Monday, January 23, 2012

Dia, Cinta Pertama


4

“AUNTIEEE....!!!!!!!!!!”

Jeritan Haikal sekali lagi menggangguku yang sudah separuh hendak terlena di atas sofa panjang. Berdesing telinga. Aku ingatkan mengigau ada halilintar atau ribut taufan yang melanda tadi. Baru je semalam tengok berita kat tv pasal ribut Tsunami yang berlaku di Jepun. Seram sejuk jugak bila tiba-tiba dapat mimpi macam ni. Hantu punya budak kecik!
Aku baru je nak tidur dia dah mula dah nak itulah... nak inilah... baru je lebih kurang lima belas minit aku kasi dia makan nasi dengan sup tadi. Apa lagi yang tidak kena ni? dalam mamai aku bangun juga. Hendak tak hendak je.

“Auntie... Auntie...”

“Ya, ya... ada apa?” aku bertanya malas.

“Atai nak aiskrim.”

Dia menghampiriku dengan mainan patung Angry Birds yang berada di tangannya. Aku menguap perlahan. Pulak dah? Hm... macam-macam. Takkan nak keluar pegi beli pulak? Satu hal nak kena bersiap. Takkan nak pakai rugged macam ni je? Aku pandang ke tubuhku yang dibaluti baju lengan pendek merah jambu dengan seluar pendek warna putih paras lutut. Malasnya nak bersiap. Kedai pun bukannya dekat. Kalau nak berjalan kakilah. Kalau naik kereta tak sampai tiga minit pun dah sampai.

“Jap lagi lah boleh tak? Aku malas lah...”

Haikal mengetap bibir. Aku tidak menghiraukannya lagi. Sebaliknya aku kembali merebahkan tubuh ke sofa. Hendak menyambung kembali tidur yang terganggu tadi. Lagipun di waktu tengah hari macam ni apa lagi yang boleh aku lakukan? Nak mengemas pun malas. Buat tahi mata jelah.

“Tak nak, Atai nak sekarang jugak!” dia menarik-narik lenganku.

“Oit... janganlah tarik aku. Budak ni, aku nak tidur pun tak senang.” Aku mula naik angin.

Dia masih terus dengan sikap degilnya. Benar-benar membuat aku hilang sabar. Aku sudah lah letih setelah seharian berada di pejabat dengan kerja-kerjaku. Dia pula buat kerenah!

“Nak aiskrim!”

Haikal sudah melalak. Dia berguling-guling di atas karpet sambil menendang segala perabot yang berada berdekatan dengannya. Sakit mata aku melihatnya. Habis semua hendak ditendangnya. Meja, sofa, lampu... ini memang tak boleh jadi ni. Mujur juga tidak terbalik lampu meja di ruang tamu itu.

“Yalah, yalah. Aku pegi belilah ni...” aku terpaksa mengalah.

Barulah dia diam. Lega hati aku. Dalam pada malas itu terpaksalah aku bangun menuju ke bilik untuk bersiap ala kadar. Haikal punya pasal lah ni!

**********

PRANGGG!!!

“Ya Rabbi... budak ni makan macam mana boleh tumpah pulak ni?!” aku separuh terjerit.
Aku sudah berlari mendapatkannya di meja makan. Habis comot muka dan bajunya akibat kesan aiskrim coklat. Mangkuk plastik yang berada di atas meja sudah terbalik. Jatuh ke atas lantai.

Meja dan lantai memang ‘disaster’ habislah. Basah dengan sisa-sisa aiskrim. Nasib baiklah alas meja ni diperbuat dari plastik. Kalau tak satu hal pulak nak kena masuk dalam mesin basuh. Yang tukang basuhnya siapa lagi kalau bukan aku? Lainlah dulu masa ada bibik. Sekarang ini segalanya aku yang kena uruskan.

“Atai ni tak habis-habis nak menyusahkan lah. Cuba makan tu elok-elok sikit!” tengking aku.

Aku benar-benar naik angin. Macam mana ni? tak sampai seminggu jadi pengasuh tak bertauliah dah jadi macam ni. Macam-macam hal. Sedangkan syarat perjanjian tak bertulis aku dengan Hazim sampai sebulan je.

