Thursday, January 26, 2012

Dia, Cinta Pertama


13

ABANG ZAFRI menghentikan Mazda Lantisnya di hadapan kediaman mewah Villa Arina. Lama aku termangu di dalam kereta tanpa menunjukkan sebarang tanda untuk memasuki villa itu. Tersergam sungguh indah sekali dengan hiasan landskap yang menarik hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Di tengah laman mini itu ada sebuah kolam ikan dengan pancuran air yang keluar dari sebuah ukiran pasu diperbuat dari tanah liat. Sekali pandang sahaja aku sudah tahu landskap itu berkonsepkan moden kontemporari.

“Is there something that bothering you?” pertanyaan Abang Zafri itu membuatku sedikit tersentak.

Aku menggeleng perlahan. “Meem okey...”

“But your face didn’t show it. This is not who you really are...” keluh Abang Zafri.

“Meem, abang tak tau kenapa Meem tiba-tiba berubah mendadak macam ni. Abang dah kenal Meem sejak kita masih kecil lagi. Arwah Tok Wan yang jaga kita. Macam mana Meem nak sorokkan masalah Meem pada abang hm?”

Aku cuba untuk tersenyum. Ya, memang benar kata Abang Zafri. Mana mungkin aku dapat menipunya. Sedangkan kami sama-sama membesar sewaktu di Kuala Lipis dahulu. Bersama-sama dengan Dina dan sepupu-sepupu yang lain yang tinggal berdekatan. Di saat ibu bapa masing-masing sibuk mengejar harta kekayaan, hanya pada Tok Wan sahaja lah tempat kami menumpang kasih. Cuma yang berbezanya ialah Abang Zafri dan Dina tidak pernah mempunyai sebarang masalah dalam hubungan kekeluargaan mereka.

Walau sesibuk mana sekalipun, Mak Usu dan Pak Usu tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Sehingga aku sendiri merasa cemburu. Sejak dari kecil hingga sekarang aku dapat merasakan betapa kurangnya perhatian dan kasih sayang yang mama berikan padaku. Mama selalu sibuk. Jarang sekali aku dihadiahkan kucupan dan belaian kasih sayang dari mama.

Hanya papa yang memahami diriku. Walaupun papa juga sibuk menguruskan firma, namun aku sedar papa selalu juga mencuri masa untuk meluangkan hujung minggu bersamaku. Pernah sekali walaupun usiaku sudah mencecah remaja, papa yang baru pulang dari kerja sempat membawa aku berjalan ke taman tema kegemaranku sewaktu masih kanak-kanak. Aku agak terkejut kerana papa masih mengingati setiap perkara yang menjadi kegemaranku. Aku merasa terharu dan sebak setiap kali mengingati saat manis itu.

Tetapi mama... mama hanya tahu menceritakan keburukan papa sahaja. Aku tidak faham apakah punca perceraian mama dan papa sedangkan aku melihat papa merupakan seorang lelaki yang cukup sempurna bagi mama. Aku sendiri pun, kalau boleh mahu memilih lelaki yang mempunyai ciri-ciri perwatakan seperti papa yang bertanggungjawab dan penyayang. Entahlah... mungkin sekarang ini aku rasa mustahil dapat bertemu dengan lelaki seperti itu.
Hazim. Pernah sekali aku terfikirkannya. Namun cukuplah sekali aku tertipu dengan sikapnya yang pandai berpura-pura. Aku sebenarnya sudah lama membunuh perasaan itu. bagiku itu adalah satu kesilapan paling besar dalam hidupku kerana telah tersilap membuat penilaian terhadap nya.

Prinsip mama yang lebih mengagungkan mereka yang berpangkat dan berharta mampu menjamin kebahagiaan dalam hidup begitu tepu dalam diriku. Sehingga aku berasa jelek memandang mereka yang hidupnya tidak setaraf denganku. Bagiku, orang-orang seperti itu hanya membiarkan diri mereka menyerahkan bulat-bulat pada nasib dan takdir hidup tetapi malas untuk berusaha. Itulah yang sering mama katakan padaku.

“Kalau Meem betul ada masalah apa kata Meem cerita pada abang. Insya Allah, abang akan cuba sedaya upaya bantu Meem.”

“Abang Zaf nak tahu tak kenapa nama villa ini Villa Arina?”

Abang Zafri mengangkat keningnya. Memberi isyarat yang dia tidak tahu jawapannya. Aku tersenyum.

