Monday, December 26, 2011

Dia, Cinta Pertama

3

DAH HAMPIR dua bulan dia berpindah di sebelah rumahku. Tapi aku masih tidak kenal lagi siapakah sebenarnya jiranku yang bernama Hazim itu. Pekerjaannya, usianya dan nama penuh di dalam ic nya. Aku hanya tahu lelaki itu bernama Hazim, mempunyai seorang anak lelaki dan isteri yang jarang-jarang sangat aku jumpa. Manakan tidaknya, balik ke rumah itu pun sekali-sekala sahaja.

Dia dah bercerai ke dengan bininya tu? aku kurang pasti kerana hendak bertanya aku malu. Malu ke...? tapi aku teringin nak tahu sangat siapa sebenarnya jiranku itu. pendek kata, malu tapi mahu sebenarnya.

Aku baru hendak keluar dari rumah menuju ke firma milik papa sebaik pandanganku tertancap pada seorang wanita muda yang keluar dari Myvinya. Aku melemparkan senyuman tetapi dia menghadiahkan aku satu jelingan yang tajam. Amboi... berlagaknya. Baru naik Myvi je nak sombong dengan orang. Aku yang tuan punya BMW ni pun tak berlagak macam dia. Macam manalah kalau dia ni tiba-tiba dapat Ferrari Enzo ke, Lamborghini ke... agak-agak muka tongkat ke langit ajelah gamaknya.

Isy, sedapnya aku ni mengutuk orang. Manalah tahu kot mata dia rabun jauh ke tak nampak senyuman manis aku tadi. sia-sia je pahala senyuman aku tu. alih-alih dapat dosa pulak. Sabar jelah Shameem.

Aku terus menekan punat pada kunci kereta.

“Excuse me,” tegur satu suara.

Hai, tak reti dah nak bagi salam ke? Aku tenung perempuan berambut hitam paras bahu dengan cermin mata hitamnya. Sah lah ini perempuan yang tengking aku hari tu. Bini si Hazim yang garang macam singa tu. Ha ha...

“Yes.”

“Oh, you ni yang kita jumpa dulu tu ye? Long time no see,” dia pandang aku atas bawah. Semacam je aku tengok.

Apa tengok-tengok? Salah ke aku pakai baju kurung ni?

“A’ah lah lama tak jumpa kan. Sihat?” aku berbasa-basi.

“Well, as you see me right now. Just fine. I nak tanya, Hazim mana? I tengok kereta dia takde pun. As usual pagi-pagi macam ni dia ada je kat rumah.”

Aku mengerutkan dahi. Aik? Bini pun takkan tak tahu suami dia ke mana? Boleh pulak dia tanya aku Hazim di mana. Mungkin benar telahanku selama ini yang mereka telah bercerai. Nampak pada gaya mereka berdua ini tidak tinggal sebumbung.

“Entah. Manalah I tahu. Dia ada kot kat rumah tu. cubalah tekan loceng dulu,” aku memberi cadangan.

Dia menekan loceng sekali, dua. Dan berkali-kali sehingga wajahnya berubah mendadak. Terdengar keluhan yang keluar dari mulutnya. Aku tidak jadi hendak masuk ke dalam kereta melihatkan keadaannya itu.

“Takde ke?”

“A’ah takde pulak. Tapi I dah call sebelum sampai sini. Dia cakap dia ada kat rumah.”

Aku dengar saja tanpa sebarang respons.

“You kan jiran dia. Takkan you tak tau dia pergi mana?”

“Eh, takkanlah I kena ambik tau setiap masa hal dia pulak. You ingat jiran ni boleh tahu ke setiap tindak-tanduk yang dilakukan jirannya yang lain? Macam tu? everyone has their own privacy life right?”

“Sebab you jiran paling terdekat lah you kena concern sikit. You yang jaga Atai kan?”

Dahiku berkerut hebat. Boleh pulak dia tanya macam tu.

“Ya, kenapa?”

“I memang dah agak. Tahan ke you jaga budak tu? tak nakal?”

“Eh, you kan mum dia. Takkanlah tak tahu perangai anak sendiri macam mana,” aku berkata sinis.

Dia tertawa kecil.

“You must be mistaken. I’m not his mum.”

“Hah?”

Aku terkejut mendengar pengakuannya. Hei, habis tu, siapa perempuan ni? isteri Hazim ke... tunang ke... atau kekasih?

Saat itulah Hazim tiba di hadapan banglonya. Dia tercungap-cungap kepenatan akibat berjoging tadi. Dia mengesat peluh yang menitik di dahinya dengan tuala yang disangkut pada leher. Earphone ditanggalkan. Reaksinya begitu serius sebaik terlihat kehadiran ‘isterinya’ itu.

“Ha, my hubby dah balik pun,” manja sahaja nadanya sambil dia menjeling ke arahku.

“Sheila, you buat apa kat sini?”

