Thursday, August 16, 2012

Love or Hate Me, IDIOT?!


7

SUDAH hampir tiga minggu dia menjadi tutor Daniel. Cepatnya masa berlalu. Sejak kejadian di hotel itu, dia sudah tidak bertemu dengan Darren lagi. Lelaki itu terus menghilang. Menurut Datin Sherry dia ke Kuala Lumpur memandangkan urusan kerjanya yang banyak tertangguh. Dalam masa yang sama jadual shooting lelaki itu juga agak padat kebelakangan ini. Ainur Batrisya tidak kisah lagi dengan semua itu. Sekurangnya dia berasa hidupnya aman sedikit tanpa gangguan dari lelaki itu. Cuma bayaran hutangnya yang masih tertunggak. Dia tetap akan membayarnya sebagaimana yang dituntut oleh lelaki itu.
Pelbagai persoalan bermain di benaknya sejak akhir ini. Tidak tahu mengapa dia sering memikirkan tentang lelaki itu. Sikap lelaki itu sendiri yang sukar diduga menjadikannya resah dan gelisah. Kadang-kala timbul juga rasa kesal kerana menerima pelawaan Auntie Sherry untuk menjadi tutor anaknya. Jika tidak mungkin dia tidak akan bertemu dengan Darren.
“Boleh Abang Long tau Isya teringatkan siapa sekarang ni?”
Usikan itu membuatkan pipinya kemerahan. Abang Long tergelak-gelak. Hee… nakalnya abang yang sorang ni. Dia mengacah ingin mencubit perut Abang Long tetapi lelaki itu sempat mengelak. Gelak tawa memenuhi seisi rumah mereka.
“Oh ye, Dr. Adam ni kenapa suka sangat menyibuk hal orang ye?” dia berkata geram.
“Dah jadi hobi. Nak buat macam mana. Siapa suruh Isya termenung? Dari tadi lagi Abang Long tengok sampai sekarang. Bukannya nak tolong mama kat dapur.” Adam berkata selamba.
“Hai, sejak bila pulak Abang Long dah tukar profesion ni? Dari doktor dah jadi penceramah bebas pulak. Lepas ni makin banyaklah income abang yang masuk.”
Adam menjegilkan matanya. Pura-pura marah. Dalam masa yang sama dia turut sama tertawa. Sudah lama dia tidak pulang bercuti ke rumah. Meluangkan masa bersama keluarga dan adik kesayangannya itu.
“Isya dah cuti berapa lama?”
“Lebih kurang sebulan. Abang Long pulak balik ni sampai hari apa?”
“Dalam tiga hari aje cuti.”
Beritahu Adam lalu mencapai akhbar The Star di atas meja. Dia membelek-belek surat khabar itu sebelum matanya tertancap lama pada muka surat seterusnya.
“Kenapa tak cuti lama sikit? Isya dah lama tau tak jumpa abang,” rungutnya.
“Alah, kalau cuti lama pun buat apa. Nanti kena jadi driver orang tu,” Adam menjuihkan mulutnya.
“Eleh, siapa lagi yang nak bawak Isya berjalan kalau bukan Abang Long. Nak harapkan Kak Fara? Hm… dia pun busy memanjang. Nak ajak pegi shopping pun susah.”
“Dia tak balik ke cuti hujung minggu ni?”
“Kak Fara tak dapat balik. Dia dengan Abang Kamal tak dapat cuti. Kalau boleh balik pun mungkin lepas habis kerja.”
“Isya takde kerja kan hari ni?”
“Tak. Kenapa?”
Adam tersengih. Dia meletakkan semula akhbar The Star di atas meja.
“Nak ikut Abang Long tak?”
“Ke mana?”
“ECM. Temankan abang cari barang sikit.”
Dia terjerit kecil. Excited!
“Hee… macam budak kecik. Buat malu aje. Adik siapa la ni.”
“Eleh, adik siapa lagi kalau bukan adik Dr. Adam.”
Satu cubitan singgah jua ke pipinya tanpa sempat dia mengelak.