“Tengok aiskrim ni. membazir je aku beli. Kalau tahu tak payah beli pun takpe tadi,” Aku mengomel tak sudah.

Aku menuju ke sinki lalu mengambil sehelai kain buruk yang sememangnya digunakan untuk mengelap dapur. Terkial-kial aku mengelap meja makan. Kemudian mengemop lantai pula. Dalam pada itu mulutku tidak habis-habis merungut.

“Auntie, nak aiskrim lagi,” Haikal menarik seluarku.

“Tak boleh makan dah. Nanti kau buat tumpah macam tadi lagi. Aku dah malas nak bersihkan.”

Kali ini aku sudah malas hendak melayani kerenahnya.

Haikal menghentak-hentak kaki tanda protes. Dia mencapai mangkuk plastik lalu dicampak ke arahku.

Bukk!! Tepat mengenai wajah.

“Aduh!”

Aku menyeringai kesakitan. Merah hidungku akibat hentakan yang agak kuat itu. Walaupun mangkuk itu diperbuat dari plastik sahaja pun sudah cukup membuat aku terasa sakit. Aku menggosok-gosok hidung. Haikal tersenyum mengejek. Hatiku membengkak marah.

“Isy, tak guna punya budak. Nak kena cubit ke hah?!” aku menjerkahnya.

“Uwekk...”

Dia menjelirkan lidahnya ke arahku. Kurang asam boi punya budak kecik! Entah dari mana agaknya dia belajar bersikap kurang ajar seperti itu. Makin panas hati dibuatnya. Tanpa berlengah lagi dia cepat-cepat berlari ke ruang tamu. Takut apabila ternampak tanganku yang sudah mengagau bersedia mahu mencubit perutnya.

“Oi, budak kau nak lari pegi mana hah?!!” aku menempik sekuat hati.

Mop yang berada di tangan aku lemparkan dengan geram. Aku bengang. Hisy, nakal sungguh anak Hazim ni. Rasanya tidak pernah lagi aku berjumpa dengan kanak-kanak yang senakal ini. Jika diikutkan panas baranku ini mahu sahaja aku menampar mukanya tadi. Biar padan dengan muka. mujur aku masih berfikiran waras. Aku cuba bersabar walaupun sabarku ini tidak tahu boleh bertahan sampai bila.

Sewaktu aku bertungkus-lumus mengemas dapur, tiba-tiba telingaku menangkap bunyi sesuatu di ruang tamu. Apa lagi ni?

Aku bergegas pula ke situ. Ingin melihat apakah yang telah berlaku. Berderau darah saat aku terpandang pasu bunga dari Holand yang dibeli oleh papa kira-kira dua tahun yang lalu pecah berderai di atas lantai.

Haikal tanpa perasaan bersalah mengambil bola mainannya kemudian dibaling pula ke arah televisyen plasma yang terletak di satu sudut kiri ruang tamu. Aku sudah tidak mampu bersabar lagi. Nakalnya aku kira sungguh luar biasa!

Aku merampas bola yang berada di tangannya. Haikal meronta-ronta tidak mahu melepaskan. Laju sahaja aku menarik telinga Haikal sehingga kemerahan. Haikal menangis di situ juga.

“Kau tengok tu habis pasu papa kau pecahkan. Apa aku nak cakap bila papa dah balik nanti? Takkan nak bagitau kucing punya kerja pulak?” aku memarahinya.

Dia berlari ke sofa. Tubuh kecilnya disembam ke situ.

“Hah, melalak lah kau kat situ puas-puas. Malas aku nak layan perangai ngada-ngada kau tu. Dasar budak hingusan!”

**********

“MEEM buat apa kat Atai sampai merah telinganya papa tengok?” soalan pertama yang keluar sebaik papa pulang dari pejabat.

Aku buat muka selamba sambil jungkit bahu. Buat muka tak bersalah!