“Sebab papa lah yang bagi nama villa ni bersempena dengan nama seorang wanita yang begitu tulus mencintainya satu ketika dulu.” Aku menahan getar di hati.

“Maksudnya nama villa Arina ni ialah bersempena dengan nama Mak Long?” Abang Zafri lebih kepada berkata pada dirinya sendiri. Aku mengangguk.

“Menurut papa, masa mula-mula pindah ke sini dulu hanya mama je yang selalu papa fikirkan. Papa tak pernah membenci mama. Sampai sekarang dia mengharapkan mama kembali pada kami.” Aku menunduk muka. Rasa sebak mula menguasai.

“Apa sebab ya Mak Long dengan Pak Long bercerai?”

Aku menggeleng. “Meem tak tahu...”

“Nampaknya dari cerita Meem tadi jelas yang Pak Long masih menyimpan rasa cintanya terhadap mama Meem kan.”

“Ya, disebabkan rasa cinta itulah papa rasa sayang nak melupakan mama begitu saja. Papa cakap dia tak kisah mama nak lupakan dia tapi biarlah ingatan papa terus kekal abadi sampai bila-bila. Dan Villa Arina inilah buktinya yang papa masih sayangkan mama. Cuma mama je yang tak tau.” Aku bersuara perlahan.

Terdengar keluhan panjang dari mulut Abang Zafri.

“Abang tak tahu apa yang perlu dikatakan sekarang. Siapa yang bersalah dalam hal ni. abang tak berhak memihak pada mana-mana sama ada papa ataupun mama Meem. Cuma yang boleh abang cakap, abang sebenarnya kagum dengan ketabahan Pak Long tu. dia tetap kuat meneruskan legasi perniagaannya di firma walaupun diuji sebegitu sekali. Meem, walau apa pun yang berlaku tabahkanlah hati. Sekurangnya Meem masih ada Pak Long yang sentiasa ada di sisi menyokong Meem. Dalam masa yang sama Meem masih boleh berjumpa dengan Mak Long kan.”

“Itulah yang susahnya...”             
             
“Apa yang susah?”

“Meem jarang dapat jumpa mama. Sebenarnya ikutkan tadi Meem nak sangat pegi jumpa mama. Tapi mama macam tak sudi je nak jumpa Meem.”

“Meem, janganlah cakap macam tu.”

Tiba-tiba Abang Zafri memegang erat tangan kananku. Aku tergamam. Diusapnya perlahan tanganku itu.

“Don’t think like that because I know, she’s really miss you so much. Abang faham apa yang Meem rasa. Tapi abang tak mahu tengok Meem sedih macam ni. I beg you please...”

Perlahan-lahan bibirku mengukir senyuman walaupun terpaksa. Hatiku saat ini terlalu sedih. Mengingati mama dan layanannya terhadapku membuat aku berasa sungguh kecewa dan terluka. Aku ternyata gagal mengawal perasaan sendiri. Aku masih tetap seorang wanita yang memiliki jiwa halus. Walau sekeras mana pun hatiku selama ini namun aku sedar yang aku telah tewas jika ianya membabitkan soal hati dan perasaan kerana aku juga manusia biasa yang lemah.

“Meem tak mahu menangis sebab mama cakap hanya orang lemah je yang akan menangis.”

“Eh, apa salahnya kalau kita menangis kalau dengan cara tu boleh membuatkan kita jadi tenang. Sekurang-kurangnya ia akan mengurangkan rasa stress dalam diri kita.” Abang Zafri memberikan pendapatnya yang aku kira ada benarnya.

“Walau macam mana pun Meem takkan menangis.”

“Hai, keras hati juga ye adik abang ni.”

Aku menjuihkan mulut. Pandanganku tertancap pada sekujur tubuh Hazim yang sedang mencuci keretanya di halaman rumah melalui cermin sisi kereta. Abang Zafri juga begitu. Dia melirik sekilas ke wajahku.

“Meem masih ingat lagi dengan kata-kata Hazim dulu?”

Aku mengerutkan dahi.

“Yang mana ya?”

“When he speaks in French, I just thought that he really meant it.”

“Tak faham. Explain.”

Sekali lagi Abang Zafri melepaskan keluhan.

“Silap abang jugak sebab sengaja nak duga dia. Sebab abang dapat rasa yang dia sebenarnya meminati Meem dalam diam.” Abang Zafri berterus-terang.

