Wednesday, August 14, 2013

Love or Hate Me,Idiot?!

31

HUJAN turun renyai-renyai tanpa menunjukkan sebarang tanda ingin berhenti. Ainur Batrisya menuruni satu-persatu anak tangga menuju ke kolej kediamannya. Dia baru sahaja pulang dari perpustakaan kerana ingin memulangkan beberapa buah buku rujukan. Keadaan cuaca yang tidak begitu baik sedikit-sebanyak menyukarkan pergerakannya ke sana dan ke mari.

Sebentar tadi dia menghadiri program bersama persatuannya. Kemudian dia perlu mengadakan perbincangan secara berkumpulan bersama kawan-kawannya. Tugasan yang tidak putus-putus sejak kebelakangan ini menyebabkan dia berasa agak letih kerana tidak cukup masa tidur dan rehat. Selalunya jika di rumah dia sentiasa akan memastikan cukup tidur, malah lebih dari cukup agaknya. Siap terlebih-lebih lagi sehingga sering menjadi mangsa bebelan mama.
Ainur Batrisya berjalan dengan laju, membelok ke satu simpang berdekatan dengan fakultinya. Gerimis hujan menyukarkan pergerakannya kerana terpaksa berhati-hati akibat jalan yang berlopak dan licin. Terasa menyesal pula kerana mengenakan jubah hari itu. Patutnya sebelum keluar tadi dia mengenakan seluar slack sahaja dengan baju lengan panjang. Pasti pergerakan lebih mudah. Tiba-tiba dia terpandangkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dari arah bertentangan juga membelok masuk ke simpang tersebut.

Elok sahaja motorsikal itu meluncur dengan laju memasuki persimpangan, lalu tanpa diduga penunggang motor tersebut menghalang dirinya. Ainur Batrisya tergamam. Mujurlah tidak berlanggar. Dia mengurut dada akibat terlalu terkejut.

‘Isy, apehal mamat ni? Takkan dia tak nampak aku yang tercongok kat tepi jalan ni?’

Muka penunggang motor itu tidak jelas memandangkan helmet yang dipakai bercermin gelap. Lelaki tersebut seperti sengaja menghalangnya. Hatinya berasa jengkel dengan sikap biadap penunggang tersebut. Suka hati aje halang laluan pejalan kaki. Kalau dah nak berlagak sangat dengan Kawasaki dia lebih baik pergi berlumba di litar Sepang sahaja! Isy…

“Encik apehal halang laluan saya ni?” dia menyoal dengan kasar.  

Pandangannya terhala ke leher lelaki yang berjaket kulit tebal dan agak terdedah itu. Entah kenapa jantungnya berdegup kencang. Ada rantai dengan loket ‘D’ yang berwarna silver. Rantai… loket itu… seperti… seperti pernah dilihatnya suatu ketika dulu… ya, tidak silap lagi. Tubuhnya menggigil saat itu juga. Tidak mungkin dia…

“Awak?”

Lelaki itu menanggalkan helmetnya. Wajah Ainur Batrisya terus berubah sebaik terpandangkan lelaki itu. Lelaki tidak dikenali itu melemparkan senyuman sinis.

“Now!”

Muncul pula seorang lelaki bertubuh tegap yang entah dari mana memegang kedua lengannya. Ainur Batrisya makin terkejut. Dia tidak perasan langsung ada sebuah kereta yang sudah sedia menunggunya di situ. Dia cuba meronta. Namun tubuh kecilnya sudah terdorong ke belakang. Dia terjerit. Malangnya, mulutnya telah ditekup dengan sapu tangan. Rontaannya semakin lama semakin lemah.

“Let go of her!!!”

Jerkahan satu suara mengejutkan mereka. Ainur Batrisya terasa tubuhnya ditolak dengan kuat. Dia terjatuh di tepi jalan. Hampir-hampir sahaja hendak termasuk ke dalam longkang besar yang boleh tahan agak dalam juga. Kedua tapak tangannya melecet akibat tergesel dengan permukaan jalan yang berturap itu. Seluruh tubuhnya terasa amat sakit.

