Sunday, February 19, 2012

Dia, Cinta Pertama


19

“MIMPI apa adik akak ni?”
Aku mengalih perhatian pada Kak Azrini yang sedang menuangkan teh panas dari teko comelnya. Dania berada di pangkuanku sejak dari tadi manakala Danisha pula sedang lena di bilik tidurnya. Suami Kak Azrini yang aku panggil Abang Ikhwan tiada di rumah ketika ini kerana berada di Seoul bagi menghadiri press conference bagi kerja projeknya selama seminggu di sana. 
“Takde mimpi apa pun kak. Meem saja datang nak ziarah akak.” Aku menjawab selamba.
Dania ketawa mengekeh bila aku membuat aksi dengan patung pink panthernya. Seronok betul duduk kat rumah Kak Nini ni. Tak sedar pejam-celik, pejam-celik, dah sebulan rupanya masa berlalu. Begitu pantas sekali masa beredar. Fikiranku sudah tidak bercelaru lagi seperti waktu pertama kali aku menjejakkan kaki ke sini. Seingatku, dalam tempoh seminggu aku asyik berkurung dalam bilik menangis tanpa henti. Kecuali makan dan tidur. Selebihnya aku banyak menghabiskan masa dengan termenung.
Puas Kak Nini dan Abang Ikhwan memujukku. Mereka sudah tahu cerita sebenar yang aku telah ditangkap khalwat dan dipaksa menikah dengan Hazim. Agak lama jugalah aku hendak memulihkan semangat kembali seperti dulu. Kak Nini beria memujukku dengan membawa aku keluar berjalan. Sambil menenangkan fikiran, melupakan masalah lalu dan menimba pengalaman menyaksikan keindahan negara orang. Akhirnya aku berjaya melupakan kisah lama walaupun bukan seratus peratus.
“Akak buat sendiri ke kimchi ni?” aku menyoal.
Dalam pada tanya tu mulut dah penuh aku sumbatkan dengan makanan tradisi Korea itu.
“Ha’ah. Sedap ke?”
Aku angguk sambil tersengih.
“Meem ni bagi apa aje semua Meem bedal je kak. Janji halal, he he...”
“Mestila halal. Akak buat ikut style akak sendiri. Resepi kat sini kebanyakannya akak dah ubah suai ikut citarasa akak sendiri. Tapi sesekali rindu jugak nak rasa masakan Melayu. Dah lama tak balik Malaysia. Nak dekat setahun jugaklah.
“Wah, bestnya. Lepas ni boleh lah akak ajar Meem masak Korean dishes pulak ye.”
“Boleh je, apa salahnya. Meem pun dah tahu masak sikit-sikit kan. Oh ye, akak dengar Meem pernah ambil kursus Bahasa Korea sebelum ni.
“Pernah. Masa kat U dulu. Dalam tiga semester Meem belajar.”
“Kenapa tak teruskan lagi?”
“Malaslah. Kalau Meem jadi macam akak memang patutlah Meem kena belajar lagi.”
Aku tersengih. Sejak tinggal dengan Kak Nini sekeluarga banyak benda jugak lah yang aku belajar. Terutama bab masak-memasak ni. biasalah... dah duduk lama-lama ni apa lagi benda yang aku boleh buat? Belajar masak dan jadi babysitter anak-anak Kak Nini.
“Hari ni nak pegi Namsan Park lagi tak? Teman akak lepas habis kelas.”
“Malas lah nak keluar...” aku menggeleng. Air teh itu aku hirup dengan perlahan.
“Hai, asyik nak duk terperap aje baik tak payah melancong.”
Kak Nini terjerit memanggil Dania yang berlari ke hulu ke hilir tidak mahu duduk diam itu.
“Isy, apa kena budak ni. Nakalnya kemain. Bertuahnya lah anakku ni!”
“Meem datang sini bukan suka-suka Kak Nini. Meem nak release kan tension je.”
“Papa ada call Meem ke sepanjang Meem kat sini?”
Aku menggeleng.
“Sibuklah tu...”