*****

HAMPIR satu East Coast Mall mereka pusing. Yang sebenarnya dia sudah terlalu lama tidak keluar berjalan-jalan di bandar Kuantan. Mujurlah Abang Long seorang yang penyabar dalam melayan kerenahnya. Jika tidak, jenuh juga hendak mengikut setiap keinginannya yang kaki jalan itu.
“Isya rasa dah habis satu shopping complex ni kita round, tapi Abang Long tak beli satu apa pun. Tadi Abang Long cakap nak cari hadiah untuk kawan.”
“Memanglah, Abang Long tak jumpa lagi hadiah yang sesuai.”
Dia melihat senyuman nakal Ainur Batrisya. Dahinya berkerut.
“Ni kenapa pulak senyum tiba-tiba aje. Something wrong aje ni.”
“Eh,taklah. Isya tak kata apa pun. Tapi kawan Abang Long tu lelaki ke perempuan?”
“Kenapa Isya nak tau?”
“Mestilah, manalah tau kan dia tu girlfriend Abang Long ke.”
“Mana ada. Isya ni memandai aje.”
“Ala, kalau betul pun biarlah. Abang Long bukannya muda lagi. Dah tua dah. Kak Fara sendiri pun dah kawin tau. Abang bila lagi?”
“Oh, jadi Abang Long ni dah tua lah ye? Tua-tua pun tapi Abang Long ni masih laku lagi tau.” Sengihan Adam makin lebar.
“Isya dah agak dah. Abang Long memang suka perasan. Tapi Isya tak nafikan Abang Long memang hensem pun. Cuma Abang Long aje yang suka jual mahal. Bila perempuan nak bagi alasan takde masa nak fikirlah, sibuklah… ada aje alasannya. Sebab tulah mama selalu bising.”
“Hisy, dah lah. Malas Abang Long nak dengar. Isya dengan mama pun sama aje. Dua kali lima.”
“Tengok tu, nak salahkan Isya pulak. Atau Abang Long ni…”
Ainur Batrisya tersenyum nakal. Sengaja ingin mengusik Abang Longnya lagi. Dipandang lelaki itu atas dan bawah. Adam menjegilkan matanya.
“Hah, apa? Ni tak lain tak bukan nak fikir kita yang bukan-bukan lah ni. Betul tak?” Adam mendongkol geram. Adik yang seorang ini bukan boleh dikira. Ada sahaja yang ingin diusiknya.
“Atau Abang Long ni bukan lelaki sejati?”
Dia mengelak sewaktu tangan Adam mengagau ingin mencubitnya. Sengaja dia berbuat begitu. Sememangnya sudah terlalu lama dia tidak bergurau dengan Abang Longnya itu. Memandangkan hubungan mereka adik-beradik yang amat rapat antara satu sama lain. Terasa pipinya dicubit dengan kuat. Ainur Batrisya terjerit kesakitan.
“Padan muka. Siapa cakap Abang Long ni tak normal hm? Abang ni lelaki sejati tau.”
“Hee… tengok. Siapa yang fikir bukan-bukan sekarang ni?”
Mereka sama-sama tertawa.
“But frankly speaking, memang betul ke Abang Long takde special girlfriend?”
“Hm, kalau betul kenapa? Salah ke?”
“Salah tu taklah. Tapi Isya rasa macam tak percaya aje. Rugilah takde perempuan yang nak kat Abang Long.”
Ainur Batrisya tersengih sewaktu dihadiahkan jelingan tajam abangnya itu.
“Yang Isya nak risau sangat ni kenapa? Sama aje macam mama. Asal Abang Long balik aje sibuk bertanya, mana calon menantu mama? Tak bawak balik ke? Sampai naik jemu Abang Long ni tau.”
“Mestilah risau. Abang Long kan anak mama. Abang kandung Isya. Mana kami tak risau. Kami cuma nak Abang Long hidup bahagia aje. Sekurangnya ada orang yang tolong jaga makan pakai Abang Long tau.”
“Okeylah, kalau Isya nak tau sangat yang sebenarnya memang kami tengah berkawan lagi buat masa ni. Tapi Abang Long belum fikirkan lagi tentang ke arah yang lebih serius.”
“Oh, maknanya memang betul lah Abang Long dah berpunya ni kan. Pandai ye berahsia dengan Isya. Siapa perempuan yang bertuah tu? Isya nak jugak tau.”
“Zafira namanya. Satu tempat kerja jugak dengan Abang Long.”
“Wow, doktor jugaklah rupanya…”
Adam mengangguk sambil tersenyum manis. Nampak sinar kebahagiaan terpancar di wajahnya.
“Tapi Isya kena janji dengan Abang Long. Keep this as a secret okay? Abang Long hanya bercerita pasal hal ni dengan Isya aje tau. Janji dengan Abang Long yang Isya takkan bagitau mama, papa atau Kak Fara. Abang Long bukannya apa, tak mahu benda ni jadi kecoh nanti. Buat masa ni biarlah dulu. Dah sampai masanya nanti baru Abang Long akan bagitau sendiri pada mama dan papa.”
“Ala, Abang Long macam tak kenal Isya aje. Dah berapa banyak rahsia Abang Long yang Isya simpan sampai sekarang hm? Sampai terlupa Isya sebab terlalu banyak sangat.”
“Contohnya apa?” Adam tersengih.
“Isya ingat lagi rahsia Abang Long simpan kotak rokok dalam beg masa Abang Long nak balik asrama dulu tau.”
“Isy, itu kan hal lama. Masa zaman sekolah dulu. Lagipun sebenarnya kotak rokok tu bukan Abang Long yang punya tau. Itu kawan Abang Long lah punya pasal. Ada ke patut dia sorokkan kotak rokok tu kat dalam loker Abang Long. Dia memang nak kenakan Abang Long. Nasib baik Abang Long ni Ketua Pengawas. Kalau pengetua tau naya betul.”
Adam mengeluh kesal sebaik mengingati kembali kenangan di zaman persekolahan menengahnya dulu. Biasalah kalau sudah popular, ramai kawan maka ramai jugalah musuh. Biasanya musuh dalam selimut. Dalam pada itu dia tetap tidak kisah. Sememangnya dia memiliki ramai kawan kerana sikapnya yang suka berkawan dengan semua orang.
“Tapi Abang Long janganlah risau, Isya takkan cerita pada sesiapa pun. Make sure Abang Long kena kenalkan Isya dengan bakal isteri Abang Long tu dulu tau. Siap dengan belanja lagi. Paling kurang pun ayam golek ke.”
Kata-kata itu membuatkan Adam tergelak besar.
“Oh ye… Abang Long nak tanya ni, Isya kenal tak dengan Wan Mukhriz? Kawan satu sekolah dengan Abang Long dulu.”
Pertanyaan itu membuatnya agak pelik.
“Entah, nama macam familiar… tapi tak taulah kalau tengok muka kenal kot. Abang Long kan ramai sangat kawan. Manalah Isya ingat yang mana satu. Kenapa Abang Long tanya?”
“Takde apa-apa. Saja Abang Long tanya. Manalah tahu Isya ingat lagi ke…” jawab Adam sambil tersenyum.
Dia sekadar menjungkit bahu sahaja.
“Abang Long kena tunaikan tau janji tu tadi.”
Adam tertawa. “Okey, okey. Kalau tak suruh belanja bukan Isya lah namanya ye…”
Ainur Batrisya menjelirkan lidahnya. Adam tertawa lagi sambil mencuit hidung mancung gadis itu. Kelakar sungguh melihatkan reaksi adik bongsu kesayangannya itu. Mereka berjalan keluar dari pusat beli-belah terkemuka itu sambil Ainur Batrisya memaut erat lengan abangnya. 

