Dengan hutang judi aku yang bertimbun-timbun tu lagi. Kau nak biar aku hidup merempat ke? Kau sedar tak Bella, disebabkan kaulah habis bisnes aku lingkup tau. Bini aku mati. Dah mati! Semuanya disebabkan kau, dasar anak pembawa sial!” jerkah bapanya.

Isabelle menekup muka. Tidak sanggup dia mendengarnya. Dia meraung sekuat hati.  

“Hei, budak sial… aku kata jangan menangislah!”

Mr. Tan hilang sabar. Dia terus merentap rambut ikal anaknya itu. Ditariknya hingga ke bilik. Isabelle meraung kesakitan. Menderita sungguh hatinya.

“Aduh, sakit daddy…”

Dia cuba untuk melawan namun dirinya sudah tidak berdaya. Dia begitu lemah. Mr. Tan menghempaskan tubuh kecilnya yang kurus itu ke lantai biliknya. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Dia mengerang kesakitan di situ.

“Aku dah bagi amaran tapi kau degil. Sekarang rasakan! Dah, jangan nak buang masa aku lagi. Lagi sepuluh minit sampailah Ben tu. Nah, tukar baju ni sekarang.” Arah Mr. Tan. Dress tali halus dengan lace berwarna hitam dilemparkan ke tubuh Isabelle yang masih tersedu-sedan.

Pintu dihempas kuat dari luar. Isabelle mengumpul seluruh kekuatan yang hanya tinggal sisa itu. Dress yang sudah berada di tangannya itu ditenung dengan rasa jijik. Dia mencampakkannya ke bawah katil. Kedua belah lututnya dipeluk. Mukanya yang penuh lebam itu ditekup. Menggigil tubuhnya akibat kesakitan didera dan kelaparan.

Dia merangkak perlahan-lahan ke pintu biliknya. Tombol pintu dipulas namun hampa. Ianya berkunci dari luar. Kini dia sedar, bapanya sengaja mengunci dirinya supaya dia tidak akan lari. Dia melepaskan keluhan.

“Mama… tolong Bella ma. Tuhan, tolonglah… bantu aku…” dia berterusan berdoa di dalam hati.

Masa terus berjalan tanpa disedari. Namun dia masih belum bertemu dengan jalan penyelesaiannya. Dia benar-benar sudah buntu. Dalam pada itu, dia seperti terdengar sayup-sayup suara mama memanggilnya.

“Bella sayang…”

Dia mengangkat muka. Seraut wajah tenang mama yang sedang tersenyum ke arahnya jelas di depan matanya. Dia cuba membalas senyuman mamanya namun bibirnya yang pecah itu terasa sungguh pedih.

“Mama…”

Hatinya merintih luka. Dia mengogoi lagi.

“Mama, tengoklah apa dah jadi pada Bella ni ma. Sampai hati daddy buat Bella macam ni… daddy benci Bella. Daddy tak sayang Bella ma… apa dosa Bella ma? Apa dosa Bella?”

Mama masih tersenyum memandangnya. Dia dapat merasakan mamanya itu sedang berada di alam lain. Terawang-awang tubuh mamanya.

“Sayang, jangan menangis sayang… mari ikut mama, nak. Mari sayang.”

Isabelle ternampak mamanya menghulurkan tangan. Dengan tangan terketar, dia cuba menyambut huluran itu. Tetapi malang sekali, ianya hanya khayalan semata-mata. Dia tidak mampu memegang tangan mamanya. Lama-kelamaan bayangan tubuh mamanya yang cantik jelita itu hilang seperti kabus.

“Tidak, mama jangan tinggal Bella ma. Bella nak ikut mama!” dia tersedu-sedan.

Kepiluan memenuhi segenap ruang itu. Menyaksikan penderitaan seorang anak yang masih mentah itu. Dia merintih lagi dan lagi.

“Kenapa mama tinggalkan Bella? Mama pun tak sayang Bella. Sampai hati mama. Mama cakap nak bawa Bella pergi bersama mama. Kenapa ma? Kenapa buat Bella macam ni? Bella nak ikut mama… Bella nak ikut mama… mama… ma…”

Tuk… tuk!

Pintu biliknya diketuk. Dia dapat mendengar suara dua orang lelaki sedang bercakap-cakap di luar biliknya. Jantungnya berdegup kencang. Tubuhnya terasa menggigil.

“Bella, kau dah siap ke belum hah?”

Dia tersentak. Suara Mr. Tan bergema lagi.

“Bella?” tinggi suaranya.

“Be… belum…”

“Lama betul kau ni bersiap. Cepatlah sikit. Kawan aku ni dah lama tunggu. Lembap betul kau ni. Malang betul nasib aku dapat anak sial dan tak guna macam kau. Aku bagi kau lagi lima minit. Kalau tak siap lagi nahaslah kau.” Mr. Tan merungut-rungut.

Isabelle tergamam. Beginikah pengakhiran nasibnya? Dia menggeleng lemah. Tidak… tidak! Walau apa pun yang berlaku, aku tidak akan menyerah. Aku tidak rela menyerahkan satu-satunya mahkota yang paling berharga ini pada lelaki-lelaki durjana itu. Aku lebih rela mati dari hidup sebagai pelacur!

Dengan segala kudrat yang ada, dia berdiri perlahan-lahan. Walaupun beberapa kali terjatuh namun digagahkan jua. Air matanya masih berjuraian tanpa henti. Dia menuju ke arah cermin meja soleknya. Wajah lesu dan pucatnya ditatap lama. Ini untuk yang terakhirnya. Selepas ini dia akan pergi buat selamanya. Dia sudah tidak sanggup untuk hidup lagi di atas dunia yang penuh kepura-puraan ini. Tidak langsung menjanjikan kebahagiaan untuknya.