Oh... Sheila namanya. Nama bukan main sedap macam ratu Jazz negara. Tapi perangainya tak usah cakaplah. Aku masih lagi setia berdiri di situ memerhatikan tingkah mereka. Sengaja aku berada di situ kerana ingin mengetahui rahsia yang disembunyikan Hazim selama ini. Aku harap kehadiran Sheila di situ dapat menceritakan segala persoalan yang bermain di fikiranku selama ini.

“Abang Hazim pergi mana tadi? lama tau I tunggu you,” rengeknya. Tangannya dipaut pada lengan lelaki itu.

“Sheila,please lah. Don’t be like this. Malu sikit orang tengok.” Hazim menolak perlahan tangan perempuan itu.

Aku tersenyum sinis. Kalau dengan perempuan lain bukan main lagi kau ye. Jaga batas lah tu kononnya. Tapi dengan aku gatal bukan main. Miang keladi. Buaya darat.

“Ini ke wife awak Encik Hazim?” aku menyoal. Sekadar ingin tahu je.

Hazim mengeluh perlahan. Wajahnya ditundukkan.

“Susah sangat ke soalan saya tu sampai payah sangat nak jawab?”

Agaknya inilah sebabnya kenapa setiap kali aku bertanyakan pasal isterinya dan mama pada Haikal dia tidak pernah mahu bercerita. Aku rasa lelaki ini memang sengaja nak perangkap aku. Buatlah macam dia tu dah bercerai dengan bini dia. Jangan-jangan dia memang ada hati nak mengorat aku lalu aku ni dijadikan bini nombor dua dia. Isy... mintak jauh lah aku dengan lelaki macam ni.

Tapi aku sendiri tidak faham dengan perasaanku sendiri akhir-akhir ini. Aku sering mengharapkan Hazim selalu datang ke rumahku menghantar Haikal kerana aku rasa nak berjumpa dengannya. Dalam masa yang sama aku benci menatap mukanya. Ah, perasaan apakah ini? Aku jadi keliru. Sukakah? Bencikah?

“Yes, i’m his wife. What’s wrong with that?”

Aku kalih pandang ke muka Sheila. Ada rasa ragu di hatiku.

“Tapi you cakap tadi you bukan mama Atai. Lepas tu you mengaku dia ni husband you. Mana satu yang betul ni? I jadi pening lah.”

“I, err...”

“Enough Sheila!”

Wah... garang jugak Hazim ni bila dia tiba-tiba marah macam ni. Aku mula kecut perut. Ini yang rasa nak lari ni.

“Cik Shameem, selama ni saya tak pernah bagitau siapa Sheila yang sebenarnya kan. Awak dah salah faham. Dia bukan isteri saya tapi bakal isteri saya. She’s my fiancee... dan Atai tu...”

Matanya meliar. Seolah mencari perkataan yang sesuai untuk menerangkan status sebenar Haikal.

“Dia anak saya bersama arwah isteri dulu.”

Aku terpempan. Lama kemudian aku mengangguk faham. Entah kenapa aku terasa ‘sesuatu’ yang aneh dalam hatiku. Lelaki ini bersama Sheila tunangnya. Juga pernah berkahwin dan memiliki anak hasil dari perkahwinan terdahulu. Aku sudah jelas dengan status dirinya kini. Tapi kenapa aku rasa aneh sangat diriku ini. Apa yang aku rasakan saat ini... ah, tak mungkin!

Aku pejamkan mata lalu menarik nafas sedalam-dalamnya.

“Baiklah, terima kasih sebab bagitau walaupun saya tak berminat sebenarnya nak ambik tau hal awak pun. By the way, I got to go now. Bye.”

Panggilan Hazim tidak aku hiraukan. Aku benci mendengar suaranya dan memandang wajahnya. Terlalu benci. Teramatlah sangat. Benci sebab aku tiba-tiba tidak suka menerima hakikat yang dia memang benar-benar telah dimiliki perempuan lain. Perasaan yang sama aku rasai ketika aku pertama kali dilamun cinta monyet dulu.

Cinta, janganlah kau datang lagi!

Read more...

Dia, Cinta Pertama


2

HAZIM tersenyum memandangku. Aku mencebik. Meluat melihat senyuman lelaki itu. Bertambah-tambah meluat tatkala dia menghulurkan jambangan bunga tulip padaku. Cantik tu memanglah cantik. Terpegun juga aku pandang untuk beberapa saat. Tapi masalahnya cuma satu sahaja. Bunganya memang aku suka, tapi tuannya yang aku benci. Benci dan meluat kerana lelaki sengal yang tidak faham bahasa sungguh ni.

“Buat apa bunga-bunga segala ni?” aku berpeluk tubuh dengan muka serius. Terus wajahnya berubah.

“Kenapa Cik Shameem tak suka ke?” dia pula yang menyoal. Soalan yang dijawab dengan soalan.

