Wednesday, August 14, 2013

Love or Hate Me,Idiot?!


22

LANGKAH Darren begitu lemah sekali sebaik dia memasuki ke dalam dewan utama. Kebanyakan kerabat keluarganya sudah berkumpul di situ berdekatan dengan datuk dan neneknya. Mereka semua adalah saudara mara Datin Sherry memandangkan Dato’ Murad tidak mempunyai adik-beradik dan merupakan seorang anak tunggal.

Disebabkan itulah dia lebih banyak dipengaruhi oleh adat dan budaya yang diamalkan oleh keluarga mummynya itu yang lebih bersifat kebaratan selama ini. Mungkin juga disebabkan itulah Ainur Batrisya sukar menerima gaya hidupnya itu yang terlalu moden. Walaupun dia juga berdarah Melayu, ianya hanya terletak pada nama sahaja.

Dia lebih dikenali sebagai Darren Lee di kalangan keluarga dan dunia hiburannya sehingga kadang-kala dia sendiri bagaikan terlupa dengan hujung nama ‘Ashram’ itu. Itulah yang menyebabkannya alpa sebagai seorang yang masih berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Darren melepas pandang ke satu sudut. Di situlah dia dapat melihat senyuman manis Ainur Batrisya sewaktu menerima jambangan bunga ros darinya tidak lama dulu. Dia sedar yang kesalahannya itu tidak mungkin mampu dimaafkan gadis itu. Dia berasa amat mustahil untuk melupakan segala yang berlaku dalam sekelip mata itu. Menyesal pun ada kerana baginya Ainur Batrisya sudah semakin boleh menerimanya. Kini dia pula yang merosakkan kepercayaan gadis itu terhadapnya. Salahnya juga kerana sukar mengawal diri. Dalam diam dia mengutuk dirinya sendiri.

“Darren, kau pegi mana tadi? Datuk panggil kau tu.”

Gary menepuk bahunya dengan senyuman sinis terukir di bibir sepupunya itu. Tanpa mempedulikan Gary yang mengekorinya dari belakang, dia menapak ke arah datuknya. Huh, sibuk aje hal orang. Jaga ajelah tepi kain kau tu sendiri! Kutuknya dalam hati.

“Datuk.” Darren menegur datuknya mesra.

“Hai cucu datuk ni ke mana tadi?”

“Darren jumpa kawan kejap kat luar tadi,” sengihnya.

Dia memeluk bahu datuknya manja sambil mengelus perlahan. Perlakuannya diperhatikan Gary dengan pandangan tajam dan rasa iri hati yang kian mendalam. Kemesraan yang terjalin antara dua beranak itu mengundang kebencian di hatinya. Rasa meluat pun ada. Manja bukan main lagi Darren bila dengan datuk mereka. Datuk pulak boleh layan aje perangai mengada-ngada budak hingusan tu. Dengan aku ada aje yang tak kena. Itu salah, ini salah. Terkumat-kamit mulut Gary tanpa menyedari yang dirinya turut diperhatikan datuk mereka.

“Ada apa Gary? Macam ada sesuatu aje nak cakap.”

Dia tersentak. “Err, takde apa-apa datuk…”

“Hm, dah ada dekat pun masih lagi nak lari dari datuk. Datuk dah lama tak jumpa kamu Darren. Nak harap Darren datang jumpa datuk sendiri pun susah. Sibuk aje memanjang.”

Darren menjadi serba-salah dengan rungutan datuknya itu.

“Will, please don’t say like that. Our grandson is really busy right now. You should understand a bit dear… Darren bukannya sengaja tak mahu jumpa kita.”

Mrs.Vivian mengelus lembut lengan Mr.William. Lelaki Inggeris yang semakin dimamah usia itu dipandangnya dengan penuh kasih sayang. Dia mengerti perasaan suaminya itu yang merindui cucu-cucunya lebih-lebih lagi Darren.

“Yes, I know it Vee. Darren, kamu terlalu busy sangat nampaknya sejak kebelakangan ni. Banyak sangat ke tawaran lakonan tu sampaikan nak luangkan masa dengan datuk dan nenek pun payah? You should at least spend more time with us. Gary pun sama jugak. Nampaknya cucu-cucu datuk semua dah tak ingatkan datuk agaknya.”

“Bukan macam tu datuk…” jawab Gary dengan wajah yang tertunduk.

“Datuk, sebenarnya memang Darren selalu sibuk dengan shooting dan show. Sampai sekarang Darren masih tak cukup rehat. Bukannya Darren sengaja tak nak jenguk datuk dan nenek. I do miss both of you a lot.”

“Tak mengapa Darren. Kami faham dengan kesibukan Darren tu. Mummy pun selalu sangat bercerita tentang kerja Darren tu,” kata Mrs.Vivian seraya melirik ke arah Datin Sherry.

“Datuk masih ingat lagi, masa kamu berdua masih kecil selalu sangat datang main kat rumah datuk tu. Memang datuk rindu dengan saat tu. Tapi sekarang kamu berdua dah besar panjang. Datuk faham kenapa Darren begitu komited dengan kerjanya. Sebab tulah datuk berharap kamu boleh mewarisi syarikat Nexis Corporation tu dari daddy kamu. Datuk bukan saje je nak suruh kamu ambik alih syarikat tu Darren. Sebab datuk rasa kamulah yang paling layak dan calon yang sesuai untuk jawatan sebagai CEO tu.”