Nampaknya papa belum perasan lagi yang pasu bunga kesayangannya itu sudah ‘selamat’ dibakul sampahkan. Agaknya mahu lagi mengamuk kalau papa tahu. Dia beria menjaga pasu itu. Kadang-kadang kalau hujung minggu papa yang lebih rajin dari aku mengelap habuk-habuk yang melekat pada setiap koleksi pasu-pasu dan pinggan mangkuk yang tersusun di rak. Nak harapkan aku tak usahlah. Aku lebih rela menyuruh bibik yang buat.
Papa memang suka kumpul barang-barang yang baginya ada memberi nilai seni pada pandangan matanya. Sesuatu yang ada ukiran seni halus. Setiap kali papa ke luar negara pasti ada sahaja buah tangan yang dibelinya. Walaupun harga mencecah ribuan ringgit.

“Budak tu menangis ke tadi?” tanya papa lagi.

“Entah.”

Aku menjawab malas. Tidak kuasa hendak ambil tahu perihal Haikal. Aku menjeling tajam ke arahnya yang sudah lena tertidur di atas sofa. Aman sikit hidup ni.

“Kalau papa nak tau, si Atai tu mengamuk tadi sampai habis pecah pasu bunga papa dibuatnya. Ada ke patut dibalingnya bola sampai terkena pasu tu,” rungutku.

“Lah... kenapa Meem tak halang?”

Aku mengerutkan dahi.

“Mana Meem sempat pa.”

Papa menggeleng perlahan.

“Patutnya Meem kenalah jaga Atai tu elok-elok. Nama pun budak-budak. Ini sampai nak pukul dia. Kalau Hazim tanya macam mana?” tegur papa.

“Lantak dialah nak marah pun. Anak dia tu nakal nak mampus. Tak tahan Meem jaga budak tu.”

Papa ni bukannya nak marah pun budak tak guna tu buat pecahkan pasu dia. Aku pulak yang dimarahinya.

“Tapi tak sepatutnya Meem berkasar dengan Atai. Papa pun tak suka,” tegas papa.
Aku menjuihkan mulut.

“Ah, tak kuasa Meem nak berlembut dengan dia pa. Kalau papa sayang sangat dia, papa sendirilah jaga budak tu!” aku membentak.

Aku terus menaiki anak tangga ke tingkat atas menuju ke bilik. Tiada guna rasanya hendak mengadu dengan papa. Papa mesti akan back up budak tu. Esok lusa papa tiada di rumah kerana bertugas ke luar negeri. Senanglah aku nak ajar budak tu puas-puas. Api kebencian di hatiku semakin menyala-nyala.

 5

“AWAK tak payah lah nak hantar Atai tu ke sini lagi.”

Buat kesekian kalinya aku meminta pengertian darinya. Kalau tak faham juga tak tahulah nak cakap macam mana lagi.

“Lah... kenapa pulak?” Hazim mengerutkan dahinya.

Hisy, mamat ni buat-buat tak faham pulak. Nak cakap berkias karang lagi tak faham agaknya. Kalau nak berterus-terang nanti dia kata apa pulak. Ah, lantak dialah nak kata apa pun. Sebab anak dia yang terlalu nakal itulah yang menyebabkan hidup aku jadi haru-biru sekarang ni.

“Meem, anak saya ada buat masalah ke kat awak?” dia sudah menukar gaya bahasanya menjadi tidak formal. Tidak ber’cik’ lagi denganku.

“Kalau dah tau buat apa tanya lagi?”

Aku mencebik sambil berpeluk tubuh.

Hazim aku lihat sudah tersenyum-senyum. Apa kena pulak mamat sorang ni? dia fikir aku main-main ke.

“Awak lupa nak bagi dia makan ubat kot.”

“Ubat? Ubat apa pulak?” aku bertanya. Pelik juga. Haikal tu sakit apa? Aku tengok dia aktif je tadi. kalau sakit takkanlah dia boleh seaktif itu.

“Atai tu hyperactive. Dia bergantung dengan ubat untuk mengawal kelakuannya tu. Kalau tak memang susah nak kawal dia sampai jadi tak terkawal,” terang Hazim.

