Wednesday, August 14, 2013

Love or Hate Me,Idiot?!

24

TIGA bulan kemudian…

Baru habis sesi kuliah hari ini. Tepat jam 5 P.M dia sudah menapak ke kolejnya yang tidak berapa jauh dari fakulti. Semester baru ini bermula tanpa sebarang masalah. Cuma satu sahaja, dia terpaksa berdepan dengan pelbagai soalan cepu emas dari Sara, teman baiknya berkaitan perihal dirinya dengan Darren.

Itupun dia tahu setelah Sara mendesaknya beberapa kali menceritakan hal sebenar. Dia bekerja sebagai tutor dengan siapa. Apa hubungannya dengan Darren dan keluarga lelaki itu… dan macam-macam lagi persoalan yang dilemparkan sampai jenuh dia hendak menerangkan duduk perkara yang sebenarnya. Memandangkan Sara bukanlah jenis minah mulut kepoh, jadi dia tidak kisah sangat hendak bercerita. Asalkan hal itu dirahsiakan dari pengetahuan sesiapa terutama teman sekuliah dan para pensyarahnya.

Bukan apa, dia yakin setelah ini dia tiada sebarang hubungan lagi dengan Darren. Kisah antara mereka sudah tamat dan berakhir begitu sahaja. Darren juga tidak pernah meminta nombornya untuk dihubungi bermakna lelaki itu memang tidak pernah serius pun dengannya selama ini. Apa yang berlaku antara mereka selama ini hanya tinggal kenangan sahaja. Segala kenangan antara mereka hanyalah ibarat khayalan dan fantasi belaka. Dia ditakdirkan untuk bertemu dan berkenalan dengan seorang Putera Raja yang begitu sempurna sifatnya kemudian apabila tiba masanya mereka harus berpisah dan dia perlu melupakan lelaki itu.

Namun mampukah dia melupakan segala yang pernah terjadi begitu sahaja? Sejak dia tidak menjadi tutor Daniel di rumah agam itu, dia tidak pernah mendengar sebarang perkhabaran dari lelaki itu lagi. Tidak pernah pula terfikir untuknya bertanya tentang Darren kerana sememangnya dia mahu melupakan lelaki itu.
Kecewakah dirinya?

Mungkin ini sudah nasibnya. Ketentuan takdir dari Ilahi yang ditetapkan untuknya menjadi lebih kuat dan tabah menghadapi satu-satu kehilangan. Ya, dia berasa menyesal dan kecewa. Tidak dapat dinafikan perasaannya saat ini. Betapa pedih dan terluka kerana terlalu mengharapkan sesuatu yang mustahil. Lagipun, sampai bila dia harus menipu diri.

Benar, antara mereka untuk bersama adalah sesuatu yang mustahil. Silapnya juga kerana terlalu leka selama ini. Dibiarkan sahaja perasaan cinta dan sayang itu bertamu di hati tanpa mengetahui akibat di kemudian hari. Perlukah dia menyalahkan lelaki itu kerana membuatnya jatuh hati? Tidak mungkin… kerana Darren tidak bersalah sama sekali. Dia yang bersalah. Dia harus melupakan lelaki itu dan memulakan hidup yang baru. Ya, Darren harus dilupakan… dia juga akan berusaha menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran dan masa depannya. Perjalanan hidup ini masih panjang. Rasa itu sudah lama dibuang jauh-jauh. Hendak kata sayang pun tidak. Benci pun tiada lagi di hati. Perasaannya terhadap lelaki itu sudah kosong. Sudah tiada apa-apa lagi.

Pandangannya tertancap pada sebuah papan tanda iklan di tepi jalan. Langkahnya terhenti di situ. Aik… macam kenal aje model ni. Apa tidaknya. Terpampang gambar Darren yang sebesar-besar alam sebagai model iklan syampu.

‘FOR STRAIGHT AND SILKY HAIR, THE ANTI-DANDRUFF SHAMPOO FOR MEN’

Siap dengan signaturenya sekali. Darren Lee Ashram. Arghh… macam mana nak lupakan dia ni?!!!

Bibirnya mengukir senyuman. Jika difikirkan macam tak percaya pun ada. Yelah, model iklan itu rupanya menyimpan perasaan terhadapnya selama ini. Terasa bagaikan mimpi sahaja. Mimpi yang dia pernah berada dekat dengan lelaki itu. Tetapi itu dahulu. Anggap sahaja episod itu sudah berakhir. Dia sudah berada di alam realiti. Dunianya kini adalah di kampus ini, teman-teman sekuliahnya dan pensyarah yang selalu menyokongnya. Ini adalah dunianya sekarang. Tiada lagi Darren. Tiada lagi kata-kata dan janji manis lelaki itu. Tiada lagi Vila Rose yang indah dengan taman fantasi. Kosong. Jiwanya betul-betul kosong. Sekosong-kosongnya…
*****

“ISYA… kau tau tak tadi aku terjumpa siapa?” teguran Sara itu menyentakkan dirinya dari lamunan yang panjang. Terus bayangan Darren hilang dari khayalannya.