“Memang pun,” jawabku tanpa rasa bersalah.

Dia terdiam seketika. Tapi mukanya nampak kontrol macho semacam. Langsung tak terkesan dengan kata-kataku tadi. Memang betul manusia takde perasaanlah dia ni.

“Bunga ni sebagai tanda terima kasih saya pada Cik Shameem sebab dah susah payah jaga Haikal selama ni.” Ikhlas dia menutur kata.

Eleh, romantiklah tu kononnya. Hendak termuntah mendengarnya. Ingat aku boleh cair ke? Boleh blah lah! Lagi aku menyampah adalah. Sebab dia dengan anak kesayangan dialah aku telah dikerah tenaga oleh papa untuk menjadi cik pengasuh budak yang tak bertauliah tau. Aku merenung tajam jiranku yang baru sahaja berpindah di sebelah rumah itu.

“Tak payahlah bunga-bunga ni semua. Mentang-mentanglah saya ni arkitek landskap awak suka hati je bagi bunga kat saya. Apa, awak ingat semua orang kerja landskap ni suka bunga ke?” Aku menolak bunga yang dihulurkan itu dengan kasar.

“Bukan itu maksud saya...” dahinya berkerut.

“Dah tu? ni kalau tak bukan mesti nak bodek papa saya kan? Awak tau kan saya ni anak Tan Sri Rasid. Tu yang awak beria pujuk saya dengan bagi bunga ni dan paksa saya jaga anak awak. Apa motif awak ni sebenarnya ye Encik Hazim?”

Aku menghamburkan amarah yang sudah tidak tertahan lagi. Selama ini aku cuba bersabar melayani kerenah anak lelakinya itu. Aku sanggup menahan malu kerana diejek teman-temanku. Anak Tan Sri tapi jadi pengasuh di rumah sendiri. Mana ada anak orang kaya yang sanggup buat kerja macam aku. Aku benar-benar hilang sabar. Kerana dialah aku kini menyandang dua jawatan. Arkitek landskap cum babysitter. Tak pasal-pasal!

“Saya betul-betul mintak maaf kalau dah menyusahkan Cik Shameem. Tapi Cik Shameem kenalah faham dan bagi saya masa untuk cari pengasuh Haikal yang baru. Saya pun baru je pindah sini. Banyak lagi kerja yang saya belum setelkan lagi. Takkan itupun Cik Shameem tak boleh tolong?” jawabnya tenang.

“Eh, awak ni tak reti bahasa ke? Kalau saya cakap tak suka tu maknanya tak sukalah. Nak paksa-paksa orang pulak. Itukan anak awak. Pandai-pandai awaklah nak buat macam mana pun.”

Terdengar suara Haikal yang riuh bermain game playstationnya di ruang tamu. Aku mengerlingnya tajam. Budak-budak. Tahunya main game je!

“Macam nilah Cik Shameem. Awak bagi saya tempoh sebulan je. Bila dah ada pengganti yang boleh jaga Haikal nanti saya takkan susahkan awak lagi. Boleh ya Cik Shameem?” pinta Hazim dengan bersungguh.

Aku menjuihkan mulut. Malas hendak berkata apa lagi. Kalau lepas ni dia hantar lagi anak dia ke sini malas aku nak jaga. Aku nak buat tak reti je. Haish... tapi macam kejam pulak aku ni. Kesian kat budak kecik yang tak tahu apa-apa tu. Siapa suruh bapak kau cari pasal dulu dengan aku?

“Haikal tu jelah satu-satunya harta paling berharga yang saya ada sekarang ni.”

Aku terkesima. Walaupun perlahan namun masih jelas kedengaran di telingaku. Reaksi wajahnya begitu keruh sekali. Tetapi itu bukanlah bermakna dia mampu membeli hatiku agar bersimpati dengannya.

“Awak suruh ajelah bini awak jaga dia. Kan tu tugas seorang isteri merangkap mama budak tu. takkanlah benda macam tu pun saya nak kena ajar. Kenapa saya pulak yang kena susah payah jaga anak awak? Macamlah saya ni bini awak.”

Lelaki itu diam sahaja. Aku mengeluh. Tak faham bahasa betul lelaki ni. Cakap seribu kali benda yang sama pun masih tak faham juga. Masuk telinga kanan, keluar balik telinga kiri. Kalau orang lain tau jugak malu. Tapi dia ni selamba je aku tengok. Betul ke tidak Haikal tu anak dia? Kalau perhati betul-betul macam takde iras langsung mereka dua beranak. Lelaki ni pun muda lagi dalam pertengahan 20-an agaknya. Kesian... muda-muda lagi dah kena pikul tanggungjawab berat macam ni. Tapi muka lelaki ni macam aku pernah tengok sebelum ni. Macam familiar je. Kat mana ye? Entah, aku pun dah lupa. Agaknya muka dia ni ada seiras dengan client aku kot. Sebab tulah aku macam familiar je dengan dia ni.

