Monday, December 26, 2011

Dia, Cinta Pertama


1

SEDARI tadi aku asyik memerhatikan tingkah seseorang yang duduk di hadapanku. Uniform sekolahnya yang kemas, gaya rambutnya dan bahunya yang tegap. Lebih lagi bau minyak rambutnya yang menusuk hidungku begitu menyenangkan setiap kali aku lalu berdekatannya. Em, wanginya... ini kalau jadi model iklan rambut pun mesti laku. Aku tersengih seorang diri.

“Psst... Meem. Kau ni kenapa sengih sorang-sorang? Macam orang tak betul je aku tengok,” tegur Isya sambil menepuk bahuku.

“Ala, adalah,” jawabku malas.

Isya memuncung. Tanda dia tidak puas hati dengan jawapanku. “Alah kau ni. bagitaulah kenapa...”

“Hisy, kot ye pun nantilah aku cerita. Awal pagi ni aku takde mood lah. Ngantuk lagi ni tau.” Aku menguap perlahan.

“Eleh, tadi elok ada je sengih. Apa-apa jelah kau ni Cik Shameem Suhaili,” balas Isya dengan bersahaja.

Aku mengerutkan dahi. “Sedap sangat ke nama aku tu siap sebut penuh lagi. Kenapa tak sebut dengan nama bapaknya sekali?”

“Oh, kau nak aku sebut nama bapak kau sekali ya? Baiklah Shameem Suhaili Tan Sri Rasss....” 

Dengan pantas aku segera menekup mulut Isya sebelum sempat dia menghabiskan ayat. Perkataan ‘Tan Sri’ memang sengaja dikuatkan volumenya menyebabkan aku menjadi geram. Tidak suka jika ada orang lain mendengarnya. Maklumlah aku ni jenis yang low profile. Tak suka nak menunjuk-nunjuk yang ayah aku tu orang kenamaan. Terasa menyesal pula kerana menyuruh Isya menyebut nama penuhku. Isya tersengih nakal.

“Kau ni mulut laser betul lah. Karang aku cili mulut tu baru tau.”

“Habis tu kau jugak yang suruh aku sebut nama penuh kau kan. Aku sebut jelah. Kau ingat aku main-main?”

“Memanglah. Tapi aku tak suka kalau budak lain tau identiti aku yang sebenar. Tujuan aku datang ke program ni sebab nak belajar. Bukan nak jaja nama bapak aku. Yang kau pergi cakap kuat sangat tu siapa suruh?”

“Yelah, yelah. Aku salah. Aku mintak maaflah.” Isya mencebikkan mulutnya.

 “Eh, bila kelas ni nak habis ye? Aku boringlah. Dari masa ‘ice break’ tadi lagi aku dah bosan gila,” aku merungut sambil melihat jam di pergelangan tanganku.

Ini merupakan hari terakhir aku terpaksa menghadiri seminar PMR peringkat negeri di MRSM ini. Aku, Isya serta dua belas orang lagi kawan-kawanku mewakili sekolah kami beserta dengan sekolah-sekolah lain di serata negeri Pahang. Ikutkan hati malas sebenarnya aku hendak mengikuti program seperti ini. Lagipun aku masih di tingkatan satu. Masih ada dua tahun lagi untuk aku menempuhi peperiksaan PMR. Demi menjaga kualiti pendidikan sekolah jadi pelajar-pelajar yang terpilih seperti diriku lah yang harus mengorbankan diri di masa cuti sekolah ini. Kalau di rumah waktu ini mungkin aku masih lagi lena diulit mimpi atau sedang menikmati masakan bibik yang enak itu. 

“A’ah lah Meem. Aku pun bosan jugak ni.” Isya setuju denganku.

Terdengar suara bising-bising di meja hadapan. Kami berpaling. Aku memerhatikan senyumannya yang jarang sekali kulihat sepanjang seminar ini diadakan. Dia begitu asyik berbincang dengan kawan-kawannya sehingga tidak sedar diperhatikan. Bunyi bising lagi. Oh, rupanya Cikgu Halim menyuruhnya menyelesaikan satu soalan Matematik di papan hitam. Aku tidak begitu berminat. Sebaliknya aku lebih berminat memerhatikan dirinya. Aku lihat kawan-kawannya yang teruja berbanding ahli kumpulan dari sekolah lain.

“Isy, bising betullah budak-budak pandai tu. Nak tunjuk terer lah tu,” rungut Isya seraya menjeling tajam ke arah mereka.

Selepas dia berjaya menyelesaikan soalan Matematik dia kembali ke tempat duduknya. Tetapi tidak lama apabila dia bangun lalu menuju ke meja kumpulan aku. Langkahnya diatur kemas. Aku tergamam sebaik dia menghulurkan sehelai kertas putih A4 padaku. Pertama kali sepanjang mengikuti program ini aku dapat bertentang mata dengannya. Begitu dekat sekali. Biasanya tengok dari jauh saja. Berdebar-debar hatiku. Aduh... kenapa perlu berdebar pulak? Bisa gugur jantungku ini dibuatnya.

