Friday, February 4, 2011

Kerana Sonata Musim Salju

1


Hembusan bayu dari arah Laut China Selatan sangat mendamaikan dan memberi ketenangan di jiwa. Angin yang bertiup menyapa mesra wajah mulusnya yang halus lagi gebu itu. Cuaca petang itu sangat baik sekali. Dia masih lagi berdiri tercegat di tepi pesisiran pantai. Menyaksikan nelayan-nelayan pulang sambil membawa hasil rezeki yang ada. Tahun 2001 semakin menginjak ke penghujungnya. Ini bermakna tidak lama kemudian akan datanglah musim tengkujuh. Bagaimana lah agaknya nasib para nelayan di Terengganu nanti?



Beberapa orang kenalan ayah sesekali menyapanya. Ada juga yang bermurah hati dengan meng’hadiahkan’ ikan hasil tangkapan mereka di laut. Dia manyambutnya sambil mengucapkan terima kasih. Tersenyum suka dia. Malam ini dapatlah dia makan lebih sikit. Eh,tidak boleh…sebab dia perlu berjimat. Ikan-ikan ini dia akan simpan untuk sehari dua ini. Kalau tidak dia harus juga memikirkan emak serta tiga orang lagi adik-adiknya di rumah. Mana boleh ikut sedap perutnya sahaja!

Dari kejauhan ayah melambai ke arahnya. Dia membalas lambaian ayah dan terus berlari-lari anak di atas jeti kayu itu. Terjerit-jerit dia melaung memanggil ayah. Segera dia menghampiri ayah yang sedang menambat tali bot pada sebatang kayu. Ayah mengesat keringat peluh yang menitik jatuh dari dahinya. Dihulurkan hasil tangkapan yang tidak seberapa. Tidak sebanyak yang diimpikan olehnya tadi. Dahinya berkerut seribu. Lama sekali dia merenung wajah ayah.

“Kita bersyukur ajelah apa yang Dia nak bagi untuk hari ni. Esok lusa ayah akan usaha lagi. Kalau ayah mampu sampai ke Lautan Pasifik pun boleh.”

Dia tergelak besar mendengar gurauan ayah. Ada-ada sahaja ayah. Hatinya terhibur sedikit. Angin sekali lagi bertiup dengan sedikit kencang. Sebentar lagi air pasang dan mereka perlu segera pulang memandangkan azan Maghrib akan berkumandang.

“Ayah,kalau nak dekat-dekat musim tengkujuh macam sekarang ni memang susah kan?”
“Apa yang susah?”
“Susah nak dapat ikan banyak-banyak.”
“Oh,itu bergantung pada rezeki lah.”
“Shida pernah tengok dalam satu channel tu nelayan di Amerika sanggup tangkap ketam batu yang hasilnya bila dijual fuhh…boleh kaya tau ayah. Yelah,bukan senang nak tangkap ketam batu. Mereka sanggup meredah lautan dengan ombak besar tu…”
“Tapi ayah tak nak anak ayah ikut jejak ayah sebagai nelayan. Biar ayah sorang aje yang rasa susah.”
Murshida serta-merta terdiam.
“Murshida…lekas balik.”

Dia tersenyum sambil mengangguk. Didongak ke langit merenung awan yang berarak seolah-olah melambai ke arahnya. Ingin mengucapkan selamat tinggal kerana ia akan pergi buat seketika dengan malam pula berganti. Dia mengorak langkah mengekori ayah yang sudah jauh meninggalkannya. Kedengaran sayup-sayup laungan syahdu azan Maghrib dari masjid berhampiran. Langkahnya makin pantas.

**********

Pagi itu dia ke sekolah seperti biasa. Bersarapan ala kadar. Hanya mengalas perut dengan secawan air suam dan sekeping roti sahaja. Mak memaksanya untuk bersarapan juga kerana bimbang jika perut kosong nanti tak masuk hendak belajar. Susah pula nanti.  Sesampainya di sekolah dia meletakkan basikal di tempat yang telah ditetapkan. Hari itu tiada perhimpunan jadi dia terus berjalan menuju ke kelas Tingkatan 5 Sains.

“Shida!”

