Friday, February 25, 2011

Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 27

Sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapan rumah banglonya. Dia membayar tambang teksi tersebut lalu melangkah keluar. Sambil menarik nafas panjang dia berjalan memasuki ke dalam rumah itu. Matanya memerhati sekeliling. Rumput meliar tumbuh di halaman rumah. Satu keluhan dilepaskan. Baru seminggu dia tidak pulang ke rumah. Sudah jadi semak begitu. Ini belum masuk ke dalam lagi. dia merungut.

Kereta Zarith pula tiada di situ. Kereta kancil miliknya masih tersadai di garaj. Sebenarnya dia sudah dapat mengagak yang Zarith pasti tiada di rumah ketika ini. Pasti lelaki itu berada di pejabat ketika ini. Sebenarnya dia pulang sekadar ingin mengambil barang yang tertinggal sahaja. Dia mahu bersemuka dengan Zarith juga membincangkan berkenaan hal yang menjadi tanda tanya di benaknya hingga kini.

Semenjak pertemuannya dengan Maya di Jusco beberapa hari yang lalu. Dan gambar-gambar yang diberikan padanya masih menghantui dirinya hingga saat ini.

Dia terlalu ingin tahu apakah benar Zarith dan Maya ada hubungan selama ini. Maya mengaku yang Zarith juga merupakan suaminya. Dia jadi bingung dengan apa yang terjadi. Hendak bersedih pun sampaikan dia sudah tiada ruang lagi untuk memendam rasa hati. Sudah tidak terdaya lagi ingin menangis.

Dan hari ini penentuan baginya. Dia mahu minta kata putus dari Zarith. Jika benar dia rasa sudah tiba masanya untuk Zarith melepaskan sahaja dirinya dari terus-terusan menyeksa jiwa dan raganya. Perasaannya sudah terlalu terluka mengenangkan perlakuan Zarith.

Zarith tidak pernah mencintainya. Jadi untuk apa dia terus berharap lagi dengan ikatan perkahwinan ini? Hanya sia-sia sahaja. Dia juga manusia biasa. Bukannya malaikat. Kesabarannya kini sudah sampai ke tahap sifar.

Segala bukti sudah ada di tangan. Gambar-gambar yang diberikan Maya harus ditunjukkan pada Zarith. Dan dia akan meminta supaya Zarith bertanggungjawab sepenuhnya pada wanita itu. Cukuplah hanya dia sahaja yang menjadi mangsa tipu helah lelaki itu. Seminggu lamanya dia cuba mencari semula kekuatan yang telah hilang. Semuanya kerana terlalu mencintai Zarith. Walaupun perasaan kasih ini masih lagi ada di hati,tetapi dia juga harus memikirkan dirinya sendiri.

Bagaimana dengan hatinya pula yang teruk dilukai? Tidak kah suaminya itu mahu mengerti?

Nurin Hanani melangkah masuk ke dalam rumah setelah pintu dibuka. Mujurlah dia ada membawa kunci pendua. Dapatlah dia masuk ke dalam.

‘Ya Allah,bersepahnya rumah…’ getus hatinya.

Dengan baju T shirt Zarith yang tersadai di atas sofa lagi. Majalah yang berserakan atas meja dan lantai. Gelas kotor yang tidak dicuci. Itu belum tengok dapur lagi. Berhabuk di sana sini. Macam tongkang pecah.
Dia menggaru kepala yang dilitupi oleh tudung. Sakit matanya memandang. Zarith ni masih tidak berubah-ubah. Malas betul hendak membersihkan rumah. Nampak gayanya kena bersihkan rumah dulu lah ni. Dia segera menutup pintu. Lengan blous labuhnya disinsing hingga ke paras lengan.

**********

Zarith memarkir kereta BMW 3 Series di garaj. Dengan lemah dia melangkah keluar dari keretanya. Gayanya tidak bersemangat langsung. Penampilannya juga berserabut dan agak kurang kemas. Semenjak Nurin Hanani tiada di sisi,dia bukan lagi Zarith Idham Shah yang dulu.

Yang berkeyakinan dan bersemangat. Yang angkuh dan bongkak.

Dia kini benar-benar sudah berubah. Segalanya sudah tidak dipedulikan lagi. Hampir saban malam dia bermimpikan Nurin Hanani. Sesungguhnya dia tidak pernah merasakan amat perit sekali apabila sudah jatuh cinta. Ketika dia mula mencintai,isterinya pula menghilangkan diri. Terasa hidupnya kini amat kosong. Kosong kerana tiada lagi senyuman isteri yang menghiasi.