“Cikgu Halim suruh tulis nama kedatangan korang pada kertas ni,” suara garaunya menyapa telingaku.

“Terima kasih.”

Aku angguk sambil tersenyum manis. Langsung tidak dibalas. Pandang muka pun tidak. Aku hampa kerana tiada respons positif darinya. Perlahan kertas yang dihulurkan aku ambil dengan tangan sedikit terketar. Tak tahu kenapa aku begitu gementar tatkala berdepan dengannya. Tetapi inilah yang aku rasa sepanjang tiga hari program ini diadakan di sekolahnya. Walaupun dalam kumpulan yang sama tetapi kemudiannya kami dibahagikan pula dengan kumpulan-kumpulan kecil di setiap kelas. Ada tiga orang dari sekolah yang berlainan dalam kumpulanku. Termasuk aku dan Isya jadi lima orang kesemuanya.
Mujurlah aku dengan Isya tidak dipisahkan antara satu sama lain. BFF lah katakan. Kawan-kawan yang lain pula berada dalam kumpulan berasingan. Sebenarnya aku mengharapkan budak lelaki yang aku tidak kenal lagi namanya itu satu kumpulan denganku. Malangnya, sudah tersurat dia berada di kumpulan lain. Aku sendiri tidak faham mengapa aku menaruh harapan sebegini. 

Aku suka diakah? Nak kata suka, tidak juga. Sebab aku bukannya kenal dia pun.

Aku cuma minat tengok gaya dan muka dia je. Aku mula perasan dia pun sewaktu hari pertama menjejakkan kaki ke dewan sekolah ini. Waktu itulah kami dibahagikan kepada kumpulan. Kemudian diberikan taklimat ringkas berkenaan seminar. Selepas itu bacaan doa sebagai pembuka dan penutup taklimat dia naik ke atas pentas. Aku tak sedar yang aku begitu ralit memerhatikannya pada saat itu. Dan kerana dialah aku menjadi bersemangat mengikuti seminar ini.

“Harap muka je hensem. Tapi sombong nak mampus,” kutuk Isya sebaik melihat pengawas itu beredar ke mejanya semula.

“Kenapa pulak?” aku mengerutkan dahi.

“Kau tengoklah tadi cara dia cakap tu macam mana. Pandang muka pun tidak. Macam bagus sangat.” Kutuknya. Dia mengajuk kembali gaya percakapan lelaki itu tadi. Aku tersenyum kecil.

“Tapi dia tu okey je aku tengok. Gaya dia tu smartlah,” pujiku tanpa berselindung lagi.

“Kau tu memang. Apa yang buruk aku cerita pasal dia semuanya baik bagi kau. Kau suka dia eh Meem?”

Aku terkedu.

“Ha, betullah apa yang aku fikir selama ni. Aku dah perhati kau selama tiga hari seminar ni. Kau asyik nak pandang pengawas tu je kan. Aku dapat rasalah yang kau suka dia kan Meem. Betul tak?” 

Aku dapat merasakan pipiku menjadi bahang. Aku terasa malu, kerana memang benar apa yang dikatakan Isya itu. Sepanjang tiga hari seminar aku tak pernah lepas pandang dari melihat pengawas itu. Inilah pertama kali sepanjang tiga belas tahun usiaku aku mempunyai perasaan suka terhadap seseorang. Mungkin inilah yang dikatakan cinta monyet. Tapi aku memang betul-betul dah sukakannya sejak pertama kali terpandang dirinya. 

“Diam tu tanda setuju kan,” usik Isya lagi.

“Tapi kau tengok dia tu hensem tak?” aku menyoal selamba.

“Hensem tu memanglah. Aku rasa dalam kelas ni ramai-ramai budak lelaki dia paling hensem sekali. Tapi aku tak suka sebab dia sombong. Kau ni suka sebab rupa dialah ye?”

“Mungkin. Aku tak kata sebab rupa je. Tapi aku suka tengok gaya dia. Mesti dia ramai peminat kan?”

“Agaknya kot. Kau suka dia pun bukannya dia layan kau. Kenal pun tidak.”

“Aku ingat nak tanya nama dialah sebelum balik nanti.” Aku menyulam angan.

Isya sekadar menjungkit bahu. Mungkin pada fikirannya mustahil kot aku dapat berkenalan dengan pengawas yang aku minati itu. sekadar hendak bertanya nama, tak salah kan? He he... aku tersenyum sendiri.

Habis sahaja kelas teknik menjawab soalan Matematik, bermakna tamatlah sesi seminar pada kali ini. Aku kelam kabut mengemas kertas dan alat tulis. Aku mengerling sekilas ke meja di hadapanku. Sudah kosong! 

Pelajar-pelajar berpusu-pusu keluar kelas. Mataku tercari-cari dia. Eh, takkan secepat kilat dia keluar? Aku semakin tidak keruan. Aku ingin tahu namanya. Itu saja. Sekurang-kurangnya aku dapat berkawan dulu dengannya. 