“Hm... yelah,yelah. Tapi saya bagi tempoh sebulan je. Lepas tu jangan haraplah awak dapat hantar anak awak ke sini lagi. Saya pun ada kerja lain jugak nak buat. Ikutkan takde masa saya nak jaga Haikal tu. Bukan awak sorang je yang busy!”

“Terima kasih banyak-banyak ye Cik Shameem. Anytime kalau awak ada masa em... apa kata...” dia teragak-agak.

“Apa kata apa? Cakap jelah.”

“Apa kata kita keluar makan. Saya belanja,” jawabnya sambil mengukir senyuman manis.

Aku melarikan pandangan. Tidak sanggup aku melihat senyuman ‘killer’ itu. Silap hari bulan boleh cair hatiku gara-gara senyuman itu. Tambah pula dengan lesung pipit di pipi kanannya. Hidung yang sederhana mancung itu. Wajah ala pan asian. Mixed ke dia ni?! Aku memang yakin dia mampu mencairkan hati para gadis yang naif dan tidak tahu bahawa lelaki ini sudah menjadi suami orang.

“Eh, buat apa? Tak hinginlah saya. Tak takut ke dengan bini awak tu? nanti tak pasal-pasal mata saya ni lebam kena tumbuk dengan bini awak yang garang macam singa tu. hii... tak kuasa saya!”

Aku teringatkan peristiwa dua hari lepas. Aku ditengking sesuka hati oleh seorang wanita muda yang mungkin isteri kepada lelaki ini. Semuanya gara-gara sikap kurang ajarnya sendiri. Baru pindah je nak tunjuk berlagak. Semenjak itu aku asyik memerapkan diriku di dalam rumah sahaja dari terpaksa menghadap muka jiran yang kurang ajar itu. Agak lama jugalah aku tidak pernah lagi bersua muka dengan wanita itu. Lebih bagus macam tu dari buat dosa menyakitkan hati orang buat apa kan.

Dia menahan tawa yang hendak meletus. Aku hairan.

“Apa yang lucunya?”

“Nak takut apa pulak? Saya bukannya buat salah pun. Ajak makan je. Anggap aje ni tanda terima kasih saya kat awak.” Katanya dengan selamba.

Menyirap darahku mendengarnya.

“Tak salah awak cakap? Hei, awak ni kan... memang dasar lelaki kasanova lah. Lelaki buaya punya orang. Dah ada anak bini pun masih nak menggatal dengan anak dara orang lagi!” tempikku.

Lantas pintu ku hempas dengan begitu kuat sekali. Aku benar-benar marah dengan sikapnya. Dasar lelaki miang tak sedar diri. Kau ingat muka kau hensem aku ni boleh cair ke? Jangan haraplah!

**********

BUNYI ketukan yang bertalu-talu di pintu mengganggu lenaku. Aku mula rasa tidak selesa. Sebiji teddy bear yang berada di atas kepala aku capai lalu menekupnya di telingaku sekuat hati. Pun masih lagi tidak mampu menahan bunyi bising itu. Aku bangun dengan mata masih terpejam. Rasa bengang akibat tidur lena yang diganggu. Tergugat kesabaranku.

“Papa, orang nak tidurlah. Kacau betul papa ni,” aku bersuara serak-serak basah. Maklumlah baru bangun dari tidur.

Pintu diketuk lagi.

Tuk... tukk... tukk!!

“Hii... papa ni. yelah, yelah... Meem bangunlah ni.”

Sempat lagi aku mengerling jam dinding yang sudah menunjukkan ke angka 11 pagi. Awal lagi rupanya. Biasanya aku bangun nak dekat pukul 1 tengah hari. Selagi matahari tak tegak atas kepala ni selagi itulah aku tak bangun. Pelik betul papa ni. Takkanlah dia masih tak tahu lagi tabiat anak daranya yang tersangatlah ‘rajin’ ni. Lebih lagi hujung minggu macam ni. masa nilah aku nak tidur sepuasnya tanpa gangguan sesiapa.

Aku menguap perlahan. Pintu kubuka dengan diri yang masih dikuasai mamai. Kepalaku digaru-garu.

“Hm... kenapa pa?”

“Morning.”

Suara garau yang tiba-tiba menyapa pendengaranku sungguh memeranjatkan. Aku terkejut.

“Awak... Encik Hazim?!” aku hampir terjerit.

Lelaki itu tersengih sahaja. Tetapi nampak agak gelabah sedikit bila melihat keadaan aku yang masih lagi tak terurus. Dengan rambut macam lion king nya. Baju tidur kaler pink paras lutut yang agak seksi. Hm... serabai!

Aku melangkah masuk semula ke dalam bilik. Tuala kucapai bagi menutup rambutku yang agak kusut itu.

“Sorry ganggu Cik Shameem masa ni. Em, baru bangun tidur ke?”

