Thursday, August 15, 2013

Love or Hate Me,Idiot?!


33

PARA penghuni di Rumah Kebajikan Bakti Qaseh begitu gembira dengan kehadiran Wan Mukhriz di situ. Dia bersama seorang rakan pensyarahnya iaitu Ustaz Harun menemui beberapa orang penghuni rumah kebajikan masyarakat di situ. Sering kali dia bertandang ke situ dan Ustaz Harunlah peneman setianya.
Matanya tertancap pada sekujur tubuh seorang wanita yang berusia dalam lingkungan lewat 50-an sedang mengelamun di bawah sepohon pokok mangga yang rendang. Raut wajahnya yang sudah uzur itu bagaikan sedang memikirkan sesuatu. Wan Mukhriz tersenyum lantas menghampiri wanita itu. Manakala Ustaz Harun pula begitu leka berbual bersama penghuni-penghuni yang lainnya.

“Assalamualaikum Makcik Halimah.”

Sapaan itu menyentakkan wanita itu dari lamunannya yang panjang. Wan Mukhriz sudah duduk di sebelahnya sambil mengukir senyuman manis. Sejuk hatinya tiba-tiba. Cepat-cepat dia menyeka matanya.

“Waalaikumusalam nak. Ya Allah, lamanya makcik tak jumpa kamu, Mukhriz. Mukhriz apa khabar nak? Sihat?” wajahnya bertukar ceria.

Wan Mukhriz mengangguk. 

“Alhamdulillah, saya sihat makcik. Makcik Halimah pula apa khabar?”

“Makcik sihat nak. Tapi, macam nilah keadaan makcik. Tak boleh berjalan. Nak pergi mana-mana selalu dengan kerusi roda ni jelah. Makcik ni dah uzur sangat. Maklumlah nama pun orang tua.” Jawab Mak Halimah sambil tersenyum kecil.

“Takpelah, janji saya nak makcik sentiasa jaga diri, jaga kesihatan elok-elok. Sentiasa ikut peraturan doktor bila masanya yang sesuai untuk makan ubat. Itu yang penting. Selebihnya banyakkan bertawakal dan berdoa pada Allah supaya dipermudahkan segala ibadah yang makcik lakukan. Saya tengok makcik tetap cergas. Okeylah ni,” Wan Mukhriz berkata mesra.

Mak Halimah tertawa mendengar kata-kata lelaki itu. 

“Mukhriz nampak makcik ni cergas? Kalau boleh berlari dah lama makcik joging hari-hari.”

Wan Mukhriz turut sama tertawa sebelum menyambung kata.

“Yalah, kan lebih bagus kalau makcik banyak bergerak sebagai satu terapi senaman. Bagi sayalah kalau saya demam atau jatuh sakit, saya tak mahu terlalu ikutkan sangat sakit tu. Malas nak terlalu manjakan diri. Macam tulah apa yang saya selalu cakap pada mak dan abah saya.”

Mak Halimah berasa sungguh terhibur. Kalaulah dia mempunyai zuriat, dikurniakan anak, sudah tentulah dia mahukan seorang anak yang akhlaknya seperti Wan Mukhriz. Baik budi pekerti, sopan tutur katanya dan soleh. Bertuah sungguh kedua ibu bapamu nak. Sejuk perut ibu yang melahirkanmu. Anak? Terlintas sesuatu di fikirannya. Dadanya sebak. Dia menahan rasa hati. 

“Kenapa makcik? Saya tengok dari tadi lagi makcik banyak termenung. Macam sedang fikirkan sesuatu. Makcik ada apa-apa masalah yang nak dikongsi dengan saya?” 

Mak Halimah tersenyum pahit.

“Sebelum ni pun Mukhriz kenal makcik macam ni juga kan. Takde apa-apa nak. Makcik takde masalah apa pun. Makcik rasa tenang dan bahagia sangat tinggal di sini. Ramai yang ambil berat tentang makcik di sini. Cuma… kadangkala tu makcik jadi teringatkan pada anak saudara makcik.” Kata Mak Halimah sayu.