“Oh, macam tu ke. Awak tak gitau saya pun kena bagi dia ubat tadi. Manalah saya tau.”

Aku merungut-rungut. Agaknya kalau bagi ubat tidur lagi bagus. Biar terlebih-lebih dose sampai tak bangun budak tu. Aman sikit hidup aku ni. Yang si Hazim ni pun satu. Sampai dah pecah sebijik pasu papa barulah dia nak bagitau kat aku benda mustahak macam ni. Kalau aku tahu awal-awal lagi aku sudah kasi itu ubat. Akan aku sumbat-sumbat ke dalam mulut anaknya tu.

“Eh, kan saya dah pernah bagitau pada Meem dulu.”

“Bila?”

“Ada, Meem dah lupa agaknya. Masa mula-mula saya hantar Meem jaga Atai dulu. Ingat lagi tak?”

“Entah... tak kuasa saya nak ingat benda-benda remeh macam tu,” selamba aku menjawab.
Hazim mengerutkan dahinya. Nampak dia tidak senang dengan kata-kataku tadi.

“Meem, saya harap Meem tak marah lagi pasal hal semalam.”

“Marah? Buat apa saya nak marah? Lagipun takde sebab saya nak marah.”

Aku cuba melupakan kejadian semalam sewaktu pertemuanku dengan Hazim dan tunangnya. Masih belum terlambat lagi untuk aku singkirkan perasaan ini terhadapnya. Bibir Hazim mengukir senyuman. Nampak ‘cute’ lah pulak bila dia senyum macam tu. Boleh tahan juga rupa mamat ni.

“Jadi Meem tak marah bila saya nak mintak tolong Meem jaga Atai?”

“Ikut pada perjanjian tu sebulan je kan. But make sure only for one month. Just one month okay,” aku angkat jari telunjuk sebagai isyarat. Betul-betul tepat pada mukanya. Biar dia bukak mata luas-luas!

“Okey, tapi boleh tak awak datang rumah saya dalam pukul 8 malam nanti? After Maghrib.”

“For what?!”

“Mak ajak datang makan-makan.”

Aku terpandang senyuman Hazim yang semakin melebar. Isy, malas lah pulak nak pegi. Nak jumpa mak dia pulak tu. Ini mesti mak dia nak mintak tolong aku kemas rumah dia ke tak pun tolong basuh pinggan ke. Maklumlah baru pindah kan. Tak kuasa aku. Adoyai... alasan apa nak bagi ni? sakit perut? Pening? Senggugut datang tiba-tiba...? macam tak logik pulak.

“Err, aa...”

“Datang ya malam ni.”

Belum sempat aku hendak membuka mulut, dia sudah melepasi pintu pagar rumah.

**********

MACAM MANA ni? nak pegi ke tak? Aku mencongak dengan jari-jemariku. Rasa malas je nak pegi tapi orang dah ajak datang makan macam tak elok pulak nak tolak. Lagipun perut memang dah lapar gila ni. Aku menjengah meja di dapur sah-sah dah memang kosong. Stok megi adalah. Aku nak masak? Hmm... memang haramm!! jangan haraplah. Pegang senduk dengan kuali pun tak pernah... eh, silap. Pernah tapi masak nasi goreng cincai tu boleh lah. Ada ke nasi goreng cincai? Apa-apa jelah Shameem. Untuk diri sendiri je boleh lah.

Kat rumah Hazim ada apa agaknya? Mesti mak dia masak sedap kan. Adoi... perut ni berbunyi lah pulak. Minta diisi dengan segera. Apa kata aku makan dulu roti gardenia ni sekeping, dua buat alas perut sementara nak tunggu jam 8 malam nanti. Nanti kalau berbunyi memainkan irama keroncong depan diorang semua aku jugak yang malu!

**********

MAK HAZIM dah pandang aku semacam. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki dia asyik dok menelek aku. Tukang tilik ke apa orang tua ni? tengok pun dah lain macam. Tapi aku sikit pun tak mengendahkan renungan tajam orang tua itu. Terpaksalah aku bermanis muka. Abah Hazim pula aku tengok biasa-biasa saja. Sambut aku sebagai tetamu dengan mesra dan seadanya.