Aku menjadi malu dengan pertanyaan itu. Sakit hati pun ada.

“Yang awak main redah masuk rumah orang sesuka hati macam penyamun ni kenapa?”

Aku tidak menjawab pertanyaannya. Rasa malu yang teramat kerana dilihat dalam keadaan tidak sempurna oleh lelaki asing ini.

“Saya mintak maaf. Saya datang ni nak hantar Haikal dan bagi vitamin ni sekali. Tapi Uncle Rasid suruh saya masuk je dan ketuk pintu bilik awak. Saya tak tau pulak yang awak tengah tidur lagi. Kalau tau saya taklah kacau awak pagi ni.”

“Ah, takde maknanya. Hari ni saya nak cuti. So, takde sesiapa yang berhak ganggu masa saya,” aku malas mahu memanjangkan bicara.

Dia segera menahan sebaik aku ingin menutup kembali pintu bilikku. Aku merengus kasar.
“I know you have the right to do whatever you want, but for today I really hope that you can help me. Saya kena masuk ofis pagi ni. It’s really urgent so saya harap Cik Shameem dapat jaga Haikal kejap,” pintanya.

“Kan saya cakap hari ni saya cuti. Awak ni memang tak faham bahasa ke? BM awak masa sekolah dulu dapat berapa ye?” sindirku.

“Okey, saya tau Cik Shameem tengah cuti. Tapi takkanlah tak boleh tolong tengokkan kejap aje pun. Dalam pukul 3 petang nanti saya balik. Boleh?” dia masih tidak berputus asa.

“Yang bini awak pulak tu pergi mana? Shopping ke sampai lupa anak kat rumah.”

Lelaki itu tersenyum simpul. Kenapalah dengan awak ni Hazim? Aku marah-marah macam ni pun nak senyum-senyum lagi. Aku ni ada macam Raja Lawak ke? Atau macam badut barangkali. Begitulah dirinya yang baru aku kenali sepanjang sebulan dia berpindah ke kawasan ini. Selalu senyum dan tak perlu kata apa-apa.

“Pelik betul saya. Ada bini pun tapi macam takde bini,” gumamku.

“Cik Shameem dah lupa agaknya semalam. We’re already make a deal right?”

“Apa?”

“Dalam tempoh sebulan Cik Shameem setuju nak jaga Haikal. Termasuklah hari ni jugak sebab dah masuk dalam perjanjian kita tu.”

Ewah, dah pandai main ugut aku nampak?

Aku ternampak Haikal yang sedang memegang erat tangan lelaki itu. Tanpa menunggu lama, aku menarik tangan Haikal dari pegangan Hazim dengan wajah memuncung.

“Jom Atai, ikut auntie.”

Senyuman lebar terlukis di bibir Hazim.

**********

“PAPA kenapa biarkan Hazim masuk sampai bilik Meem tadi?” aku marah-marah.

“Dah tu, dia nak suruh Meem jaga Atai. Papa suruh jelah dia panggil Meem tadi,” jawab Tan Sri Rasid dengan selamba. Matanya tertancap pada surat khabar News Strait Times.

“Tapi Meem kan tengah tidur lagi.”

“Siapa suruh tidur sampai tengah hari? Meem kan tau waktu tengah hari je Hazim hantar anaknya ke sini. Masa bibik ada dulu takpelah jugak. Tapi sekarang papa harapkan Meem ganti tempat bibik jaga Atai pulak,” kata Tan Sri Rasid.

“Mana boleh macam tu,” aku membentak.

“Kenapa pulak tak boleh?”

Aku lihat papa sudah melipat akhbar yang dibacanya. “Apa yang tak bolehnya Meem? Cuba bagitau papa.”

“Meem bukannya bibik atau pengasuh atau orang gaji pa. Sesuka hati Hazim je suruh Meem jaga anak dia.”

“Apalah salahnya kita tolong dia Meem. Lagipun Hazim tu papa tengok baik orangnya. Mana tahu Meem boleh jadi calon isteri dia nanti,” usik Tan Sri Rasid. Bulat mataku melihat senyuman papa. Nakal jugak papa ni eh!

“Eii, tak kuasa Meem. Jangankan nak jadi calon bini dia, jadi orang gaji dia pun Meem tak sudilah. Papa dengan dia pun sama je. Semua lelaki memang macam ni ke?!” aku menarik muncung sedepa.

Sewaktu aku hendak menaiki tangga menuju ke bilik, aku sempat menangkap kata-kata papa.

“Lain kali anak dara jangan bangun lambat sangat. Kalau malas nanti papa suruh si Hazim je tolong kejutkan Meem,” gurau Tan Sri Rasid. Aku mengetap bibir geram. Tambah geram lagi bila aku dengar tawa papa dari ruang tamu.

Argghh...!!

Read more...