“Makcik ada anak saudara?”

Wan Mukhriz mengerutkan dahi. Setahunya Mak Halimah tiada anak ataupun saudara mara. Jadi selama ini dia fikirkan bahawa wanita itu memang hidupnya sebatang kara. Mungkin dia telah tersalah dengar sewaktu Mak Halimah bercerita perihal dirinya satu ketika dulu. 

Raut wajah wanita itu direnungnya. Wanita itu sudah seperti ibunya sendiri. dia senang mendekati wanita itu yang begitu ramah dan pemurah dengan senyuman. Tiap kali dia mengunjungi Rumah Bakti Qaseh, tidak sah jika dia tidak membeli buah tangan buat Mak Halimah. Mak Halimah pula selalu menasihatinya ibarat seorang ibu memberi nasihat pada anaknya. Dia kini telah pun dianggap sebagai anak angkat Mak Halimah.

“Dialah satu-satunya anak saudara makcik. Makcik ni hanya dua beradik aje. Sebelum adik perempuan makcik meninggal dunia, dia pernah berpesan supaya makcik menjaga anak perempuan tunggalnya itu. Kebetulan makcik memang takde anak. Jadi takde masalah bagi makcik dan suami untuk menjaga dia. Kami dah anggap dia macam anak kandung sendiri.”

“Di mana bapa kandung dia makcik?” tanya Wan Mukhriz ingin tahu.

Mak Halimah melepaskan keluhan berat.

“Ayahnya masih ada hingga sekarang. Cuma ayahnya tu seorang yang tak bertanggungjawab. Sepanjang hayatnya asyik dengan main judi aje. Setelah kematian ibunya, dia hampir-hampir kena jual pada seorang kawan yang juga kaki judi macam ayahnya. Tergamak seorang bapa memperlakukan anak sendiri sebegitu. Pada usianya enam belas tahun, makcik ambil keputusan untuk terus mengambilnya tinggal bersama makcik dan suami.”

Wan Mukhriz masih setia mendengar cerita wanita itu.

“Peristiwa silam tu berlaku ketika sebelum makcik memeluk agama Islam. Namun sampai sekarang ingatan makcik masih kuat tentang dia. Cuma yang makcik terkilan, suami makcik tak sempat masuk Islam sebelum dia meninggal akibat kemalangan jalanraya dulu. Makcik sedih sangat… sebab tak mampu bawa dia bersama-sama mengenali Islam…” Mak Halimah bersuara perlahan sambil menitiskan air mata.

“Habis tu, di mana anak saudara makcik sekarang?” Wan Mukhriz bersimpati.

“Makcik tak tau nak. Makcik teringin sangat nak berjumpa dengannya. Tapi makcik memang ada simpan nombornya. Kalau rindu sangat tu makcik akan telefon dia. Biarlah dia nak marah, hina dan mencaci makcik sekalipun. Makcik tetap sayangkan dia.”

“Dia tak bagitau dia tinggal di mana?”

Mak Halimah menggeleng lemah.

“Mana mungkin dia nak bagitau Mukhriz. Jangan kata nak bagitau alamat rumahnya, pandang muka makcik pun lagilah dia tak sudi. Dia mula hantar makcik ke sini dulu pun masa makcik pertama kali dapat tahu yang makcik ni menghidap penyakit buah pinggang. Tak larat nak jaga orang sakit katanya. Lagipun dia terlalu sibuk dengan kerja. Takde masa nak jaga makcik. Makcik faham kesibukan dia…”

Wan Mukhriz menggeleng perlahan. 