Kedengaran suara seseorang yang amat dikenali memanggilnya. Murshida berpaling. Kelihatan Raiyan berlari-lari anak mengejarnya dari jauh. Semakin lama semakin hampir. Dia tercegat menunggu Raiyan yang merupakan teman baik dan merangkap rakan satu kelas.

“Lambatnya kau hari ni. Bangun pukul berapa tadi?”gumamnya. Dilihatnya Raiyan sedang termengah-mengah. Penat berlari tadi. Terasa semput pula.
“Aku…aku bangun lambat tadi. Tak sedar. Pukul 7 baru tersedar…”
“Ya Allah,kau tak solat Subuh ke tadi?”terbeliak mata Murshida.
“Solat jugak. Err,tapi aku ganti lah…”sengih Raiyan.
“Eii,kau ni Raiyan…dah tu sempat mandi tak ni?”
“Mestilah aku mandi. Mandi pun tak sampai lima minit pun. Nasib baik sempat jugak sampai sebelum pintu pagar tu tutup!”
Dia menggeleng kepala. “Kau ni busuk lah Raiyan. Mandi kambing buat apa? Dah tepi sikit. Aku nak masuk kelas ni.”
“Eh,kita masuk kelas sama-sama lah Shida. Tunggulah aku dulu!”
“Tak boleh. Biar aku masuk dulu. Kau masuklah lambat sikit.”
“Lah…kenapa nak macam tu pulak? Sebelum ni okey je. Takkan hari ni tak boleh pulak aku nak jalan dengan kau sama-sama sampai kelas?”
“Aku kata tak boleh tu tak boleh lah. Masa sekolah rendah dulu-dulu boleh lah nak jalan dua-dua. Sekarang dah lain. Kau lain,aku lain. Faham tak ni?”
“Lain? Apa yang lain Shida? Aku tengok kita sama-sama manusia. Apa yang lain pulak?”
‘Hisy,tak faham bahasa betul lah mamat ni…’rungutnya dalam hati.
“Kau lelaki. Aku ni perempuan. Kita ni dah akil baligh kau tau tak? Lagipun kalau si Jasmin nampak kau rapat sangat dengan aku nanti dia makinlah jealous.”
“Ala,peduli ajelah dia nak jealous ke tak. Aku bukan nak kat dia. Aku nak dekat kau sorang aje.”
 Tersentap hatinya mendengar kata-kata Raiyan. Tetapi…agaknya Raiyan main-main sahaja. Dia cuba menafikan. Lagipun Raiyan memang gemar mengusiknya. Dia bukan tidak kenal dengan lelaki itu.
“Main-main lah kau ni Raiyan!”marahnya.
“Ala, nak marah pulak? Aku serius lah ni,”dia tergelak besar.

Serius apa ke benda kalau macam tu? Cakap aje serius. Tapi siap boleh gelak-gelak lagi. Hampeh betul lah manusia yang bernama Raiyan ni! tanpa sedar,mereka telahpun sampai di depan pintu kelas Tingkatan 5 Sains.

Murshida masuk dahulu kemudian Raiyan mengekorinya dari belakang. Dia perasan sekali lagi yang riak wajah Jasmin terus sahaja berubah apabila dirinya berdua lagi dengan Raiyan. Masam sahaja yang menghiasi wajah cantik itu. Sedangkan teman-teman yang lain sudah faham benar yang dia memang sudah lama berkawan baik dengan Raiyan. Cuma Jasmin sahaja yang tidak boleh menerima. Ah,lantak lah. Yang penting tujuan utama dia datang ke sekolah adalah untuk menimba ilmu. Bukannya untuk bercinta. Teringat pada kesusahan hidup keluarganya menyebabkan semangat ingin berjaya di dalam pelajaran tidak pernah luntur. Malah semakin hari semakin bersemangat untuk merubah hidupnya.

**********

Petang itu dia menyelusuri lagi pesisiran pantai. Menunggu kepulangan ayah dari laut. Dirinya berdiri tidak jauh dari jeti yang menempatkan beberapa buah bot nelayan. Penat menghafal formula-formula Kimia semasa di rumah tadi. Oleh itu dia perlu mencari sedikit ketenangan untuk berehat sebentar. Adik-adiknya sedang berlari agak jauh darinya. Entah bermain apa dia pun tidak tahu. Malas hendak mengambil tahu.