Dia, Cinta Pertama


1

SEDARI tadi aku asyik memerhatikan tingkah seseorang yang duduk di hadapanku. Uniform sekolahnya yang kemas, gaya rambutnya dan bahunya yang tegap. Lebih lagi bau minyak rambutnya yang menusuk hidungku begitu menyenangkan setiap kali aku lalu berdekatannya. Em, wanginya... ini kalau jadi model iklan rambut pun mesti laku. Aku tersengih seorang diri.

“Psst... Meem. Kau ni kenapa sengih sorang-sorang? Macam orang tak betul je aku tengok,” tegur Isya sambil menepuk bahuku.

“Ala, adalah,” jawabku malas.

Isya memuncung. Tanda dia tidak puas hati dengan jawapanku. “Alah kau ni. bagitaulah kenapa...”

“Hisy, kot ye pun nantilah aku cerita. Awal pagi ni aku takde mood lah. Ngantuk lagi ni tau.” Aku menguap perlahan.

“Eleh, tadi elok ada je sengih. Apa-apa jelah kau ni Cik Shameem Suhaili,” balas Isya dengan bersahaja.

Aku mengerutkan dahi. “Sedap sangat ke nama aku tu siap sebut penuh lagi. Kenapa tak sebut dengan nama bapaknya sekali?”

“Oh, kau nak aku sebut nama bapak kau sekali ya? Baiklah Shameem Suhaili Tan Sri Rasss....” 

Dengan pantas aku segera menekup mulut Isya sebelum sempat dia menghabiskan ayat. Perkataan ‘Tan Sri’ memang sengaja dikuatkan volumenya menyebabkan aku menjadi geram. Tidak suka jika ada orang lain mendengarnya. Maklumlah aku ni jenis yang low profile. Tak suka nak menunjuk-nunjuk yang ayah aku tu orang kenamaan. Terasa menyesal pula kerana menyuruh Isya menyebut nama penuhku. Isya tersengih nakal.

“Kau ni mulut laser betul lah. Karang aku cili mulut tu baru tau.”

“Habis tu kau jugak yang suruh aku sebut nama penuh kau kan. Aku sebut jelah. Kau ingat aku main-main?”

“Memanglah. Tapi aku tak suka kalau budak lain tau identiti aku yang sebenar. Tujuan aku datang ke program ni sebab nak belajar. Bukan nak jaja nama bapak aku. Yang kau pergi cakap kuat sangat tu siapa suruh?”

“Yelah, yelah. Aku salah. Aku mintak maaflah.” Isya mencebikkan mulutnya.

 “Eh, bila kelas ni nak habis ye? Aku boringlah. Dari masa ‘ice break’ tadi lagi aku dah bosan gila,” aku merungut sambil melihat jam di pergelangan tanganku.

Ini merupakan hari terakhir aku terpaksa menghadiri seminar PMR peringkat negeri di MRSM ini. Aku, Isya serta dua belas orang lagi kawan-kawanku mewakili sekolah kami beserta dengan sekolah-sekolah lain di serata negeri Pahang. Ikutkan hati malas sebenarnya aku hendak mengikuti program seperti ini. Lagipun aku masih di tingkatan satu. Masih ada dua tahun lagi untuk aku menempuhi peperiksaan PMR. Demi menjaga kualiti pendidikan sekolah jadi pelajar-pelajar yang terpilih seperti diriku lah yang harus mengorbankan diri di masa cuti sekolah ini. Kalau di rumah waktu ini mungkin aku masih lagi lena diulit mimpi atau sedang menikmati masakan bibik yang enak itu. 

“A’ah lah Meem. Aku pun bosan jugak ni.” Isya setuju denganku.

Terdengar suara bising-bising di meja hadapan. Kami berpaling. Aku memerhatikan senyumannya yang jarang sekali kulihat sepanjang seminar ini diadakan. Dia begitu asyik berbincang dengan kawan-kawannya sehingga tidak sedar diperhatikan. Bunyi bising lagi. Oh, rupanya Cikgu Halim menyuruhnya menyelesaikan satu soalan Matematik di papan hitam. Aku tidak begitu berminat. Sebaliknya aku lebih berminat memerhatikan dirinya. Aku lihat kawan-kawannya yang teruja berbanding ahli kumpulan dari sekolah lain.

“Isy, bising betullah budak-budak pandai tu. Nak tunjuk terer lah tu,” rungut Isya seraya menjeling tajam ke arah mereka.

Selepas dia berjaya menyelesaikan soalan Matematik dia kembali ke tempat duduknya. Tetapi tidak lama apabila dia bangun lalu menuju ke meja kumpulan aku. Langkahnya diatur kemas. Aku tergamam sebaik dia menghulurkan sehelai kertas putih A4 padaku. Pertama kali sepanjang mengikuti program ini aku dapat bertentang mata dengannya. Begitu dekat sekali. Biasanya tengok dari jauh saja. Berdebar-debar hatiku. Aduh... kenapa perlu berdebar pulak? Bisa gugur jantungku ini dibuatnya.