“Siapa yang kau jumpa Sara?”

“Aku jumpa dengan sorang pensyarah baru di jabatan kita. Wah, memang handsome gila kau tau… aku rasa kalau dia masuk mengajar kelas kita nanti serius mesti ramai yang suka punyalah. Muka dia pun nampak tenang dan bersih aje. Maklumlah, orangnya lulusan agama dari luar negara. Aku rasalah kan umur dia pun muda lagi dalam lingkungan 20-an agaknya…” begitu teruja Sara bercerita.

Amboi Sara, gaya dah lain macam aje tu. Gatal semacam! Ainur Batrisya tergeleng-geleng. Itu pula yang difikirkan oleh Sara. Dia pun tiada masa hendak menyibuk hal pensyarah mereka, baginya tugas mereka datang ke situ hanyalah untuk belajar dan mengutip seberapa banyak ilmu yang ada. Pensyarah pula hanya mengajar dan menyampaikan ilmu yang mereka ada kepada para pelajarnya. Bukanlah menyimpang jauh dari tujuan asalnya.

“Kau tau mana ni Sara? Cara kau bercerita tu macam kau pulak adik kepada pensyarah tu.”

Mana taknya, punyalah detail segala maklumat diri perihal pensyarah tersebut habis diceritakan pada Ainur Batrisya. Sara mencebik mulut.

“Alah, aku tahulah sebab aku tengok depan mata aku ni sendiri. Tadi masa aku temankan Aisyah hantar report Prof. Kamariah dekat pejabat department kita, tu yang aku terjumpa dengan dia. Kau ingat aku saja mereka cerita ke Isya? Aku taulah kau masih tak boleh lupakan cik Abang Darren kau tu… manalah tahu dia jauh lebih kacak berbanding pensyarah baru kita tu. Yelah, kalau tak, takdelah dia tu artis popular kan. Sebab tu kau tak teruja langsung,” ejek Sara. Sebenarnya dia sengaja ingin mengusik sahaja.

Wajah Ainur Batrisya terus berubah. Dia menjegilkan mata ke arah Sara.

“Boleh tak kau jangan sebut pasal hal ni lagi? Aku dah tak nak ingat lagi dan kalau boleh aku nak lupakan dia terus. Lagipun Darren takde kena-mengena langsung dalam hal ni. Aku takkan teragak-agak cari kau nanti andai kata benda ni tersebar sampai ke pengetahuan kawan-kawan kita yang lain, faham?” Ainur Batrisya bernada tegas.

“Yelah… yelah, aku faham. Aku tahu kau macam mana Isya. Kau tak perlulah risau. Segala rahsia kau tersimpan kukuh dalam memori aku ni tau. Sampaikan ada yang aku dah lupa apa yang kau pernah cerita kat aku sebelum ni.” Sara tersengih.

“Tapi kan, aku rasa kau mesti suka punyalah bila tengok pensyarah baru tu.”

Hai, Sara ni… tak habis-habis lagi ke pasal pensyarah baru? Dia tak puas hati lagilah agaknya bila tengok si Ainur Batrisya ni tak bagi respon yang sepatutnya. Ainur Batrisya ni memanglah macam tu orangnya. Manalah dia pernah berminat bercerita soal lelaki. Itupun dia boleh buka mulut pasal Darren setelah rahsianya itu dikorek sedalam-dalamnya oleh Sara. Dah kantoi kan, terpaksalah dia bercerita juga.
Kalau tidak, tak teringin langsung dia hendak mengingati kembali tentang lelaki yang telah banyak menyakitkan hatinya itu. Tetapi itu tidak bermakna dia tidak memaafkan perbuatan Darren. Walaupun perbuatan lelaki itu keterlaluan, dia tidaklah mahu menyimpan apa-apa dendam terhadap lelaki itu. Cuma yang pasti hatinya masih belum terbuka untuk menerima kehadiran mana-mana lelaki buat masa ini.

“Entahlah Sara, aku tak tahu nak cakap macam mana. Suka ke tak suka ke. Perasaan aku terhadap mana-mana orang yang tugasnya mendidik aku semua sama. Aku akan menghargai dan menghormati golongan macam ni. Bagi aku pekerjaan yang mereka lakukan ni adalah sesuatu yang mulia dan patut kita hormati. Tak kiralah dia tu tua ke, sebaya kita ke atau jauh lebih muda kita tetap kena respect diorang.”

Fuhh… bernas sungguh jawapan Ainur Batrisya ni ye. Sampai ternganga Sara mendengarnya. He he…

Tetapi memang benarlah apa yang dikatakan oleh gadis itu. Walau siapa pun guru kita, seharusnya kita menghormati mereka. Sebab apa pun mereka adalah orang yang telah banyak berjasa dengan memberikan ilmu sehingga kita berjaya menjadi orang yang berguna.