“Boy, Ayim! Jangan main jauh sangat!”laungnya.
“Kak Long,boyfriend dah datang!”jerit Boy pula.
Dahinya berkerut. Boyfriend?
Dia menoleh. ‘Lah…Raiyan rupanya.’ Raiyan dilihat sedang tersengih dari kejauhan. Sedang melambai-lambai ke arahnya. Lelaki itu menghampiri dan mendapatkannya yang sedang berdiri di situ.

“Kau buat apa kat sini Raiyan?”tanya Murshida sebaik melihat lelaki itu makin dekat.

“Nak jumpa kau lah buat apa lagi. Kau kan satu-satunya buah hati yang aku ada. Buah hati pengarang jantungku,”jawab Raiyan selamba.

“Kau ni jangan main-main boleh tak? Kenapa ye sekarang aku tanya betul-betul kau suka mainkan aku? Kau nak buat aku perasan ye? Kalau betul jangan haraplah yang aku nak perasan. Sebab aku hanya anggap kau ni kawan baik aku aje tau!”

Raiyan terdiam. Lama sekali. Sehingga dia berasa bersalah pula. Hati Raiyan terguriskah?

“Aku…aku tak main-main. Takkanlah aku nak mainkan perasaan kau pulak...”

“Tengok tu. Cantik kan pemandangan kat sana tu…”dia tukar topik.

Terdengar keluhan Raiyan.

“Aku tak paksa kalau kau memang tak sukakan aku pun Shida. Tapi aku rasa kau patut tau satu benda ni aje. Aku dah tak mampu nak simpan lama-lama…”

Murshida membisu. Dia menanti kata-kata seterusnya dari lelaki yang berwajah tampan dan ada iras-iras Cina itu. Cuba untuk berlagak tenang walaupun hatinya berdebar-debar.

“Dah lama aku pendamkan benda ni. Sebenarnya aku dah lama sukakan kau Shida. Sejak dari kita form 1 lagi aku memang minat kat kau. Tapi aku mula-mula cuba nafikan. Bila dah lama-lama macam ni aku dapat rasakan yang aku memang dah jatuh cinta pada kau. Aku tak dapat tipu diri aku. Aku sayangkan kau lebih dari seorang kawan.”

Raiyan berwajah serius. Wajah Murshida yang sudah kemerahan itu ditatapnya lama. Mungkin gadis itu berasa malu dengan pengakuannya tadi. Angin laut yang bertiup menerbangkan tudung yang dipakai gadis itu. Nampak makin menawan pula dengan kecantikan semulajadinya itu.

 “Kenapa kau diam Shida? Cakaplah sesuatu aku nak dengar ni.”

Dia menarik nafasnya. Menenangkan jiwa yang bergelora. Mengapa boleh begini jadinya? Mengapa Raiyan boleh jatuh cinta? Sedangkan dia sedaya upaya ingin menganggap lelaki itu sebagai kawan akrabnya satu-satunya. Dia tidak dapat menolak memiliki rasa sayang juga terhadap lelaki itu. Tetapi dia sendiri tidak pasti sama ada perasaan kasih ini sebagai sahabat atau sebaliknya.

Lagi pula dia malu dengan Raiyan. Lelaki itu anak cikgunya sendiri. Keluarga Raiyan tidak sama dengan keluarganya. Raiyan boleh dikatakan hidup agak senang dan sederhana jika dibandingkan dengan dirinya yang hidup miskin. Dia hanyalah seorang anak nelayan. Yang tidak punya apa-apa!

“Aku pun sayangkan kau jugak Raiyan. Tapi…sayang aku ni hanya sebagai kasih seorang sahabat aje. Aku minta maaf Raiyan. Aku hanya boleh terima kau sebagai kawan baik aku aje.”

Reaksi Raiyan kelihatan kecewa sekali. Cintanya ditolak mentah-mentah oleh sahabat baiknya sendiri. Dia berasa sungguh terkilan.