*****

TAJAM sekali matanya memandang ke arah pasangan itu. Kelihatan begitu mesra sekali. Tidak langsung mengendahkan orang di sekeliling mereka. Hatinya dipagut rasa cemburu yang berapi-api. Kian terbakar dengan kebahagiaan dan kemesraan yang terpancar antara mereka. Tambah lagi bila melihat senyuman gadis itu. Dia tidak pernah melihat senyuman gadis itu untuknya.
Stereng kereta diramas dengan geram dan sakit hati. Hampir tiga minggu dia menghilangkan diri selepas kejadian itu selama itulah dia memendam rasa dendam yang kian membuak di hatinya. Jika selama ini hanya Isabelle sahaja yang bertakhta di hatinya, namun kecurangan wanita itu menjadikan perasaan cintanya kian pudar. Terasa begitu sakit kerana dipermainkan dan diperbodohkan oleh wanita yang tidak tahu menghargai walau sedikit pun perasaannya yang tulus mencintai. Wanita itulah penyebab dirinya berubah. Berubah menjadi sebegini. Seorang yang dahulunya begitu setia menjadi lelaki yang telah mempermainkan puluhan wanita. Janji-janji Isabelle semuanya palsu belaka.
Dia menderita sehingga terpaksa bertemu beberapa kali dengan doktor peribadinya juga adalah kerana Isabelle. Salahnya juga kerana terlalu mencintai dan menanam harapan yang tinggi untuk hidup bersama gadis itu. Impian perkahwinan dalam taman juga musnah begitu sahaja. Hancur lebur bersama dendam dan rasa sakit hati yang membara. Dia begitu membenci gadis itu.
Wajah Isabelle yang sering bermain di ruang mata kian lenyap. Bersilih ganti dengan wajah Ainur Batrisya pula. Semenjak pertemuan pertama lagi hatinya sudah tidak keruan. Dia sendiri puas menafikan perasaan itu. Gadis itu punya apa sehingga mampu membuatnya gila bayang?
Dia dapat merasakan gadis itu punya keistimewaan dan kelainan yang tidak ada pada mana-mana gadis yang dia kenali sebelum ini. Apa yang pasti dia kini telah jatuh cinta pandang pertama.
Satu hakikat yang paling tidak diingini dan dibenci olehnya. Dan tidak mudah juga untuk dia mengakuinya begitu sahaja. Masih belum terlambat untuk dia membuang perasaan ini jauh-jauh. Tetapi bagaimana? Dia sudah serik untuk jatuh cinta lagi…
Sungguh, mencintai seseorang itu teramat menyakitkan. Apatah lagi melihat pada cara layanan gadis itu yang sambil lewa dan acuh tak acuh makin membuat fikirannya kacau-bilau. Gadis itu tidak sama seperti Isabelle. Hatta mana-mana perempuan lain yang dikenalinya pun. Hanya dengan senyuman sahaja boleh mencairkan hati para gadis. Tetapi gadis itu… arghhh!
Gadis itu benar-benar membuatkan keegoannya tergugat. Dendam di hatinya kian berapi. Siapa gadis itu sebenarnya?
Ainur Batrisya… ada sesuatu yang terselindung di sebalik litupan tudung dan jubah yang sering dipakainya. Sesuatu yang istimewa dan indah. Juga menawan. Hanya lelaki yang layak sahaja mampu menyentuh ‘bidadari’ dunia itu. Adakah dia juga layak untuk berdampingan dengan bidadari itu? Huh… pandang mukanya pun tidak. Dirasakan bagai mustahil sahaja!
Dan rasa cinta itu kian menyakitkan setelah melihat sendiri dengan matanya yang gadis itu nampaknya sudah dimiliki oleh lelaki lain. Siapa lelaki itu? Boyfriendkah? Tunangkah? Nampak tidak kurang hebatnya juga. Segak juga orangnya. Macam anak orang kaya juga jika dilihat pada gaya. Tetapi wajah mereka berdua nampak seiras. Nampak padan benar. Lelaki ini mampu memberi saingan hebat padanya.
“Damn!”
Dia menumbuk stereng kereta dengan kuat. Jiwanya makin kacau bilau. Resah tidak menentu. Keegoannya tercabar. Tergugat dirinya kerana selama ini dia boleh memiliki apa sahaja tanpa sebarang kekangan. Dia mampu memiliki apa yang disukai. Tetapi sesuatu yang disukai itu semakin sukar digapainya kali ini. Semakin dia mendekati gadis itu makin menolaknya. Malah ditolaknya mentah-mentah!
 Dia mencapai i-phonenya lalu mendail nombor Jason. Dalam benaknya sudah merangka sesuatu. Matanya masih merenung ke arah pasangan itu.
“It’s me,” dia bersuara sebaik kedengaran suara Jason di hujung talian.
“Yes, anything you need help?”
“It’s something urgent. I need you to get me a diamond ring. It must be the most expensive one. You boleh minta pendapat Mr. Tan sendiri. As the jewelry owner, he must already know what the most suitable and latest design is. Don’t worry about the price as long as it’s suit the best. Just let me know as soon as possible.”
“Okay, got it.”
Jason terus bersetuju tanpa banyak soal.
“Remember Jason, a really expensive one. Okay?”
“No problem.”
Talian terus dimatikan. Senyuman puas terukir jua di bibirnya. 