Setelah bersalaman, sempat lagi aku mengerling ke arah susunan lauk-pauk yang enak itu. Dari muka pintu pagar rumah Hazim lagi aku dah terbau keenakan masakan maknya. Kan aku dah cakap tadi. Memang confirmlah sedap punya. Tengok rupa pun dah boleh agak. Makin lapar pulak perut aku ni. he he...

“Ini ke Shameem yang anak Tan Sri tu?” sempat lagi maknya berbisik ke telinga Hazim. Hazim angguk je.

Excuse me... bisik-bisik ni ingat aku tak dengar ke makcik?

“Adah,” tegur Pak Samad.

Agaknya dia tengok aku sudah tercegat lama di ruang tamu itu.

“Jemputlah duduk dulu Meem. Makcik nak ke dapur kejap.” Pelawa Mak Saodah. Sempat lagi dia mengerling ke arahku. Wajah orang tua itu sukar untuk aku mengerti. Entah apa agaknya yang sedang difikirkan terhadap diriku.

“Ayah Meem takde kat rumah ke?” tanya Pak Samad.

“Takde pakcik. Dia outstation ke JB.” Aku menjawab ringkas.

Hazim sudah duduk di sebelah seorang budak perempuan. Betul-betul menghadapku. Mungkin adiknya kot. Dia sedang leka bermain dengan Haikal. Menyedari kehadiranku di situ, gadis itu terus bangun untuk menyalamiku. Manakala Pak Samad sudah berlalu ke ruang makan.

“Kenalkan Meem. Ini Alya Nazeera, adik bongsu saya.”

“Oh...”

Aku tidak begitu berminat nak berkenalan dengan ahli keluarganya. Sekadar membalas senyuman adiknya ala kadar sahaja. Aku pandang Haikal. Rasa geram yang masih bersisa dalam hati aku pendam sahaja. Bila dah depan ayahnya jadi aku terpaksa lah kawal emosi. Ikutkan sakit hati ini mahu lumat budak ini aku kerjakan.

“Apa khabar kak?”

Aku mengangguk. “Fine.”

“Form berapa ni?” aku berbasa-basi.

“Tahun ni dah masuk form five kak,” jawabnya mesra.

“Oh, nak SPM lah tahun ni kan.”

Alya mengangguk. Aku mengerling ke arah beberapa buah buku latihan Tingkatan Lima di atas meja. Agaknya sebelum aku sampai tadi dia tengah mengulangkaji pelajaran kot. Aku pandang sekeliling rumah yang sederhana besar ini. Kemas juga rumah Hazim ni. Hmm... boleh tahan.

“Ni ke Kak Meem yang Abang Ngah cerita tu?”

“Cerita apa Alya?”

Hazim aku lihat sudah berubah air mukanya.

“Memang betul lah kata Abang Ngah. Kak Meem ni memang lawa orangnya. Cun melecun macam heroin cerita Ombak Rindu, Maya Karin tu,” sengih Alya.

Aku hampir tersedak. Amboi, melampau betul sampai menyamakan aku dengan pelakon jelita itu. Terlebih sudah lah pulak adik si Hazim ni... tapi dalam hati dah kembang semangkuk sebenarnya. Tapi betul ke Hazim cakap macam tu? macam susah nak percaya pulak.

“Betul ke Hazim, awak cakap macam tu?” aku bertanya.

Dia nampak agak menggelabah.

“Isy, apa yang Alya melebih-lebih pulak ni? Abang Ngah kan cuma bagitau tadi Kak Meem ni jiran sebelah rumah abang. Dialah yang jaga Atai masa mula-mula Abang Ngah pindah sini.”

“Tapi...”

Belum pun sempat Hazim hendak memotong percakapannya, tiba-tiba terdengar suara Pak Samad sudah memanggil ke meja makan. Mak Saodah pula sedang menatang satu jag air sirap limau.

“Eh, Hazim, ajaklah Meem tu makan dulu. Kot ye pun nak berborak nantilah dulu.”