“Takpelah kalau macam tu. Aku faham…”

“Tapi kita masih boleh berkawan. Mungkin sebab kita terlalu rapat sejak kecik lagi. Mungkin sebab tu kau rasa macam tu. Tapi tak bermakna aku sanggup kehilangan kau sebagai satu-satunya kawan aku. Apa kata kau bagi peluang kat aku Raiyan. Aku nak tumpukan pada belajar dulu buat masa ni. Lagipun tak lama lagi nak SPM.”

“Aku faham perasaan aku sendiri Shida. Kalau macam tu takpelah. Betul cakap kau. Kita tumpukan pada belajar dululah kan. Tapi aku tak mungkin akan jatuh cinta pada perempuan lain selain kau Shida. Aku tetap akan tunggu kau sampai bila-bila pun…”

Dia tersenyum hambar. Hati nya sedikit tenang dengan kata-kata Raiyan tadi. Mungkin dia perlukan masa. Lagipun belum sampai masanya untuk dia memikirkan soal cinta di usia yang dirasakan masih mentah lagi.

“Aku ingat aku datang ni nak jumpa kau sekejap aje Shida. Sebab lepas ni aku ada kerja lain nak buat. Tapi sebelum tu aku nak kasi kau sesuatu.”

“Hah? Apa dia?”

Raiyan sedang mengeluarkan sesuatu dari dalam beg galasnya yang berwarna coklat gelap itu. Ada sekeping VCD. Dia makin hairan. Lelaki itu menghulurkan VCD itu padanya. Dia mengambilnya dengan teragak-agak.

“Err,apa ni Raiyan?”

“CD lagu Winter Sonata,he he…”sengih Raiyan. Dia menggaru kepala yang tidak gatal. Malu-malu kucing pula!

“Untuk apa kau bagi aku CD ni?”

“Untuk kau lah Shida. Aku hadiahkan sebab setiap kali aku tengok cerita Korea ni aku mesti teringatkan kau. Kau nak tau tak sebab apa?”

“Hah? Sebab apa?”

“Sebab muka heroin dalam cerita tu ada iras-iras dengan muka kau lah Shida. Cute aje. Sebab tu aku suka sangat tengok cerita ni.”

Dia merenung lama VCD Winter Sonata itu di tangannya. Memang sekarang ni cerita ini tengah hangat sekali diperkatakan sekarang. Kalau di sekolah ramai kawan-kawan perempuannya yang sering bercerita tentang Winter Sonata. Dia tidak begitu mengikuti perkembangan cerita Korea itu. Tetapi dia suka benar mendengar lagu tema cerita itu. Sungguh menusuk sanubari. Tetapi…tidak menyangka pula yang Raiyan juga minat dengan Winter Sonata!

“Kau ni nak samakan aku pulak dengan muka orang Korea. Penat aje mak aku lahirkan aku sebagai orang Melayu. Dalam surat beranak aku pun dah sah-sah tercatit perkataan bangsa Melayu kau tau tak!”

Raiyan menyeringai. “Ala,aku tau lah. Tapi tak salah pun kalau aku nak fikir macam tu. Aku tau kau suka dengar lagu tu. Jadi aku belikan VCD ni khas untuk kau. Kau simpanlah baik-baik ye Shida. Err,bagi aku kau lah Yoo-Jin aku. Dan aku adalah Joon-Sang kau,”Raiyan tersengih lebar menampakkan lesung pipit di pipi kanannya.

“Apa? Aku Yoo-Jin kau? Hisy,mengarut betul lah kau ni Raiyan.”

Tetapi Murshida tetap tersenyum suka. Raiyan menghiburkan hatinya. Itulah keistimewaan temannya itu.

“Tapi,kat rumah aku mana ada pemain VCD. Kalau TV tu adalah. Itupun TV kecik aje. Kau ni pun Raiyan,macam mana lah aku nak dengar.”

“Eh,ye tak ye jugak. Takpelah. Kau simpan ajelah Shida. Aku dah terbagi dah pun kat kau. Aku harap kau suka. Nanti bila kau dah kerja kau beli lah satu set home theater  letak kat rumah kau tu. Lepas tu boleh lah kau nak pasang sekuat mana yang kau nak. Amacam?”