8

USAI solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh papanya, Ainur Batrisya memasuki kamarnya. Sementara menunggu masuk waktu Isya’ pula dia mengambil masa untuk membaca surah Yaasin. Selesai mengaji Quran terdengar ketukan perlahan di muka pintu biliknya. Kelihatan mamanya, Puan Noraini yang sudah terpacul di pintu lalu terus melabuhkan punggung di sisi anak bongsunya itu.
“Tunggu masuk Isya’ ke?” soal mamanya.
Dia mengangguk sambil tersenyum kecil.
“Kak Fara ada call tadi. Dia kirim salam kat Isya. Katanya minggu ni dia betul-betul tak dapat balik. Busy dengan kerjalah tu agaknya.”
Ainur Batrisya menjawab salam dalam hati.
“Takpelah ma… nak buat macam mana kalau Kak Fara tak dapat balik. Nampaknya kena tunggu hujung minggu depanlah pulak kalau Isya dapat jumpa dia pun. Cuti semester ni pun Isya belum jumpa dia lagi. Hai, rindunya Isya kat Kak Fara…”
“Tulah, mama pun tak faham dengan kakak kau tu. Kerjanya memanjang sibuk. Dah berapa kali mama nasihat suruh dia berhenti kerja aje. Abang Kamal kau tu bukannya tak mampu. Lebih dari mampu nak tanggung isteri dia. Kerjanya pun bukan calang-calang. Kerja dengan Petronas faham-faham ajelah gajinya berapa sebulan. Bila si Kamal tu kena pegi offshore jadi Kak Fara kau pun tak dapat baliklah. Kalau seminggu kat laut, seminggu jugaklah dia tunggu si Kamal tu.”
“Nak buat macam mana mama, dah kerja Abang Kamal macam tu…”
“Kalau rumah dekat aje takpe Isya oii… ini jauh kat Terengganu tu. Boleh jumpa pun masa raya aje. Kalau Kak Fara kau tu berhenti kerja kan senang. Tumpukan aje perhatian pada rumahtangga. Dapatlah rajin sikit jenguk mama dengan papa kau ni.”
Dia menjungkit bahunya. Mama bila dah mula membebel, kenalah dia menadah telinga. Sebenarnya dia bukanlah tidak faham dengan keadaan Kak Fara sekarang ini. Selepas berkahwin dengan abang iparnya, kakaknya terus berpindah rumah ke Terengganu kerana mengikut Abang Kamal yang bekerja di sana. Sejak itu dia semakin jarang bertemu dengan kakaknya itu. Hanya Abang Long sahaja yang selalu juga pulang menjenguk keluarga mereka walaupun terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
“Ni Isya… mama ada nak cakap sikit. Pasal kau ni.”
Dia mengerutkan dahinya. “Pasal apa mama?”
“Yang sebenarnya baru-baru ni Hajah Halimah dengan Haji Derus ada datang merisik. Bertanyakan tentang kau. Dia dah berkenan nak jadikan kau sebagai menantunya. Isya ingat lagi tak dengan anak lelaki sulung mereka yang belajar agama kat Jordan tu?”
Terasa jantungnya seperti berhenti berdegup. ALLAH… benar ke apa yang aku dengar ni. Mama tak main-main kan? Nampak macam serius aje. Agaknya ini yang dimaksudkan papa baru-baru ni. Ada sesuatu yang ingin mereka bincangkan dengannya. Tetapi dia tidak menyangka pula hal sebegini yang dimaksudkan kedua orang tuanya. Dan dia pula tidaklah bertanya lebih-lebih.
“Err… tak ingatlah mama. Yang mana ek?”
“Ala, yang namanya Wan Mukhriz tu. Kawan satu sekolah dengan Abang Long kau dulu. Takkanlah Isya dah lupa kot.”
Lama dia termangu. Cuba mengingati nama itu. Rasanya macam kenal. Nama pernah dengar. Setahunya Abang Long pernah menyebut nama itu baru-baru ini iaitu sewaktu mereka berada di East Coast Mall ketika dia menemani Abang Longnya itu mencari barang. Hm… patutlah Abang Long tanya. Ada udang di sebalik batu rupanya. Pandai betul Abang Long berahsia. Rupanya dia terlebih dulu tahu tentang perancangan keluarga mereka.
Wan Mukhriz… siapa ye? Abang Long memang ramai kawan pun. Seingatnya kawan-kawan Abang Long yang satu sekolah semua dia kenal. Masakan dia boleh tak ingat pula siapa Wan Mukhriz. Tiba-tiba ingatannya melayang pada seraut wajah seseorang. Ainur Batrisya menepuk dahinya.
“ALLAH… kawan Abang Long yang selalu datang rumah kita masa sekolah dulu tu ke mama?”
“Hah, yelah. Yang kau panggil Abang Wan tu. Si Mukhriz tu kan selalu jugak jadi imam kat masjid kampung kita ni. Bagus budaknya. Muda-muda lagi dah jadi imam. Hai… bertuahlah mama kalau jadi bermenantukan dia.”
“Dia baru habis belajar ke ma?”
“Baru habislah tu. Kalau tak takkanlah mak abahnya datang merisik. Macam-macam diorang tanya pasal Isya. Tapi mama dengan papa tak boleh bagi jawapannya sebab tu mama nak tanya Isya dulu macam mana. Setuju ke tak. Tapi mama harap sangat Isya setujulah. Wan Mukhriz tu bukan main baik budaknya. Hormatkan orang tua. Mama memang kenal sangat orangnya macam mana. Abang Long kau pun setuju sangat nampaknya.”
Ainur Batrisya terdiam seketika. Adakah Wan Mukhriz memang telah lama menaruh hati padanya selama ini? Tidak pula Abang Long bercerita apa-apa mengenai teman baiknya itu. Selama ini pun dia tidak terlalu kenal sangat dengan lelaki itu. Hatinya tidak pula terasa berdebar-debar ketika mama menyebut namanya. Dia memang tidak menaruh apa-apa perasaan pun terhadap lelaki itu. Apatah lagi mengidam untuk mendirikan rumahtangga dengan lelaki tersebut.
“Tapi ma, Isya kan belum habis belajar lagi. Ada satu semester lagi yang Isya kena habiskan. Lagipun Isya tak rancang nak menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat ni ma…”
“Itu memang mama tahu. Tapi biarlah buat masa ni Isya fikir dulu sedalam-dalamnya. Kalau mama memang setuju sangat kau dengan dia disatukan. Senang sebab orang kampung kita jugak. Bila dah kawin pun takdelah berjauhan dengan mama dan papa. Susah kawin dengan orang jauh ni Isya. Nanti jadi macam Kak Fara kau tu…”
Dia menggeleng perlahan. Ke situ pula yang difikirkan mamanya. Hai… dia sendiri pun tidak pernah terlintas lagi untuk mendirikan rumahtangga.
“Nantilah mama. Isya cuba fikirkan macam mana. Tapi apa jua keputusan, Isya harap mama boleh terima dengan terbuka.”