“Mama, tunggu Bella ma… tunggu ya ma. Bella datang. Bella nak ikut mama. Kita hidup bersama ya ma. Bella sayang sangat mama.”

Dia mencapai sebilah pisau pemotong sayur yang disimpannya secara kebetulan di dalam laci meja. Ditenungnya lama pisau itu. Kemudian dia mengambil gincu kepunyaan mamanya lalu dibuka penutupnya. Dengan tersedu-sedan dia menulis sesuatu pada cermin di hadapannya itu.

‘Selamat tinggal daddy… Bella akan pergi jauh buat selamanya!’

Wajah lelaki yang dibencinya itu diusir pergi dari bayangannya. Dia tidak ingin membawa segala kenangan pahit dengan lelaki bergelar bapa itu bersamanya. Huh, lelaki itu tidak layak langsung dipanggil bapa. Bapa jenis apalah itu hingga tergamak melacurkan anak kandung sendiri demi wang ringgit dan juga kemewahan?
Dengan tubuh yang menggigil dia menghiris pergelangan tangan kirinya menggunakan pisau pemotong sayur itu. Bibirnya diketap sekuat hati. Membuak-buak darah mengalir keluar. Kepalanya terasa sakit dan ingin pitam. Dia terduduk sambil menangis teresak-esak. Dirinya sudah semakin lemah. Pisau yang digunakan tercampak entah ke mana.

Nafas Isabelle tersekat di kerongkong. Baju T-shirt putih yang dipakainya sudah basah bermandikan darah. Tuhan… seksanya menghadapi saat kematian ini. Aku dah tak tertanggung lagi rasanya… pedihnya… panasnya… Tetapi inilah takdir hidupnya. Jalan ini yang dipilihnya. Isabelle menutup matanya perlahan-lahan. Dia sudah tidak sedarkan diri lagi.

“Bella!”

Jeritan suara Mr. Tan sudah tidak kedengaran lagi saat itu… dan mungkinkah untuk selamanya?
 -xoxo-

28

KEHENINGAN malam itu dirasakan begitu sepi sekali. Sesepi hatinya kini. Dia duduk di sebuah bangku yang terdapat di taman perumahan elite itu sambil merenung bintang-bintang yang malap cahayanya di ruang angkasa. Isabelle menghela nafasnya berat. Ternyata Tuhan masih lagi menyayangi dirinya. Cubaan membunuh diri ketika usia remajanya dahulu tidak berjaya sama sekali. Sebaliknya yang tinggal hingga kini hanya kesan parut di pergelangan tangannya yang sudah semakin pudar. Itupun jika diikutkan parut luka di dalam hatinya tiada siapa yang tahu.

Walaupun Isabelle telah berpindah setahun kemudiannya ketika dia berusia enam belas tahun, dan atas belas ehsan saudara, dia tinggal di rumah ibu saudaranya namun Mr. Tan masih lagi tidak berubah. Lelaki itu masih lagi dengan sikap lamanya yang suka berjudi dan kaki pemabuk.

Apabila tidak cukup duit, Isabellelah yang menjadi mangsanya. Ya, hingga saat ini… Isabelle yang begitu membenci bapa kandungnya itu terpaksa menampung hidup orang tua itu pula dengan hasil duit kerjaya modelingnya. Mujurlah kerjayanya yang penuh glamour itu telah mengubah seratus-peratus hidupnya. Dia mampu bersenang-lenang dengan kemewahan yang dinikmati kini. Cuma hatinya masih tetap tidak tenang.
Tidak pernah walau sesaatpun dia melupakan kenangan lalu. Terlalu pahit baginya untuk dikenang tetapi begitulah lumrah hidup. Tidak ada seorang pun yang tahu kisah silamnya itu. Tidak pernah diceritakan pada sesiapa jua pun hatta Darren sekalipun. Biarlah… dia sendiri pun tidak mahu sesiapa mengetahuinya. Biarlah kenangan itu menjadi lipatan sejarah dalam hidupnya.

“Bella, Bella nak ke mana malam-malam begini nak?”

Teguran lembut itu menghentikan langkahnya. Dahinya berkerut. Dia tidak senang dengan pertanyaan itu. Isy, makcik aku ni busy body betullah. Menyibuk aje nak tahu setiap kegiatan aku kat luar… desis hatinya.

Dia memaniskan muka sebaik berpaling. “Ya, auntie… Bella nak ke rumah kawan kejap. Ada hal,” jawabnya ringkas.

Auntie Serena mengerutkan dahinya kehairanan. Malam-malam buta begini hendak buat apa keluar lagi? Wajah anak mendiang adiknya itu dipandang lama. Wajah itu mengingatkannya pada raut wajah Ellena. Sememangnya Isabelle bertuah kerana mewarisi kecantikan asli dari mamanya. Adiknya juga begitu jelita dan menjadi rebutan ramai jejaka ketika hayatnya.

Maklumlah, keluarga mereka berketurunan dari Siam. Ketika keluarga mereka berpindah ke Malaysia atas urusan bisnes, Ellena telah jatuh hati dengan bapa Isabelle iaitu Mr.Tan. Sebenarnya dia tidak pernah merestui perkahwinan adiknya itu. Tetapi demi untuk menjaga hati, maka terpaksalah dia menerimanya.
Malang sungguh nasib Isabelle kerana memiliki seorang ayah yang tidak bertanggungjawab. Dia sedar akan hal itu, yang sikap suami mendiang adiknya begitu teruk sekali. Walaupun dia sudah cuba menasihati adiknya namun semuanya sia-sia belaka. Kini yang menjadi mangsanya adalah Isabelle.

“Tapi sekarang ni kan dah lewat sangat Bella. Apa kata Bella keluar esok aje. Beritahulah kawan tu ya.” Auntie Serena menunjukkan riak risaunya.

Isabelle merengus kasar. 