“Bukan sibuk kak. Dah lupa anak dia masih hidup lagi.”
“Hisy, Meem ni. tak baik cakap macam tu. papa Meem kan sayangkan Meem. Mana mungkin dia doakan perkara yang tak baik untuk darah dagingnya sendiri.”
“Yelah, itupun kalau dia ingat.”
Kak Nini menggeleng perlahan. Aku kembali melamun jauh. Bagaimanalah keadaan papa dan mama sekarang ni? tertanya-tanya jugak sebab ada masanya ketika aku check akaun dalam bank duit sentiasa ada malah makin bertambah setiap minggu. Hairan juga. Ke papa yang masukkan duit tu untuk aku buat belanja? Entah kenapa hatiku sayu tiba-tiba.
Papa... Meem rindukan papa. Meem nak balik jumpa papa. Tapi sudikah papa terima Meem macam dulu balik? Meem tak bersalah. Kenapa harus Meem yang dipersalahkan? Meem jadi mangsa keadaan. Susah sangat ke papa nak percaya cakap Meem ni?
“Hazim macam mana?”
Aku terkedu.
“Meem tak mahu ingat lagi pasal dia...”
“Kenapa? Takkan Meem langsung tak nak bagi peluang pada dia? Sampai bila Meem nak menjauhkan diri macam ni...” suara lembut Kak Nini mengusik ketenangan.
Memang... Hazim ada beberapa kali menelefon, menghantar SMS dan email tapi satu pun aku tak balas. Tiada hati ingin membalasnya. Aku kahwin dengan dia pun sebab terpaksa. Walau siapa pun dia aku tetap susah nak terima dia. Mungkin sampai bila-bila.
Tetapi setiap kali aku mengingati wajahnya, hati ini pasti akan bergetar. Aku sedar yang aku ini tidak layak untuk menjadi isterinya. Isteri jenis apa aku ni kalau di awal perkahwinan lagi aku sudah tekad melarikan diri sejauh ini? Inikan pula hendak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Awal-awal lagi aku sudah berusaha untuk melupakannya. Dan aku harap aku tidak bertemu lagi dengan Hazim buat selamanya.
“Sikit pun takkan takde rasa rindu?” duga Kak Nini lagi.
Aku mengetap bibir. Argghhh.... dah lah tu Kak Nini... Meem dah tak larat hari-hari asyik dengar nama dia aje. Aku kena keluar juga ni. kalau tak Kak Nini mesti tak putus asa nak ‘hasut’ aku supaya kembali ke pangkuan Hazim. Tak nak lah Meem!
**********
AKU berjalan-jalan ambil angin sekitar Namsan Park yang berdekatan dengan tempat belajar Kak Nini. Sementara tunggu Kak Nini habis kelas aku mengambil kesempatan untuk lepak di situ. Cantik jugak tempat ni. Walaupun dalam sebulan ni adalah dalam nak dekat sepuluh kali aku pegi tapi tak pernah rasa bosan. Aku seronok tengok pemandangannya yang tenang dengan hiasan pokok-pokok pine, maple dan spesis akasia yang semulajadi.
Berdasarkan penerangan Kak Nini sebelum ini, taman ini merupakan salah satu kawasan hijau terbesar di bandar Seoul dan merupakan taman botanik pertama di Korea. Pelbagai tempat menarik yang aku dah lawati antaranya Seoul Tower, National Theater dan Namsan Public Library. Aku suka menghabiskan masa dengan melakar beberapa lukisan dan mengambil gambar kerana dengan cara ini sahaja aku dapat meluahkan segala rasa yang terpendam dan mencari ketenangan.
“Kalau Meem nak tau, taman ni merupakan salah satu tempat bersejarah di Seoul ni tau.”
Kak Nini dah macam ala tourist guide lah pulak aku tengok. Maklumlah, dah hampir tiga tahun berada di sini. Mestilah dah expert. Cakap Korea pun laju je. Fasih. Aku pulak yang ternganga dengar dia cakap.
“Wah, yeke. Tapi memang cantik pun tempat ni. Meem suka lah kak.”