Aku agak terkejut. “Hah, betul ke Abang Zaf?”

“Abang cakap kat dia only best man can win your heart dear. Then dia kata tunggu dan lihat ajelah. Walaupun dia tak menunjukkan perasaan sebenarnya secara terang-terangan tapi abang tahu yang dia memang sukakan Meem.”

“Actually I hate him so badly,” aku menjawab ringkas.

“Really?”

“Yup, Meem langsung tak sukakan dia. Kami selalu berselisih faham walaupun atas sebab yang remeh. Lelaki macam tulah yang Meem mintak sangat dijauhkanlah. Isy... tak naklah Meem lebih lagi dia tu tunangan orang.”

“Dia dah bertunang ke?” abang Zafri mengerutkan dahinya.

Aku mengiyakan. “Tunang dia tu sombong nak mampus. Geram Meem dengan orang macam tu. asalnya dari kampung je. Tapi berlagak macam orang bandar. Perasan bagus!”

Abang Zafri tergelak.

“Hm... quite interesting. Tapi abang rasa Hazim is not that kind of person. Rasanya macam abang pernah jumpa dia sebelum ni. Somewhere else... cuma tak pasti. I guess di KLIA agaknya.”

Aku mencemikkan muka. Tidak berminat untuk bercerita tentang hal pemuda kampung itu. Buang masa sahaja.

“He looks like familiar. Meem kena jaga-jaga sikit dengan dia.”

“Kenapa?”

Abang Zafri tidak menjawab. Sebaliknya dia tersenyum penuh makna. Matanya masih terus-terusan melekat pada Hazim melalui cermin pandang belakang dengan renungan yang sukar untuk ditafsirkan.

**********

KATA-KATA Abang Zafri masih berlegar dalam fikiranku. Aku berteka-teki. Apa maksud Abang Zafri sebenarnya. Walaupun tadi bukan main lagi aku mengelak untuk tidak mahu memikirkan hal berkenaan pemuda kampung itu, tetapi sampai sahaja di rumah otak aku ini begitu degil asyik mengingatinya sahaja.

‘He looks like familiar. Meem kena jaga-jaga sikit dengan dia...’

Apa maksud Abang Zafri? Ah, peninglah nak fikir. Lupakan sajalah. Sia-sia je aku fikir benda yang tak penting macam tu. Lagi menambahkan sakit hati adalah!

Aku merenung sampul surat coklat di tangan. Dikirimkan khas untuk papa. Nama pengirimnya tiada pula. Mungkin hal berkaitan kerja agaknya. Aku hanya meletakkan sampul surat bersaiz lebih kurang A4 itu di atas meja ruang tamu. Senang sikit papa nak tengok bila dah sampai rumah nanti. Masuk je terus nampak surat ni.

**********

TEPAT jam 2 petang aku sudah kelam-kabut mengemas meja serta segala macam dokumen penting di bilik pejabat. Aku segera teringat pesanan Hazim semalam untuk menjaga Haikal seperti kebiasaannya. Staff yang lain-lain semuanya sudah masak dengan rutin harianku. Sekarang ini aku sudah merasakan satu tanggungjawab terpikul di bahuku. Setiap masa terbayangkan Haikal dan keletahnya yang nakal itu. Dalam pada benci itu terpaksa jugalah aku melayan kerenahnya. Alah, sebulan bukannya lama. Tinggal seminggu sahaja lagi sebelum aku dapat menjauhkan diri sepenuhnya dari Hazim.

Selepas sahaja habis tempoh sebulan ini aku menjaga Haikal, aku akan memastikan yang aku tidak akan bersua muka lagi dengan Hazim. Sudah tidak sanggup lagi hari-hari menghadap muka lelaki itu. Apatah lagi mengingatkan kata-kata Abang Zafri itu.

“Atai, jangan main benda tu boleh tak?” jeritku.

Aku mengerutkan dahi. Serta-merta aku merampas lukisan yang berada di tangan anak kecil itu. Hisy... dia ingat ini barang mainan yang boleh dibuat main ke? Geramnya. Rasa macam nak tunjal je kepala dia tu.

“Atai nak tu!”

“Mana boleh. Ini aku punya. Kau ni memang tak reti bahasa sungguh!”

Aku menyorokkan kertas lukisan bersaiz A3 di belakangku. Nakal betul anak Hazim ni. Aku mula merungut. Agaknya papa dia masa kecil-kecil dulu mesti nakal macam ini jugak. Ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke dalam nasi.