“Ala, auntie ni Bella nak keluar sekejap pun tak boleh. Lecehlah macam ni…”

Wanita itu agak terkejut. Rasanya inilah pertama kali Isabelle melawan kata-katanya. Hatinya sedikit terguris. Namun dia masih mampu tersenyum. Biasalah darah muda, tengah panas. Dia memujuk hatinya sendiri.

“Auntie bukan tak nak bagi Bella keluar. Tapi dah lewat malam macam ni tak elok. Auntie risau dengan keselamatan Bella nanti. Bella pun tau kan betapa auntie dan uncle terlalu sayangkan Bella. Kami dah anggap Bella ni macam anak kami sendiri, nak…” lembut dia menasihati anak saudara kesayangannya itu.
“Bella taulah nak jaga diri Auntie. Bella bukannya budak kecil lagi.” Isabelle mencebik mulut.

Wajah Auntie Serena berubah. Melihatkan perubahan riak muka ibu saudaranya, Isabelle tersenyum hambar. Dia menghampiri makciknya yang duduk di sofa ruang tamu itu. Bahu wanita itu dielus lembut.
“Auntie… auntie janganlah risau pasal Bella ya. Bella nak keluar sekejap aje. Tak lama pun Bella pergi jumpa kawan. Auntie ni risau sangat pasal Bella…”

Serena tersenyum hambar. Wajah Isabelle yang cantik itu ditatap lama. Dia memegang tangan  gadis yang kian meningkat remaja itu dengan lembut. Hatinya begitu sayu hendak melepaskan gadis itu pergi walaupun untuk seketika. Betapa sayangnya dia terhadap Isabelle yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

“Macam mana auntie tak risau Bella. Bella ajelah satu-satunya anak saudara auntie yang paling auntie sayang. Takpelah, Bella boleh keluar tapi jangan lama-lama sangat ya nak,” pinta Serena. Wajahnya sudah kembali tenang sebaik dia melihat Isabelle mengangguk.

Lamunannya terhenti sebaik telefon bimbitnya berbunyi. Dia terpandang nombor yang amat dikenalinya. Namun lekas dia mengeluh lalu segera mematikan talian. Ingatan kira-kira sepuluh tahun yang lalu hilang begitu sahaja.

“Isy, entah apa lagilah yang orang tua ni nak. Nak menyusahkan akulah tu!”

Isabelle mengetap bibirnya. Wajah seorang wanita yang telah bersusah-payah membesarkannya selama ini selepas kematian mamanya terlayar di ruang mata. Hakikatnya dia kini seperti seorang yang tidak berperasaan. Segala kebaikan Serena tidak berbekas langsung di hatinya. Begitu mudah dia melupakannya seperti mana hari terakhir dia meninggalkan wanita itu setelah kematian bapa saudaranya akibat kecelakaan jalanraya.

Serena kini hidup dalam kedaifan dan menderita penyakit buah pinggang. Keadaan wanita itu sudah terlalu uzur. Kali terakhir dia mendapat khabar bahawa ibu saudaranya itu telah pun memeluk agama Islam dan kini tinggal di rumah kebajikan orang-orang tua. Wanita itu tidak mempunyai seorang pun zuriat, Isabelle sendiri yang sudah dianggap seperti anak itu pun langsung tidak mempedulikannya.

Apalah gunanya semua itu, Isabelle tidak langsung mengambil peduli perihal ibu saudaranya. Jangankan bertanya khabar, hendak menjenguk pun tidak teringin langsung. Dia seolah-olah begitu jijik dan membenci ibu saudaranya.

Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Dia sudah hilang sabar.

“Hoi, kau nak apa lagi hah? Tak puas lagi ke kau ganggu hidup aku? Dasar orang tua tak sedar diri!” jerkah Isabelle.

“Isabelle, you ni kenapa? Tiba-tiba aje nak marah-marah ni.”

Wajahnya terus berubah. Suara Gary bergema di hujung taliannya. “Err, I… minta maaf. I fikir siapa yang call I tadi.”

“Hei, you ni ada aje… well, you kat mana sekarang ni?”

“I kat kondolah, ada apa you call lewat malam macam ni?” ada riak tidak selesa di hujung suaranya.

“I need to talk with you. It’s an urgent matter. Boleh I datang ke tempat you sekarang?”

Isabelle meramas telefon bimbitnya. Dahinya berkerut. Masa ni? Dia terasa agak terganggu buat masa sekarang. Kalau esok aje tak boleh ke? Gary ni pun satu. Macam esok dah nak mati aje. Tetapi tidak pula berani dia menyuarakannya.

“Kita bincang esok ajelah. I dah mengantuklah…” dia beralasan. Apa yang pasti dia benar-benar tidak mahu diganggu oleh sesiapa pun buat masa ini.

“Esok dah tak sempat.”

“Maksud you?”

Gary mendengus kasar.

“I nak kita teruskan dengan plan kita sekarang. Lagi lama kita tangguh lagi lambatlah kita nak capai matlamat kita sama-sama my dear. Now you listen, I akan buat apa aje demi mendapatkan apa yang I mahukan selama ni. Keadaan Darren sekarang dah makin teruk. He will lost his popularity. Karier dia akan hancur tak lama lagi. So masa nilah you kena mainkan peranan. Tunjukkan you punya responsibility and your concern, Isabelle… Make him forget that girl. Dalam masa yang sama, I akan plan sesuatu untuk dapatkan kepercayaan datuk dan bapa saudara I tu untuk serahkan syarikat pada I nanti.”

“So, you nak datang jumpa I lah malam ni?”

“Yup, sekarang ni terpulang pada you macam mana dengan perancangan kita yang seterusnya, Isabelle…” jawab Gary.

Isabelle tersenyum sinis. Dia puas hati dengan apa yang dirancangkan selama ini. Ya, benar kata Gary. Masa inilah dia perlu memainkan peranan. Dia akan berusaha merebut hati Darren kembali. Dia tidak sanggup bertangguh dengan lebih lama lagi.