“Wei, Meem. Tunggulah aku dulu.” Laung Isya yang masih ketinggalan mengemas barangnya.

“Isya, aku tunggu kau kat kantin ek.”

Tanpa menunggu lama aku terus meninggalkan Isya dan menuju ke blok bangunan bersebelahan. Keadaan di kantin penuh sesak dengan para pelajar seminar. Lagi payah aku nak cari lelaki pengawas itu. seperti biasa sebelum balik jamuan ringan diadakan. Mesti dia makan dulu dengan kawan-kawan dia. Takpelah aku boleh tunggu Isya di sini je.

Beg Jansport coklat aku letak di atas meja. Sempat lagi aku mengerling beg sekolah milik siapa entah di sebelah. Sebijik sama dengan beg Jansportku. Dengan warnanya... jenamanya... ah, lantaklah. Siapalah agaknya tuan dia. Sama pulak taste dengan aku. Tetapi setakat ni sudah dua, tiga orang aku jumpa budak yang pakai beg sekolah sama dengan aku. Dalam masa sama aku ternampak Isya. Tanganku dilambaikan ke arahnya. Isya menghampiriku dengan muka kelat. Merajuk lah tu agaknya kerana ditinggalkan. Itulah, siapa suruh lambat sangat tadi.

“Kau ni teruk tau Meem. Sanggup kau tinggal aku tadi.” Isya sudah memuncung.

“Alah, kau lambat sangat. Faham-faham jelah tiap kali habis kelas je kantin mesti penuh. Jom kita pergi ambik makanan kat sana. Hari terakhir nilah kita kena makan puas-puas,” aku menarik lengan Isya menuju ke barisan pelajar lain.

“Tak naklah. Aku kenyang lagi. Jomlah kita balik,” kata Isya dalam nada rajuknya.

“Janganlah macam ni Isya. Kita makanlah dulu...” aku cuba memujuk. Minah ni boleh tahan jugak merajuknya.

“Kau nak makan pergilah. Aku nak balik,” kata Isya acuh tak acuh.

“Okeylah, kita balik. Tak nak aku makan sorang-sorang.”

Aku berpaling lalu mengambil beg sekolahku yang sudah beralih kedudukan. Dalam masa yang sama aku masih tercari-cari kelibat seseorang. Hampa. Hatiku betul-betul hampa. Mungkin aku memang tidak berpeluang untuk mengenalinya dengan lebih rapat lagi. Ah, lupakan jelah dia. Habis cerita. Tapi cerita ini tidak berakhir di sini saja kerana... boleh ke aku lupakan dia begitu saja?

**********

AKU menyelongkar habis kesemua barang di dalam beg Jansport itu. Ternyata memang kesemuanya bukan milikku. Berderau darahku kerana aku telah tersalah tukar beg sekolah. Mungkin semasa seminar PMR kira-kira tiga minggu yang lalu. Dan paling membuatkan aku kesal ialah aku baru sahaja menyedarinya seminggu sebelum tiba musim persekolahan semula. Inilah akibatnya bila dah malas sangat. Nak dekat bukak sekolah baru terhegeh-hegeh nak kemas buku-buku. Sebelum ni sibuk sangat berchatting lah, bershoppinglah dan macam-macam perkara tak berfaedah aku buat di rumah ni.

Tapi nak pulangkan beg ni tuan dia pun aku tak tau siapa. Yang ada dalam beg ini hanya sebuah nota tanpa nama pemiliknya, bekas pensil, kertas soalan Matematik dan Bahasa Melayu serta... sehelai baju jersi bola sepak yang bergumpal.

“Apa kes bawak baju jersi pergi seminar?” aku berasa hairan.

Memang sah pemilik beg ni seorang lelaki. Lantaklah! Akhirnya aku menyimpan sahaja baju jersi merah dan beg sekolah itu sebagai tanda kenangan atau mungkin bakal dibakul sampahkan. Lagipun bukannya ada barang berharga pun dalam beg ni. Eh, nanti dulu. Sayang pulak nak buang baju jersi ni. Nampak elok lagi. Bau pun macam bau kedai lagi.
Seingat aku pula dalam beg Jansport aku tu pun ada kertas dengan pensil je. Alah... aku pun tak heranlah. Aku mengambil keputusan untuk menyimpan sahaja baju jersi itu di dalam almari pakaianku. Beg Jansport ini? Arghh... campak ajelah dalam tong sampah.

Aku tidak pasti bilakah baju jersi bola itu terus tersadai di dalam almariku dalam beberapa tahun akan datang nanti. Yang pasti aku ingin menyimpannya sebagai kenangan pertemuan aku dan dia di MRSM itu. walaupun aku sedar yang mungkin tuan punya jersi ini akan mencarinya bagai nak gila! Ha ha...
















 




0 ulasan:

Post a Comment