“Tidak makcik, sesibuk mana pun dia, sesukar mana pun sebagai anak saudara dan satu-satunya saudara darah daging sendiri yang tinggal dia sepatutnya bertanggungjawab dengan jaga makcik penuh kasih sayang. Makcik bukan orang lain. Emak saudaranya sendiri. Inikan pula kalau emak kandung sendiri. Tidak ada alasan lagi untuk dia lari dari tanggungjawabnya.”

Lelaki itu menyuarakan kekesalan hatinya. Perkara yang sungguh menyedihkan apabila seorang anak tidak mampu menjaga kedua orang tuanya yang telah tua dan sakit. Sedangkan seorang ibu sanggup menjaga dan membesarkan sepuluh orang anak tidak kira ketika sakit atau masih kecil. 

Bahkan ada ibu bapa yang dikurniakan anak yang cacat pun masih sanggup menjaganya dengan kasih yang tiada tolok bandingnya. Tidak sedikitpun memberikan alasan seperti sibuk, tiada masa, susah dan sebagainya. Di manakah segelintir anak sebegini meletakkan perasaan atau sifat kemanusiaannya? Dia sendiri pun tidak tergamak melukakan perasaan ibu bapanya. Jauh sekali membuang mereka. Minta-minta dijauhkanlah dirinya dari bersifat begitu.

“Boleh saya tahu sejak bila makcik memeluk Islam?”

“Ikutkan makcik dah peluk Islam kira-kira enam tahun yang lalu. Tapi makcik dah lama pelajari dan kenal apa itu Islam lebih awal lagi ketika suami makcik masih ada. Nama asal makcik, Serena. Makcik mahukan kehidupan yang baru sebab tu makcik tukar dengan nama sekarang. Makcik rasakan biarlah nama tu membawa seribu kenangan silam yang telah lama terkubur dari ingatan. Sekarang ni dan sampai bila-bila pun makcik tetap akan berpegang teguh dengan Islam. Hanya Islam sahaja yang mampu berikan makcik seribu ketenangan dan hari-hari yang makcik lalui juga terasa begitu indah.”

“Alhamdulillah, itulah yang saya harapkan. Solat juga merupakan satu terapi ketenangan. Begitu juga jika kita sering membaca kitab suci Al-Quran dan memahami maksudnya. Saya kagumi dengan golongan mualaf yang suka mendalami ilmu di dalam Al-Quran. Kebanyakkannya lebih memiliki ilmu agama yang cukup tinggi berbanding segelintir orang Islam yang sejak dari azali lagi dilahirkan Islam. Bahkan saya sendiri pun masih rasakan banyak lagi kekurangan ilmu dan perlu lebih banyak belajar lagi.” Ujar Wan Mukhriz.

“Baguslah macam tu nak. Makcik sentiasa doakan Mukhriz berjaya dengan apa pun kerja yang Mukhriz lakukan.” Balas Mak Halimah dengan senyuman terukir di bibirnya.

Walaupun wajahnya sudah dimamah usia, namun masih terserlah raut wajah yang manis dipandang. 

“Terima kasih makcik. Makcik dah macam mak saya sendiri. Insya Allah, selagi hayat saya ada, saya akan sedaya-upaya membantu makcik dengan segala kudrat yang saya ada. Moga Allah permudahkan urusan saya.” Kata Wan Mukhriz ikhlas.

Tubir mata Mak Halimah bergenang lagi. 

“Mukhriz…”

“Ya makcik.”

“Sebelum ajal makcik tiba, boleh tak makcik nak minta tolong Mukhriz tunaikan hajat makcik ini?”

Wan Mukhriz memandang dengan rasa hairan. “Hajat apa tu makcik?”

Mak Halimah tersenyum. Sebelum menyampaikan hajatnya, dia merenung jauh ke depan. Mengharapkan semoga dirinya nanti tidak menyusahkan anak angkatnya itu. Sebaliknya akan ada ruang kebahagiaan buat dirinya satu hari nanti. Walaupun ianya sesaat cuma....

0 ulasan:

Post a Comment