“We’ll see…” bisiknya perlahan.
-xoxo-

29

TEPAT jam 6 petang. Ainur Batrisya sudah menyiapkan sebahagian tugasan tesisnya. Dia menguap beberapa kali. Terkelip-kelip matanya memandang komputer riba jenama Asusnya sejak dari pukul 1 tengah hari tadi lagi. Dia mengemas buku-buku rujukan lalu dimasukkan ke dalam beg Jansport merah miliknya. Kepalanya terasa berat. Sudah mula berdenyut-denyut. Ah… adakah migrainnya akan datang menyerang semula? Dahinya diurut-urut perlahan dengan bibir yang diketap menahan sakit.

Sejak tadi lagi dia terasa tidak sedap hati dibuatnya. Bukannya disebabkan kerja yang diberikan oleh para pensyarahnya yang bertimbun-timbun itu, tetapi entahlah. Sekurang-kurangnya tugasan yang diberikan oleh pensyarah barunya, Encik Wan Mukhriz telah pun diselesaikan minggu lepas. Rasa lega juga sedikit.
Encik Wan Mukhriz? Hm… rasa janggal pula hendak menyebutnya. Wajah lelaki itu terbayang kembali. Pertemuan mereka pada dua minggu yang lalu masih melekat dalam ingatannya. Tetapi dia masih tetap berasa kekok hendak memanggil lelaki itu dengan panggilan yang formal sebegitu. Hendak ketawa pun ada.
Yang sebenarnya, sikap Wan Mukhriz sememangnya seorang yang tegas jika melibatkan urusan kerja. Tetapi dia seorang yang baik hati dan tidaklah garang macam singa. Ainur Batrisya tersenyum sendiri. Kenangan itu sungguh melucukan baginya!

“Hai, yang tersenyum sorang-sorang ni kenapa? Dah buang tabiat?”

Dia mengerling ke wajah Sara yang baru hendak melabuhkan punggung di sisinya. Ainur Batrisya terpaksa mengengsot sedikit memandangkan tubuh Sara yang agak berisi itu. Sempat lagi dia membetulkan tudung labuhnya yang berwarna putih krim itu akibat ditiup angin.

“Eleh, cakap kat orang… yang kau dok tersengih macam kerang tak gosok gigi tu kenapa?”

Sara mengerutkan kedua keningnya. Rasa janggal sebab pertama kali mendengar perkataan baru yang dituturkan Ainur Batrisya itu.

“Isy, apa yang kau mengarut tu? Tapi… pandai ke kerang gosok gigi?” Sara bertanya soalan yang dirasakan kurang cerdik.

Ainur Batrisya mengetap bibir. Dia mengeluh perlahan. Malas hendak menjawab soalan tidak berapa cerdik temannya itu. Sara… Sara… kenapalah kawan aku ni lurus sangat orangnya?

“Manalah aku tahu. Aku main cakap ajelah. Kau ni dari mana?” dia mengawal suaranya yang kedengaran geram itu.

Sara tersengih lagi.

“Ala kau ni, aku nak bergurau sikit pun tak boleh. Sebenarnya aku pergi jumpa Encik Wan tadi sebab nak submit proposal untuk Program Ukhwah Mahasiswa Dinamik kita nanti.”

“Eh, itu bukan kerja Rahman ke?” Ainur Batrisya bertanya pelik.

Setahunya tugas yang melaksanakan bahagian laporan untuk program anjuran Persatuan Mahasiswa Hadhari ialah Rahman, iaitu selaku Setiausaha Agung bagi jawatankuasa mereka. Dia sendiri selaku Timbalan Pengarah Program yang julung-julungnya dilantik kali ini sudah sekian maklum akan hal itu. Apatah lagi Sara yang juga memegang jawatan tertinggi sebagai Bendahari dalam persatuan. Mengapa seorang bendahari seperti Sara perlu membuat laporan proposal pula? Masakan Sara tidak memahami tugas sebenarnya bagaimana… desis hati Ainur Batrisya.

“Aku tahu, tapi tadi aku cuma pegi tolong hantarkan aje. Kebetulan masa jumpa Man tadi dia memang nak submit proposal tu pada Encik Wan.”

“Habis tu, dia tak boleh submit sendiri ke?”

“Em, aku nak tolong dia aje. Lagipun, aku ada hal dengan Encik Wan tadi.” Begitu selamba Sara menuturnya.

“Hal apa?”

“Ala, adalah. Yang kau sibuk nak tahu ni kenapa?”

“Hai, sejak bila pula kau pandai berahsia dengan aku ni, Sara?” Ainur Batrisya mengecilkan matanya.

“Eh, memang aku betul ada kerjalah tadi. Kau ni… cubalah berfikiran positif sikit dengan aku. Aku ni kawan baik kau. Bila dah namanya kawan baik, maknanya pun memang baiklah kan.”

Sara mengelak sebaik tangan ketam Ainur Batrisya ingin mencubitnya. Tangan ketam? Hm… tiada siapa pun yang mampu menafikan bisanya cubitan Ainur Batrisya. Sara yang badan agak berisi itu pun boleh tak tahan, apatah lagi si Qistina yang kurus melidi dan kecil molek itu. Tapi yang selalu jadi mangsanya siapa lagi kalau bukan Sara.

“Kau ni aku tengok asyik Encik Wan aje. Kalau dalam sehari tak sebut nama dia tak boleh ke? Silap hari bulan kau dah memang tengah angau dengan dia tak?”

Sara menjuihkan mulutnya.

“Amboi, sedapnya mulut. Kau jangan laser sangat Isya. Nanti bukannya aku, silap-silap kau yang berlakikan Encik Wan tu.”

“Isy, kita tanya dia, dia pulak yang kenakan kita balik.”