“Ini salah satu tempat favourite akak di Seoul. Dah puas bershopping, akak akan ajak Abang Ikhwan berdating pulak kat sini,” Kak Nini tersenyum malu.
“He he... yeke, romantiknya... nak pulak kalau musim luruh kan kak. Ala-ala autumn in my heart gitu...”
Kak Nini sudah tergelak.
“Habis tu, Dania dengan Danisha letak kat mana?”
“Letak kat mana lagi? kat tempat pengasuh lah. tapi akak selalu bawak diorang sekali. Jarang hantar pada pengasuh. Risau jugak apa-apa hal nanti.”
Aku menekan-nekan punat kamera Nikon di tangan. Lepas satu, satu gambar aku ambil dengan berlatar belakangkan pemandangan yang berbeza. Salah satu hobi yang tidak pernah aku abaikan. Ikutkan minat dari dulu lagi aku nak jadi photographer sebenarnya. Tetapi rezeki lebih berpihak di dalam bidang landskap. Lagipun aku bakal mewarisi firma papa. Jadi photography ini aku jadikan sebagai hobi masa lapang sahaja.
Lenguh berjalan aku duduk di satu bangku. Melihat manusia yang lalu-lalang dengan pelbagai ragam. Sepasang kekasih yang berada berhampiran menarik perhatianku. Si lelaki sedang memakaikan earphonenya di telinga teman wanitanya. Kemudian bergelak ketawa sambil mendengar lagu. Sungguh comel sekali gelagat mereka. Aku turut tersenyum.
Ingatanku melayang pada Hazim ketika pertemuanku dengannya sewaktu berjoging di tepi tasik. Hazim juga suka mendengar lagu. Aku dah lama perasan yang dia sering memakai earphone ketika berjoging. Terasa nak tahu juga muzik apa yang menjadi kegemarannya. Mengingatinya hanya menambahkan rasa pedih di hati. Aku merenung lama cincin berlian yang pernah dihadiahkan Hazim satu ketika dulu.
Sayang sungguh aku pada cincin ni... kenapa dalam benci masih terselit rasa rindu? Kenapa aku sayang pada cincin pemberiannya ini seolah ini seperti nyawaku sendiri?
‘Sorry I have to give this precious ring not at the right moment. But I have to. Because I can’t keep this feeling anymore. I love you.
Bait-bait tulisan tangan Hazim dengan ungkapan indah itu masih terngiang di ingatan. Awak masih cintakan saya ke Hazim? Dah lama kan kita tak bersua muka. Sejak saya pergi meninggalkan awak, keluarga, kerjaya dan segala-galanya... aku pejamkan mata.
Di mana-mana aku nampak dia... tak kiralah bila aku pejamkan mata ke. Dan bila aku bukak mata balik... pun sama jugak. aku masih nampak Hazim ada di depanku saat ini. Huh...
Mataku terus terpaku.
Bagaikan tidak percaya saat terpandangkan Hazim di hadapanku saat ini. Tapi dia macam tak cam aku aje. Betul ke ni atau aku tengah bermimpi? Yelah, manalah tahu asyik hari-hari teringat kat orang yang sama terus jumpa kat sini ke. Tak mustahil sebab dia kan pilot. Tak mustahil dia pun turut berada di negara asing ini. Mungkin atas urusan kerja agaknya.
“Hazim,” aku menyeru namanya.
20
AKU bagaikan tidak percaya. Orang yang sama juga. Dengan ketinggiannya. Tapi kenapa tengok banyak kali macam dah kurang sikit iras Hazim? Aku mencubit pula lengan. Sakit. Means... this is real one. Not just a dream.
Aku lihat couple yang duduk bersebelahan denganku tadi. Mereka juga masih wujud di situ. Ketawa mereka juga jelas kedengaran. Sesekali berbisik-bisik sesama sendiri. Sah! Memang ni Hazim. Tapi aku tak mahu Hazim nampak aku turut berada di situ. Macam mana ni? aku kena lari ke? Tapi kalau sesat macam mana? Ah, pedulikan. Kalau sesat tanya polis. Habis cerita.