“Mari Meem. Kita makan dulu.” Pelawa Hazim sambil tersengih.

Dia menarik tangan kecil Haikal. Aku mengekori langkahnya ke ruangan makan. Datang pulak rasa segan. Tatkala terpandangkan masakan Mak Saodah, terus hilang rasa malu yang bertandang dalam hati. Mak aih, banyaknya lauk. Ikan siakap tiga rasa... ketam masak lemak cili api... sambal udang dengan petai... kerabu pucuk paku... sayur kubis... ikan bakar... ulam-ulaman... beserta puding dan pelbagai lagi juadah menyelerakan sebagai pencuci mulut. Mahu juling anak mata menengok kesemua juadah ini.

“Makcik ke yang masak semua ni?” aku bertanya spontan.

“A’ah tapi Alya ada jugak tolong sikit-sikit. Hazim nilah yang mengidam nak makan macam-macam. Makcik pun bukannya selalu datang sini. Inipun sebab nak jenguk Atai sekali dengan rumah barunya ni.”

“Uish, ini dah macam masak untuk kenduri je makcik,” aku berseloroh.

“Hai, makcik kamu ni Meem memang rajin. Lebih-lebih lagi kalau Hazim ada. Pakcik pun boleh tumpang sekaki,” kata Pak Samad. Aku tergelak.

Mak Saodah tersenyum sahaja. Dia berpandangan dengan Alya yang duduk di sebelah. Kali ini aku duduk menghadap Hazim. Manakala Haikal pula duduk di sebelah ayahnya itu. Walaupun rasa kekok sekali namun aku cuba memaniskan muka.

“Alah, biasa je Meem. Takde apa yang special sangat pun. Alang-alang nak masak banyak macam ni, tu yang makcik suruh Hazim ajak Meem datang sekali. Yelah, rumah pun dekat je kan. Hazim cakap papa Meem takde kat rumah. Kesian pulak nak biarkan Meem sorang-sorang kat rumah,” kata Mak Saodah.

Yeke Hazim cakap macam tu? dia risaukan aku ke? Isy... biar betul dia ni. Dari dia ajak aku kenapa tak pelawa tunangnya aje? Semalam bukan main menggedik je depan aku. Bergesel sana, bergesel sini. Mahu terjojol keluar biji mata ni menyaksikan adegan semalam. Pasangan romantik lah tu kononnya!

“Kira orait lah ni makcik. Dari saya yang tak tau memasak langsung ni...”

Opsss...!! aku menekup mulut. Terlepas cakap pulak. Jatuh saham aku depan bakal mak dengan ayah mertua. Ha ha...

Tapi buat apa aku nak risau sangat. Macam lah Hazim nak kawin dengan aku. Dia kan dah ada Sheila. Mak Saodah dan Pak Samad tersenyum. Begitu juga dengan Alya yang seperti menahan ketawa. Dia mengerling ke arah Hazim dengan riak wajahnya yang selamba sahaja. Jangan-jangan dia buat-buat tak dengar aku cakap tadi. Tak dengar apa bendanya kalau dah bergema kuat suaraku satu ruang makan ni.

“Takpe Meem, mula-mula memang lah tak tahu. Tapi benda ni boleh belajar sebenarnya.” Ujar Pak Samad bersahaja.

“Muka saya ni nak belajar masak pakcik? Hemm... kirim salam jelah...” yang sebenarnya aku mahu cakap macam ni je depan Pak Samad. Tapi lain pula ayat yang keluar,

“Oh... boleh jugak. Nanti boleh lah makcik ajar saya ye.” Ikhlas tak ikhlas je gayanya. Aku memandang Mak Saodah yang tersenyum nipis.

Aku nak belajar memasak? Buat lawak ke apa ayah Hazim ni? seumur hidup aku, tak pernah sekali pun aku cuba-cuba nak belajar masak. Agaknya papa pun mesti tak percaya bila tengok aku masak. Mesti dia fikir dunia ni nak kiamat agaknya. Isy, sampai macam tu sekali kan. Tapi inilah dia Shameem Suhaili. Satu-satunya anak dara papa yang tersangaaaatlah ‘rajin’.