Ainur Batrisya merasakan jantungnya berdegup kencang. Hakikatnya, Sara masih tidak mengetahui kisah sebenarnya. Walaupun Wan Mukhriz kelihatan tenang setiap kali berdepan dengannya, mustahil dia juga mampu setabah itu. Dia tidak cukup kuat untuk berdepan dengan lelaki yang sebaya dengan abang sulungnya itu. Lebih-lebih lagi lelaki itu juga merangkap teman baik abangnya sendiri. Perasaan bersalah masih tetap menghantuinya hingga kini kerana pernah menolak lamaran lelaki itu. Tetapi bukankah hati dan perasaan tidak boleh dipaksa?

Adakah dia harus dipersalahkan dalam soal ini? Sara menggoyangkan tangannya di hadapan wajah Ainur Batrisya. Hairan dengan sikap temannya yang suka betul mengelamun sejak akhir-akhir ini.

“Kau okey tak ni Isya?”

“Aku… okey.”

Dia tersenyum kecil. Pantas dia menarik tangan Sara.

“Kau dah nak balik ke?”

“Yelah, aku tak solat Asar lagi ni. Jomlah.”

“Kau balik dululah Isya. Aku ingat nak pegi library kejap. Nak pinjam buku.”

“Ha, yelah… aku balik dululah kalau macam tu.”

Ainur Batrisya tidak menunggu lama. Di luar sudah kedengaran bunyi petir dan kilat. Cuaca pula sudah kelihatan mendung. Bermakna tidak lama lagi hujan akan turun. Dia harus cepat pulang. Apatah lagi mengenangkan sakit kepalanya yang masih lagi tidak hilang. Fikirannya saat ini hanya terbayangkan katil dan tilam empuknya sahaja.
 -xoxo-

30

BEBERAPA biji panadol sudah ditelannya sepanjang hari itu. Namun sakit kepalanya masih lagi belum surut. Malah makin menjadi-jadi sejak dia pulang petang tadi. Sakinah merangkap teman sebilik yang melihat keadaan diri Ainur Batrisya itu menjadi risau. Puas dia mengurut kepala Ainur Batrisya dengan minyak angin supaya kesakitan itu dapat dikurangkan.

“Kinah, kau pergilah teruskan dengan study kau tu. Janganlah pedulikan pasal aku ni. Kau kan kata esok pagi kau ada test.” Ainur Batrisya berkata dengan matanya masih dipejamkan. Sakinah menggeleng perlahan.

“Aku tak sedap hati tengok kau ni Isya. Aku ajak kau pergi klinik tak nak. Sekarang ni kau tengok siapa yang susah?”omel Sakinah yang sedikit sebanyak berasa geram juga dengan sahabatnya itu. Sudah berkali-kali memberi nasihat masih lagi berdegil.

“Yalah, memang aku ni suka menyusahkan kau,” perlahan Ainur Batrisya membalas. Ada nada rajuk pada suaranya. Berubah muka Sakinah. Dia dihambat rasa bersalah.

“Err, maafkan aku Isya. Aku tak bermaksud macam tu. Sorrylah kalau kau terasa dengan kata-kata aku. Sumpah, aku tak pernah rasa susah dengan kau. Aku cuma geram sebab kau tu yang degil sangat. Kalau dah tak tahan sakit sangat pergi ajelah ke klinik. Bukan jauh mana pun.” Terang Sakinah.

Ainur Batrisya tersengih mendengar bebelan rakannya itu. Ketara menampakkan barisan gigi putihnya yang tersusun rapi.

“Tengok tu. Kita cakap benda yang betul, dia boleh tersengih pulak.”

“Ala, kau janganlah marah Kinah. Aku malas nak pergi klinik bukannya apa. Aku tak rasa pun yang migrain aku ni teruk. Tadi aje rasa berdenyut-denyut. Macam nak tumbang pun ada. Tapi sekarang ni dah okey dah.”

“Betul ni?” Sakinah meminta kepastian.

Ainur Batrisya membuka mata. Dia mengangguk sambil tersenyum. Perlahan-lahan dia bangkit dari pembaringannya sambil mengucapkan terima kasih pada teman sebiliknya itu. Setelah itu barulah Sakinah meneruskan pembacaannya di meja studi. Sejenak, ingatan Ainur Batrisya melayang jauh entah ke mana.
Walaupun dia cuba menafikan seraut wajah lelaki itu, namun dia tetap juga gagal. Adakah hatinya sebenarnya yang masih ego untuk mengakuinya? Tidak. Ini bukan soal ego atau yang sewaktu dengannya. Sebaliknya ini soal prinsip dirinya sendiri. Dia teringatkan kata-kata dari sebuah buku motivasi yang pernah dibacanya. Dr. Stephen R.Covey menyatakan, ‘to live with change, to optimize change, you need principles that don’t change.’

Ainur Batrisya memegang teguh prinsip hidupnya bahawa dia tidak akan bercinta dan tidak akan membiarkan dirinya hanyut dengan arus percintaan seperti kebanyakan remaja seusianya dengan seorang lelaki yang bukan mahram baginya. Itulah pegangan hidupnya.

Seumur hidupnya dia memang tidak pernah bercinta. Seseorang lelaki yang memahami keadaan dirinya ketika itu pasti akan menghormati keputusannya. Dia bukanlah terlalu alim dan warak sehingga sanggup menolak fitrah. Ya, dia tidak mampu menolak fitrah yang telah ditetapkan kerana dia cuma insan biasa yang bernama manusia dan dilahirkan punyai hati serta perasaan. Jika tidak, masakan dia juga hampir-hampir tertarik hati dengan Darren.

Ainur Batrisya mengeluh perlahan. Dia sedar apa yang dilakukannya itu betul. Dia tidak mahu dirinya terjebak di dalam alam percintaan selagi cita-citanya belum kesampaian. Namun segala apa yang dirancang tidak semestinya menjadi kenyataan. Kadangkala kita tidak pasti apakah yang dirancangkan itu membawa kebaikan atau keburukan di sebaliknya. Mungkin juga Tuhan telah mempunyai perancangan lain untuknya yang lebih baik.