“Nah, kau ambik buku warna ni. Ikut kaulah nak conteng ke apa ke. Jangan kacau aku punya kerja dah lah..” aku cuba memancing perhatiannya.

Haikal menggeleng kepala.

“Atai tak mahu!”

“Alah, Atai kan budak baik kan? Apa kata Atai kaler gambar ikan ni cantik-cantik ya.” Aku masih berusaha memujuknya. Minta-minta termakan lah dia dengan pujukanku itu.

Buku yang aku hulurkan itu dicampaknya tinggi-tinggi. Nyaris nak terkena mata. Dahiku berkerut seribu. Aduh... ini yang aku paling tidak tahan melayan kerenahnya. Kalau dia dah mula buat hal mahu pening kepala aku ini dibuatnya. Namun aku cuba bersabar.

Kalau aku terlalu mengikut panas hati ini memang sudah lama budak kecik ini aku kerjakan. Tetapi aku sudah tidak mahu berkasar lagi dengannya. Bukan apa, nanti tak pasal-pasal Hazim buat report polis sebab aku mendera anaknya aku juga yang susah. Lepas sebulan ni jangan haraplah aku nak jaga kau lagi budak kecik!

“Okey, okey... macam nilah. Kalau Atai kaler gambar ni cantik-cantik, aku janji nak bawak Atai pegi jalan-jalan.” Meluncur laju ayat keluar dari mulutku. Terasa menyesal pula tapi dah terlambat. Aku terpaksa!

Tanpa disangka, Haikal menurut juga kata-kataku. Aku tersenyum. Barulah aku dapat menyambung kembali tugasku melakar pelan tanpa gangguan darinya. Tapi satu sahaja. Selepas ini terpaksalah aku menunaikan janji dengan membawanya berjalan-jalan pula. Hai... buat tak reti jelah!

**********

NAH! Memang benar sangkaan aku tadi. Haikal betul-betul menuntut janjinya. Ini yang aku paling menyampah ni. Makin aku buat tak reti makin menjadi-jadi amukannya. Sasaran utamanya sudah tentulah barang-barang berharga di ruang tamu. Aku sudah serik. Sejak pasu bunga Holand papa pecah dan aku diberikan mukadimah panjang lebar oleh papa, aku harus lebih berhati-hati. Sebab aku tahu kalau apa-apa berlaku papa tetap akan menyalahkan aku walaupun dah terang-terang yang buat salahnya ialah anak Hazim.

Aku membawa Haikal ke sebuah shopping complex yang terletak di Damansara Utama berdekatan dengan kawasan rumah. Hazim memang tiada di rumah ketika ini. Tujuan aku membawa Haikal semata-mata kerana menunaikan janji aku tadi. Sah-sah lah lepas ni aku dah serik nak berjanji apa-apa dengannya.

“Auntie, Atai nak aiskrim.”

“Kau ni kan, tak habis-habis dengan aiskrim. Sikit-sikit nak aiskrim. Cubalah jangan tahunya nak menyusahkan aku je.” Aku mengomel.

Selepas itu, Haikal meminta aku membelikannya pula coklat... gula-gula... lollipop... mainan Ben-10... Angry Birds... Adoyai, pening juga aku dibuatnya sehingga aku terduduk di sebuah bangku yang disediakan di situ. Letih melayan kerenahnya. Aku melihat pula tiga buah beg plastik putih di tanganku. Selebihnya milik Haikal.

Tiba-tiba aku membayangkan watak pelakon kanak-kanak Mason Gamble dalam movie Dennis The Menace. Movie yang popular sekitar tahun 90-an itu menjadi kegemaranku sewaktu di zaman kanak-kanak dulu. Cuma aku tidak pernah terfikir yang akhirnya aku sendiri terpaksa menghadapi situasi seperti ini. Haikal ini lebih kurang sama sahaja nakalnya seperti Dennis. Aku mengerlingnya tajam.

“Auntie... auntie,” Haikal memegang lenganku.

Aku tersenyum kelat.

“Hm... ada apa lagi ni?”

“Atai nak koko krunch. Daddy selalu belikan Atai koko krunch.”