Seorang lelaki bertubuh tegap membelakanginya. Dua orang lelaki yang cuba hendak menculiknya tadi cepat-cepat melarikan diri. Motosikal berkuasa besar itu menderu laju membelah hujan yang masih lagi turun. Ainur Batrisya bangkit perlahan-lahan.

“Encik, terima kasih banyak-banyak sebab tolong saya. Kalau encik tak adalah tadi, tak tahulah nasib saya macam mana.” Ada getaran pada suaranya.

Dia seperti hendak menangis. Kejadian tadi berlaku dalam sekelip mata. Bagaikan mimpi sahaja. Hairan juga bagaimana kedua-dua orang lelaki tadi boleh lepas masuk ke dalam kawasan universiti?

“Awak okey?”

Ainur Batrisya terpana sebaik mendengar suara lelaki yang masih membelakanginya itu. Debaran hatinya kian kencang tatkala lelaki itu berpusing lalu menghadapnya sambil tersengih. Dia begitu terperanjat sekali.

“Macam mana awak boleh ada kat sini?”

“Ainur, awak jangan salah faham please. Sebenarnya saya memang nak datang jenguk awak. Salah ke?”

“Masalahnya awak datang kat tempat yang tak sepatutnya. Awak tahu tak Darren. Lagipun hubungan kita dah lama terputus. Err, hubungan apa ya? Ah, tak kiralah. Tapi awak dah takde apa-apa kaitan dalam hidup saya selepas saya dah berhenti jadi tutor adik awak.”

Darren tersengih lagi. Penampilan begitu ringkas. Hanya mengenakan topi, berseluar jeans biru gelap dan mengenakan baju lengan pendek warna putih. Cuma tiada lagi rantai silver yang dahulunya tidak pernah lekang dari lehernya.

“Awak tak kesiankan saya ke Ainur? Susah payah saya datang nak jumpa awak. Alih-alih kena halau pulak. Awak ni kan… memang manusia yang tak berhati perut.” Gumam Darren.

“Oh, jadi sekarang baru awak tahu siapa saya yang sebenarnya ya. So tunggu apa lagi? Leave me now.” Dia berkata geram. Sesuka hati pula tu mengutuknya tidak berhati perut.

Ainur Batrisya sedar dia tidak sepatutnya melayan Darren sebegitu sekali. Tiada langsungkah ruang kemaafan buat lelaki itu di hatinya? Sedangkan Darrenlah yang telah menyelamatkannya sebentar tadi. Dia sudah tidak mahu terhutang budi dengan lelaki itu. Cukuplah. Dia sudah hampir berjaya melupakan lelaki itu dari hidupnya, tetapi kini lelaki itu muncul kembali. Entah apa pula motif Darren kali ini. Dia mengeluh berat.
“Awak masih belum memaafkan saya lagi nampaknya.” Darren bersuara sayu.

Sedikit-sebanyak hati wanitanya tersentuh. Dia berpaling semula menghadap lelaki itu. Terasa getaran di hatinya. Seperti dirinya terpukau dengan penampilan baru lelaki itu. Nampak lebih kemas dengan potongan rambut yang baru. Dia menunduk.

“Bagaimana awak tiba-tiba boleh tahu yang lelaki tadi nak buat benda tak elok pada saya?”

“Salah seorang konco-konco saya yang bagitau.” Jawab Darren dengan tenang.

Ainur Batrisya semakin terkejut. “Jadi selama ni awak intip segala aktiviti saya senyap-senyap? Awak ni ketua kongsi gelap ke atau geng mafia?  Hei, buat saya risaulah.”

Kata-katanya itu membuatkan Darren tergelak kecil. Dia ni ada rupa macam ketua mafia ke? Hai, ada-ada ajelah Ainur Batrisya ni.

“Bukan macam tu Ainur. I mean…”

Darren bagaikan kehilangan kata.

“Hebat betul awak ya. Oh saya lupa yang awak ni kan anak orang kaya dan paling berpengaruh. Dah tentu awak mampu buat apa saja kan.” Dia tahu yang gadis itu sedang menyindirnya.