“Dahlah, malas aku nak bercerita dengan kau ni. Kalau orang lain tu mesti teruja sama macam aku. Tapi kau ni boring betullah.”

Sara mula menarik muncung panjang. Masam mukanya. Ainur Batrisya sudah tergelak.
*****

AINUR Batrisya melihat jam di pergelangan tangannya. Angka jam hampir menunjukkan ke pukul 12 tengah hari. Kelibat Sara dan seorang lagi temannya masih tidak kelihatan.  Manalah diorang ni? Cakap tadi nak pegi sama-sama menghadiri kuliah Puan Norafizah tengah hari itu. Alih-alih mereka pula yang lambat. Sudahlah pensyarah mereka yang seorang itu tegas orangnya. Lambat alamatnya kena berdiri dekat luar ajelah. Dia masih menanti dengan sabar.

Sepuluh minit telah berlalu. Sedangkan kelas bakal bermula tidak lama sahaja lagi. Ainur Batrisya akhirnya mengambil keputusan untuk pergi dahulu. Dia menekan punat-punat mesej di telefon bimbit dan mengirimkan kepada Sara. Dia menghela nafas lega sebaik mesej itu berjaya dikirim.

Ainur Batrisya terpaksa melalui tiga buah bangunan fakulti yang lain sebelum sampai ke kelasnya. Jenuh jugalah mahu menapak. Dia agak termengah kerana terkejar-kejar ingin sampai sebelum Puan Norafizah tiba ke dewan kuliah. Jika tidak memang teruklah akibatnya nanti. Sementelah pula dia memang tidak pernah datang lewat ke kuliah. Inilah pertama kali dia merasakan hari itu tidak berapa kena sahaja.

Pagi tadi bukan sahaja tadi dia telah bangun lambat, malah dua orang kawannya yang ‘bertuah’ itulah yang menyebabkannya nyaris terlewat ke kelas tengah hari itu. Semuanya gara-gara menunggu mereka. Bersiap mengalahkan pengantin. Hai, nasib kaulah Ainur Batrisya.

Dia mengetuk pintu. Fuh… minta-mintalah Puan Norafizah belum masuk mengajar lagi. Ikutkan memang dia sudah lambat lima minit. Hai, takkanlah lima minit pun nak berkira? Walaupun hanya lima minit tetapi bagi pensyarah yang sudah berpuluh tahun berpengalaman itu tiada istilah kompromi baginya lebih lagi dalam soal ketepatan waktu.

Disebabkan itulah begitu ramai pelajar yang tertekan dengannya. Tidak kiralah mana-mana pelajar sekalipun. Ainur Batrisya sendiri pun sudah berasa agak tertekan hari ini disebabkan kelewatannya, tanpa berlengah dia terus memasuki ke dalam ruang dewan kuliah yang agak luas itu.

Alamak, Puan Norafizah dah start mengajarlah tetapi… bukan suara pensyarah itu yang didengarinya. Suara seorang pensyarah lelaki yang agak janggal menyapa halwa telinganya. Aik? Dia dah salah masuk kelas ke?
Matanya terbuntang luas. Diperhatikan satu-persatu wajah teman sekuliahnya yang lain. Memang betullah kelas Puan Norafizah hari ni. Dirinya masih tercegat di situ dengan lagak bingung.

“Hah, yang awak tercegat lagi kat situ buat apa?” teguran itu menyentakkan dirinya.

Di saat itu juga dirasakan jantungnya berhenti berdenyut. Wajahnya bertukar pucat lesi. Bibirnya bagai terkunci tatkala terpandang pensyarah lelaki tersebut. Namun pensyarah itu kelihatan tenang sahaja. Seperti tiada apa yang berlaku.

“Err, ss… sa… saya…” dia tergagap-gagap.

“Alasan apa yang awak nak bagi? Sudahlah masuk kelas pun lambat…” sempat lagi pensyarah itu melirik ke arah jam di pergelangan tangannya.

“Awak fikir saya akan consider walaupun awak hanya lambat lima minit? Jangan kata lima, seminit pun saya tetap akan anggap kehadiran awak ke kelas dikira lambat. Saya akan catit nota pada kehadiran awak dan disebabkan hal ini markah keseluruhan awak nanti akan ditolak. Jadi saya harap lepas ni awak takkan ulangi lagi kesalahan yang sama. Ini amaran saya yang pertama. Dan saya akan ingat muka awak ni sampai akhir semester… faham?”

Ainur Batrisya tergamam. Bibirnya bergerak-gerak ingin berkata sesuatu. Tetapi untuk apa? Memang dia akui dia telah melakukan kesalahan. Cuma… dia tidak menyangka sama sekali. Mungkin inilah dia pensyarah baru yang dimaksudkan Sara kelmarin.

“Ainur Batrisya?”