Tiba-tiba pandangan kami bertembung. Jantungku berdegup kencang. Malah semakin kencang saat dia melangkah mendekatiku sambil tersenyum menggoda!
Hazim dah banyak berubah rupanya. Kulit dia putih kemerahan. Tak macam Hazim yang aku kenal dulu berkulit sawo matang. Namun tetap nampak kacak macam dulu. Manalah aku nak lari ni?
Tinggal beberapa tapak lagi. Dia kian mendekati dan...
“Ah!!!” aku terjerit.
Sebuah motosikal berkuasa tinggi nyaris merempuhku. Aku tergamam. Ternyata kamera Nikon milikku berjaya diragut penunggang motosikal itu. Luruh jantungku saat itu juga. Aku... aku... kena ragut ke?
“Tolong!” spontan aku menjerit.
Alamak, lupa pulak ini bukan dekat KL. Ini Korea lah beb! Apa daa...
“Help me! Somebody help me!!”
Aiseyy... macam mana ni? aku cuba mengingati beberapa perkataan Korea yang aku hafal sebelum ini. Nak belek kamus confirm tak sempatnya!
Aku menjerit sekuat hati. Hazim kelihatan membongkok sambil mengambil sesuatu lalu dimasukkan ke dalam kocek seluar denimnya. Dalam sekelip mata aku lihat dia sudah berlari ke arah peragut itu. Isy, sempat ke nak kejar? Macam tak logik aje. Kalau kereta kejar motor logik juga.
Aku terduduk lemah. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Couple tadi menghampiriku dengan panik. Risau agaknya. Terasa bagai nak gila apabila kehilangan kamera kesayanganku itu. Bertahun lamanya aku jaga dengan baik. Alih-alih diragut dalam sekelip mata. Walaupun aku tahu yang aku lebih dari mampu untuk membeli kamera baru namun kamera itu ada sentimental value yang tersendiri. Kamera Nikon itu hadiah dari papa semasa aku berada dalam semester pertama lagi di USM dahulu. Aku menangisi nasibku. Segalanya berlaku dalam sekelip mata. Ya, hanya sekelip mata sahaja aku telah kehilangan satu-satunya barang paling berharga dalam hidupku.
“Are you okay miss?” tanya si gadis.
Aku terpinga-pinga. Memandang mereka tanpa berkelip. Beberapa orang yang lalu-lalang turut memandangku dengan hairan.
“Miss? Ah joo mu ni?” giliran teman lelakinya pula bertanya.
Hah? Makcik korang panggil aku? Waa... ni yang aku rasa nak nangis lagi ni. Dah tua sangat ke aku ni pada pandangan korang hm? Sadis!
“I’m okay... it’s okay...”
“Hwak shil han sumida?”
Aku angguk aje. Agaknya diorang pun tahu aku ni orang asing kat sini. Setelah meyakinkan mereka yang aku tidak apa-apa akhirnya mereka berlalu meninggalkan aku. Aku mencari Hazim tetapi dia sudah tiada. Agaknya dia dah jauh kejar pencuri tu kot.
“Meem! Ya ALLAH, kenapa ni?”
Dari jauh Kak Nini sudah berlari mendapatkan aku. Wajahnya penuh kerisauan.
“Meem kena ragut tadi kak.” tanpa berlengah aku menceritakan hal sebenar.
“Hah? Yeke? Habis, Meem okey tak ni? ada cedera kat mana-mana tak?” tanya Kak Nini cemas sambil membelek tubuhku.
“Takde apalah Kak Nini. Cuma siku ni je Meem rasa macam terseliuh sikit. Sebab budak tu main rentap je tadi.”
“Meem cam tak no plat kereta dia?”
“Bukan kereta lah kak. Tapi dia bawak motor tadi. Dia sempat ambik Meem punya kamera. Tapi tak sempatlah pulak nak tengok no plat dia.” Aku bersuara kesal.
“Alahai... kesiannya adik akak. Kalau macam tu jom kita pegi buat report kat balai sekarang ni jugak. Lepas tu kita pegi hospital. Teruk luka ni.