“Kau ni ada-ada ajelah Raiyan. Ha,yelah aku simpan. Aku akan jadikan VCD ni sebagai harta aku yang paling berharga sekali. Terima kasih.”
Mereka sama-sama ketawa gembira.

2

Perubahan sikap Raiyan mulai disedarinya sejak kebelakangan ini. Apakah lelaki itu merajuk kerana dia telah menolak cinta Raiyan dahulu? Apa yang pasti dia dapat melihat Raiyan mulai agak rapat dengan Jasmin. Walaupun dia tidak kisah malah tidak pernah ambil kisah pun Raiyan hendak berkawan dengan sesiapa pun,tetapi mengapa dirinya diketepikan? Itulah yang dia tidak faham.

Peperiksaan SPM telah pun bermula. Segala masalah antaranya dengan Raiyan diketepikan dahulu demi peperiksaan yang begitu penting sekali baginya. Yang pasti selepas tamat sahaja SPM dia akan berjumpa dengan Raiyan. Dia ingin bertanya mengapa Raiyan kini seolah-olah semakin menjauhkan diri darinya. Adakah dia tersalah cakap sehingga telah membuat lelaki itu tersinggung dengannya?

Sewaktu dia hendak berjalan menuju ke kantin,tiba-tiba sahaja Jasmin menahannya. Gadis itu berdiri betul-betul di tengah laluan koridor itu sehingga menyukarkan perjalanannya. Dia ingin berlalu tetapi tiba-tiba sahaja Jasmin menolaknya. Nyaris dia hendak terjatuh. Dahinya berkerut seribu. Entah kenapa dengan Jasmin yang seolah-olah hendak mencari pasal sahaja dengannya. Geram juga dengan kelakuan gadis itu.

“Hoi perempuan! Kau tak sedar ke yang kau tu miskin hah?!”
“Awak ni kenapa Jasmin tiba-tiba aje nak marah saya tak tentu pasal ni?”
“Sebab kau tu dah rampas Raiyan dari aku. Kau tau tak?!”
“Hei,sejak bila pulak saya rampas Raiyan ni? jangan memandai nak tuduh yang bukan-bukan ye.”
“Eleh,aku memang dah lama tau yang kau sebenarnya ada niat lain kawan dengan Raiyan kan. Kau mintak dia belikan kau macam-macam sebab kau tu kan miskin. Anak nelayan. Takkanlah nak beli VCD sekeping pun tak mampu kot? Agak-agak lah sikit…”

Jantungnya berdegup kencang. Terbeliak matanya tatkala terpandangkan VCD Winter Sonata yang kini berada di tangan Jasmin. Bagaimana pula VCD itu boleh berada di tangan Jasmin? Baru dia teringat yang dia ada menyimpan VCD Winter Sonata itu di dalam beg sekolah sebaik Raiyan memberinya seminggu yang lepas. Dia menyimpan di dalam beg pun kerana tidak mahu adik-adiknya nampak nanti. Bimbang jika dibuat main akan rosak pula.

“Mana…awak dapat VCD tu?”
“Aku selongkar dalam beg kau. Aku jumpa dalam poket beg. Aku tau pun sebab Raiyan yang cerita kat aku. Alang-alang dah dapat ni aku ambil ajelah. Daripada kau simpan baik kasi aje kat aku,huh!”
“Janganlah buat macam tu Jasmin. Raiyan kasi kat saya VCD tu...bagilah balik!”
“Ah,aku peduli apa. Aku takkan kasi kat kau budak miskin!”ejek Jasmin.

Mereka berebut ingin mendapatkan VCD Winter Sonata itu. Sebenarnya Jasmin bukan hendak sangat pun. Anak orang kaya sepertinya sudah tentulah dia mampu membelinya. Hendak beli sepuluh keping VCD pun lebih dari mampu. Tetapi sengaja dia buat begitu. Dia berasa iri hati kerana VCD itu dihadiahkan Raiyan kepada Murshida.