Tersentap Gary mendengarnya. Tangannya yang berada di bawah meja menggengam erat penumbuk. Sakit hati mendengar pujian datuk mereka. Kebencian dan dendam terhadap Darren semakin meluap-luap. Dia sedar selama ini datuknya lebih menyayangi Darren berbanding cucu-cucunya yang lain. Malah, sejak dari kecil lagi segala kelebihan lebih banyak memihak pada sepupunya itu. Sehingga membuatkan dirinya berasa seolah-olah tidak diperlukan langsung oleh datuk.

“I just need some time to think about it grandpa…” jawab Darren acuh tak acuh.

Dia berasa tidak berminat dengan perbincangan keluarga itu kali ini. Tidak habis-habis pasal soal bisnes. Sudahlah fikirannya masih terganggu dengan Ainur Batrisya. Tambah lagi dengan desakan datuk. Makin serabut kepala dibuatnya.

“Nak tunggu sampai bila lagi Darren?” Datin Sherry menyampuk.

“Sherry…”

Datin Sherry menjeling Dato’ Murad yang menyiku lengannya. Dia berasa sungguh tertekan. Darren begitu keras kepala ingin meneruskan juga kariernya sebagai artis. Dunia sebegitu tidak menjanjikan masa depan yang cerah. Dia terlalu ingin anaknya mewarisi syarikat milik bapanya, Mr.William.

Bapanya beria-ia memilih Darren sebagai calon menggantikan kerusi CEO yang selama ini dipegang oleh suaminya. Dia mengerling ke wajah Gary pula. Pandangan anak saudaranya itu kelihatan semacam sahaja. Sebagai pemegang syer terbesar, dia akan memastikan syarikat yang dimiliki itu tidak akan jatuh ke tangan sesiapa jua pun melainkan anak kandungnya sendiri.

“Kakak risau ke yang kemungkinan syarikat tu takkan dapat diwarisi oleh Darren?” soal Mr.Lee tiba-tiba. 

Dijelingnya tajam tanpa menjawab apa-apa. Sedar yang pertanyaan adiknya itu ada makna tersirat di sebaliknya. Tambahan pula bila melihat senyuman yang sukar ditafsirkan itu.

“Dad, I don’t think Darren is the only one who is qualified enough to inherit the company. Ada lagi cucu lain yang lebih bersesuaian dengan jawatan CEO tu. Contohnya macam Gary. Dia kan dah  ada banyak pengalaman berbanding Darren. Tambah pulak sebelum ni dia pernah jadi pengurus Darren sendiri.” Mr. Lee sedaya-upaya memberi alasan yang dirasakan sesuai demi mempengaruhi fikiran ayahnya itu. Mudah-mudahan kali ini lembutlah hati si ayah mendengarnya.

“Papa, apa yang papa cakap ni?”

Gary pura-pura buat muka resah. Dia kembali terdiam sebaik melihat pandangan isyarat papanya.

“Maksud kau apa?”

“Papa kan tau yang Darren sekarang ni dah ada kerjayanya sendiri. Kenapa papa masih nak paksa dia ambik alih syarikat tu sedangkan Gary lebih layak dari dia. Gary lebih berpengalaman dalam bidang bisnes ni sejak Darren masih belajar di U.S lagi. Mana satu yang papa rasa lebih sesuai sebagai calon? Orang yang dah lebih lima tahun berpengalaman ataupun budak mentah macam Darren?” kata Mr.Lee sinis.

Darren tergamam. Dipandang muka bapa saudaranya dengan rasa tidak percaya. Tetapi dia malas hendak membantah apa-apa. Dibiarkan sahaja kata-kata itu berlalu bagai angin. Baginya itu semua tidak penting sama sekali.

“Kalau pegi kat mana-mana company pun mana ada majikan yang nak ambik orang takde pengalaman dan terus pegang kerusi pengarah. Jangankan CEO, pengurus pun belum tentu lagi layak. Dah nama pun fresh graduate. Jadi ajelah penyanyi tu sampai ke tua…”

Giliran Mrs.Lee pula mengejek. Dia tergelak sinis di sisi suaminya. Datin Sherry mengetap bibir. Panas hatinya kian terbakar mendengar kata-kata itu. Dia tahu yang adik serta adik iparnya cemburu dengan situasi dalam keluarga mereka sekarang. Situasi di mana masing-masing terlalu ingin memiliki harta warisan keluarga mereka terutamanya Nexis Corporation. Kalau boleh segala aset yang ada itu semuanya ingin jatuh ke tangan mereka. Kalau dah dasar tamak itu, mahunya kesemua harta itu nanti dibawa masuk ke dalam kubur agaknya.

“Auntie dengan uncle janganlah risau. Saya tak teringin langsung nak ambik alih jawatan tu. Serahkan aje pada Gary kalau rasa dia yang lebih layak. I have more than enough right now. Anyway, saya rasa dah cukup puas hati dengan apa yang saya ada sekarang. Itu lebih baik dari jadi macam langau yang asyik hurung bangkai haiwan. Bunyi aje lebih tapi sikit pun tak berguna.” Darren tersenyum sinis.