Dia tersentak sebaik nama penuhnya disebut. Jelas sekali bunyinya.

“Ya…”

“Awak faham tak?” suara itu kali ini kedengaran lebih tegas dan garang. Kecut juga perut dibuatnya.

“Sa… saya faham encik. Maafkan saya. Saya takkan datang lewat lagi lepas ni.” Dia tertunduk. Segan juga dibuatnya. Pertama kali dimarahi kerana datang lambat ke kelas. Cuainya!!

Pensyarah muda itu mengangguk dengan muka serius. Sedikit pun tidak memandang ke arahnya.

“Okey, awak boleh duduk sekarang.”

Dia terus menuju ke tempat duduk di barisan kedua paling hadapan. Kebiasaannya dia lebih suka memilih barisan paling depan sekali kerana lebih mudah baginya mendengar dengan jelas dan berinteraksi dengan pensyarah. Tetapi disebabkan kelewatannya itu para pelajar yang lain sudah pun memenuhi barisan depan tersebut. Entah mengapa fikirannya masih berkecamuk.

“Psst… Isya, kenapa kau boleh lambat pulak hari ni?” Qistina, temannya bersuara perlahan.

“Ada masalah sikit tadi.” Jawabnya ringkas sambil tersenyum kelat.

“Hm… yeke, aku pun kira nasib baik jugak sampai tepat pada masanya. Pensyarah baru kita ni garanglah. Mula-mula aku fikir dia baik dan cool aje orangnya sebab muka nampak tenang aje. Tadi pun ada tiga orang budak lelaki kelas kita dah kena marah sebab buat bising.”

Ainur Batrisya menggeleng. “Takde apalah. Dah memang salah aku pun. Kalau aku jadi dia pun aku marah.”
Dahinya berkerut seperti memikirkan sesuatu.

“Eh, Qis… Puan Norafizah ke mana? Dia memang tak masuk kelas ke?”

“Lah… kau tak tahu ke Isya? Dia kan dah sambung PhD kat Australia. Sebab tulah tempatnya digantikan dengan Encik Wan Mukhriz ni…” jawab Qistina dengan suara yang dikawal sebaik mungkin.

Jantungnya berdegup tidak sekata sebaik mendengar nama itu disebut. Ya, itulah apa yang dirasakan saat pertama kali dia bertembung pandang dengan lelaki itu tadi. Benar-benar tidak menyangka sama sekali Wan Mukhriz akan menjadi salah seorang dari pensyarahnya. Terasa kecil betul dunia ini.

“Oh, patutlah…”

“Tapi satu lagi yang aku hairan, macam mana Encik Wan boleh tahu nama kau Isya? Siap sebut nama penuh lagi. Setahu aku ini baru first time dia masuk kelas kita.”

Dia terkedu dengan pertanyaan itu. Namun belum pun sempat dia hendak menjawab, terasa lengannya disiku oleh Qistina. Sebaik pandangannya dihala ke depan, alangkah terkejutnya apabila mata Wan Mukhriz sedang merenung tajam ke arah mereka. ALLAH, satu masalah lagi nampaknya ni… dia memandang Qistina. Gadis itu juga sudah pucat wajahnya.

“Boleh saya tahu apa yang kamu berdua tengah discuss di belakang tu?”

Mereka saling berpandangan. Berdebar-debar jantungnya. Lambat-lambat Qistina menggeleng. Dia juga sudah kecut melihat wajah garang pensyarah mereka itu. Mendengar ketegasan suaranya pun sudah membuatkan satu dewan kuliah itu sunyi dan sepi. Rasanya Encik Wan Mukhriz ini jauh lebih tegas berbanding Puan Norafizah. Hai, nasiblah dapat pensyarah macam ni… jika sebelum ni puji bukan main lagi. Handsomelah… kacaklah… baiklah… sekarang baru kau rasa.

“Takde apa-apa Encik Wan.” Jawab Qistina.

“Rasanya tak salah kan kalau kamu berdua nak share sekali dalam kelas ni. Manalah tahu ada ilmu baru yang nak disampaikan. Boleh lah ganti tempat saya kat depan ni. Lepas ni kena bersara awallah saya nampaknya…” Wan Mukhriz bersuara sinis.

“Maafkan kami encik…” Qistina bersuara kesal.

Manakala Ainur Batrisya pula tidak mampu bersuara. Lidahnya bagai kelu untuk berkata walau sepatah perkataan pun. Dia masih lagi terkejut dengan apa yang berlaku. Pertemuan antara dirinya dengan Wan Mukhriz. Betul-betul tidak menyangka sama sekali…

Ainur Batrisya menggigit bibir sambil tertunduk ke bawah. Malunya… mesti dia fikir aku ni pelajar yang takde disiplin lah, teruklah… arghh! Jangan diceritakan hal ni pada Abang Long, mama dan papa sudahlah. Mati aku kali ni!