“Ainur, look… I don’t mean to do this. But I have to. Saya terpaksa sebab niat saya nak melindungi satu-satunya gadis yang saya sayang. Salah ke?”

Kata-kata Darren itu semakin membuatnya jadi bingung. Dia mengangkat muka. Berderau darahnya sebaik terpandang renungan tajam lelaki itu. Dia mengalih pandangan ke jalan. Dia masih lagi sukar bertentangan mata dengan lelaki itu. Itulah hakikat yang terpaksa diakuinya.

“Saya tak faham.”

“Awak akan faham juga nanti. Ini semua kerja orang-orang yang busuk hati. Tak perlulah saya bagitau siapa orangnya. Saya bernasib baik sebab cepat dapat tahu maklumat ni. Saya tak mahu apa-apa yang buruk terjadi kat awak Ainur. Percayalah, selama ni saya sedar saya ni takde sebarang nilai pun di hati awak. Tapi saya juga tak mampu menolak perasaan sayang dan cinta saya terhadap awak.  Entahlah… saya rasa yang saya tak mampu hidup tanpa awak…” Darren bersuara perlahan.

“Bagilah saya masa.”

Darren memandang dengan rasa tidak percaya. “Apa awak kata?”

“Berilah saya masa untuk fikirkan sedalam-dalamnya tentang hal ni. Tapi saya tak mahu awak letakkan harapan yang terlalu tinggi. Awak pun dah tahu prinsip saya kan. Kalau betullah ada jodoh antara kita, saya redha. Terpulanglah awak nak buat macam mana pun lepas ni.” Jawab gadis itu dengan muka menunduk merenung jalan.

Dia terlalu malu sebenarnya untuk berkata begitu. Tetapi sampai bila dia harus menipu dirinya? Selebihnya adalah dengan banyakkan berdoa dan beristikharah memohon petunjuk dari Yang Maha Esa. Dia pernah menolak hasrat hati lelaki itu tiga bulan yang lalu. Ketika itu dia yakin dia mampu melupakan Darren. Namun pertemuan kedua ini dia merasakan hatinya sedikit goyah. Perlukah dia memberi lelaki itu peluang? Melihatkan perubahan Darren yang semakin positif sedikit-sebanyak meyakinkan dirinya.

“Baiklah. Terima kasih Ainur sudi bagi saya peluang kedua. Terima kasih banyak-banyak.” Ungkap Darren dengan penuh gembira. Dia begitu teruja.

Sekurang-kurangnya dia masih diberikan peluang. Masih ada sinar harapan untuknya memiliki gadis itu kelak. Jika diikutkan hati mahu sahaja dipeluk dan didakap penuh kasih tubuh gadis kesayangannya itu. Sekian lama dia menanggung beban kerinduan yang kian mencengkam. Namun disabarkan juga hatinya. Kata-kata mummy dan daddy beberapa hari yang lalu semakin menguatkan semangatnya untuk terus berusaha.

Dia tidak menyangka sama sekali rupanya kedua orang tuanya juga berhasrat ingin bermenantukan gadis sebaik Ainur Batrisya. Dia akan cuba memenuhi impian mummy dan daddy. Sekaligus memenuhi impian untuk memiliki cinta sejatinya itu. Biarlah segala kenangan silam menjadi lipatan sejarah dalam hidupnya. Dia bersedia untuk berubah jika itulah yang terbaik untuk hubungan mereka.

“Tapi dari mana lelaki tu boleh dapat rantai awak Darren?” soal Ainur Batrisya. Tiba-tiba dia teringatkan rantai silver yang dilihatnya tadi. Dia terlalu ingin tahu hal yang sebenarnya.

Dahi lelaki itu berkerut. “Entahlah, saya pun tak pasti. Yang sebenarnya, rantai tu dah lama saya tak pakai sejak kali terakhir pertemuan kita dulu. Lepas tu rantai tu terus hilang entah ke mana. Ah, pedulikan. Saya dah tak mahu simpan lagi. Rantai tu tak membawa apa-apa kebaikan pun,” jawab Darren sambil tersenyum manis.