Dia tidak mempedulikan pandangan mereka yang tajam melihatnya. Sebaliknya dia menyedut dengan straw minuman jus oren yang berada di atas meja itu dengan muka selamba. Hendak ketawa juga melihat rupa orang-orang yang begitu dengki itu bertukar merah menahan marah. Terasalah tu dengan sindiran pedasnya tadi.

“Papa, saya rasa lebih baik papa fikirkan balik tentang hal ni masak-masak. Saya tak mahu papa menyesal di kemudian hari nanti. Dan apa yang paling utama sekarang Nexis Corporation tu… kalau boleh biarlah jatuh ke tangan calon yang lebih layak dan sesuai.”

Semua mata memandang ke arah Mr.Lee yang nampaknya begitu yakin sekali. Masih tidak berpuas hati lagi nampaknya walaupun telah disindir dengan tajam sekali oleh anak saudaranya itu tadi. Darren malas hendak ambil tahu. Sebaliknya dia menghabiskan jus oren di dalam gelasnya. Dia melepas pandang ke wajah Dato’ Murad yang sedari tadi lagi membisu. Nampak tenang sahaja. Tidak pasti apalah agaknya yang sedang difikirkan daddynya itu ketika ini.

“Nantilah papa fikirkan macam mana…”

Senyuman lega terukir di bibir Gary sebaik mendengar kata-kata datuknya itu. Nampaknya masih ada harapan untuk mencapai impiannya yang satu itu. Apa yang pasti kini, dia tidak akan sesekali membiarkan dirinya kalah dengan sepupunya itu!
*****

DARREN mundar-mandir di ruang tamu. Sejak pulang ke rumahnya tadi lagi hatinya begitu resah. Bukan apa… risaukan insiden tadi. Risaukan Ainur Batrisya. Apalah agaknya yang sedang dilakukan gadis itu ketika ini. Arghh… bagaikan orang sasau sahaja dibuatnya.

Ainur… Ainur…

Berulang kali bibirnya menyeru nama itu. Dia membuka tuxedo hitamnya lalu dilemparkan ke sofa. Butang bajunya dibuka satu-persatu. Berpeluh-peluh kerana terkejar-kejar ke sana sini macam orang gila. Lantaklah orang hendak fikir dia apa pun. Dia memang betul-betul sudah gila kali ini.

Dia mencari Ainur Batrisya di seluruh kelab sebaik tamat perjumpaan dengan keluarga. Tapi tak jumpa. Kemudian Jason menelefonnya dan memberitahu yang dia sudah menghantar gadis itu pulang ke rumahnya. Walaupun Jason berulang kali meyakinkannya bahawa tiada apa yang hendak dirisaukan tetapi hatinya masih tak tenteram.

Dia perlu bersemuka dengan gadis itu dan meminta maaf. Dia benar-benar kesal dengan apa yang telah dilakukannya. Darren begitu takut sekali untuk menerima hakikat yang Ainur Batrisya akan semakin menjauhinya gara-gara sikap keterlaluannya itu. Hatinya kini sudah tepu dengan rasa sayang yang kian bercambah. Dia sanggup menolak egonya sendiri selama ini demi untuk memiliki gadis itu. Dia sanggup melakukan apa sahaja sekalipun bergolok gadai nyawa. Wah, nampaknya lelaki ini betul-betul mencintai Ainur Batrisya kan.

Pantas dia menyeluk poket seluarnya. Mencari telefon bimbit. Tiada!

Dia mencapai tuxedo yang dilemparkan tadi dan mencari di kedua poketnya. Jumpa juga akhirnya. Tanpa berlengah lagi dia terus mendail nombor Jason.

“Helo Jason,”

“Ya, Darren. Kau ni kenapa suara aku dengar macam orang kena kejar dengan hantu aje?”

“Aku… aku…”

“Darren, kau ni kenapa?” ulang Jason.

“Aku risau…”

“What?”

“Aku takut dia bencikan aku.”

“Dia? Maksud kau… Ainur?”

Darren mengeluh berat. Dia meramas i-phonenya lalu terduduk di atas sofa.

“Jason, I need your help. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang. Perlu ke… aku… err, em… pegi ke rumah dia dan pujuk dia sekarang?”

“Aku tak rasa itu jalan yang terbaik buat masa ni. Sebab Ainur, dia tadi nampak agak tertekan.” Beritahu Jason dengan rasa bersalah. Bersalah kerana tiada apa yang boleh dilakukan untuk membantu Darren yang juga merupakan kawan baiknya itu.

“Macam mana keadaan dia tadi?”

“Dia menangis aje sepanjang jalan. Aku dah tak tau nak pujuk dia macam mana lagi Darren. Bila aku tanya dia tak cakap apa-apa pun.”

“Betul ke?”

Terdengar keluhan Jason pula.

“Darren, cuba kau bagitau aku apa yang menyebabkan kau dengan dia jadi macam tu? Korang berdua gaduh ke?”

“Actually… I accidentally kissed her.” Jawab Darren tenang. Dia terus menceritakan apa yang berlaku tanpa berselindung lagi.

“And then, what happened?!”

“Dia tampar muka aku dan tolak mentah-mentah pengakuan aku tu.”

“Kau ni kan… tak sabar lah Darren. Kalau aku berada di tempat dia pun aku akan buat perkara yang sama. Jangankan tampar, silap hari bulan herot mulut kau tu aku kerjakan.” Jason bersuara kesal.