“Boleh Meem, apa salahnya. Mak Meem pun mesti selalu memasak jugak kat rumah kan?” pertanyaan Mak Saodah itu terus membuatku tergamam.

Masa ada mama dulu pun aku tak pernah tengok mama masak untuk kami sekeluarga. Mama begitu sibuk dengan kerjanya di luar. Mengingati mama membuatkan aku merasa sebak. Sejak mama dan papa bercerai aku sudah jarang bertemu dengan mama. Mama seolah-olah telah membuangku jauh dari hidupnya. Kalau nak berjumpa pun ada sahaja alasannya. Sibuklah, ada kerja lah, dan macam-macam lagi. Sampai kan aku sendiri dah jadi malas nak jumpa mama lagi. Ada mama pun sama je macam takde mama.

“Meem?”

“Ah, aa... a’ah makcik... ada jugak.”

Aku tahu aku telah menipunya. Tapi takkanlah aku nak bercerita keburukan mama yang telah mengabaikan tanggungjawabnya pada mereka pula? Untuk pengetahuan makcik, mama tak pernah memasak untuk keluarga kami pun selama ini. Masakan aku harus berkata begitu pula. Aku sendiri tidak tahu jawapan apa yang harus kuberikan.

Aku menyenduk sendiri kuah sambal udang. Petai yang termasuk sekali ke dalam pinggan aku kuis sahaja. Tolak ke tepi dan mengasingkannya dengan udang. Aku perasan lirikan mata Hazim memandang ke arahku. Tapi aku buat-buat tak nampak je.

“Tak makan petai ke?” tanya Hazim.

“Tak,” jawabku.

Dia tidak jadi menyuap nasi ke dalam mulut. Lantas pinggannya ditolak ke hadapan. Aku memandang nya hairan.

“Kenapa?”

“Bagi sini petai tu. Saya nak.” Hazim menjawab selamba.

“Lah... akak tak makan petai ke?” Alya menyampuk.

“Err, memang tak pernah makan pun. Tak suka. Mulut nanti berbau,” aku buat muka. Mak Saodah mengerling ke arahku.

“Makan petai lah elok. Alya suka sangat. Walaupun rasa dia pahit tapi bagus untuk kesihatan. Awet muda. Kan mak?”

Mak Saodah mengangguk.

“Budak-budak muda sekarang memang dah susah nak jumpa yang suka makan ulam-ulaman. Lebih lagi budak-budak yang duduk kat bandar. Dah biasa hidup moden kan. Kalau orang kampung ni lain sikit Meem. Ulam-ulam ni siap buat macam snek lagi,” kata Mak Saodah.

Aku tidak pastilah mak Hazim ni sengaja atau tidak memerli aku. Tapi panas juga telinga aku mendengarnya. Tambah lagi dengan rasa pedas sambal udang ni. Tapi aku buat muka selamba badak je. Aku mengaup petai di pinggan lalu dimasukkan ke dalam pinggan Hazim.

Nah, makanlah kau puas-puas. Tak kuasa aku nak makan petai ni. Aku kan sangat menitikberatkan penampilan diri. Kalau mulut berbau nanti jatuh lah standard aku. Manalah aku hendak sorok muka ini. Lainlah dengan Hazim. Dia mungkin tidak kisah dengan semua itu. Sebab aku ni bukannya orang kampung macam dia!

“Biarlah dia nak makan ke tak pun. Yang penting perut tu kenyang. Betul tak Meem?”

Aku mengangguk. Wah, Pak Samad back up aku. Ini yang syok ni, he he...

“Kenyang tapi tak cukup khasiat pun buat apa. Makan ulam ni kan bagus,” Mak Saodah menjeling Pak Samad.

“Alah mak, tak semestinya tak makan petai tu tak suka makan ulam yang lain. Sayur pun elok jugak untuk kesihatan,” kata Hazim seperti mahu membelaku.

Aku terpana. Kenapa dengan dia ni? pelik je aku tengok. Aku melarikan anak mata tatkala pandangan kami bertembung. Aku dapat merasakan debaran hati yang mula tidak sekata saat ini. Aish, kenapa pulak ni?