Sememangnya dia tidak boleh memberikan apa-apa keputusan dalam masa terdekat ini. Dia tidak mahu berfikir lagi tentang hal tersebut memandangkan jiwanya agak berserabut sejak akhir-akhir ini. Semuanya gara-gara lelaki yang baru dikenali itu. Semenjak dia menjadi tutor kepada Daniel, hidupnya semakin lama semakin huru-hara dibuatnya.
Tetapi apabila dikenang kembali kenangan sewaktu zaman persekolahannya dahulu dia tidak langsung pernah mendengar Abang Long bercerita padanya tentang Wan Mukhriz. Cuma apabila sudah terlalu lama masa yang berlalu membuatnya terlupa perihal lelaki tersebut. Wan Mukhriz sebaya dengan Abang Long dan mereka merupakan teman sekelas. Manakala dia pula muda empat tahun dari lelaki itu. Kini dia telah menjangkau usia 23 tahun. Kadang-kala pernah juga beberapa kali lelaki itu mengikut Abang Long datang ke rumah. Mungkin dari situlah Wan Mukhriz mengenalinya.
Ainur Batrisya melepaskan keluhan. Terlalu jauh dia berfikir. Dia mengambil sehelai bil yang tertera jumlah bayaran yang perlu dibayar pada Darren nanti. Ditelitinya satu-persatu. Ada yang hingga mencecah ratusan ringgit. Huh… mak datuk punya mahal. Punyalah berkira termasuk cadar katil sekali. Tak mengapalah… salahnya juga. Siapa suruh buat rosak harta benda yang bukan miliknya itu. Gara-gara terlalu geram dan sakit hati punya pasal lah ni…
Dia bersiap-sedia untuk menunaikan solat Isya’ pula. Apa pun bil itu harus dibayar juga secepat yang mungkin. Habis sahaja solat terus dia berbaring seketika sebelum kedengaran suara Adam memanggilnya.
“Isya,” panggil Abang Long dari ruang tamu.
“Ye Abang Long, ada apa?” sahutnya.
“Pakai tudung kejap. Abang Long nak mintak tolong ni.”
Tanpa menunggu lama, dia menyarung tudung labuhnya yang berwarna biru muda.
“Nak tolong apa?”
Eh, mana pulak peginya Abang Long aku ni? Pelik. Sekejapan aje menghilang. Tiada pula di ruang tamu. Dengar macam ada suara orang tengah berbual kat luar rumah. Dia menjenguk ke luar pintu. Kelihatan Adam sedang berbual dengan seorang lelaki tidak dikenali di tangga rumah mereka.
“Abang Long nak mintak tolong apa?” laungnya dari atas rumah.
Mereka berpaling serentak.
“Ha Isya, tolong ambilkan bekas pulut kuning yang mama buat tadi kat atas meja makan. Abang Long nak kasi pada Mukhriz ni.”
Dia agak terkejut. Matanya memandang ke arah lelaki berkopiah putih, berbaju melayu biru cair dan berkain pelikat itu dengan rasa berbaur. Rupanya inilah Wan Mukhriz yang dimaksudkan oleh mama tadi. Hm… boleh tahan. Tenang dan bersih sahaja air mukanya. Pandangan mereka bertaut. Wan Mukhriz melemparkan senyuman manis padanya. Dia pula membalasnya dengan agak kekok. Tidak tahu apakah yang wajar dikatakan. Sedikit-sebanyak dia berasa segan pula dengan lelaki itu. Apatah lagi setelah mendapat tahu berita yang lelaki itu telah datang merisiknya.
Adam sudah memandang lain macam pula.
“Lah, yang Isya tercegat lagi kat situ buat apa? Pegilah ambil pulut kuning tu. Mukhriz dah tunggu lama ni. Mentang-mentanglah pakai warna sedondon…” usik Abang Longnya.
Alamak, baru dia perasan warna tudung yang dipakainya dengan baju melayu lelaki itu. alahai… malu betul!
Wan Mukhriz segera menyiku lengan Adam. Perasan agaknya yang wajahnya sudah berubah. Dia tahu Abang Long sengaja ingin mengenakannya sebaik dia melihat senyuman nakal Abang Longnya itu. Geram sungguh. Padahal Abang Long boleh aje tolong bagi sendiri pulut kuning pada lelaki itu. Ini semua rancangan Abang Long. Bijak sungguh mengenakannya. 
Arghhh…!!
“Takpelah Adam. Buat susah aje. Aku pun singgah sekejap aje ni alang-alang baru balik dari masjid tadi.”
Sempat dia menangkap suara perbualan lelaki itu. Terus dia menuju ke dapur. Ada dua bekas di atas meja makan. Dia mengisi kedua-duanya di dalam beg plastik berwarna merah.
“Eh, Isya nak bagi kat siapa ni?” tanya mamanya yang baru muncul dari dapur.
“Abang Wan ma.”
“Eh yeke? Dia ada datang ke?”
Ainur Batrisya mengangguk ala kadar. Dia terpandangkan senyuman mamanya yang melebar. Sukalah tu… dia tidak faham kenapa mama begitu teruja hendak bermenantukan Wan Mukhriz itu. Sedangkan dia masih belum memberikan apa-apa jawapan lagi. Abang Long juga begitu. Arghh… malaslah nak fikir!
“Kenapa tak pelawa dia masuk dalam Isya?”
“Entah. Katanya nak singgah sekejap aje.”
“Isya dah jumpa dia ke tadi?”
“A’ah mama. Itupun sebab Abang Long yang mintak tolong Isya bagi pulut kuning ni kat dia.”
“Oh…”
Mama mengangguk. Dia malas hendak bersoal-jawab dengan mamanya lagi. Tanpa menunggu lebih lama dia segera berlalu dari dapur sambil menjinjit beg plastik tersebut. Abang Long masih lagi rancak berbual dengan Wan Mukhriz di tangga. Perbualan mereka terhenti ketika dia sudah berada di situ. Dihulurkan beg plastik itu kepada Wan Mukhriz.
“Err, Abang Wan, ambil lah pulut kuning ni. Maaflah, ini aje yang ada.”
“Takpe, terima kasih ye. Buat susahkan Ainur aje.”
Dia mengangguk.
“Adam, aku balik dulu lah ye. Dah lewat sangat ni. Nanti kita sambung borak lagi. Kau cuti sampai bila?”
“Esok aku bertolak balik K.L dah. Okeylah, nanti apa-apa hal sebelum balik aku singgah kejap rumah kau. Rasa macam tak puas lagi nak bersembang dengan kau.”
Wan Mukhriz mengangguk lalu bersalaman dengan Adam. Sempat mereka berpelukan seketika. Lelaki itu tersenyum padanya sambil memberikan salam. Dia menjawabnya. Tidak tahu apa lagi yang perlu dikatakan. Terasa sungguh kekok sekali. Situasi itulah yang membuatnya berasa begitu janggal. Tambah pulak itulah pertemuan pertama mereka setelah sekian lama tidak bertemu.
Adam pula sempat mengenyitkan mata ke arahnya. Dia mendongkol geram. Takpe… takpe… Abang Long nak kenakan Isya ye. Ada ubi ada batas, ada hari nanti tahulah aku nak balas macam mana!