Akhirnya dia berjaya merampas VCD Winter Sonata itu dari tangan Jasmin. Tetapi dengan pantas dan tanpa disedarinya tangan Jasmin menepis kuat tangannya sehingga terpelanting VCD tersebut lalu jatuh ke lantai. Betul-betul di hadapan Raiyan yang kelihatan terkejut sekali menyaksikannya. Dia menjadi serba salah.

“Raiyan…”
Reaksi muka Raiyan sudah berubah. Merah padam muka lelaki itu.
“Kalau betul kau nak buang pun hadiah yang aku kasi,takkanlah kau tergamak campak depan aku Shida? Sampainya hati kau…”sayu Raiyan bersuara.
“Raiyan,nanti dulu. Aku tak maksud pun…”

Tetapi Raiyan terus berlalu dari situ. Tidak langsung memberi peluang untuknya berterus-terang. Lelaki itu telah salah faham. Bukan niatnya hendak membuang hadiah itu. Dia berasa sedih dan kecewa. Hatinya terasa seperti disiat-siat. Jasmin tersenyum sinis dan akhirnya berlalu dari situ meninggalkannya yang kecewa. Kecewa yang teramat sangat.

**********

Murshida memeluk lututnya dengan kedua tangan. Dia masih menangis di situ. Menangisi nasibnya sendirian di situ. Dia menghadap lautan yang terhampar membiru nun jauh di hadapannya. Tempat yang menjadi kegemarannya. Di situlah dia sering meluahkan perasaan jika mempunyai masalah. Dan di situlah dia sering meluangkan masa bercerita dengan Raiyan. Kelihatan sepasang burung berterbangan tinggi ke udara. Betapa dia sangat merindui sahabat baiknya itu.

Sudah berbulan-bulan tetapi Raiyan masih lagi tidak menerima dirinya seperti dahulu. Walaupun ada sekali dia berjumpa dengan Raiyan kerana ingin menerangkan hal yang sebenarnya,tetapi lelaki itu tidak ingin menatap wajahnya. Raiyan betul-betul berkecil hati dengannya.

‘Kenapa kau buat aku macam ni Raiyan? Aku sayangkan kau…’

Mungkin inilah nasibnya yang hidup miskin. Mentang-mentanglah dia anak seorang nelayan. Tiada siapa lagi yang ingin mendampinginya. Dia tiada sesiapa lagi. Hanya Raiyan sahaja yang sudi berkawan dengannya. Semenjak mereka kenal di bangku sekolah rendah lagi. Tetapi Raiyan sudah tidak sudi lagi berkawan dengannya. Sedih sungguh hatinya.

Sehinggalah keputusan peperiksaan SPM diumumkan, dia akhirnya berjaya mendapat keputusan yang cemerlang. Cukup melayakkan dirinya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di luar negara. Seperti yang dicita-citakan selama ini. Dia juga merupakan salah seorang pelajar SPM paling cemerlang bagi tahun itu. Dia telah ditawarkan biasiswa dari JPA untuk menyambung pengajiannya ke Ireland nanti. Lega hatinya kerana tidak sia-sia dia berhempas pulas siang dan malam mengulangkaji pelajaran. Semua ini berkat doa mak dan ayah. Ternyata kemiskinan hidup bukanlah penghalang kejayaan seseorang.

Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi dia akan berangkat serta mengikuti kursus yang bakal disediakan nanti. Tetapi hatinya tetap sedih dan sebak mengenangkan Raiyan yang terus menghilangkan diri entah ke mana.

Hendak bertanya pada kedua ibu bapa Raiyan dia terasa malu. Sedar yang dirinya siapa. Dia pula seorang perempuan yang tahu rasa malu. Akhirnya dia pasrah. Dan membiarkan segala yang berlaku sebagai satu suratan takdir dalam hidupnya. Andai satu masa nanti dia yakin pasti akan bertemu jua dengan Raiyan jika ditakdirkan. Disimpan segala kenangan indah semasa bersama lelaki itu jauh di sudut hatinya.