Terasa seperti diri ini ditertawakan oleh perasaannya sendiri. Dahulu bukan main lagi dia menolak cinta yang hadir. Kini bila cinta itu berlalu pergi dia sendiri yang terkial-kial hendak mencari. Tetapi segalanya sudah terlambat.

Di mana lagi dia harus mencari Nurin Hanani?

Mujurlah papa dan Zarul mahupun sesiapa dari kalangan keluarga mereka yang masih tidak mengetahui kemelut rumahtangga mereka yang sedang meruncing itu. Padahal baru sahaja tiga bulan usia perkahwinan mereka. Masih terlalu baru lagi. Kini bak telur di hujung tanduk. Bagaikan retak menanti belah.
Walau apa pun yang terjadi,dia tetap tidak akan membiarkan rumahtangga yang baru dibina itu hancur musnah hanya disebabkan silapnya sendiri. Oleh itu dia lah yang harus berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan kemelut itu.

Dia membuka pintu untuk masuk ke dalam rumahnya. Tidak sedar langsung yang kasut Nurin Hanani sudah tersusun di atas rak.

Pintu dibuka lalu terpacul lah seraut wajah yang sekian lama dirinduinya. Nurin Hanani sedang duduk di atas sofa dengan wajah yang tenang. Sedang menonton televisyen. Setia menantinya pulang. Keadaan rumah itu juga bersih dan kemas sekali. Terperanjat sungguh dia ketika itu. Tidak menyangka langsung yang isterinya sudah pun berada di rumah mereka. Betapa gembiranya dia saat itu. Betapa dia merindui isterinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

“Hani…”

Zarith menghampiri perlahan. Tidak percaya sahaja yang Nurin Hanani kini berada di depan matanya. Seperti dia bermimpi sahaja. Sungguh,dia makin pasti dengan perasaannya kini. Yang dia memang mencintai wanita itu. Terlalu…mencintai!

Nurin Hanani tertunduk. Jantungnya berdegup kencang. Hatinya berdebar melihat renungan itu. Dia juga merindui Zarith. Rindu yang teramat sangat. Seminggu dirasakan seperti sebulan lamanya. Dan sebulan ibarat setahun jika tidak bertemu Zarith.

Apakah perasaan ini hanya dia sahaja yang rasa?

Tidak mungkin. Dia tercari-cari kekuatan yang mulai pudar sebaik terpandangkan suaminya itu. Mana hilangnya semangat yang dia telah sematkan dalam dirinya selama seminggu ini?

Dia bingkas mencapai remote dan menutup televisyen. Memberi ruang agar mereka berdua dapat saling berbincang seterusnya dia mahu sengketa antara mereka dapat diselesaikan pada hari itu juga. Ayat yang telah disusun baik dan teratur juga terus hilang dari ingatan sebaik terpandangkan wajah suami yang sangat dikasihi itu. Masih lagi kacak seperti dahulu. Aduh,terasa lemah sangat diri ini…

Zarith dilihatnya sudah meletakkan briefcase miliknya di atas meja. Kenapa wajah itu kelihatan muram sahaja? Sepatutnya Zarith bergembira semasa ketiadaannya dahulu. Seharusnya Zarith pasti meraikan ketiadaannya di rumah dengan berlibur bersama-sama temannya…atau bersama Maya barangkali. Tetapi wajah lelaki itu kelihatan sedih benar.

‘Tidak. Aku tidak akan tertipu lagi dengan permainannya!’

Dia masih memerhatikan tingkah Zarith yang telah pun melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan dengannya. Masing-masing membisu seribu bahasa. Tidak tahu ayat apa yang harus diungkapkan. Zarith merenung lama wajah yang menawan yang kini di hadapannya itu. Masih cantik dan lembut seperti dahulu. Satu ketika dahulu yang dia telah buta menilainya.

‘Aku rindukan kau Hani…’

Zarith menelan air liur. Dia mahu berterus-terang. Sebelum wanita yang dicintai sepenuh hati itu lari dari hidupnya lagi. Dia mahu Nurin Hanani tahu segalanya. Tentang perasaan kasihnya itu. Teringat pada berita kemalangan bas yang dibacanya. Mujurlah tiada apa yang berlaku terhadap isterinya itu. Dia telah salah faham rupanya. Tetapi isterinya duduk di mana selama ini?

“Hani…”

“Abang…”

Serentak mereka bersuara. Mereka terkedu.

Saling berpandangan.

“Hani cakaplah dulu. Apa yang Hani nak katakan.”

Nurin Hanani mengangguk perlahan. Dia menarik nafas. Menyusun kata.

“Hani datang balik ke sini sebab Hani nak mintak kata putus dari abang.”

Zarith mengerutkan dahi. ‘Kata putus?’ jantungnya berdegup kencang.