9

DIA sudah pun berada di Nexis Corporation sejak dari awal tadi. Semuanya gara-gara Dato’ Murad yang telah mengarahkannya supaya datang ke syarikat pagi itu juga. Dalam hatinya mula merungut. Dia terasa malas sebenarnya hendak bertemu dengan ayahnya tambahan lagi dia sudah menjangkakan perkara apa yang ingin dibincangkan itu. Apatah lagi terpaksa bangun awal pagi. Kebiasaannya dia bangun lewat sampai ke tengah hari. Letihnya masih belum hilang lagi setelah habis shooting drama lakonan terbarunya semalam hingga lewat pagi.
Sejak kepulangan Dato’ Murad dari Sabah dia masih belum bersua muka lagi dengan ayahnya itu. Kesibukan shooting ke sana dan ke mari membuatnya semakin jarang meluangkan masa di rumah. Dia kini lebih banyak berada di K.L berbanding di Kuantan.
Beberapa orang staff sedang berbisik-bisik sambil memandangnya. Dia sekadar menjeling melalui ekor mata di sebalik rayban hitam yang dipakainya. Mungkin kerana inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke company Dato’ Murad yang begitu gah dan tersohor itu. Namun Darren tetap berlagak selamba. Public figurelah katakan. Fikiran nakal melintas di benak fikirannya.
Ada seorang, dua staff wanita yang sudah tersenyum-senyum memandangnya. Dia menapak satu-persatu dengan penuh gaya ke arah mereka. Sambil membalas senyuman dia meletakkan kedua tapak tangan ke atas meja.
“Hi, pretty lady…”
Staff wanita itu agak tergamam. Mungkin tidak menjangkakan Darren akan bereaksi sebegitu. Beberapa pasang mata sudah memerhatikan mereka.
“Since this is the very first time I’ve been here it seems that you don’t know me yet aren’t you?” dengan satu nafas dia bersuara menggoda.
“Err, yes…”
 “Then, we should have acquaintance first. I’m Darren Lee Ashram.”
Huluran tangan Darren disambut oleh gadis itu dengan agak malu-malu. Maklumlah, pertama kali agaknya ditegur oleh lelaki sekacak itu.
“Liyana. Err, I macam familiar lah dengan you. You yang jadi cover model Maskulin for this month kan?”
Darren tersenyum mempamerkan gigi putihnya.
“Nampaknya you memang dah kenal I.”
“So maknanya memang betul lah telahan kitorang tadi. You Darren Lee tu kan. Wow, tak sangka yang kita boleh berjumpa kat sini.”
Dipandang lelaki bertubuh tinggi lampai dan penuh bergaya itu dengan rasa terujanya dan kagum sekali. Maklumlah dapat jumpa selebriti terkenal depan mata. Memang handsome… Darren mengangkat kedua bahu. Dia sudah boleh mengagak reaksi sebegitu. Malahan sudah terbiasa dengan para peminatnya yang keliling pinggang. Malah tidak cukup pinggang agaknya!
“Tapi you buat apa kat sini?”
Tiba-tiba seorang setiausaha Dato’ Murad memanggilnya masuk ke dalam ofis. Mungkin ayahnya itu sudah selesai bermesyuarat. Tanpa menunggu lama dia segera melangkah masuk.
“Daddy I dah panggil.”
“Daddy… err, daddy you?”
“I rasa you patut selidik lebih sikit pasal ahli keluarga pemilik syarikat ni sebelum diterima masuk ke company ni. You know what I mean right? Be careful next time. Kalau I jadi Dato’ Murad dah lama you kena pecat.” Kata lelaki itu sinis.
Terus senyuman gadis itu mati. Dia sekadar memerhatikan langkah lelaki yang angkuh itu dengan rasa berbaur di dalam hati. Malu dan sakit hati menguasai diri.
“Tulah, I dah cakap tadi dia tu anak Dato’ Murad. Tapi you tak percaya. Lain kali tanyalah dulu staff yang dah lama kerja sini. Semua orang dah tau perangai si Darren tu macam mana. Dia fikir dia sorang yang paling bagus dalam dunia ni agaknya. Dah lah cakap main lepas aje. Harap muka aje handsome tapi panas baran tau.”
Teguran Nadia, setiausaha kanan Dato’ Murad membuatnya semakin pedih.
“Isy, apa hal dengan mamat tu ye? Berlagak betul. Tadi bukan main macam nak mengorat I aje. Rupanya I tak sangka dia tu macam tu. Lain kali jangan haraplah I nak tegur dia lagi.” Liyana bersuara kesal. Terasa sungguh malu diperlakukan begitu.
“Tapi macam mana you tau Nad? Dia kan baru first time masuk company ni.” Soal salah seorang antara mereka pula.
“I dengar cerita dari sumber yang boleh dipercayailah. Biasalah, mulut orang ni cepat aje tersebarnya.” Nadia mencebikkan mulutnya.