“Yup, aku betul-betul tak dapat kawal perasaan tadi. She’s too… arghh… damn it! I just can’t let her go so easily. Aku admit yang tadi tu memang aku tak sedar apa-apa pun. That kiss… ianya terjadi macam satu kuasa yang tak mampu untuk aku kawal diri lagi. Aku betul-betul menyesal Jason… aku menyesal sebab terlalu ikut sangat kata hati aku ni. Patutnya aku kawal diri aje tadi. Damn it!” Darren mengakuinya sendiri. Dia sedar yang dia telah melakukan satu kesalahan yang pasti membuatkan Ainur Batrisya semakin membencinya.

Tetapi hendak buat macam mana? Sebagai seorang lelaki sungguh… dia masih tidak mampu melupakan wajah cantik itu.

Padahal sebelum ini sudah ramai perempuan lebih cantik dari itu sudah ditemuinya. Bergandingan dengan model dan pelakon sudah menjadi sebahagian dari hidupnya yang sememangnya penuh glamour itu. Dia akui yang Ainur Batrisya bukanlah cinta pertamanya. Dia lebih dulu bertemu dengan Isabelle dan jatuh cinta. Hakikatnya kecurangan Isabelle dengan sepupunya sendiri menyebabkan dia patah hati dan sekaligus melupakan cinta lamanya.

Cuma dia tidak sangka pertemuan pandang pertama dengan Ainur Batrisya sekali lagi membuahkan rasa cinta di hatinya. Perkara yang paling ditakutinya ialah jatuh cinta sekali lagi. Dapat dirasakan yang gadis itu bukanlah seorang yang terlalu mudah menerima dirinya. Berilah segunung emas permata sekalipun belum tentu muka ini sudi dipandangnya. Paling dikesalkan adalah tindakan luar kawalannya tadi. Pasti akan semakin sulit membuatkan dia meneruskan matlamat untuk memiliki gadis itu.

“Hey, Darren. Just relax okay. Aku rasa biarlah buat masa ni kau cuba tenangkan diri dulu. Ainur pun mungkin perlukan masa jugak untuk lupakan hal tadi. Dia nampak masih terkejut selepas apa yang berlaku antara kau dengannya.”

“Tapi aku tak tahu nak buat macam mana sekarang ni. Kau rasa dia boleh maafkan aku tak?”

“Aku tak pasti Darren. Mungkin antara kau dan dia perlukan masa. Kau patut bagi ruang untuk dia juga. Aku yakin tak lama nanti dia akan maafkan kau jugak.”

“Betul ke Jason? Kau pasti ke?”

“Calm down okay. Aku yakin Darren. Janganlah kau risau sangat.” Jason sedaya-upaya memujuk sahabat akrabnya itu.

Hatinya sedikit lega. Jason memang seorang teman yang memahami.

“Thanks buddy, you help me a lot.”

“Just take your time okay.” Balas Jason.

23

PINTU dihempas kuat. Dengan juraian air mata, Ainur Batrisya terus merebahkan tubuhnya di atas katil bersaiz Queen itu. Terhenggut-henggut bahunya menahan esakan yang kian kuat. Kali ini biarlah dia melepaskan rasa kesalnya di atas segala apa yang terjadi. Biarlah mama dan papa hendak cakap apa pun. Apa yang penting, dia dapat melepaskan tekanannya buat masa ini.

Ketukan bertalu-talu diiringi panggilan mama menyeru namanya berulang kali langsung tidak diendahkannya. Sebaliknya esakan Ainur Batrisya makin kuat. Dia teringat kembali kejadian tidak diduga itu tadi. Wajah Darren iaitu lelaki yang amat dibencinya itu melayang di ruang mata. Dia berasa sungguh jijik dan kotor di atas perbuatan keji lelaki itu.

‘Ya ALLAH, berdosanya hambaMu ini. Tegar sungguh aku membiarkan lelaki yang bukan mahram bagiku menyentuh pipiku ini.’

Walaupun bukanlah di atas keizinannya sendiri dan sudah terbukti sememangnya salah Darren yang bersikap melampaui batas, dia tetap merasa berdosa. Terasa mahu sahaja dia mengambil pisau dan menoreh pipinya itu biar hancur dan berdarah. Dia lebih rela daripada menanggung dosa disentuh oleh lelaki yang dibenci itu. Ainur Batrisya mengetap bibirnya. Dia meluru ke bilik air lalu membuka pili air.

Dia membasuh mukanya yang kemerahan. Matanya kelihatan sembab dengan air mata yang masih tidak mahu berhenti mengalir. Lama dia tersedu di situ. Akalnya bingung dengan kejadian yang tidak diduga itu tadi. Kenapa sampai begitu sekali Darren memperlakukan dirinya? Seperti dia ini perempuan murahan yang sesuka hati boleh disentuh begitu sahaja. Mana letaknya maruah dan harga diri? Terasa seperti dipijak-pijak sahaja.

Api kebenciannya kian membara. Terasa mahu dibunuh sahaja lelaki itu. Namun Ainur Batrisya lekas beristighfar kembali. Dia cuba berpijak di bumi nyata. Cuba untuk menerima hakikat yang segalanya telahpun terjadi di luar kawalannya. Dia harus redha. Dia harus menjadikan ini sebagai pengajaran paling berharga buatnya. Dia cuba juga berfikiran positif.