“Cikgu Halim suruh tulis nama kedatangan korang pada kertas ni,” suara garaunya menyapa telingaku.

“Terima kasih.”

Aku angguk sambil tersenyum manis. Langsung tidak dibalas. Pandang muka pun tidak. Aku hampa kerana tiada respons positif darinya. Perlahan kertas yang dihulurkan aku ambil dengan tangan sedikit terketar. Tak tahu kenapa aku begitu gementar tatkala berdepan dengannya. Tetapi inilah yang aku rasa sepanjang tiga hari program ini diadakan di sekolahnya. Walaupun dalam kumpulan yang sama tetapi kemudiannya kami dibahagikan pula dengan kumpulan-kumpulan kecil di setiap kelas. Ada tiga orang dari sekolah yang berlainan dalam kumpulanku. Termasuk aku dan Isya jadi lima orang kesemuanya.
Mujurlah aku dengan Isya tidak dipisahkan antara satu sama lain. BFF lah katakan. Kawan-kawan yang lain pula berada dalam kumpulan berasingan. Sebenarnya aku mengharapkan budak lelaki yang aku tidak kenal lagi namanya itu satu kumpulan denganku. Malangnya, sudah tersurat dia berada di kumpulan lain. Aku sendiri tidak faham mengapa aku menaruh harapan sebegini. 

Aku suka diakah? Nak kata suka, tidak juga. Sebab aku bukannya kenal dia pun.

Aku cuma minat tengok gaya dan muka dia je. Aku mula perasan dia pun sewaktu hari pertama menjejakkan kaki ke dewan sekolah ini. Waktu itulah kami dibahagikan kepada kumpulan. Kemudian diberikan taklimat ringkas berkenaan seminar. Selepas itu bacaan doa sebagai pembuka dan penutup taklimat dia naik ke atas pentas. Aku tak sedar yang aku begitu ralit memerhatikannya pada saat itu. Dan kerana dialah aku menjadi bersemangat mengikuti seminar ini.

“Harap muka je hensem. Tapi sombong nak mampus,” kutuk Isya sebaik melihat pengawas itu beredar ke mejanya semula.

“Kenapa pulak?” aku mengerutkan dahi.

“Kau tengoklah tadi cara dia cakap tu macam mana. Pandang muka pun tidak. Macam bagus sangat.” Kutuknya. Dia mengajuk kembali gaya percakapan lelaki itu tadi. Aku tersenyum kecil.

“Tapi dia tu okey je aku tengok. Gaya dia tu smartlah,” pujiku tanpa berselindung lagi.

“Kau tu memang. Apa yang buruk aku cerita pasal dia semuanya baik bagi kau. Kau suka dia eh Meem?”

Aku terkedu.

“Ha, betullah apa yang aku fikir selama ni. Aku dah perhati kau selama tiga hari seminar ni. Kau asyik nak pandang pengawas tu je kan. Aku dapat rasalah yang kau suka dia kan Meem. Betul tak?” 

Aku dapat merasakan pipiku menjadi bahang. Aku terasa malu, kerana memang benar apa yang dikatakan Isya itu. Sepanjang tiga hari seminar aku tak pernah lepas pandang dari melihat pengawas itu. Inilah pertama kali sepanjang tiga belas tahun usiaku aku mempunyai perasaan suka terhadap seseorang. Mungkin inilah yang dikatakan cinta monyet. Tapi aku memang betul-betul dah sukakannya sejak pertama kali terpandang dirinya. 

“Diam tu tanda setuju kan,” usik Isya lagi.

“Tapi kau tengok dia tu hensem tak?” aku menyoal selamba.

“Hensem tu memanglah. Aku rasa dalam kelas ni ramai-ramai budak lelaki dia paling hensem sekali. Tapi aku tak suka sebab dia sombong. Kau ni suka sebab rupa dialah ye?”

“Mungkin. Aku tak kata sebab rupa je. Tapi aku suka tengok gaya dia. Mesti dia ramai peminat kan?”

“Agaknya kot. Kau suka dia pun bukannya dia layan kau. Kenal pun tidak.”

“Aku ingat nak tanya nama dialah sebelum balik nanti.” Aku menyulam angan.

Isya sekadar menjungkit bahu. Mungkin pada fikirannya mustahil kot aku dapat berkenalan dengan pengawas yang aku minati itu. sekadar hendak bertanya nama, tak salah kan? He he... aku tersenyum sendiri.

Habis sahaja kelas teknik menjawab soalan Matematik, bermakna tamatlah sesi seminar pada kali ini. Aku kelam kabut mengemas kertas dan alat tulis. Aku mengerling sekilas ke meja di hadapanku. Sudah kosong! 

Pelajar-pelajar berpusu-pusu keluar kelas. Mataku tercari-cari dia. Eh, takkan secepat kilat dia keluar? Aku semakin tidak keruan. Aku ingin tahu namanya. Itu saja. Sekurang-kurangnya aku dapat berkawan dulu dengannya. 