*****

“DAD, I’m here.”
Dato’ Murad mengangkat muka. Kelihatan anak terunanya itu sudah tercegat di muka pintu. Dia meletakkan pen di atas sehelai kertas lalu menanggalkan kaca matanya.
“Please come in my son.”
Darren melangkah masuk dengan muka tenang. Dia masih berdiri tercegat di situ.
“Have a sit.”
Akhirnya dia menarik kerusi bertentangan dengan Dato’ Murad. Kedinginan suhu bilik itu tidak terasa langsung. Dia sudah resah dan mula tidak senang duduk. Wajah serius Dato’ Murad ditenung lama. Seperti ada sesuatu yang ingin dibincangkan berkaitan soal masa depannya. Perkara yang sering kali dielaknya tiap kali bersua dengan ayahnya itu.
“Lama ke daddy nak discuss ni? I have some other work to do right after this.”
“Tak boleh ke Darren luangkan sikit masa yang ada ni untuk daddy?”
Darren terdiam.
“Bukan tak boleh. But dad, we have already discussed about this matter not so long ago. And it’s been decided. I will no matter what, stick with my own future plan. Is that something wrong?”
“Daddy tau tu. Tapi daddy nak kamu fikir semula tentang hal ni. Daddy rasa kita perlu bincang hal ni dengan lebih serius lagi. You know what I mean.”
Perbualan mereka terhenti sewaktu setiausaha Dato’ Murad membawakan minuman buat mereka. Dua cawan kopi o panas diletakkan di atas meja.
“Darren, daddy faham apa yang kamu minat selama ni. Sejak dari dulu sampai sekarang daddy dan mummy tak pernah halang minat Darren mahu berkecimpung dalam bidang seni. Malah daddy bangga sebab punya anak yang berbakat besar macam kamu. Tapi sampai bila kamu rancang untuk terlibat dalam bidang ni hm? Kamu rasa ianya boleh menjamin masa depan kamu sampai ke hari tua nanti ke?”
Darren membisu seribu bahasa. Memberi ruang untuk Dato’ Murad berbicara dan meluahkan pendapatnya walaupun secara realitinya dia tetap tidak bersetuju dengan pendapat itu. Cuma sebagai seorang anak, dia mahu menghormati ayahnya seboleh yang mungkin.
“Sampai bila sijil ijazah dalam bidang perniagaan tu nak dibiarkan macam tu aje? You have a better qualification. A bachelor degree from Arizona State University. Bukan calang-calang kelulusan yang kamu ada. Tapi sampai bila Darren nak bertahan dalam dunia hiburan ni? Daddy tak halang Darren kalau bidang tu sebagai hobi semata. Fine, you can still do it but at the same time you are the successor of this company. Dengarlah cakap daddy kali ni aje. Please think about it more seriously.”
Dato’ Murad menarik nafas sedalam-dalamnya.
“Daddy makin tua dan tak lama lagi akan bersara. Tak selamanya daddy berada di kerusi empuk ni. Satu masa daddy akan meninggalkan tempat ni. Malah mungkin daddy tak sempat nak pencen Tuhan akan ambil nyawa daddy pegi dulu. Bila-bila masa aje Darren. Have you ever thought what will happen to this company in the future bila daddy dah takde nanti? Darren sanggup tengok syarikat yang dah berpuluh-puluh tahun daddy usahakan musnah begitu aje? Syarikat ni dibina atas lambang kesetiaan dan cinta daddy pada mummy. Have you ever known that…” suara Dato’ Murad berubah menjadi sebak.
“Daddy dan mummy pernah bersama-sama menghadapi saat kesukaran sewaktu nak membangunkan bisnes dulu. Semuanya sebab atuk Darren yang cabar daddy. Until now he never trust me. Dia takkan pernah merestui hubungan daddy dan mummy selagi daddy tak mampu buktikan yang daddy juga boleh berjaya seperti dia. Memiliki empayar yang kukuh dalam perniagaan bukan satu kerja yang senang. It needs a lot of efforts dan juga pengorbanan yang tidak terperi. Tambah pulak sebagai anak Melayu yang berusaha keras nak memajukan dirinya. Daddy adalah salah seorang dari anak Melayu tersebut yang bertungkus-lumus membangunkan satu-persatu syarikat tanpa kenal erti putus asa.”
Mengimbau kembali kenangan lamanya dia tidak pernah menyangka yang dia akhirnya mampu berjaya pada hari ini. Dia memiliki beberapa buah syarikat dalam industri pengeluaran minyak sawit terkemuka bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh rantau Asia Tenggara serta sebuah hotel yang baru sahaja lima tahun didirikan. Seandainya anak itu memahami kepayahannya selama ini, tidaklah dia berasa susah hati sangat.
Siapa lagi yang boleh diharapkan selain Darren sendiri. Anak lelakinya bukanlah tidak mampu. Malah lebih dari mampu. Hendak mengharapkan pada Daniel yang masih mentah dan tidak tahu apa-apa lagi mengenai selok-belok dunia bisnes itu adalah mustahil…
Berbekalkan segulung ijazah dari universiti luar negara dia yakin Darren mampu pergi lebih jauh berbanding dirinya yang tidak punya pendidikan khusus suatu ketika dahulu. Dia sendiri pernah melihat hasil kerja dan pembentangan anaknya sewaktu terdesak membantunya menguruskan Hotel Grand Palace tidak lama dahulu.
Sedangkan dia cuma berbekalkan sijil SPM sahaja pun mampu membuktikan yang dia juga boleh berjaya seperti orang lain. Jadi mengapa Darren tidak? Seingatnya Darren merupakan antara pelajar cemerlang dan terbaik di sekolah satu masa dahulu. Cuma dia tahu minat anaknya bermain piano sudah bermula sejak dari kecil lagi. Malah dia sendiri selalu menghantar anaknya ke kelas belajar piano. Anaknya banyak mewarisi bakat itu dari isterinya sendiri. Berbanding Daniel yang kurang berminat dengan muzik.
Selama tiga puluh lima tahun tahun dia bekerja keras semata-mata mahu membuktikan keupayaannya kepada ibu dan ayah mertuanya yang juga merupakan ahli perniagaan. Ayah mertuanya sering memandang rendah dan hina terhadapnya. Bukan itu sahaja, hubungannya dengan Sherry juga dihalang. Cinta mereka pada mulanya tidak direstui. Ditentang habis-habisan. Sherry pernah dikurung dan tidak dibenarkan keluar dari rumah selama berbulan-bulan kerana bimbang akan bertemu dengannya.
Tetapi semua itu tidak sedikitpun mematahkan semangatnya. Dia diberi tempoh untuk membuktikan yang dia mampu berdiri sebaris dengan keluarga mertuanya malah lebih berjaya dari itu.
Namun begitu dia tetap berterima kasih kepada ayah mertuanya. Jika bukan kerana hinaan itu mungkin sampai sekarang dia tidak akan berada di kerusi empuk ini. Dia berjaya bangkit akhirnya dari hinaan dan cacian ayah mertuanya itu. Dia mahu Darren tahu, untuk berjaya memerlukan kesabaran dan kecekalan yang kuat.
“Okey daddy. Darren faham. But I need some more time to think about it. Lagipun daddy kenalah faham kedudukan Darren dalam industri muzik sekarang. I’m on the top of my  carier right now dad. Peluang banyak yang datang dan melimpah-ruah. Tawaran lakonan dan modeling pun banyak sampai tak terkejar Darren dibuatnya. Takkanlah sebab hal ni sekarang daddy nak Darren tinggalkan karier secara mendadak? I mean… biarlah satu masa nanti Darren undurkan diri secara perlahan-lahan dalam dunia seni. Kalau boleh tak terlalu mengejut sangat,” pinta Darren.
Dia amat berharap Dato’ Murad memahami keadaannya sekarang. Masakan pula dia perlu mengorbankan karier seni yang kini sedang berada di puncak kejayaan. Memanglah duit bukan keutamaan memandangkan dia sudah dilahirkan dalam ‘sangkar emas’. Tetapi kerana minatnya yang mendalam dalam bidang itu. Sanggupkah dia mengecewakan hati para peminatnya?
Sekarang ini pun, mana-mana iklan komersial dan majalah banyak terpampang wajahnya. Ke mana sahaja dia pergi dia sentiasa diekori hingga sedikit-sebanyak membuatnya agak rimas dengan situasi itu. Disebabkan popularitinya itulah keluarga Dato’ Murad telah membeli lot tanah dan kediaman peribadi yang agak jauh dari orang ramai. Beberapa pengawal juga telah diupah bagi mengawasi gerak lakunya.
Terdengar keluhan berat keluar dari mulut Dato’ Murad.
“Tapi sampai bila Darren? Sampai bila daddy nak kena tunggu? Syarikat ni perlukan Darren sebagai ganti daddy tak lama lagi.”
“I know, daddy tak perlu risaulah. Nothing to worry about. I already have plan for this.”
“Apa pun daddy tetap berharap Darren akan ubah fikiran. Fikirkanlah hal ni masak-masak. I’m really serious about this matter.”
Darren melepaskan pandangan ke luar tingkap kaca. Fikirannya berkecamuk. Namun dia tetap berlagak tenang. Dia mengangguk perlahan dan bingkas berdiri.
“Rasanya takde apa lagi yang perlu dikatakan. Shall I take a leave now dad?”
“Okay, be careful son.”
Tanpa menunggu lama, dia terus beredar dari situ. Dato’ Murad menghela nafas perlahan. Tidak tahu adakah anaknya itu benar-benar memiliki perancangan berkaitan hal syarikat ataupun sekadar untuk menyedapkan hatinya sahaja. Dia kenal benar sikap Darren. Degil dan keras kepala. Sukar mendengar kata. Dia jarang melawan tetapi lebih banyak memendam perasaan. Itulah yang paling dirisaukan. Dia sukar membaca fikiran anaknya yang satu itu. Darren begitu berbeza sekali dengan Daniel yang lebih mendengar kata.
Dia mencapai gambar yang letaknya di sudut hujung meja. Ditatap gambar isteri dan anak-anaknya.
“Darren… tak ubah sikap macam datuknya juga.” Keluh Dato’ Murad sendirian. 