Air mata yang mengalir disekanya. Dia mencuci muka dan mengambil wudhu’. Sedar yang dia masih belum menunaikan tanggungjawab sebagai hambaNYA. Dia terus menghamparkan sejadah dan mendirikan solat fardhu Isya’. Setelah itu, dia bangun lagi menunaikan solat sunat taubat bagi memohon keampunan atas kekhilafannya. Ainur Batrisya tidak mampu menahan rasa sebaknya. Dia teringatkan akan kata-kata hikmah yang pernah dibacanya hasil tulisan Dr. Aidh Bin Abdullah Al-Qarni. Hatinya menjadi pilu sekali. Ainur Batrisya terus-terusan menghamburkan air mata sehingga akhirnya dia sendiri terlena di atas sejadah.

‘…Ya ALLAH, anugerahkan kepada kami rasa takut kepadaMu yang dapat menghalangi kami dari berbuat maksiat kepadaMu, anugerahkan kepada kami kekuatan untuk mentaatiMu yang dengannya Engkau masukkan kami ke dalam syurgaMu, anugerahkan kepada kami keyakinan (terhadap qada’ dan qadarMu) yang dengannya Engkau menjadikan kami merasa ringan atas semua musibah dunia yang menimpa kami, berikan kepada kami kenikmatan dan manfaat melalui pendengaran, penglihatan, dan kekuatan kami selama kami masih hidup dan jadikanlah semua nikmat dan manfaat itu tetap ada pada kami sampai kami mati, jadikanlah kami sebagai orang yang menuntut balas hanya kepada orang yang telah menzalimi kami…’
*****

DATIN Sherry mengeluh lagi buat yang entah ke berapa kali. Dia memandang wajah keruh Ainur Batrisya dengan seribu tanda tanya di benaknya. Berita yang baru didengarinya itu agak memeranjatkan. Ainur Batrisya mahu berhenti dari menjadi tutor Daniel hari itu juga. Segalanya berlaku terlalu pantas dan begitu mendadak sekali. Padahal dia ada tempoh kira-kira dua minggu lagi dari waktu yang dijanjikan sebelum ini. Puas dipujuknya namun gadis itu masih tetap berkeras dengan keputusannya.

“Betul ke Isya dah nekad nak berhenti mengajar Daniel setakat hari ni?” soal Datin Sherry lagi.

Ainur Batrisya mengangguk perlahan. Matanya merenung karpet tebal yang menghampar ruang tamu tersebut. Dia hanya berdua sahaja dengan Datin Sherry ketika itu. Daniel masih lagi di sekolah kerana mengikuti latihan bola sepak petang itu. Manakala Darren tidak tahu ke mana. Biarlah. Malas dia hendak mengambil tahu perihal lelaki tersebut. Mujurlah Darren tiada saat itu. Jika diikutkan rasa bencinya, tidak sanggup dia hendak menatap muka lelaki yang telah mengambil kesempatan ke atas kenaifan dirinya.

Dan selepas ini dia berjanji pada dirinya sendiri yang dia tidak akan sesekali membiarkan dirinya terjebak ke dalam hidup lelaki biadap itu buat selamanya. Sampai bila-bila pun dia tidak akan pernah mengenali Darren dan tidak mahu bertemu lagi dengan lelaki tersebut.

“Isya ada masalah ke? Atau… pasal Darren? Kalau tak Isya takkanlah ambil keputusan mendadak macam ni. Bagitaulah auntie Isya. Anggaplah auntie ni macam mama Isya sendiri.” Datin Sherry memasang serkap jarang.

Ainur Batrisya mengetap bibirnya. Dia berasa sebak dan sayu sekali ketika Datin Sherry berkata begitu. Nampak benar yang wanita itu sangat prihatin dan mengambil berat akan dirinya. Datin Sherry memang seorang wanita yang baik cuma yang dia tidak faham sikap Darren sendiri yang langsung tidak mengikut sifat-sifat murni ibunya.

Sekali lagi dia menggeleng. “Hal ni takde kaitan dengan Darren atau sesiapa pun auntie. Isya terpaksa berhenti secara mengejut macam ni sebab lusa Isya kena berangkat semula ke Nilai. Tak lama lagi semester baru dah nak mula. Banyak persiapan yang Isya kena buat maklumlah semester ni yang terakhir jadi Isya kena lebih bagi tumpuan pada belajar. Isya harap sangat auntie faham dengan keadaan Isya sekarang ni. Kalau ikutkan Isya pun berat hati juga sebenarnya…” dia bersuara lembut.

“Kalau dah Isya cakap macam tu, auntie tak boleh nak kata apalah. Sekurangnya auntie rasa lega sebab bukan Darren puncanya. Yalah, Isya pun mesti tak tahan kan dengan perangai anak auntie tu. Sebenarnya auntie risau jugak takut dia buat benda tak patut kat Isya sepanjang Isya jadi tutor Daniel. Apa pun auntie nak berterima kasih banyak-banyak sebab Isya sudi luangkan masa mengajar Daniel. Auntie dapat tengok perubahan Daniel sekarang. Dia pun rajin bersolat. Katanya Isya yang banyak ajar dia. Terima kasih ya Isya. Terima kasih banyak-banyak.”

