Monday, December 26, 2011

Dia, Cinta Pertama


2

HAZIM tersenyum memandangku. Aku mencebik. Meluat melihat senyuman lelaki itu. Bertambah-tambah meluat tatkala dia menghulurkan jambangan bunga tulip padaku. Cantik tu memanglah cantik. Terpegun juga aku pandang untuk beberapa saat. Tapi masalahnya cuma satu sahaja. Bunganya memang aku suka, tapi tuannya yang aku benci. Benci dan meluat kerana lelaki sengal yang tidak faham bahasa sungguh ni.

“Buat apa bunga-bunga segala ni?” aku berpeluk tubuh dengan muka serius. Terus wajahnya berubah.

“Kenapa Cik Shameem tak suka ke?” dia pula yang menyoal. Soalan yang dijawab dengan soalan.

“Memang pun,” jawabku tanpa rasa bersalah.

Dia terdiam seketika. Tapi mukanya nampak kontrol macho semacam. Langsung tak terkesan dengan kata-kataku tadi. Memang betul manusia takde perasaanlah dia ni.

“Bunga ni sebagai tanda terima kasih saya pada Cik Shameem sebab dah susah payah jaga Haikal selama ni.” Ikhlas dia menutur kata.

Eleh, romantiklah tu kononnya. Hendak termuntah mendengarnya. Ingat aku boleh cair ke? Boleh blah lah! Lagi aku menyampah adalah. Sebab dia dengan anak kesayangan dialah aku telah dikerah tenaga oleh papa untuk menjadi cik pengasuh budak yang tak bertauliah tau. Aku merenung tajam jiranku yang baru sahaja berpindah di sebelah rumah itu.

“Tak payahlah bunga-bunga ni semua. Mentang-mentanglah saya ni arkitek landskap awak suka hati je bagi bunga kat saya. Apa, awak ingat semua orang kerja landskap ni suka bunga ke?” Aku menolak bunga yang dihulurkan itu dengan kasar.

“Bukan itu maksud saya...” dahinya berkerut.

“Dah tu? ni kalau tak bukan mesti nak bodek papa saya kan? Awak tau kan saya ni anak Tan Sri Rasid. Tu yang awak beria pujuk saya dengan bagi bunga ni dan paksa saya jaga anak awak. Apa motif awak ni sebenarnya ye Encik Hazim?”

Aku menghamburkan amarah yang sudah tidak tertahan lagi. Selama ini aku cuba bersabar melayani kerenah anak lelakinya itu. Aku sanggup menahan malu kerana diejek teman-temanku. Anak Tan Sri tapi jadi pengasuh di rumah sendiri. Mana ada anak orang kaya yang sanggup buat kerja macam aku. Aku benar-benar hilang sabar. Kerana dialah aku kini menyandang dua jawatan. Arkitek landskap cum babysitter. Tak pasal-pasal!

“Saya betul-betul mintak maaf kalau dah menyusahkan Cik Shameem. Tapi Cik Shameem kenalah faham dan bagi saya masa untuk cari pengasuh Haikal yang baru. Saya pun baru je pindah sini. Banyak lagi kerja yang saya belum setelkan lagi. Takkan itupun Cik Shameem tak boleh tolong?” jawabnya tenang.

“Eh, awak ni tak reti bahasa ke? Kalau saya cakap tak suka tu maknanya tak sukalah. Nak paksa-paksa orang pulak. Itukan anak awak. Pandai-pandai awaklah nak buat macam mana pun.”

Terdengar suara Haikal yang riuh bermain game playstationnya di ruang tamu. Aku mengerlingnya tajam. Budak-budak. Tahunya main game je!

“Macam nilah Cik Shameem. Awak bagi saya tempoh sebulan je. Bila dah ada pengganti yang boleh jaga Haikal nanti saya takkan susahkan awak lagi. Boleh ya Cik Shameem?” pinta Hazim dengan bersungguh.

Aku menjuihkan mulut. Malas hendak berkata apa lagi. Kalau lepas ni dia hantar lagi anak dia ke sini malas aku nak jaga. Aku nak buat tak reti je. Haish... tapi macam kejam pulak aku ni. Kesian kat budak kecik yang tak tahu apa-apa tu. Siapa suruh bapak kau cari pasal dulu dengan aku?

“Haikal tu jelah satu-satunya harta paling berharga yang saya ada sekarang ni.”

Aku terkesima. Walaupun perlahan namun masih jelas kedengaran di telingaku. Reaksi wajahnya begitu keruh sekali. Tetapi itu bukanlah bermakna dia mampu membeli hatiku agar bersimpati dengannya.

“Awak suruh ajelah bini awak jaga dia. Kan tu tugas seorang isteri merangkap mama budak tu. takkanlah benda macam tu pun saya nak kena ajar. Kenapa saya pulak yang kena susah payah jaga anak awak? Macamlah saya ni bini awak.”