*****

“DARREN, where have you been lately?” soal Gary sewaktu dia melangkah keluar dari ofis ayahnya.
Darren tidak menjawab. Lelaki itu mengukir senyuman. Dia tidak membalasnya. Sebaliknya dia terus melangkah tanpa mempedulikan kehadiran sepupunya di situ.
“Kau masih marah lagi ke pasal hal tu? well, you know exactly what happen between me and Isabelle right.”
“Aku malas nak ambik tahu hal orang yang takde kaitan dengan hidup aku lagi. Apatah lagi kau. Hairan, kenapa balik-balik muka kau jugak yang datang menyibuk kat company ni? Datuk suruh kau datang kirim salam kat daddy aku ke?”
Berubah wajah Gary mendengar sindiran pedas itu. Wajah putihnya bertukar merah.
“Darren… Darren. Kau masih lagi sama macam Darren yang aku kenal dulu. Aku datang ni nak bertanya khabar daddy kau. He’s my uncle. Tak salah kan? Lagipun datuk nak harapkan siapa lagi selain aku. Lepas daddy kau dah pencen nanti, aku mungkin bakal mengambil alih kerusi tu. Atau… kau dah berubah fikiran? Dah bosan dengan dunia hiburan fantasi kau yang tak ke mana tu? aku lebih pentingkan company ni dari segalanya Darren. Aku bukan macam kau. You know my cousin… this is the reality. Outside of this world, kau akan tahu langit itu tinggi atau rendahnya. This is not a fairy tale Darren. Kau fikir boleh hidup senang-lenang dalam dunia yang penuh fantasi sedangkan orang lain macam aku ni berusaha keras nak dapatkan sesuatu. Hai… ceteknya fikiran kau ni. Kesian aku tengok kau.”
Gary tertawa kecil sambil menepuk-nepuk bahu sepupunya itu.
“Sebenarnya aku lagi kesian dengan kau Gary.”
Dia tergamam.
“Macamlah aku tak tahu muslihat kau selama ni. Sebab kau memang cemburukan aku kan. Kau terpaksa buat macam-macam nak tarik perhatian datuk. Tapi satu apa pun tak dapat. Macam bodoh pun ada kan. Terimalah hakikat yang datuk lebih sayangkan aku dari kau.”
Darren tersenyum sinis sebelum berlalu meninggalkannya.
“Kurang ajar… takpe… kau tunggulah masanya nanti. Aku akan buat hidup kau betul-betul merana Darren!”
Gary menggenggam erat penumbuknya.

0 ulasan:

Post a Comment