Ainur Batrisya mengangguk sambil mengukir senyuman manis. Dia membalas genggaman erat Datin Sherry dengan rasa terharu. Berat rasa hatinya ingin berpisah namun apakan daya dia terpaksa. Maafkan Isya auntie terpaksa menipu auntie… sebenarnya Darrenlah punca Isya berhenti awal.

Tetapi biarlah segala yang berlaku itu menjadi rahsia tanpa pengetahuan sesiapa. Perkara aib yang memalukan itu lebih baik disimpan sahaja. Tidak manis untuk diceritakan pada sesiapa walaupun Datin Sherry merupakan ibu Darren sendiri. Lagipun dia yakin Darren juga tidak bercerita apa-apa pada ibunya. Kalau Datin Sherry tahu mesti dia mengamuk gila kat Darren agaknya. Entahlah, hati Ainur Batrisya begitu sakit tiap kali memikirkan tentang itu. Dia berasa sungguh terluka.

 Datin Sherry mencapai tangannya. Dia ternampak ada beberapa keping not seratus ringgit berada di dalam tangannya. Ainur Batrisya sedikit terkejut.

“Eh, untuk apa ni auntie?”

“Ambillah buat belanja Isya di kolej nanti.” Jawab Datin Sherry sambil tersenyum.

Dia menggeleng. “Tak payahlah susah-susah auntie. Kan baru minggu lepas auntie dah bagi upah mengajar Daniel kat Isya. Ni auntie bagi lagi. Isya rasa tak perlulah auntie susah-susah sampai macam ni sekali. Lagipun banyak sangat ni auntie…”

Dia menghulurkan kembali wang yang jumlahnya boleh tahan juga itu namun Datin Sherry buat tidak tahu sahaja. Wanita itu menggeleng kepala.

“Isya, biarlah auntie nak bagi duit lebih sikit kat Isya. Isya dah macam anak auntie sendiri. Anggaplah ni pemberian ikhlas dari auntie. Auntie dah cukup terhutang budi dengan jasa Isya selama mengajar Daniel di sini. Cuma auntie harap satu aje…”

“Apa dia auntie?”

“Auntie harap janganlah kita terputus hubungan pula lepas ni. Auntie nak Isya datanglah jenguk auntie bila Isya dah balik semula ke sini nanti. Auntie mesti akan rindukan Isya.”

Pilu Datin Sherry menuturkan kata. Sesungguhnya berat benar hati ingin melepaskan pemergian anak itu. Walaupun Ainur Batrisya merupakan anak kawan baiknya, namun dia dapat merasakan hubungan mereka yang meskipun baru terjalin itu semakin lama semakin erat. Malah dia yang paling terasa kehilangan gadis itu disebabkan perpisahan ini.

Sepanjang Ainur Batrisya menjadi tutor, tidak pernah sekalipun dia melihat gadis itu berperlakuan tidak sepatutnya. Gadis itu begitu lemah-lembut, baik budi bahasanya dan pandai menjaga adab sopan. Sehinggakan pernah juga dia terfikir untuk bermenantukan Ainur Batrisya sahaja. Namun tidak pernah diluahkan hasrat hati tersebut kepada suaminya. Dia cuma berharap agar satu masa nanti akan ada jodoh di antara Darren dan Ainur Batrisya. Tetapi dia tidaklah mahu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Manalah tahu Ainur Batrisya sudah punya pilihan hati tersendiri.

Ainur Batrisya ternampak keikhlasan terpancar pada riak wajah wanita itu. Dia tidak dapat menahan sebaknya. Datin Sherry terlalu baik padanya selama ini. Dia mengangguk lalu terus memeluk erat wanita itu. Datin Sherry membalas pelukan itu dengan senyuman lebar. Dia menggosok lembut belakang gadis yang sudah pun dianggap seperti anak perempuannya.

“Baiklah auntie. Isya akan datang jenguk auntie dan uncle nanti. Isya pun sama auntie. Isya rindu auntie sangat-sangat. Terima kasih banyak-banyak.”

Baru sahaja Ainur Batrisya hendak melangkah keluar dari rumah agam itu, dia ternampak Porsche milik Darren memasuki ke dalam pekarangan kediamannya. Berderau darahnya. Ainur Batrisya tidak menyangka yang hari terakhir ini dia akan bertemu lagi dengan lelaki itu. Jika diikutkan hati memang dia tidak ingin bersemuka dengan Darren. Bukan sahaja untuk hari ini malah sampai bila-bila pun. Hatinya masih terasa sakit dengan perbuatan lelaki itu. Masih sukar untuk dia memaafkannya.

“Ainur!”

Terdengar jeritan Darren memanggilnya bertalu-talu. Ainur Batrisya mempercepatkan langkah. Dia menuju ke Myvinya yang diparkir tidak jauh dari Porsche lelaki itu. Sebaik tubuh kecil moleknya hendak memasuki kereta, Darren lebih pantas dulu menarik lengannya. Pintu Myvi itu terus ditutup.

“Awak nak apa lagi ni hah?” jerkah Ainur Batrisya. Dia merentap kembali lengannya yang dipaut Darren. Mencerlung tajam matanya memandang wajah lelaki itu.