Apabila keduanya masih membisu, Wan Mukhriz meneruskan kembali sesi pengajarannya. Dia menggeleng perlahan. Sempat lagi matanya melirik ke wajah pucat Ainur Batrisya. Entah apalah agaknya yang sedang difikirkan oleh pensyarah muda tersebut. Malu sudah menguasai diri. Aduh, manalah hendak disoroknya muka ini?
- xoxo-

25

WAN Mukhriz segera mengemas buku-bukunya sebaik kuliah tamat. Dia berlalu keluar dengan muka serius tanpa sempat Ainur Batrisya memanggilnya. Sebenarnya Ainur Batrisya ingin bertanyakan sesuatu berkaitan kuliah hari itu tetapi segalanya berlaku dengan amat pantas. Adakah lelaki itu kecewa dengan sikapnya sebagai seorang pelajar? Ya, dia akui dia telah melakukan kesalahan dengan datang lambat pada hari pertama lagi lelaki itu bertugas sebagai pensyarahnya. Memang betul-betul cari nahaslah kau, Ainur Batrisya…

“Yang muka kau berkerut semacam ni kenapa Isya? Aku tahulah muka kau macam Nabila Syakieb versi bertudung. Tapi janganlah berkerut macam tu. Dari tadi lagi aku tengok. Kau… senggugut eh?” Sara menegur sambil memeluk bahunya. Sempat lagi mengusik Ainur Batrisya yang makin keruh mukanya seperti menahan sakit.

Dilihatnya wajah pucat Ainur Batrisya itu. Sedikit-sebanyak dia berasa risau juga. Manalah tahu kawannya itu sakit ke… sudah lama dia menyedari perubahan rakannya itu semasa mereka berada di dalam kelas lagi. Tetapi memandangkan kedudukan mereka agak jauh, terpaksalah Sara menunggu tamat waktu kelas barulah dia bertanyakan keadaan teman akrabnya itu.

“Takde apalah. Kau dah lapar?” giliran Ainur Batrisya pula yang menyoal.

“Ha’ah, aku memang tengah lapar ni. Jom kita makan. Tadi pun belum sempat nak lunch lagi.” Jawab Sara laju. Maklumlah, dia ini memang pantang bila diajak makan.

Ainur Batrisya mengangguk. Mereka beriringan menuju ke kafetaria yang terletak tidak jauh dari fakulti. Sesekali Sara mengusap lembut bahu kawannya itu. Masih ada lagi riak kerisauan di hatinya dengan keadaan Ainur Batrisya.
*****

LAMA dia berdiri di depan bilik pensyarah di jabatannya. Hatinya agak berdebar-debar. Risau dengan reaksi Wan Mukhriz nanti bila melihatnya. Adakah dia akan dimarahi lagi seperti tadi? Ah… dia harus bersangka baik. Segala prasangka dibuangnya jauh-jauh. Sebaik sahaja dia selesai makan tengah hari dengan Sara tadi, terus sahaja dia menapak ke bilik pensyarah mereka. Sambil membawa nota kuliah di tangan, dia sudah menyediakan beberapa soalan yang sukar difahaminya semasa sesi pengajaran tadi. Atau… adakah semua itu hanya sekadar alasan semata-mata? Sukar untuk dia menjawabnya. Yang pasti, dia perlu bersemuka dengan lelaki itu demi mendapatkan penjelasan.

Dia menarik nafas. Mengumpul keberanian yang ada. Namun, pintu ditolak dari dalam tanpa sempat dia mengetuknya terlebih dahulu. Wan Mukhriz sudah berdiri di hadapan pintu dengan wajah tenang. Dia memandang muka pensyarah itu tanpa berkelip.

“Ya, ada apa?” soal lelaki itu lembut. Tidak segarang seperti mula-mula tadi. Kalah bapak singa.

“Err, Abang… eh, Encik Wan ada kelas ke lepas ni?” tersasul pula dirinya.

Argh… macam mana boleh tersilap panggil pulak ni? Dalam diam dia mengutuk diri sendiri. Geram pun ada. Kelihatan senyuman kecil terbit di bibir lelaki itu. Merah mukanya menahan malu.

Hei… apa kena dengan aku ni? Tetiba nak menggelabah pula ni. Nasib baiklah aku tak cakap sesuatu yang tidak sepatutnya. Kalau tidak, lagi malu nampaknya. Aku ni sudahlah tak biasa dengan kawan baik Abang Long ni. Tetapi lidahnya memang terasa kekok hendak memanggil Wan Mukhriz dengan panggilan formal sebegitu. Apatah lagi hendak menerima hakikat yang lelaki itu kini telah bergelar pensyarahnya.

“Nampak pada gaya Isya macam ada sesuatu aje nak tanya,” Wan Mukhriz bersuara lembut.

Lambat-lambat dia mengangguk.