Walau apa jua pun dia tidak mampu menipu dirinya lagi. Sememangnya sejak akhir-akhir ini fikirannya sering terganggu dengan kehadiran bayangan Darren. Dia sedar yang hatinya telah seratus peratus berjaya dimiliki oleh lelaki itu. Itulah fitrah yang tidak mampu dielakkan oleh wanita sepertinya. Tetapi andai fitrah bisa menjadi fitnah, andai fitrah bisa melalaikan sekeping hati dari mengingatiNYA, dia rela melupakan perasaan ini walau payah sekalipun. Kata-kata Darren sewaktu kali terakhir dia melangkah keluar dari kediaman mewah lelaki itu masih bergema di telinganya.

Perlukah dia meletakkan secebis harapan? Harapan yang tidak pasti? Atau pasti? Dia perlu berserah segala-galanya pada Allah. Kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui siapa jodohnya. Dahulu dia pernah cuba mahu menerima Wan Mukhriz. Namun hati tidak boleh dipaksa. Dia tidak mampu mencintai lelaki itu. Hatinya tidak pernah merasakan debaran ketika berdepan dengan Wan Mukhriz sebagaimana apa yang dirasakan ketika bersama Darren. Bersama Darren membuatkan perasaannya lain macam. Tiba-tiba hatinya menjadi sayu.

Adakah Darren memang ditakdirkan untukku? Atau, ada lelaki lain yang lebih baik untuk diriku? Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda bahawa, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dan perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat.

Ainur Batrisya menggeleng perlahan. Sebagai manusia biasa dia tidak layak menghukum orang lain hanya kerana kesilapan mereka walaupun dia sedar apa yang dilakukan Darren itu keterlaluan. Allah yang lebih berhak. Bukan dirinya. Dia hanya mampu berdoa semoga terbit sinar keinsafan dalam diri lelaki itu. Semoga apa yang diinginkan Darren menjadi kenyataan. Entah pukul berapa akhirnya Ainur Batrisya terlena tanpa memikirkan apa-apa lagi.
*****

SEKEPING surat yang entah dari mana datangnya terjatuh di bawah meja. Ainur Batrisya lekas-lekas mengutipnya. Surat yang berwarna putih itu dibuka dengan rasa hairan. Pelik juga. Dahinya berkerut sebaik membuka isinya. Surat itu bukanlah surat tawaran kerja atau surat PTPTN yang biasa diperolehinya sebelum ini, tetapi surat yang bertulisan tangan dengan kemas itu tidak tahu entah siapa pemiliknya.

‘Assalamualaikum… salam buat ukhti yang ana paling kagumi. Maafkan ana jika kehadiran warkah ini mengganggu ukhti yang mungkin sedang sibuk menghadapi pelajaran. Tetapi adalah lebih baik ana berterus-terang sahaja. Ana terlalu mengagumi sifat kepimpinan, kelembutan, dan akhlak ukhti. Soal hati dan perasaan bukanlah perkara main-main. Jadi ana mahu serius dengan melamar ukhti. Jika boleh mohon urusan dipercepatkan. Ana menunggu jawapan… Wassalam.’

Hatinya menjadi berdebar-debar. Ainur Batrisya beristighfar panjang. Hampir sahaja dia terduduk di kerusi. Isi surat itu sungguh padat dan bernas sekali. Namun ianya gagal mengusik setangkai hatinya.

‘Apa yang perlu aku lakukan?’ bisiknya.

Dia tidak mahu terlalu melayan perasaan. Surat yang tidak dikenali siapa pemiliknya itu digumpal lalu dibuang ke dalam bakul sampah.

Jika pemilik surat itu tahu betapa dalamnya kecintaan dia pada ilmu melebihi cintanya pada makhluk Tuhan itu sudah tentu dia akan memahami. Noktah.
*****

SEJAK dari mula mesyuarat persatuan tadi, mata Hairul tidak lepas-lepas memandang wajahnya. Ainur Batrisya tidak senang duduk. Pada mulanya dia menyangkakan hanya dia sahaja yang perasan sendiri. Namun lama-kelamaan timbul rasa syak di hati. Lelaki yang merangkap Pengarah persatuan itu tidak lepas-lepas menatap wajahnya. Sudah banyak kali mata mereka bertembung pandang. Tiap kali itu jugalah dia cepat-cepat melarikan pandangan. Hairul menghadiahkan senyuman manis. Dia membalasnya dengan tawar.

‘Apa kenalah dengan mamat sorang ni?’ dia berbisik.

Pahanya dicuit. Ainur Batrisya mengerling ke arah Sara yang berada bersebelahan dengannya. Dia menjongket keningnya. Sara lantas menghulurkan sehelai kertas yang dicarik kecil. Ainur Batrisya membuka lalu membacanya. Tersirap darahnya. Dia memandang tajam wajah Hairul. Ternyata lelaki itu tidak menyedari pandangannya sebaliknya masih leka berdiskusi dengan Penasihat program.

“Baiklah, ada apa-apa lagi tak cadangan yang mahu dikemukakan dari ahli-ahli jawatankuasa yang lain?”

Suara Hairul kedengaran tegas dan penuh saksama. Salah seorang dari mereka mengangkat tangan. Ainur Batrisya gagal menumpu sepenuh perhatiannya. Emosinya terganggu. Dia tidak tahu mengapa isi surat itu membuat dirinya menjadi tertekan dan tidak tenang.

“Saudari Ainur?”

Dia mengangkat muka.

“Ya.”

“Nampak macam ada sesuatu aje yang awak nak katakan. Boleh berbincang dengan semua ahli persatuan, manalah tahu ada cadangan yang lebih menarik berbanding apa yang dikemukakan oleh saudara Ikram tadi.” Hairul bersuara.