Darren tergamam. Dia ternampak api kebencian yang sirna di mata gadis itu. Sedar yang mungkin mustahil baginya mendapat kemaafan dari Ainur Batrisya, tetapi dia harus berusaha. Ya, itu adalah lebih baik daripada membiarkan sahaja perkara itu dan Ainur Batrisya akan terus-terusan membencinya.

“Kenapa senyap? Dah takde modal lagi ke nak sakitkan hati saya? Awak fikir saya ni macam perempuan murahan yang awak boleh pijak-pijak sesuka hati? Hei, silap besarlah kalau awak fikir saya macam tu selama ni.”

Ainur Batrisya meninggikan suaranya. Dia berasa sungguh benci. Benci yang teramat sangat!

“Awak dengar sini baik-baik, kalau ditakdirkan selepas ni kita berjumpa lagi, jangan haraplah saya nak pandang muka awak. Anggap aje kita tak pernah kenal sebelum ni. Sebab saya takkan jejakkan kaki lagi ke sini dan saya harap ini kali terakhir saya tengok muka awak. Pasal hutang awak tu saya akan bayar sendiri pada auntie. Antara kita dah selesai dan saya tak berhutang apa-apa pun dengan awak. Dah, ke tepi!”
Tubuh Darren yang menghalangnya ditolak dengan kasar sekali.

“Ainur, maafkan aku Ainur… maafkan aku. Aku tahu aku salah. Aku nak minta maaf sangat-sangat atas perbuatan aku semalam.” Darren bersuara separuh merayu.

“Maaf? Sejak bila lelaki ego macam awak pandai nak minta maaf? Setahu sayalah kan, orang yang macam awak ni hanya pandang orang lain macam barang mainan aje. Yang takde harga diri. Takde perasaan. Kalau tak, takdelah awak layan saya macam tu selama ni.” Ainur Batrisya bersuara sinis.

“Tunggu dulu Ainur, bagi peluang aku nak bercakap dulu. Aku… aku sedar yang selama ni aku memang salah. Banyak sangat-sangat salah aku pada kau. Jadi aku takkan salahkan kau kalau kau tak sudi nak maafkan aku. Ya, aku mengaku aku memang lelaki ego, yang pentingkan diri sendiri…”

“Sudahlah Darren, saya dah muak nak dengar mulut manis awak tu. Awak bertaubatlah banyak-banyak. Harap kita tak berjumpa lagi lepas ni.”

“Ainur, aku tahu kau takkan maafkan aku buat masa ni dan aku tak bermaksud nak paksa kau. Memang, memang betul aku dah melakukan satu kesilapan paling besar dalam hidup aku. Tapi pernah tak kau tanya kenapa aku berkelakuan macam tu selama ni?”

Darren merenungnya dalam-dalam. Ainur Batrisya menarik nafas. Cuba menanti dengan sabar kata-kata yang bakal lahir dari mulut lelaki itu. Walaupun hatinya berasa jengkel, namun dia masih cuba untuk berkompromi. Sekurang-kurangnya, nampak juga kesungguhan dari wajah lelaki itu.

“Aku lakukan itu semua sebab aku dah mula sayangkan kau, Ainur. Aku dah jatuh cinta. Sejak pertemuan kita yang pertama lagi. Aku tahu cara aku tu salah dan tak patut. Aku berdosa Ainur. Pada kau, pada Tuhan… aku berdosa sangat. Tapi tolonglah… tolong bagi aku peluang untuk berubah. Aku akan cuba Ainur. Bagilah aku peluang sekali ni aje…”

Ainur Batrisya melepaskan keluhan. Dia terdiam lama. Sebenarnya bukan hari ini Darren meluahkan isi hatinya. Malah sebelum ini pun dia sudah boleh mengagak perasaan lelaki itu terhadapnya. Dia sendiri pula bagaimana? Tidak ada langsung ke sekelumit rasa suka buat lelaki itu?

Dia akui yang sebelum ini dia sudah mulai senang berada di samping lelaki itu, tetapi disebabkan perbuatan keterlaluan Darren semalam menyebabkan sukar untuk dia menerima kembali kehadiran lelaki itu dalam hidupnya. Malah, dia sudah menanam rasa benci yang teramat sangat buat lelaki itu. Mana mungkin dia akan menerima Darren sebagai seorang yang istimewa.

“Simpan ajelah perasaan sayang awak tu buat seseorang yang lebih layak untuk awak. Awak punya segalanya. Kaya dan ada rupa. Manalah sesuai nak bandingkan dengan saya ni. Muka buruk dan tak kaya macam awak. Pendek kata, kita memang tak sepadan…”

“Siapa cakap awak tak layak Ainur? Awak sedar tak, kalau ikutkan hati sekarang ni jugak saya nak lamar awak sebagai isteri saya tau tak!” Darren bersuara lantang.

Ainur Batrisya terkesima. Bukan sahaja dia terkejut dengan kata-kata itu malah dia juga tidak menyangka sama sekali yang Darren boleh menukar cara panggilannya. Siap ber’saya’ dan ber’awak’ lagi. Demam ke Darren ni? Atau… dia sendiri yang demam?

“Darren, maksud saya simpan ajelah dulu perasaan awak tu buat masa ni. Walau macam mana awak melutut dan merayu sekalipun saya tetap takkan terima. Sebab saya masih belajar lagi dan satu lagi, bukan cara saya nak bercinta buat masa sekarang. Selagi saya belum berkahwin, saya tak dapat mencintai seorang yang masih belum menjadi suami saya.” Satu-persatu Ainur Batrisya menjelaskan. Suaranya yang tinggi tadi sudah dikendurkan.