“Okey, macam nilah. Di luar waktu kelas tak payahlah Isya nak formal sangat dengan saya. Terpulanglah Isya nak panggil apa pun. Saya masih tetap seorang sahabat kepada Abang Long Isya. Tapi, jangan tersasul depan kawan-kawan Isya sudahlah. Takut nanti mereka fikir apa pulak.” Kedengaran nada usikan dari bibir lelaki itu.

Senyuman Wan Mukhriz melebar. Dia mengetap bibir. Lantas dia mengangguk jua sambil membalas senyuman lelaki itu.
 -xoxo-

26

IKATAN tali lehernya dilonggarkan. Kot hitam yang tersarung di tubuhnya sejak dari tadi dibuka dan dilemparkan ke kerusi. Darren menghenyakkan punggung di atas sofa. Baru sebentar tadi dia menghadiri satu sesi temubual dengan para wartawan hiburan tempatan. Isu kontroversi berkaitan dirinya kini begitu asyik diperkatakan ketika ini. Malahan semakin hangat hingga menjatuhkan reputasinya serta nama baiknya selama ini. Jika diikutkan sebelum ini dia jarang dilanda kontroversi. Kalau ada pun sekadar gosip sesama artis dan model sahaja. Walaupun dia telah cuba meyakinkan mereka yang berita itu tidak benar sama sekali dia masih lagi berasa tidak tenang. Jiwanya berkecamuk.

Di saat karier seninya berada di puncak, ada sahaja yang dengki dan iri hati dengan kejayaan yang dimiliki. Ini semua kerja lelaki sial itu! Siapa lagi kalau bukan Gary. Bekas pengurusnya yang juga merangkap sepupunya itu tidak habis-habis mahu membuat hidupnya huru-hara. Bermula dengan kisah silam antara dirinya dengan Isabelle dahulu. Kini tohmahan pula yang dilemparkan.

Sedangkan satu ketika dahulu hubungan mereka cukup rapat. Antara sepupu yang dia paling rapat kini telah menjadi musuhnya sendiri. Semuanya kerana terlalu tamakkan harta dan kemewahan. Semuanya kerana duit sehingga menyebabkan seseorang itu berubah. Dan dia sendiri sama sekali tidak menyangka Gary merupakan antara salah seorang darinya.

Apa yang dirisaukan sekarang ialah sasaran Gary yang paling utama. Ainur Batrisya. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada gadis itu. Masih terngiang-ngiang lagi ugutan Gary satu ketika dulu. Dia tidak akan membiarkan gadis itu diapa-apakan hanya kerana persengketaan mereka dua bersaudara.

Wajah Ainur Batrisya sering bermain di matanya. Dirasakan dia tidak mampu menahan diri lagi untuk memiliki gadis itu. Tetapi dia sedar gadis itu akan terancam jika masih terus bersamanya. Ugutan Gary bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main. Lelaki itu juga akan melakukan apa sahaja asalkan matlamatnya tercapai. Namun dalam masa yang sama dia tetap tidak dapat melupakan seraut wajah ayu itu. Saat perpisahan itu sungguh menyakitkan.

Namun tiada siapa yang menyangka bahawa dalam diam Darren sebenarnya mengikuti perkembangan Ainur Batrisya dan segala kegiatannya yang dilakukan di kampus. Dia memiliki banyak pengaruh. Tiket itulah yang digunanya untuk mengetahui perkembangan gadis itu. Cuma Ainur Batrisya sahaja yang tidak sedar akan hal tersebut.

Kalaulah dia tahu pasti mengamuk sakan agaknya. Darren melepaskan keluhan berat. Tidak mengapalah kerana dia mahu Ainur Batrisya mengambil masa terlebih dahulu dengan menumpukan sepenuh perhatian terhadap pengajiannya yang akan berakhir beberapa bulan sahaja lagi. Setelah itu dia akan merencana sesuatu. Dirasakan yang dia tidak mampu lagi membendung perasaannya.

Darren memasang Mp3 sambil mendengar lagu Lee Hom ‘Forever Love’ yang menjadi kegemarannya. Semuanya untuk menenangkan hatinya sendiri. Dia meraup beberapa kali wajahnya yang kusut. Sungguh, saat ini, perasaannya ini, kerinduannya ini… hanya Tuhan sahaja yang tahu. Rasa macam hendak pecah sahaja.