Berdebar-debar dia melihat senyuman itu. Bersama dengan lelaki ini sentiasa membuatkan hatinya berdebar. Dirasakan hari-harinya yang sebelum ini mendung bertukar ceria. Inikah yang dinamakan cinta?

“Ainur, saya nak awak tahu yang saya betul-betul serius dengan awak. Maksud saya, saya mahu memperisterikan awak. Mummy dan daddy dah tahu pasal ni. Sekarang saya nak minta persetujuan dari awak yang saya nak berjumpa dengan kedua ibu bapa awak pula.”

“Awak nak jumpa ibu bapa saya?” soal Ainur Batrisya dengan agak terkejut.

Darren mengangguk yakin. Dahi gadis itu berkerut seribu. Dia faham perasaan Ainur Batrisya ketika ini. Dan dia juga tidak mahu memaksa seandainya gadis itu masih belum bersedia.

“Terpulanglah kat awak. Tapi buat masa ni berilah saya masa untuk habiskan pengajian saya terlebih dulu.”
Jawapan positif yang keluar dari bibir Ainur Batrisya benar-benar menggembirakan hati lelaki itu. Senyuman Darren melebar. Dia memanjatkan seribu kesyukuran. Rasanya mahu sahaja dia menjerit kepada satu dunia mengatakan betapa bahagianya dia saat itu.

“Okey, takde masalah pun. Saya akan tetap menanti awak, Ainur. Biarlah beribu tahun sekalipun. Tetapi kalau hal kita ni dipercepatkan, bukankah lebih baik.” Darren bersuara penuh romantis.

“Awak masih nak berdiri dalam hujan ke?”

Pertanyaan Ainur Batrisya itu membuatkan Darren tertawa gembira. Dia tahu yang gadis itu begitu malu saat itu. Dalam pada itu Ainur Batrisya turut mengukir senyuman. Dia tidak pasti mengapa begitu mudah sekali dia memberikan jawapan hatinya berbanding sebelum ini. Hatinya tidak lagi kabur ketika menerima lamaran Wan Mukhriz dan Hairul. Hatinya kini lebih yakin. Mungkin inilah jodohnya. Inilah kebahagiaannya.
Dalam renyai hujan yang turun, dua insan dipertemukan semula. Dalam masa yang sama, dua hati itu disatukan dalam keadaan yang sukar dijangkakan…
 -xoxo-

32

PANGGILAN telefon dari kampung mengejutkan Ainur Batrisya dari kelekaannya menelaah pelajaran. Belum sempat dia menekan punat hijau telefon bimbitnya, panggilan terputus. Dia memeriksa nama pemanggilnya. ‘Mama!’ desis hatinya. Hatinya dapat merasakan ada perkara mustahak yang ingin disampaikan.

Telefonnya berbunyi lagi. Pantas dia menjawab dan memberi salam. Salamnya disambut oleh Puan Noraini.

“Kenapa ma?”

“Ni mama nak straight to the point lah. Auntie Sherry dengan Uncle Murad ada datang rumah. Bertanyakan pasal Isya.”

Dia menelan air liur yang terasa kelat tiba-tiba. Darren! Teringat akan pertemuannya dan kata-kata penuh harapan lelaki itu. Tidak menyangka secepat itu. Bukankah dia sendiri mengatakan supaya menunggunya sehingga tamat pengajian? Ternyata Darren tidak main-main. Lelaki itu benar-benar serius mengotakan janjinya.

“Isya.”

“Ya mama. Isya dengar ni.”

“Jadi, apa keputusan kamu?” Puan Noraini bersuara agak tergesa-gesa.

“Apa keputusan mama dan papa?” dia menyoal kembali.

“Isy, bertuah punya budak. Kita tanya dia, setuju ke tidak. Ini dia tanya kita balik. Bukannya mama yang nak menikah dengan anak teruna diorang tu.” Marah Puan Noraini yang merasakan dia seperti main-main pula. Ainur Batrisya tergelak kecil.