“Tapi saya tak dapat nafikan lagi Ainur. Perasaan saya ni memang begitu tulus. Saya cintakan awak, Ainur. Terlalu dalam sungguh cinta saya ini… sampai satu tahap saya rasa hari ini juga saya mahu menikah dengan awak.” Serius Darren meluahkan isi hatinya.

Dia terkedu. Tajam renungan mata lelaki berwajah kacukan itu menerobos ke dalam matanya. Degupan jantungnya saat ini begitu kencang. Apakah makna di sebalik semua ini? Ainur Batrisya meraup mukanya beberapa kali. Dia tidak tahu lagi apakah yang harus dituturkan. Lelaki itu nampak begitu serius. Setelah apa yang berlaku, dia tidak pernah menyangka ini yang akan terjadi. Buntu fikirannya saat ini. Apa yang pasti, dia perlukan masa. Jiwanya bukanlah boleh dipaksa untuk menerima segala kesakitan yang telah diberikan Darren sebelum ini.

“Bagilah saya peluang Ainur. Saya akan buktikan yang saya mampu berubah. Kalau perlu saya sanggup tunggu sampai awak habis belajar. Cakaplah sesuatu Ainur. Janganlah buat saya macam ni… tolonglah…” lemah Darren menuturkan kata. Malah semakin lemah bila melihat gelengan gadis itu.

Memang sejak dari malam tadi dia tidak dapat tidur nyenyak. Fikirannya begitu kusut memikirkan perbuatannya terhadap gadis itu. Dia berasa sungguh menyesal kerana terlalu mengikut kata hati. Hatinya tidak tenang dan meronta-ronta ingin bertemu dengan gadis itu. Dia juga tiada selera hendak menjamah makanan.

Sebenarnya tadi dia keluar kerana pergi ke rumah Ainur Batrisya. Dia ingin sangat berjumpa dengan gadis itu sekaligus memohon kemaafan. Namun Puan Noraini mengatakan yang Ainur Batrisya tiada di rumah. Sebaliknya gadis itu baru sahaja keluar kerana mahu bertemu dengan Datin Sherry. Apalagi, dia pun segera pulang kembali ke rumahnya dengan harapan dapat bertemu juga dengan Ainur Batrisya.

“Walau apa pun yang terjadi, saya tetap tak boleh terima awak. Saya maafkan segala perbuatan awak tu dan menganggap itu kesalahan yang datang dari kita sebagai manusia yang lemah. Tapi untuk menerima awak adalah sesuatu yang mustahil. Saya tak mampu bagi apa-apa harapan pada awak. Saya berharap semoga ALLAH pertemukan awak dengan jodoh yang baik dan layak untuk awak. Kita takkan bertemu lagi selepas ni. Semoga awak dapat berubah ke arah yang lebih baik. Maafkan saya sangat-sangat.”

Namun sebelum Ainur Batrisya melangkah pergi, tangannya menyeluk sesuatu dari tas tangan. Dia mengeluarkan sekotak kecil lalu diberikan pada Darren. Tanpa bertanya lebih lanjut pun Darren sudah mengagak isi di dalamnya. Hatinya begitu terasa sebaik cincin itu dipulangkan. Sedar diri yang Ainur Batrisya memang tidak pernah menyukai dirinya selama ini. Benarlah, selama ini dia hanya bertepuk sebelah tangan. Hanya dia yang terhegeh-hegeh mahukan gadis itu. Lambat-lambat dia mengambil kotak yang dihulurkan itu.

“Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”

Darren sudah terduduk. Lemah longlai terasa tubuhnya. Bergenang matanya. Salam dijawab di dalam hati. Dapat dirasakan yang dirinya tidak mampu lagi untuk mengawal perasaannya saat ini. Dia merasa benar-benar kehilangan. Namun apakan daya, dia hanya mampu melihat tubuh gadis itu berlalu tanpa mampu menghalanginya lagi.

Terasa kekesalan itu menghantui dirinya. Kalaulah boleh diputarkan masa… kalau boleh diundurkan waktu, tidak mungkin dia akan melakukan perbuatan itu. Mungkin dia masih punya peluang untuk terus memiliki gadis yang semakin mendapat tempat istimewa di hatinya itu.

Ainur Batrisya segera memasuki keretanya dan menghidupkan enjin. Dia tidak mampu memandang ke wajah lelaki itu yang nyata begitu kecewa dengan penolakannya. Dia sedar, sekiranya dia memberi harapan yang tidak pasti Darren sudah tentu akan lebih kecewa. Lebih baik kecewa sekarang dari terluka di kemudian hari. Kelak perasaan itu sendiri yang akan memamah diri sendiri. Dia tidak mahu jadi begitu.

Biarlah, moga ada sinar keinsafan terbit dari hati lelaki itu. Dia hanya mampu mendoakan yang terbaik sahaja. Selebihnya dia berserah pada ALLAH. Kerana yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu hanyalah ALLAH. Dia yakin seandainya ada jodoh di antara mereka maka dia dengan rela hatinya menerima dengan redha segala ketentuan takdir buatnya…


0 ulasan:

Post a Comment