Hmmm.... aku mengeluh dalam hati. Budak ni banyak pulak songehnya. Walaupun aku geram juga dengan kerenahnya itu namun aku tidak terasa pula hendak marah seperti kebiasaan ketika menjaganya di rumah. Salah aku juga sebab memandai berjanji dengannya untuk membawa pergi berjalan-jalan. Terpaksalah aku tanggung sendiri.

“Anak ke?” tegur seorang wanita yang bertudung putih.

Dia turut melabuhkan punggung di sebelahku sambil memangku anak perempuannya yang berusia setahun barangkali. Aku main agak jelah. Wajahnya tetap ceria walaupun nampak sedikit pucat.

“Taklah anak jiran. Saja bawak dia berjalan kat sini sebab parents nya takde kat rumah.” Aku menjawab jujur.

“Oh, yeke. Akak ingatkan anak tadi. Nama siapa ni?” dia tersenyum mesra.

“Atai!”

Haikal menjawab riang. Gayanya sungguh comel sekali. Aku terpaku melihat reaksinya itu.

“Eh, pandainya...”

“Nak jaga budak-budak ni bukannya senang. Perlukan kesabaran. Kalau besar macam anak akak ni takpelah lagi boleh nak handle. Cuba kalau dah besar-besar macam ni. tapi kalau boleh akak lagi suka jaga anak sendiri. Tak perlu hantar ke tempat pengasuh.”

“Akak tak kerja?”

“Tak, dah lama dah berhenti.”

“Sebelum ni kerja kat mana?”

“Akak ni sebenarnya kerja kat jabatan kerajaan dalam bidang pentadbiran. Tapi yelah, lepas je bersalin anak sulung terus mintak berhenti. Ikutkan memang lah sayang jugak nak tinggalkan kerja kerajaan ni.”

“Eh, memang rugi lah kak. Dengarnya kerja dalam sektor awam ni lagi untung sebab banyak kelebihan. Nak buat pinjaman pun senang.”

“Betul tu dik. Tapi akak lebih fikirkan anak akak ni. siapa nak tolong tengok kan dia. Akak ni orang Kedah. Kampung mak mertua dengan mak akak semuanya kat sebelah sana. Husband pun kerja jugak. nak hantar ke rumah pengasuh akak tak berapa yakin sangat. Maklumlah dah banyak cerita tak elok akak dengar sekarang ni. kes bayi mati tersedak susu lah, kena dera lah. Dari akak terpaksa tanggung risiko lebih baik akak berhenti kerja je. Duduk rumah dan tumpukan sepenuhnya perhatian pada Arissa. Husband akak lah beria mintak akak resign awal-awal. Dah dia cakap dia pun mampu nak tanggung semua belanja.”

Aku terangguk-angguk. Dapat suami bertanggungjawab macam tu boleh lah. Tapi aku agak terasa jugak dengan pendapatnya tentang penjagaan pengasuh itu. Tepat sekali terkena batang hidungku!

Aku akui memang selama ini aku hanya bersikap acuh tak acuh sahaja menjaga Haikal. Semuanya gara-gara desakan papa dan termakan dengan kata-kata Hazim. Kini pejam celik, pejam celik dah nak dekat sebulan aku menjaga anaknya.


Wanita itu tersenyum lagi. Dia mengusap lembut rambut Haikal. Seketika kemudian muncul seorang lelaki muda. Barangkali suaminya. Dia meminta diri dan berlalu dari situ. Aku sekadar membalas senyumannya sahaja. Aku begitu ralit memerhatikan pasangan suami isteri itu yang sedang bergurau senda dengan anak mereka. Alangkah bahagianya jika aku pun begitu. Memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni menjadi idaman setiap wanita.

Tetapi mampukah aku melalui kehidupan di alam perkahwinan yang sememangnya tidaklah seindah yang disangka. Satu alam yang berlainan yang tidak akan terlepas dari dugaan dan rintangan. Mampukah aku? Sedangkan bercinta pun aku tidak pernah jangan kan hendak berkahwin. Cinta pertama yang dahulu pun aku sudah lupakan walaupun begitu sukar sekali rasanya.

Tiba-tiba hatiku terasa begitu kosong sekali. Entah mengapa aku harus berfikiran begini pula di saat-saat ini.

“Auntie, jomlah pegi beli Koko Krunch.”

Pinta Haikal yang menarik lenganku. Aku merenung lama Haikal. Dengan perlahan aku mengangguk. Menuruti sahaja kemahuannya tanpa merungut apa-apa lagi.

0 ulasan:

Post a Comment