3

Hari berganti bulan. Bulan berganti tahun. Dan sudah bertahun-tahun lamanya Murshida tidak menjejakkan kaki ke Malaysia. Kini dia kembali dengan membawa kejayaan. Dia sudah jauh berubah. Dia kini bakal bergelar seorang doktor. Akhirnya dia dapat pulang bertemu dengan keluarga yang dikasihi terutamanya mak dan ayah yang dirindui selalu. Betapa gembiranya saat berjumpa dengan keluarganya. Air mata kegembiraan menjadi saksi betapa akhirnya mereka bakal keluar dari kepompong kemiskinan berbekalkan ilmu kedoktoran yang diperolehinya.

Sewaktu Mursyida hendak mengemas barang-barangnya, tiba-tiba pandangannya tertancap pada sebuah kotak yang sudah berhabuk dan usang. Dia pantas membuka pelekat yang menutup kotak tersebut.

Sebaik sahaja kotak dibuka,terpacul lah segala barang-barang lama yang masih disimpan sewaktu di zaman persekolahan dahulu. Dikeluarkan satu persatu. Dia tersenyum geli hati. Tiba-tiba dia terpandangkan sesuatu. Serta-merta hatinya tersentuh. Sekeping VCD lagu Winter Sonata berada di tangannya kini.

‘Elok lagi ke tak ni?’

Segala kenangan bersama Raiyan terimbau dalam ingatannya kini. Dia memasang VCD itu di radio yang terletak di biliknya. Lagu Winter Sonata dimainkan. Masih elok lagi terpasang. Hatinya makin tersentuh. Tiba-tiba barulah dia perasan sesuatu. Ada sekeping nota kecil yang terselit di celah VCD case itu. kenapalah sebelum ini dia tidak perasan langsung?
‘Apalah aku ni…’gerutu hatinya.

‘Buat temanku yang disayangi selalu,Murshida…lagu ini merupakan luahan hati Raiyan teristimewa untuk Yoo-Jin ku. Simpan lah elok-elok VCD ni okey. Salam sayang-Your Joon-Sang.’

Ringkas sahaja catatan nota tersebut. Kemas sekali tulisan Raiyan. Namun masih tetap membuatnya semakin tersentuh. Dia berasa terkilan kerana tidak sempat bertemu Raiyan sewaktu kali terakhir dia meninggalkan Malaysia. Hatinya meronta ingin bertemu dengan lelaki itu.

Bagaimana agaknya Raiyan sekarang. Sudah berubah kah dia? Atau sudah kahwin kah? Hatinya diasak seribu persoalan. Dia mengambil keputusan untuk bertemu dengan lelaki itu.

**********

Dia sudah bertemu empat mata dengan ibu Raiyan kini. Tetapi Raiyan tiada di rumah. Sejak dari tadi lagi dia tercari-cari. Di manakah Raiyan berada kini? Sudah bekerja ke sekarang?
“Mak cik masih ingat saya lagi tak?”

“Mestilah ingat Shida. Mana mungkin makcik lupakan kamu. Tapi mana Shida pergi selama ni?”

“Err,saya belajar kat Ireland mak cik. Ambil Medic. Ni pun baru balik.”

Ibu Raiyan kelihatan agak terkejut. Namun pandangan matanya mulai berkaca. Dia seperti memahami tujuan Murshida datang ke mari. Sudah tentulah ingin bertemu dengan Raiyan,anaknya itu.

“Kalau Shida nak tau, Raiyan dah lama pergi…”
Dia terkejut. Jantungnya berdegup kencang.
“Pergi? Dia pergi ke mana mak cik?”
Gadis di hadapannya itu masih lagi tidak memahami maksudnya.
“Raiyan dah lama meninggal Shida. Setahun yang lepas,”menitik air mata ibu Raiyan.

Mursyida terpana. Dia benar-benar terkejut. Sukar untuk nya mempercayai berita yang disampaikan itu. Adakah ibu Raiyan bergurau dengannya? Tetapi wanita itu dilihatnya sedang menangis teresak-esak. Bagaimana mungkin wanita itu mahu menipunya? Bagaimana mungkin air mata itu membohonginya?

“Bbb…betul ke mak cik?”lirih suaranya. Pilu hatinya.
“Betul Shida. Dia accident. Motornya berlanggar dengan kereta masa baru lepas balik dari masjid. Mak cik ingat Shida dah tau. Nak beritahu pada family Shida pun diorang dah pindah. Mak cik tak tau alamat,”ibu Raiyan kembali tenang.