Dahinya berkerut. Dipandang sekilas wajah Ikram yang kelihatan begitu tenang itu. Semua pasang mata yang berada di dalam bilik itu turut memandangnya. Menanti jawapan yang bakal keluar dari bibirnya. Maklumlah, dia juga dianggap orang terpenting juga di dalam persatuan.

‘Ah, sudah… manalah aku dengar Ikram cakap apa tadi. Dia ni macam sengaja nak menguji aku aje,’ rintih hatinya.

“Isya?” tegur Sara.

“Ah…”

Ainur Batrisya mengetap bibir. Otaknya ligat berputar mencari helah. Bimbang jika dia bakal memalukan diri sendiri. Sememangnya dia tidak memberikan tumpuan sepenuhnya sejak tadi. Inilah kali pertama dia gagal memahami keseluruhan maklumat penting dalam mesyuarat persatuan. Dia lebih banyak mendiamkan diri dan mengiyakan sahaja. Selalunya dialah orang pertama yang petah melontar kata-kata bernas dan mematahkan cadangan pengarah program jika dirasakan tidak bersesuaian. Tetapi tidak kali ini. Dia benar-benar tersepit.

“Sebenarnya… em…”

“Kalau takde apa-apa lagi kita tamatkan mesyuarat kita pada hari ini. Terima kasih atas kehadiran dan kesudian semua ahli jawatankuasa program menghadiri mesyuarat pada kali ini. Saya mengalu-alukan apa-apa jua cadangan yang dirasakan mampu memberi kebaikan pada program. Sekian, terima kasih.”

Jelas sekali Hairul memahami dirinya dan mahu menolongnya. Ainur Batrisya menarik nafas lega. Jika Hairul tidak menyudahkan mesyuarat itu sudah tentu entah apalah agaknya yang harus diperkatakan olehnya nanti. Jauh di sudut hati, dia berterima kasih pada lelaki itu.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa. Setelah itu masing-masing berlalu keluar dari bilik mesyuarat dengan beberapa suara yang masih sibuk membincangkan agenda seterusnya. Ainur Batrisya melepaskan keluhan lega. Lega kerana dia tidak perlu lagi berlama-lama di bilik itu.

“Aku tahu apa yang kau rasa Isya.”

“Kau dah baca?”

Sara mengangguk. Gadis manis itu tersenyum nakal.

“Kau ingat aku suka ke tadi?” dia berkata geram.

Belum sempat lagi Sara hendak menjawab, suara Hairul menegurnya dari belakang.

“Ainur, boleh tak kita bincang sekejap?” pinta lelaki itu. Dia mendongak. Fikirannya semakin kacau apatah lagi melihat senyuman Sara dan dua orang rakan lelaki yang semakin melebar.

Dia mengagumi keperibadian lelaki itu sebagai pemimpin selama ini. Dia cukup menghormati diri Hairul sebagai ketuanya. Namun sikap Hairul dirasakan tidak profesional kerana begitu mudah menyerah hati dan perasaannya. Dia faham Hairul juga seorang lelaki normal dan manusia yang dikurniakan perasaan itu. Tetapi perlukah bertindak begitu drastik tanpa memikirkan perasaannya? Selama ini pun dia tidak pernah menganggap lelaki itu melebihi seorang kawan. Hatinya kuat mengatakan yang Hairul lah si pemilik surat itu.

“Nak bincang apa?”

Wajah Hairul berubah sebaik mendengar suaranya yang mendatar. Dia memandang kedua orang kawannya.

“Boleh tinggalkan kami?”

Mereka mengangguk. Begitu juga Sara. Baru sahaja Sara hendak melangkah pergi tangan Ainur Batrisya pantas menghalang. Lengan Sara dipegang erat.

“Kalau nak bincang apa-apa saya sudi mendengar. Dengan syarat, Sara ada sekali bersama kita. Biar dia jadi saksi sebab saya tak suka pertemuan kita ni nanti jadi fitnah. Awak faham maksud saya?”

Hairul mengangguk sambil tersenyum. Entah apalah agaknya maksud senyuman lelaki itu.

“Ternyata pilihan ana tepat. Apa yang ana doakan selama ni jadi kenyataan.”

“Apa maksud awak?” soal Ainur Batrisya bingung.

“Sebenarnya sayalah yang telah mengirimkan surat tu, Ainur. Saya telah senyap-senyap selitkan surat tu dalam buku rujukan awak masa di library semalam. Maafkan saya kalau awak rasa tak selesa. Tapi saya betul-betul maksudkannya. Saya mahu awak pertimbangkan lamaran saya ni Ainur. Saya bukan nak main-main. Saya nak terus kahwini awak. Saya ikhlas nak memperisterikan awak.”

Ainur Batrisya mengetap bibirnya. Kata-kata Hairul mengingatkannya pada Darren. Tiba-tiba wajah Hairul menjadi kelam dan kabur. Bertukar pula pada wajah Darren yang penuh pengharapan. Dia menunduk sambil mengucap panjang. Apa kena dengan dirinya?

“Tapi kita masih belum habis belajar…”

Dia mengutuk dirinya sendiri. kenapa aku boleh jawab macam tu pula? Dirasakan jawapan sebegitu seolah-olah meyakinkan Hairul yang dia juga bersetuju dengan lelaki itu. Tetapi fikirannya jadi buntu. Tidak tahu ayat apakah yang sesuai untuk diungkapkan.

“Kita akan habis belajar dalam masa sebulan, dua lagi. Ainur, berilah saya peluang. Saya dah ada perancangan terbaik untuk ke arah itu. Saya tak terus menganggur lepas dah habis studi nanti. Ada kerja lain yang menanti saya. Pasal kewangan awak jangan risau. Insya Allah, saya mampu untuk beri awak kehidupan yang bagus dengan izin Allah. Bukankah Allah sendiri telah memberi jaminan rezeki pada setiap hambaNya yang mahu mendirikan rumahtangga? Yang saya mahukan persetujuan awak aje Ainur.” Hairul seperti mendesak.