“Tapi Isya kan tengah belajar lagi. Mama dan papa tak kisah ke kalau em…” dia tidak mampu menghabiskan ayat terakhirnya. Malu dan segan menguasai diri. Apatah lagi hendak mengakui perasaan sebenarnya terhadap Darren di hadapan mama. Mukanya bertukar kemerahan. Itu belum lagi mama ada di depan mata. Kalau tidak mahu sahaja dia menyorok di bawah katil.

“Jadi kamu terimalah ni?”

“Ma…”

“Isya, mama dan papa dah bincang semasak-masaknya tentang perkara ni. Kami semua dah setuju dan lamaran tu kami terima. Bukan apa, mama rasakan tak manis bila kita asyik tolak pinangan orang. Dulu Wan Mukhriz, kali ni Darren. Mama malu nanti apa orang kampung kata. Lagipun mama dah kenal sangat dengan keluarga mereka tu. Auntie Sherry tu pun kawan baik mama jugak. Dia memang berkenan sangat dengan Isya. Jadi kami pun tak boleh nak kata apalah. Jalan terbaik adalah sebaiknya kita terima aje.” Panjang lebar Puan Noraini memberikan nasihat.

“Isya tahu mama.” Jawabnya perlahan.

“Satu lagi, mama dan papa tak mahu kamu bertunang lama-lama. Kalau boleh eloklah dicepatkan tempohnya. Kami mahu buat majlis serentak dengan Abang Long kau. Senanglah sikit nanti.” Beritahu Puan Noraini.

Ainur Batrisya menarik nafas dalam. Rasanya inilah pilihan hatinya. Keputusannya muktamad. Sudah beberapa kali dia melakukan Istikharah, berdoa memohon petunjuk Ilahi. Memang benar, Darrenlah lelaki yang sering hadir dalam mimpi-mimpinya sebelum ini. Wajah lelaki itu semakin lama semakin jelas.

“Ma, boleh Isya bercakap dengan papa kejap?”

“Baiklah, Isya, walau apa pun mama tetap nak Isya fikir masak-masak. Mama tak nak paksa tapi fikirlah apa yang mama katakan tadi.”

Ainur Batrisya mengangguk perlahan. Sesaat, suara papa kedengaran di hujung talian. Dia cuba berbincang dan meminta pendapat dari papanya pula. Dirinya tidak putus-putus berdoa, moga-moga segala urusan dipermudahkan…
*****

URUSAN peminangan dari pihak keluarga lelaki berjalan dengan begitu lancar. Setelah menamatkan pengajian semester akhirnya, kini telah dua bulan Ainur Batrisya rasmi menjadi tunangan kepada lelaki yang berjaya memiliki sepenuh hatinya iaitu Darren Lee Ashram. Mujurlah urusan kedua-dua belah pihak dipermudahkan. Tiada siapa menyangka, namun itulah kuasa Yang Maha Esa. Dialah yang lebih mengetahui segalanya.

“Mama, kenapa Kak Fara tak balik?”

Suatu petang Ainur Batrisya mengambil peluang untuk bertanyakan Puan Noraini ketika mereka sedang berisitirehat sekeluarga di ruang tamu. Adam juga turut pulang bercuti bagi menghadiri majlis pertunangan adik kesayangannya itu. Kali ini dia bercuti lebih lama bagi menguruskan beberapa urusannya di kampung.
Mamanya berpandangan dengan papa. Kedua mereka bagai menyembunyikan sesuatu. Ainur Batrisya terasa begitu pelik. Abang Longnya pula leka menghadap berita yang tersiar di Astro.

“Ma, pa… kenapa ni? Macam ada something aje.”

“Kak Fara kau tu ada masalah sikit. Tu yang dia tak dapat datang.” Jawab Encik Hisyam.

“Kenapa Isya call dia banyak kali sebelum ni dia tak jawab? Papa ada call Kak Fara, dia ada jawab tak?” rungutnya.