Berlinangan air matanya tatkala mendengar berita itu. Dia benar-benar telah kehilangan Raiyan. Buat selama-lamanya. Terkilan sungguh hatinya. Mengapa Raiyan pergi di saat dia mulai mendambakan kasih lelaki itu? lelaki itu berjanji akan menunggu nya. Akan memberinya peluang. Tetapi dia sudah terlambat. Kerana mengejar cita-cita dia terpaksa menerima hakikat kehilangan cinta lelaki itu.

‘Raiyan…’pilu hatinya membisikkan nama lelaki itu.

“Dia pernah beritahu kat mak cik dulu. Setelah apa yang berlaku dia dah lama maafkan Shida. Shida tetap yang dia sayang sampai akhir hayatnya. Itulah yang mak cik paling tak boleh lupa. Tak sangka secepat tu dia pergi. Yelah,Allah S.W.T lebih sayangkan dia Shida…”ibu Raiyan berkata sebak.

Murshida terdiam. Kata-kata ibu Raiyan itu cukup meninggalkan bekas di hati. Betapa hanya air mata yang mengalir ini bukti segalanya. Dia menangisi pemergian Raiyan buat selamanya. Tidak mungkin dia akan bertemu lagi dengan Raiyan. Hancur luluh hatinya.
‘Raiyan,kau pergi juga akhirnya…’

**********

Usai menunaikan solat Isya’ dia menadahkan tangan berdoa semoga roh arwah ditempatkan di kalangan golongan orang-orang yang beriman. Dia benar-benar telah pasrah dan redha dengan segala ketentuanNya. Dia telah merelakan pemergian arwah Raiyan buat selamanya. Namun segala kenangan bersama arwah masih lagi disimpan dalam ingatan. Mana mungkin dia mampu melupakan Raiyan yang telah lama dikenali sejak dari kecil lagi. Dan kata cinta lelaki itu suatu ketika dahulu. Masih lagi segar dalam ingatan.

VCD lagu Winter Sonata masih berada di tangannya. Direnungnya lama dengan rasa sebak dan rindu di hati. Kenangan zaman persekolahan menggamit sanubari. Apatah lagi dia banyak menyimpan kenangan bersama Raiyan. Teringat kata-kata catatan yang ditulis Raiyan makin menyentap perasaan.

‘Buat temanku yang disayangi selalu,Murshida…lagu ini merupakan luahan hati Raiyan teristimewa untuk Yoo-Jin ku. Simpan lah elok-elok VCD ni okey. Salam sayang-Your Joon-Sang.’

Dia tidak mampu lagi hendak mendengar lagu itu. Setiap kali dia mendengarnya pasti akan mengingatkan kenangan bersama lelaki itu. Sekeping hati ini seperti direntap tiap kali dia mendengar lagu itu. Tetapi biarlah dia tetap akan menyimpan hadiah pemberian Raiyan sebagai tanda kenangan yang kekal abadi selamanya. Dan tanda kasih yang tiada penghujungnya.

‘Raiyan…’hatinya berbisik lagi.

Kata-kata luahan hati Raiyan tersemat jauh di sanubari. Baginya Raiyan adalah segala-gala yang pertama buatnya. Hadirnya Raiyan sebagai teman baik yang pertama. Hadirnya Raiyan juga sebagai cinta yang pertama. Di mana lagi dia harus mencari lelaki yang baik seperti Raiyan sebagai pengganti?

Tetapi dia redha andai inilah ketentuan Yang Maha Esa. Kadang-kala cinta pertama yang hadir dalam hidup kita tidak semestinya menjadi cinta terakhir buat kita. Jodoh ketentuan dari Ilahi telah ditetapkan sejak dari azali lagi. Namun yang paling dia ingati adalah kata-kata Raiyan yang sukar dilupakan,serta tidak mungkin lupus dari sanubari sampai akhirnya,

‘…bagi aku kau lah Yoo-Jin aku. Dan aku adalah Joon-Sang kau…’



0 ulasan:

Post a Comment