“Eh, tak payahlah kak. Sikit je ni. Tak teruk mana pun luka. Lagipun Meem tak yakinlah boleh dapat balik ke tak kamera tu.” aku seakan putus harapan.
“Mana boleh macam tu. Walau macam mana pun kena buat report polis jugak. Kita tak tahu kan boleh dapat balik ke barang Meem tu. Meh akak temankan.”
“Err... tapi akak kan ada kelas?”
Kelas akak baru habis tadi.”
“Tapi...”
“Dah jom.”
Kak Nini terus menarik lenganku menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Nak tak nak aku terpaksa ikut juga. Dalam masa yang sama aku meliar mencari kelibat Hazim. Hampa kerana sekali lagi dia menghilang begitu sahaja. Hmm... pelik jugak.
**********
SEJAK pagi lagi aku masih lagi berada di sekitar kawasan pancuran air ini. Tujuanku cuma satu. Ingin mencari kembali cincinku yang hilang semasa diragut tadi. Aku terpaksa berpatah balik ke Namsan Park. Sudah satu jam masa berlalu. Masih lagi tidak menunjukkan sebarang tanda yang aku akan menemui cincin pemberian Hazim itu.
“Dah la tu Meem. Dah lewat sangat ni. Akak rasa cincin tu entah kat mana dah. Jangan-jangan jatuh dalam fountain tu tak?”
Aku menahan sebak di dada.
“Tak boleh. Meem nak cari jugak cincin tu. Cincin tu sangat berharga kak.
“Tapi takkanlah satu hari Meem nak duduk kat sini? Dah lewat sangat ni. Esok-esok jelah kita cari ya?” pujuk Kak Nini.
Aku menggeleng. “Akak nak balik, balik lah dulu. Meem takkan balik selagi tak jumpa cincin tu.”
Aku tidak faham dengan apa yang aku rasa sekarang. Bagiku, cincin itu sangat bermakna. Ia menggambarkan perasaan Hazim yang tulus mencintaiku. Sejak pertemuanku dengan Hazim tadi aku merasakan seolah-olah dia telah mengembalikan semangatku semula. Dalam benci, ada rindu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Cincin itu satu-satunya kenangan yang ada. Aku tidak pasti adakah selepas ini aku akan dapat bertemu semula dengannya.
“Eh, budak ni. Yang pegi terjun kat dalam kolam tu buat apa?!” jerit Kak Nini.
Bulat matanya sebaik memandang aku yang sudah berada di dalam kolam. Aku tersengih cuma. Tanpa ambil peduli, aku terus membongkok tubuh sambil mencari cincin berlian itu. Jeritan halus Kak Nini tidak langsung aku pedulikan. Lantaklah... aku tak kisah diorang nak fikir aku ni orang gila pun. Yang penting cincin itu dijumpai. Kehilangan cincin itu bermakna hilanglah kenangan antara aku dengan Hazim. Betapa cincin itu cukup memberi makna yang besar buatku.
“Meem tak kira. Meem akan cari cincin tu sampai dapat.”
“Hai, degilnya adik akak ni. Ikut suka kau lah Meem. Duduklah dalam kolam tu sampai kecut jari kau!”
Aku tergelak. Namun senyumanku mati tatkala mataku tertancap pada sekujur tubuh seseorang. Dia makin lama makin menghampiri. Eh, ini ke Hazim yang cuba nak tangkap peragut tu tadi? tak mungkin. Oh my.... don’t tell me he... he was... not Hazim?
Siapa dia ni? dari jauh dah senyum-senyum dengan seorang pegawai keselamatan di sebelahnya. Mati-mati aku ingatkan Hazim. Kak Nini pandang pelik. Tapi senyuman dia mirip Hazim. Aku rasa malu tiba-tiba. Malu kerana menyangka lelaki itu adalah Hazim. Entah kenapa hatiku menjadi pedih kerana mengingati kembali seraut wajah Hazim...

0 ulasan:

Post a Comment