Lelaki itu diam sahaja. Aku mengeluh. Tak faham bahasa betul lelaki ni. Cakap seribu kali benda yang sama pun masih tak faham juga. Masuk telinga kanan, keluar balik telinga kiri. Kalau orang lain tau jugak malu. Tapi dia ni selamba je aku tengok. Betul ke tidak Haikal tu anak dia? Kalau perhati betul-betul macam takde iras langsung mereka dua beranak. Lelaki ni pun muda lagi dalam pertengahan 20-an agaknya. Kesian... muda-muda lagi dah kena pikul tanggungjawab berat macam ni. Tapi muka lelaki ni macam aku pernah tengok sebelum ni. Macam familiar je. Kat mana ye? Entah, aku pun dah lupa. Agaknya muka dia ni ada seiras dengan client aku kot. Sebab tulah aku macam familiar je dengan dia ni.

“Hm... yelah,yelah. Tapi saya bagi tempoh sebulan je. Lepas tu jangan haraplah awak dapat hantar anak awak ke sini lagi. Saya pun ada kerja lain jugak nak buat. Ikutkan takde masa saya nak jaga Haikal tu. Bukan awak sorang je yang busy!”

“Terima kasih banyak-banyak ye Cik Shameem. Anytime kalau awak ada masa em... apa kata...” dia teragak-agak.

“Apa kata apa? Cakap jelah.”

“Apa kata kita keluar makan. Saya belanja,” jawabnya sambil mengukir senyuman manis.

Aku melarikan pandangan. Tidak sanggup aku melihat senyuman ‘killer’ itu. Silap hari bulan boleh cair hatiku gara-gara senyuman itu. Tambah pula dengan lesung pipit di pipi kanannya. Hidung yang sederhana mancung itu. Wajah ala pan asian. Mixed ke dia ni?! Aku memang yakin dia mampu mencairkan hati para gadis yang naif dan tidak tahu bahawa lelaki ini sudah menjadi suami orang.

“Eh, buat apa? Tak hinginlah saya. Tak takut ke dengan bini awak tu? nanti tak pasal-pasal mata saya ni lebam kena tumbuk dengan bini awak yang garang macam singa tu. hii... tak kuasa saya!”

Aku teringatkan peristiwa dua hari lepas. Aku ditengking sesuka hati oleh seorang wanita muda yang mungkin isteri kepada lelaki ini. Semuanya gara-gara sikap kurang ajarnya sendiri. Baru pindah je nak tunjuk berlagak. Semenjak itu aku asyik memerapkan diriku di dalam rumah sahaja dari terpaksa menghadap muka jiran yang kurang ajar itu. Agak lama jugalah aku tidak pernah lagi bersua muka dengan wanita itu. Lebih bagus macam tu dari buat dosa menyakitkan hati orang buat apa kan.

Dia menahan tawa yang hendak meletus. Aku hairan.

“Apa yang lucunya?”

“Nak takut apa pulak? Saya bukannya buat salah pun. Ajak makan je. Anggap aje ni tanda terima kasih saya kat awak.” Katanya dengan selamba.

Menyirap darahku mendengarnya.

“Tak salah awak cakap? Hei, awak ni kan... memang dasar lelaki kasanova lah. Lelaki buaya punya orang. Dah ada anak bini pun masih nak menggatal dengan anak dara orang lagi!” tempikku.

Lantas pintu ku hempas dengan begitu kuat sekali. Aku benar-benar marah dengan sikapnya. Dasar lelaki miang tak sedar diri. Kau ingat muka kau hensem aku ni boleh cair ke? Jangan haraplah!

**********

BUNYI ketukan yang bertalu-talu di pintu mengganggu lenaku. Aku mula rasa tidak selesa. Sebiji teddy bear yang berada di atas kepala aku capai lalu menekupnya di telingaku sekuat hati. Pun masih lagi tidak mampu menahan bunyi bising itu. Aku bangun dengan mata masih terpejam. Rasa bengang akibat tidur lena yang diganggu. Tergugat kesabaranku.

“Papa, orang nak tidurlah. Kacau betul papa ni,” aku bersuara serak-serak basah. Maklumlah baru bangun dari tidur.

Pintu diketuk lagi.

Tuk... tukk... tukk!!

“Hii... papa ni. yelah, yelah... Meem bangunlah ni.”

Sempat lagi aku mengerling jam dinding yang sudah menunjukkan ke angka 11 pagi. Awal lagi rupanya. Biasanya aku bangun nak dekat pukul 1 tengah hari. Selagi matahari tak tegak atas kepala ni selagi itulah aku tak bangun. Pelik betul papa ni. Takkanlah dia masih tak tahu lagi tabiat anak daranya yang tersangatlah ‘rajin’ ni. Lebih lagi hujung minggu macam ni. masa nilah aku nak tidur sepuasnya tanpa gangguan sesiapa.

Aku menguap perlahan. Pintu kubuka dengan diri yang masih dikuasai mamai. Kepalaku digaru-garu.

“Hm... kenapa pa?”

“Morning.”

Suara garau yang tiba-tiba menyapa pendengaranku sungguh memeranjatkan. Aku terkejut.

“Awak... Encik Hazim?!” aku hampir terjerit.

Lelaki itu tersengih sahaja. Tetapi nampak agak gelabah sedikit bila melihat keadaan aku yang masih lagi tak terurus. Dengan rambut macam lion king nya. Baju tidur kaler pink paras lutut yang agak seksi. Hm... serabai!