“Wei, Meem. Tunggulah aku dulu.” Laung Isya yang masih ketinggalan mengemas barangnya.

“Isya, aku tunggu kau kat kantin ek.”

Tanpa menunggu lama aku terus meninggalkan Isya dan menuju ke blok bangunan bersebelahan. Keadaan di kantin penuh sesak dengan para pelajar seminar. Lagi payah aku nak cari lelaki pengawas itu. seperti biasa sebelum balik jamuan ringan diadakan. Mesti dia makan dulu dengan kawan-kawan dia. Takpelah aku boleh tunggu Isya di sini je.

Beg Jansport coklat aku letak di atas meja. Sempat lagi aku mengerling beg sekolah milik siapa entah di sebelah. Sebijik sama dengan beg Jansportku. Dengan warnanya... jenamanya... ah, lantaklah. Siapalah agaknya tuan dia. Sama pulak taste dengan aku. Tetapi setakat ni sudah dua, tiga orang aku jumpa budak yang pakai beg sekolah sama dengan aku. Dalam masa sama aku ternampak Isya. Tanganku dilambaikan ke arahnya. Isya menghampiriku dengan muka kelat. Merajuk lah tu agaknya kerana ditinggalkan. Itulah, siapa suruh lambat sangat tadi.

“Kau ni teruk tau Meem. Sanggup kau tinggal aku tadi.” Isya sudah memuncung.

“Alah, kau lambat sangat. Faham-faham jelah tiap kali habis kelas je kantin mesti penuh. Jom kita pergi ambik makanan kat sana. Hari terakhir nilah kita kena makan puas-puas,” aku menarik lengan Isya menuju ke barisan pelajar lain.

“Tak naklah. Aku kenyang lagi. Jomlah kita balik,” kata Isya dalam nada rajuknya.

“Janganlah macam ni Isya. Kita makanlah dulu...” aku cuba memujuk. Minah ni boleh tahan jugak merajuknya.

“Kau nak makan pergilah. Aku nak balik,” kata Isya acuh tak acuh.

“Okeylah, kita balik. Tak nak aku makan sorang-sorang.”

Aku berpaling lalu mengambil beg sekolahku yang sudah beralih kedudukan. Dalam masa yang sama aku masih tercari-cari kelibat seseorang. Hampa. Hatiku betul-betul hampa. Mungkin aku memang tidak berpeluang untuk mengenalinya dengan lebih rapat lagi. Ah, lupakan jelah dia. Habis cerita. Tapi cerita ini tidak berakhir di sini saja kerana... boleh ke aku lupakan dia begitu saja?

**********

AKU menyelongkar habis kesemua barang di dalam beg Jansport itu. Ternyata memang kesemuanya bukan milikku. Berderau darahku kerana aku telah tersalah tukar beg sekolah. Mungkin semasa seminar PMR kira-kira tiga minggu yang lalu. Dan paling membuatkan aku kesal ialah aku baru sahaja menyedarinya seminggu sebelum tiba musim persekolahan semula. Inilah akibatnya bila dah malas sangat. Nak dekat bukak sekolah baru terhegeh-hegeh nak kemas buku-buku. Sebelum ni sibuk sangat berchatting lah, bershoppinglah dan macam-macam perkara tak berfaedah aku buat di rumah ni.

Tapi nak pulangkan beg ni tuan dia pun aku tak tau siapa. Yang ada dalam beg ini hanya sebuah nota tanpa nama pemiliknya, bekas pensil, kertas soalan Matematik dan Bahasa Melayu serta... sehelai baju jersi bola sepak yang bergumpal.

“Apa kes bawak baju jersi pergi seminar?” aku berasa hairan.

Memang sah pemilik beg ni seorang lelaki. Lantaklah! Akhirnya aku menyimpan sahaja baju jersi merah dan beg sekolah itu sebagai tanda kenangan atau mungkin bakal dibakul sampahkan. Lagipun bukannya ada barang berharga pun dalam beg ni. Eh, nanti dulu. Sayang pulak nak buang baju jersi ni. Nampak elok lagi. Bau pun macam bau kedai lagi.
Seingat aku pula dalam beg Jansport aku tu pun ada kertas dengan pensil je. Alah... aku pun tak heranlah. Aku mengambil keputusan untuk menyimpan sahaja baju jersi itu di dalam almari pakaianku. Beg Jansport ini? Arghh... campak ajelah dalam tong sampah.

Aku tidak pasti bilakah baju jersi bola itu terus tersadai di dalam almariku dalam beberapa tahun akan datang nanti. Yang pasti aku ingin menyimpannya sebagai kenangan pertemuan aku dan dia di MRSM itu. walaupun aku sedar yang mungkin tuan punya jersi ini akan mencarinya bagai nak gila! Ha ha...
















 




Read more...