Ai ni bu shi yin wei ni de mei er yi
Wo yue lai yue ai ni mei ge yan shen chu dong wo de xin
Yin wei ni rang wo kan jian Forever cai liao jie zi ji
Wei lai zhe xie ri zi yao hao hao zhen xi

Ai wo you xie tong ku you xie bu gong ping
Ru guo zhen de ai wo bu shi li suo dang ran de jue ding
Gan dao ni de hu xi zai wo er bian xiang wei feng shen qi
Wen rou de an fu wo de bu an ding
Suo yi wo yao mei tian yan jiu ni de xiao rong Wo... duo me zi ran

Forever Love..Forever Love
Wo zhi xiang yong zhe yi bei zi qu ai ni
Cong jin yi hou ni hui shi suo you xing fu de li you
Ai qing shi chang zui mei zui yuan de lu xing
Yan tu yu ji ni ning ou er zu ai wo men de qian jin
Gan dao ni de ti wen zai wo huai li xiang yang guang he xu
Qiao miao de rong hua wo de bu an ding
Bu ke si yi zheng ming wo ai ni de li you Wo... duo me zi ran

Dia memejamkan mata. Hampir sahaja ingin terlelap ketika terasa ada tangan seseorang yang merayap ke tubuhnya. Desah nafas itu kian mendekati. Terasa hangat ke pipi. Dadanya berdebar. Rasa tidak sedap hati. Pantas dia membuka mata. Alangkah terkejutnya bila mendapati Isabelle berada di sisi. Entah dari mana agaknya. Masalahnya, boleh pula dia menyelinap masuk ke situ. Bukan ke hanya Darren seorang sahaja di dalam bilik itu tadi?

“You buat apa kat sini?”

Dalam pada mamai itu dia bertanya. Bingung jadinya dan hairan dengan kehadiran Isabelle secara tiba-tiba ke situ. Dah macam gaya pencuri pun ada.

“Darren… you nampak letih sangat.” Isabelle bersuara lembut. Tangannya beralih pula ke dada bidang lelaki itu.

“Macam mana you boleh masuk bilik ni? Mana Tiara?”

“She’s gone. Bilik ni tak berkunci pun tadi. I memang ikut you. You nampak letih sangat sayang…” bisik Isabelle.

Darren merengus kasar. Dia menepis tangan halus Isabelle itu.

“You nak apa lagi Isabelle? Bukan ke hubungan kita dah lama putus. Kenapa you masih ikut I lagi?”

“I masih sayangkan you Darren. Maafkan I. Tapi I masih sayangkan you, cintakan you seperti dulu. I menyesal sebab tinggalkan you dulu. I harap you boleh terima I kembali.”

“That thing never gonna happen ever again. Sekali you dah buang I, jangan haraplah ada harapan lagi untuk you bersama I. Sanggup ke you jilat ludah you tu balik?” Darren mengamuk. Rasanya dah berpuluh kali dia cakap ayat yang sama. Mana tak bengangnya bila Isabelle masih menunjukkan sifat tak reti bahasanya!

“I tak kisah Darren. I tak kisah… janji I boleh bersama you semula. Please Darren honey. I sayangkan you. I cintakan you. Takkanlah takde sikit pun peluang kat I?” Isabelle tidak putus asa. Dia masih terus merayu. Wajahnya begitu sayu dan penuh penyesalan.

Darren terdiam lama. Dia merenung ke dalam anak mata Isabelle. Kemudian meraup mukanya yang kusut itu berkali-kali. Tidak habis-habis dia dengan masalah. Lepas satu, yang lain pula datang. Sudahlah fikirannya masih lagi berserabut dengan hal kontroversi itu.

Kini masalah Isabelle pula yang tidak habis-habis mahu mengejarnya. Sedangkan dia begitu pasti dan yakin yang hatinya kini sudah tiada buat gadis itu. Sebaliknya sudah dipenuhi dengan Ainur Batrisya. Kasihnya sudah mampat buat gadis itu. Bukannya Isabelle atau mana-mana gadis sekalipun.

“You tahu kan, I memang dah takde hati untuk you. You buatlah macam mana sekalipun Isabelle. I tetap takkan terima you kembali dalam hidup I. Tapi tak bermakna I membenci you. I dah lama memaafkan kesilapan you yang dulu tu. Cuma untuk menerima you kembali adalah sesuatu yang mustahil. It will never happen. Macam nilah, apa kata mulai saat ni kita hanya berkawan aje. Lagipun you masih lagi rakan sekerja kan. Kalau macam ni lebih senang sikit andai kata kita perlu bekerjasama nanti…” ujar Darren tanpa perasaan.

Menitik air mata Isabelle.

“You kata mustahil Darren? Tak susah Darren. You hanya perlu buka hati you tu untuk I aje. Apa yang susahnya? Apa yang mustahilnya? You tak faham perasaan I Darren…” Isabelle mulai teresak. Suaranya bertukar serak.

“Tak susah bagi you, tapi susah buat I.”

Isabelle mencapai tangan Darren. Digenggamnya erat seolah tidak mahu dilepaskan. Lama dia merenung wajah lelaki itu. Namun begitu wajah Darren begitu beku untuk memandangnya. Lelaki itu seolah sedang khayal memikirkan sesuatu. Isabelle berasa sakit yang teramat sangat… Kenapa lelaki ini tidak faham langsung kerinduannya itu?

“You jadi macam ni sebab perempuan tu kan?” duga Isabelle.

“Apa yang you mengarut ni Isabelle?”

“You jangan nak nafikan lagi Darren, I tahu you berubah disebabkan Ainur Batrisya kan?”