Aku melangkah masuk semula ke dalam bilik. Tuala kucapai bagi menutup rambutku yang agak kusut itu.

“Sorry ganggu Cik Shameem masa ni. Em, baru bangun tidur ke?”

Aku menjadi malu dengan pertanyaan itu. Sakit hati pun ada.

“Yang awak main redah masuk rumah orang sesuka hati macam penyamun ni kenapa?”

Aku tidak menjawab pertanyaannya. Rasa malu yang teramat kerana dilihat dalam keadaan tidak sempurna oleh lelaki asing ini.

“Saya mintak maaf. Saya datang ni nak hantar Haikal dan bagi vitamin ni sekali. Tapi Uncle Rasid suruh saya masuk je dan ketuk pintu bilik awak. Saya tak tau pulak yang awak tengah tidur lagi. Kalau tau saya taklah kacau awak pagi ni.”

“Ah, takde maknanya. Hari ni saya nak cuti. So, takde sesiapa yang berhak ganggu masa saya,” aku malas mahu memanjangkan bicara.

Dia segera menahan sebaik aku ingin menutup kembali pintu bilikku. Aku merengus kasar.
“I know you have the right to do whatever you want, but for today I really hope that you can help me. Saya kena masuk ofis pagi ni. It’s really urgent so saya harap Cik Shameem dapat jaga Haikal kejap,” pintanya.

“Kan saya cakap hari ni saya cuti. Awak ni memang tak faham bahasa ke? BM awak masa sekolah dulu dapat berapa ye?” sindirku.

“Okey, saya tau Cik Shameem tengah cuti. Tapi takkanlah tak boleh tolong tengokkan kejap aje pun. Dalam pukul 3 petang nanti saya balik. Boleh?” dia masih tidak berputus asa.

“Yang bini awak pulak tu pergi mana? Shopping ke sampai lupa anak kat rumah.”

Lelaki itu tersenyum simpul. Kenapalah dengan awak ni Hazim? Aku marah-marah macam ni pun nak senyum-senyum lagi. Aku ni ada macam Raja Lawak ke? Atau macam badut barangkali. Begitulah dirinya yang baru aku kenali sepanjang sebulan dia berpindah ke kawasan ini. Selalu senyum dan tak perlu kata apa-apa.

“Pelik betul saya. Ada bini pun tapi macam takde bini,” gumamku.

“Cik Shameem dah lupa agaknya semalam. We’re already make a deal right?”

“Apa?”

“Dalam tempoh sebulan Cik Shameem setuju nak jaga Haikal. Termasuklah hari ni jugak sebab dah masuk dalam perjanjian kita tu.”

Ewah, dah pandai main ugut aku nampak?

Aku ternampak Haikal yang sedang memegang erat tangan lelaki itu. Tanpa menunggu lama, aku menarik tangan Haikal dari pegangan Hazim dengan wajah memuncung.

“Jom Atai, ikut auntie.”

Senyuman lebar terlukis di bibir Hazim.

**********

“PAPA kenapa biarkan Hazim masuk sampai bilik Meem tadi?” aku marah-marah.

“Dah tu, dia nak suruh Meem jaga Atai. Papa suruh jelah dia panggil Meem tadi,” jawab Tan Sri Rasid dengan selamba. Matanya tertancap pada surat khabar News Strait Times.

“Tapi Meem kan tengah tidur lagi.”

“Siapa suruh tidur sampai tengah hari? Meem kan tau waktu tengah hari je Hazim hantar anaknya ke sini. Masa bibik ada dulu takpelah jugak. Tapi sekarang papa harapkan Meem ganti tempat bibik jaga Atai pulak,” kata Tan Sri Rasid.

“Mana boleh macam tu,” aku membentak.

“Kenapa pulak tak boleh?”

Aku lihat papa sudah melipat akhbar yang dibacanya. “Apa yang tak bolehnya Meem? Cuba bagitau papa.”

“Meem bukannya bibik atau pengasuh atau orang gaji pa. Sesuka hati Hazim je suruh Meem jaga anak dia.”

“Apalah salahnya kita tolong dia Meem. Lagipun Hazim tu papa tengok baik orangnya. Mana tahu Meem boleh jadi calon isteri dia nanti,” usik Tan Sri Rasid. Bulat mataku melihat senyuman papa. Nakal jugak papa ni eh!

“Eii, tak kuasa Meem. Jangankan nak jadi calon bini dia, jadi orang gaji dia pun Meem tak sudilah. Papa dengan dia pun sama je. Semua lelaki memang macam ni ke?!” aku menarik muncung sedepa.

Sewaktu aku hendak menaiki tangga menuju ke bilik, aku sempat menangkap kata-kata papa.

“Lain kali anak dara jangan bangun lambat sangat. Kalau malas nanti papa suruh si Hazim je tolong kejutkan Meem,” gurau Tan Sri Rasid. Aku mengetap bibir geram. Tambah geram lagi bila aku dengar tawa papa dari ruang tamu.

Argghh...!!

0 ulasan:

Post a Comment