Sememangnya dia hairan dengan perubahan mendadak kakaknya itu. Selalunya kakaknya itu rajin bertanyakan khabar dirinya. Terutama semasa dia berada di kolej ketika dia masih lagi bergelar penuntut. Sebaik tamat belajar, kakaknya itu tidak pernah lagi menghubunginya hingga kini. Dia berasa risau juga. Sakitkah kakaknya itu?

“Papa pun dia dah jarang telefon. Adalah sekali dua tu. Dia bagitau tak dapat balik. Itu jelah,” jawab Encik Hisham tenang.

Ainur Batrisya masih kurang berpuas hati dengan jawapan papanya itu. Dia terus memasuki ke dalam bilik sebaik melihat Puan Noraini yang nampak tidak berminat sahaja. Sebaliknya mamanya sedang asyik pula berbual bersama Abang Long. Dia sedikit tersinggung dengan mama yang tidak langsung mengendahkan pertanyaannya tadi.

Tubuhnya dihempaskan ke atas katil. Tangan kanannya diletakkan ke dahi. Fikirannya bercelaru. Seketika dia merenung lama cincin pertunangan di jari manis. Wajah Darren menjelma di ruang mata. Sejak dari hari mereka bertunang, dia tidak bertemu lagi dengan lelaki tersebut. Hendak menelefon dia malu pula. Dia faham yang Darren sudah semakin sibuk sejak mula mengambil alih Nexis Corporation. Dia tersenyum.

Senyumannya mati tatkala telefon bimbitnya berbunyi. Matanya tertancap pada nama si pemanggil. Rasa macam tidak percaya sahaja. Lantas dia menjawab dengan rasa tidak sabar.

“Ya Allah… Kak Fara, kenapa Isya call tak jawab?”

“Assalamualaikum.”

“Err, Waalaikumusalam. Sorry kak. Akak apa khabar? Sihat tak ni?”

“Alhamdulillah akak sihat je. Isya sihat?”

Dia mengetap bibir. Lambat-lambat dia menjawab. “Ye, Isya sihat. Kan bagus kalau Kak Fara pun ada kat sini. Isya rindukan Wais…”

Teringat dia pada si comel itu. Sudah lama dia tidak bermain dan melayan satu-satunya anak buah yang tersayang itu. Wais yang baru menjangkau usia dua tahun sentiasa menceriakannya dengan keletah yang mencuit hati. Terdengar suara Kak Fara mengeluh di hujung talian.

“Akak kenapa, ada masalah ke? Tak nak share dengan Isya?”

“Akak bukan apa Isya. Akak sebenarnya…”

“Sebenarnya apa Kak Fara? Cuba jangan buat Isya saspens macam ni.” Dia bersuara geram.

“Akak tak suka Isya dengan Darren… akak tak berapa setujulah.” Keluh Kak Fara.

Ainur Batrisya tergamam. “Tapi… kenapa?”

“Sebab akak tak sukalah!” suara kakaknya mula meninggi.

“Ya, tapi boleh Isya tahu sebab apa akak tak setuju dengan pertunangan kami?” dia cuba bersabar dan bertenang. Dalam keadaan sekarang api tidak boleh disimbah dengan minyak tanah. Akan semakin menjulang tinggi. Lebih baik dia menjadi air walaupun dirinya juga tidak sesabar mana.

“Kan akak pernah cakap dulu yang akak tak pernah setuju Isya dijodohkan dengan lelaki tu. Ramai lagi lelaki yang lebih layak. Wan Mukhriz tu, lelaki sebaik dan soleh macam tu yang Isya tolak. Tapi tergamak Isya terima lelaki macam Darren tu. Apa kena dengan kau ni dik?”

“Benda dah lama berlaku. Ada sebab kenapa Isya tak terima Abang Wan. Takkan Isya nak paksa diri terima dia kak? Isya tak suka berkahwin kerana terpaksa. Tak berkat nanti dan rumahtangga tak mungkin bahagia…”

“Siapa kata akak tak nak kau bahagia? Isya, cubalah faham erti kebahagiaan yang sebenarnya. Isya tak kenal Wan Mukhriz sebab tu Isya tolak pinangan dia dulu. Sebab Isya tak pernah bagi peluang pada diri sendiri. Akak tak bermaksud suruh Isya paksa terima dia tapi apalah salahnya bagi peluang kat diri sendiri.”