“Mana you tahu pasal dia?”

Isabelle ketawa pedih.

“I tahu sebab I dah pernah jumpa dia.”

Darren mengerutkan dahi.

“Masa kat kelab family you tu. I ada tegur dia. Walaupun I dah pernah nampak dia masa you buat persembahan di hotel dulu lagi. Walaupun I tak pasti sama ada betul atau tidak hal pertunangan you tu, tapi I dapat rasakan yang you sebenarnya saja nak sakitkan I aje kan.”

Darren membisu.

“Kenapa you senyap? Betul tak apa yang I cakap ni. You memang sukakan dia kan. Sebab tulah you dah tak terima I semula. Sampai hati you… you tak faham perasaan I Darren. I sanggup buat apa saja yang penting you kembali semula ke pangkuan I…” tangis Isabelle.

Darren menarik tangannya dari genggaman Isabelle. Hatinya sudah teruk dilukai. Mustahil dia akan membiarkan hal itu berlaku sekali lagi. Sejarah yang lama itu sudah menjadi lipatan kenangan pahit dalam hidupnya. Dia tidak akan berpaling kembali. Betapa cinta yang dicurahkan dibalas dengan kecurangan. Tahulah dia akan diri Isabelle yang sebenarnya. Dan disebabkan gadis itu juga dia hampir berputus asa dengan kerjayanya. Dia seperti bukan dirinya yang sebenar. Sehinggalah dia bertemu dengan Ainur Batrisya yang telah merubah dirinya kembali.

Bayangan Ainur Batrisya menerpa kembali dalam ingatannya. Betapa Tuhan sahaja yang tahu kerinduannya saat ini.

“Maafkan I, kalau I tak kenal Ainur sekalipun belum tentu sekarang I sanggup terima you kembali, Isabelle. Cukuplah sekali dengan apa yang you dah buat kat I sebelum ni.” Hati Darren benar-benar sudah tawar.

Isabelle menyeka air matanya. Hatinya terasa sakit dan terluka. Sampainya hati Darren. Dia ditolak mentah-mentah hanya kerana perempuan itu. Hanya kerana perempuan kolot yang bernama Ainur Batrisya itu.
“Apa kurangnya I hah? Cuba you bagitau I…” keras nada Isabelle.

“You memang cantik Isabelle. I yakin tiada lelaki yang sanggup menolak you. Tapi cukuplah bagi I hadiah kelukaan yang you dah bagi tu. Sekarang I dah kembali berpijak di bumi nyata. I dah malas nak fikir apa-apa lagi. I harap you faham dan jangan ganggu hidup I lagi. Just leave me alone. I doakan semoga you akan berjumpa dengan lelaki lain yang jauh lebih baik dan layak memiliki you.”

“You fikir you boleh lepas macam tu aje ke hm?”

Isabelle mengangkat kening sambil berpeluk tubuh. Darren terdiam.

“I tak mungkin akan lepaskan you Darren. You adalah segalanya bagi I. Tak mungkin I akan terima lelaki lain selain you. Kalau sampai I berkeras, I akan lakukan apa saja asalkan I boleh memiliki you semula. Kalau boleh… I akan… buat sampai perempuan tu hilang terus pun takpe dari hidup you…” bisik Isabelle dengan nada mengugut.

Merah muka Darren sebaik mendengarnya. Isabelle tersenyum sinis.

“You sedar tak apa yang you cakap ni?” Darren sedaya-upaya mengawal suara.

“Look at you honey, I baru cakap sikit aje you dah marah. I cuma gurau aje. Don’t take this seriously okay?”

Isabelle tergelak kecil. Dia memegang dagu lelaki itu. Wajah tampan lelaki itu direnung sepuasnya. Semakin lama dia dapat merasakan lelaki itu semakin kacak pula. Darren pantas menolak.

“Tapi… tak mustahil I akan lakukannya as long as you’re mine forever… bye Darren.”

Dia melangkah ke muka pintu dengan senyuman yang tidak putus-putus di bibir merah menyalanya yang dicalit lipstick jenama Revlon. Sekali tengok dah macam iras Mak Lampir pun ada. Dengan rambut mengerbangnya. Entah apa punya fesyenlah si Isabelle ni. Dulu dah elok rambut lurus ala rebonding, sekarang boleh bertukar style pula. Dah cantik sangatlah macam tu gamaknya.

“See you again honey.”

Sebaik pintu ditutup, Darren menumbuk sekuat hati dinding di sebelahnya. Hatinya benar-benar sakit. Dia mulai risau. Apakah benar apa yang dikatakan Isabelle itu? Jika benar sekalipun dia tidak akan gentar. Dia akan terus dengan matlamatnya. Pedulikanlah dengan semua ugutan itu. Dia tidak akan gentar sama sekali. Ainur Batrisya harus dimiliki walau dengan apa jua cara sekalipun.

0 ulasan:

Post a Comment