“Meem makan sayur ke?” tanya Mak Saodah.

“Makan makcik. Semua jenis sayur Meem makan. Kecuali ulam. Sebab Meem tak suka makan ulam pun. Maklumlah dah memang semulajadi awet muda kan. Kalau setakat guna produk muka yang harga ratusan ringgit tu rasanya lebih berbaloi kot dari guna cara lama ni,” jawabku sambil tersenyum sinis.

Rasakan kau orang tua. Memang sengaja nak cari pasal dengan aku nampaknya. Aku perasan yang riak wajah Mak Saodah sudah berubah. Dia menjeling tajam Hazim di sebelahnya.

“Itulah silapnya cara berfikir orang muda sekarang. Nak pulak yang jenis hidupnya beralaskan harta kemewahan mak bapak. Lagi susah kan. Sampai cara lama yang dikatakan dah lapok dan ketinggalan zaman ni direndah-rendahkan. Padahal budak-budak ni bukan tak tahu kesan akan datang macam mana. Sekurangnya cara lama nilah yang lagi terjamin sampai bila-bila pun. Tak mendatangkan mudarat. Lagi elok adalah.”

“Mak...”  tegur Hazim.

“Kenapa? Salah ke mak cakap ni?” Mak Saodah menjuihkan mulutnya.

“Adah, awak fikir semua orang yang tinggal kat bandar ni jenis macam tu ke? Awak tengok macam kawan saya si Daud tu. Walaupun dah duduk KL dah berbelas tahun pun tapi elok ada je dengan cara lama dia tu. Tak lupa asal-usul,” sanggah Pak Samad.

“Itu Daud bang... dah memang asalnya dari kampung kita. Cuba yang memang lahirnya kat bandar. Lepas tu keluarganya kaya. Memanglah cara hidup dia membesar tu lain. Berlagak tak kena tempat.”

Aku tergamam. Sedar yang Mak Saodah sedang menyindir diriku. Aku tidak pasti kenapa tetapi aku sudah perasan sejak dari awal lagi Mak Saodah nampak tidak begitu menyenangi diriku.

“Lagipun buat apa kita nak buang cara hidup lama kalau benda tu yang mengekalkan kesihatan berpanjangan?” kata Mak Saodah lagi.

Aku mencebik.

“Yelah, mak kan masa muda-muda dulu lawa macam ada iras pelakon Sarimah tu. Alya pernah tengok gambar lama mak. Cun woo... agaknya ni petua mak eh makan banyak ulam?” usik Alya.

“Orang kalau dah memang dah cantik tak perlu nak makan ulam pun takpe,” sebenarnya Pak Samad hendak memerli isterinya.

Aku tergelak mendengar kata-kata Pak Samad. Ayat pakcik ni memang mantap lah! Lagilah Mak Saodah sakit hati. Dia menjeling ke arahku dengan tajam.

“Habis tu saya ni dah tua, dah tak cantiklah ye?” Mak Saodah memasamkan mukanya.
Hazim mula menunjukkan rasa tidak senang hatinya. Memang silap besarlah kau Hazim bawak aku jumpa mak kau. Tersalah pilih calon... haha!

“Bukan macam tu maksud...”

“Aaah...!”

Belum pun sempat Pak Samad menghabiskan ayatnya, aku terjerit kecil. Semua mata tertumpu ke arahku. Merah padam muka aku kerana habis baju-T putih yang aku pakai terkena kuah sambal udang. Entah macam mana boleh terjatuh pula udang sehingga mengenai pakaianku. Mak Saodah menahan gelak. Pak Samad dan Alya pula terpinga-pinga memandang. Manakala Hazim nampak sedikit risau. Dia sudah bangun untuk menghulurkan sehelai tisu. Aku lekas-lekas menolak.

“It’s okay. Saya nak ke dapur jap,” aku bergegas ke sinki yang berada di dapur.

Telingaku sempat menangkap kata-kata sinis Mak Saodah,

“Padan dengan muka kau...”

0 ulasan:

Post a Comment