Ainur Batrisya tidak menyalahkan Hairul. Lagipun, lelaki itu berhak menyatakan hasratnya dan berhak juga untuk tahu jawapan darinya. Dia cuba untuk bertenang dan berfikir jawapan yang paling terbaik tanpa melukakan hati pihak yang satu lagi.

“Maafkan saya Hairul. Saya kagum dengan awak bukan bermaksud saya perlu menyerahkan hati saya pada awak. Tidak sesekali walaupun saya tahu awak ikhlas. Saya faham apa yang awak rasakan Hairul. Tapi perasaan saya terhadap awak tak pernah lebih dari seorang kawan biasa. Saya hormatkan awak sebagai seorang ketua persatuan. Awak lebih layak untuk perempuan yang selayaknya. Saya belum bersedia untuk bagi apa-apa komitmen ataupun berkahwin dalam masa terdekat ni. Masih banyak lagi perkara yang saya perlu lakukan. Saya harap sangat awak faham.”

Hairul mengangguk faham. Wajahnya setenang air sungai yang mengalir tetapi di hatinya hanya Tuhan yang lebih mengetahui.

“Awak dah ada orang lain?”

Ainur Batrisya tersentak.

“Kenapa awak tanya macam tu?”

“Manalah tahu takut-takut saya tersalah melamar orang yang dah berpunya. Perempuan macam awak, saya yakin punya ramai peminat.” Kata Hairul penuh makna.

Ainur Batrisya tertunduk tanpa berkata apa-apa. Sara berdehem perlahan.

“Okeylah, rasanya awak dah bagi jawapan yang tepat. Terima kasih Ainur. Apa-apa pun saya hormati apa juga keputusan awak.”

Hairul meminta diri. Raut wajahnya terpampang rasa kecewa walaupun lelaki itu berlagak tenang. Sara mencuit bahu Ainur Batrisya. Ada senyuman yang terukir di bibir gadis itu.

“Kau ni memanglah Isya. Sampai hati kau tolak mentah-mentah lelaki sebaik Hairul tu. Aku tengok okey apa kau dengan dia. Sama-sama soleh dan solehah. Kau nak lelaki yang macam mana lagi Isya? Yang kacak bergaya macam model?”

Ainur Batrisya agak tersentak mendengar kata-kata itu.

“Habis tu kau nak aku terima dia kerana terpaksa atau simpati, macam tu?”

“Kau janganlah fikir macam tu Isya. Tak kenal maka tak cinta tau. Aku tengok zaman sekarang ni dah susah tau nak cari lelaki baik macam si Hairul tu. Ibarat satu nisbah sepuluh tau. Satu dalam seribu.” Sara berkata yakin.

“Mana kau tau Sara? Kau ada buat bancian ke?” dia separuh menyindir.

“Isy… ada pulak macam tu. Kau tu sebenarnya kan Isya, terlalu memilih sangat. Dulu masa Encik Wan pinang kau pun kau pergi tolak. Hai, aku tak fahamlah dengan kau ni. Kalau aku jadi kaulah kan, dah lama aku terima tau.”

Sara sudah pun mengetahui hal peminangan Wan Mukhriz. Dia agak terkejut juga semasa kali pertama Ainur Batrisya menceritakan hal tersebut. Walaupun begitu, hanya Sara seorang sahaja sahabat baiknya yang tahu mengenai perkara itu.

“Kau fikir akan bahagia ke bila kita dipaksa hati dan perasaan kita untuk mencintai seseorang? Mungkin aku bersetuju andainya jodohku ditentukan oleh kedua ibu bapa. Tetapi ianya belum tentu lagi membawa kebaikan. Sebab itulah penting juga jika kita meredhai bakal suami kita tu. Aku tak nak kahwin dalam keadaan terpaksa Sara. Aku tak mahu dianggap sebagai isteri derhaka. Perkara kahwin, cinta dan kasih sayang bukanlah benda main-main. Kahwin bukan main serkap jarang.”

Sara mengangguk setuju. “Sekarang ni ada juga yang kahwin sebab nak ikut trend, kahwin awal pun ramai. Tapi aku setuju dengan kahwin muda ni salah satunya boleh elakkan maksiat.”

“Sebenarnya nak elakkan maksiat ni atas diri kita sendiri. Kita yang kena peka dan seboleh-bolehnya menjauhi maksiat. Tempat-tempat yang pengisiannya maksiat, buat apa kita pergi? Bahan-bahan media yang ada unsur-unsur maksiat, buat apa kita tengok? Pokok pangkalnya adalah diri kita sendiri. Kalau kahwin tanpa persediaan pun susah jugak. Elok-elok nak elakkan maksiat tapi makin menambah dosa buat apa? Derhaka pada suami, suami pukul isteri, isteri yang curang, akhirnya anak-anak yang menjadi mangsa. Salah siapa sebenarnya?”

Sara terdiam lama.

Ainur Batrisya menarik lengan kawannya itu. Dia yakin Sara memahami maksudnya itu. Dia tidak suka sebenarnya dengan alasan-alasan yang sering diberikan segelintir golongan muda yang mengambil mudah soal kahwin. Disebabkan itulah banyak kes-kes perceraian yang timbul sekarang ini. Dia sudah tidak sabar untuk menamatkan pengajiannya. Dia ingin meneruskan cita-citanya dan membantu golongan yang teraniaya. Itulah tekadnya selama ini.

‘Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, bahawa ia menciptakan untuk isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan jadikan di antara kamu perasaan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.’ (Ar-Rum 30:26)

 -xoxo-

0 ulasan:

Post a Comment