“Tapi bagaimana dengan perasaan Isya Kak Fara? Isya juga berhak memilih siapa yang Isya suka. Darren tu tak cukup baik lagi ke bagi akak?” Ainur Batrisya sengaja menduga.

“Akak tak cakap dia tak baik. Tapi kalau ada yang lebih baik, kenapa tak pilih yang lain je? Isya lagi suka bersuamikan seorang artis dan model yang dah entah berapa ramai pernah berkepit dengan perempuan lain. Atau… Isya pun dah terpukau dengan rupa paras dia? Semata-mata sebab dia tu handsome. Macam tu ke!” Kak Fara bersuara penuh emosi.

“Bukan macam tu. Dia janji nak berubah. Isya nampak kesungguhannya. Dia dah berubah kak. Semakin positif dengan hidupnya dan dia berubah pun kerana hati dia yang ikhlas.” Dia berkata penuh yakin.
Kak Fara tertawa sinis.

“Yalah tu. Jangan-jangan mulut je yang manis. Belum dapat lagi Isya, boleh lah dia cakap macam tu.”
Ainur Batrisya mengetap bibirnya. Tubir matanya bergenang.

“Kak Fara tak faham perasaan Isya. Dan Kak Fara tak kenal siapa Darren sebenarnya…”

“Sebab dah kenal lah akak cakap macam ni dik. Akak tak pernah sukakan dia dari dulu sampai sekarang.” Keluh Kak Fara lagi.

“Jadi sebab tulah akak tak datang majlis tunang Isya ya? Mama dan papa memang dah tahulah pasal ni kan…” dia bersuara sayu.

Lama kakaknya membisu. ‘Sampai hati Kak Fara…’ bisik Ainur Batrisya.

“Salah ke seorang kakak ingin melihat kebahagiaan adiknya sendiri?”

“Tapi Isya bahagia dengan pilihan hati Isya,” bidasnya.

“Akak takkan menang kalau berbahas dengan kau dik. Maklumlah kau kan bakal peguam macam papa. Akak tak sepandai Isya. Tapi Isya fikirlah semasak-masaknya. Jangan nanti menyesal bila dah terkena lepas tu datang cari akak. Masa tu akak takkan sesekali masuk campur urusan Isya lagi.” Tegas Kak Fara.
Ainur Batrisya menahan perasaannya yang remuk redam. Kak Fara tak faham! Jerit hatinya.

“Isya pun tak mahu akak masuk campur urusan Isya,” jawabnya dengan nada terluka. Sakit hatinya apabila dituduh sebegitu.

“Bagus, kalau macam tu lepas ni jangan cuba-cuba hubungi akak lagi. Anggap aje yang Isya dah takde kakak di dunia ni. Assalamualaikum.”

Klik!

Talian terus terputus. Merembes laju air matanya. Ainur Batrisya menekup wajahnya dengan bantal sambil menangis tersedu-sedan. Tergamak Kak Fara membencinya hanya kerana pilihannya ialah Darren. Dia tidak mengerti mengapa kakaknya itu begitu membenci Darren. Seandainya kakaknya faham perasaan cintanya itu, sudah tentu kakaknya itu tidak akan memaksa dia menerima lelaki lain. Ini soal hati dan perasaan.

“Isya…”

Dia mengangkat muka. Entah sejak bila, Puan Noraini sudah berada di sebelahnya. Memandangnya dengan pandangan sayu. Mata mama juga kemerahan.

“Mama.”

Dia memeluk erat tubuh Puan Noraini. Lama mereka berdakapan. Dia melampiaskan kesedihan di bahu mamanya.

“Sabarlah ya sayang. Mama faham apa yang Isya rasa. Lambat-laun Kak Fara pun akan faham juga nanti. Insya Allah, kita sama-sama berdoa.”

Ainur Batrisya mengangguk lemah.

 -xoxo-

0 ulasan:

Post a Comment