“Maksud Hani apa?”

“Hani nak…err,Hani nak mintak…abb…bang lepaskan Hani,”sayu dia bersuara.

Nurin Hanani tertunduk lagi. Air mata ingin menitis lagi. Dia menahan diri agar tidak menangis di hadapan lelaki itu. Dia tidak mahu dilihat lemah lagi seperti dahulu.

“Tidak Hani. Abang takkan lepaskan Hani. Takkan sesekali Hani. Abang nak minta maaf…”

Zarith berkata lemah. Dia tidak sanggup menghadapi perpisahan lagi. Seminggu tidak bertemu pun sudah cukup menyeksa jiwa dan batinnya. Inikan pula hendak bercerai buat selamanya. Dia tidak sanggup lagi.
Nurin Hanani terpana dengan perubahan Zarith itu. Apakah dia telah salah dengar tadi? Zarith telah membahasakan diri sebagai ‘abang’ buat pertama kalinya. Dia rasa terharu dengan perubahan itu. Tetapi dia tetap tidak mahu tertipu lagi. Manalah tahu itu sekadar permainan Zarith semata-mata. Mahu memperdayanya sekali lagi.

“Hani dah tak sanggup lagi bang. Cukuplah dengan permainan abang ni. Kita berkahwin atas dasar apa bang? Kalau sekadar nak permainkan perasaan Hani baik tak usah bang. Baik kita berpisah aje.”

Zarith makin takut. Dia tidak mahu kehilangan Nurin Hanani lagi. Dia menggeleng lemah.

“Hani tau selama ni abang ada hubungan dengan Maya kan?”

Zarith terkejut. Bagaimana Nurin Hanani boleh tahu tentang Maya?

Dilihatnya Nurin Hanani mencari sesuatu di dalam tas tangannya. Dia mengeluarkan beberapa keping gambar. Terus diletakkan di atas meja. Zarith terus mengambil gambar-gambar itu. Dia bagaikan tidak percaya sebaik melihat gambar tersebut. Gambar dirinya dengan Maya yang kelihatan begitu mesra sekali ketika berada bersama di Amerika Syarikat satu ketika dahulu.

‘Ah,ini gambar lama.’

Memang diakui dia pernah ada hubungan dengan Maya tetapi setelah itu mereka telah lama putus hubungan. Sejak sebelum dia berkahwin dengan Nurin Hanani lagi. Dia mengetap bibir geram. Maya telah bermain kotor rupanya dalam diam. Tidak disangka perempuan itu berani berjumpa dengan isterinya sekaligus menabur fitnah. Makin porak peranda rumahtangga mereka akibat taktik licik Maya.

Dia mengangkat muka. Dilihatnya Nurin Hanani sudah berlinangan air mata. Sekali lagi dia telah membuat wanita itu menangis kerananya. Hatinya terasa bagai disiat-siat.

“Hani,abang…”

“Sudah lah bang. Tak usah nak jelaskan apa-apa sebab Hani dah tau segalanya dari Maya. Dia dah ceritakan segalanya. Abang dah kahwin dengan dia lepas tu abang abaikan dia sebagai isteri abang. Lepas tu abang permainkan Hani semata-mata desakan papa dulu kan. Abang tipu Hani. Mak dan abah Hani percaya kat abang dan terima lamaran abang…

Sampai hati abang buat Hani macam ni. Abang tau tak yang Hani sayangkan abang. Hani kasihkan abang selama ni setulus hati Hani. Tapi abang permainkan hati Hani. Maruah Hani? Harga diri Hani mana abang campakkan? Ke dalam longkang agaknya kan!”

Zarith terasa ingin menangis. Hancur hatinya mendengar luahan hati isterinya itu. Tetapi itu semua fitnah Maya. Dia tidak pernah pun mengahwini perempuan itu. Maya benar-benar sudah keterlaluan!

“Hani bukan macam perempuan lain yang boleh abang perdayakan sesuka hati. Hani ada maruah bang. Hani benci abang tau tak. Hani benci sangat!!”

Nurin Hanani sudah berkira-kira ingin pergi dari situ. Dia sudah tidak tahan berlama-lama di situ dan menatap muka Zarith. Dia ingin berlalu ke biliknya untuk mengambil barang yang tertinggal terlebih dahulu. Dia bingkas bangun.

Zarith sudah panik melihat situasi itu. Menyangka yang Nurin Hanani ingin pergi lagi dari hidupnya. Dia tidak mahu kehilangan wanita yang amat dicintainya. Nurin Hanani perlu tahu isi hatinya juga. Malah perasaan tulusnya yang juga menyayangi isterinya itu.

Baru sahaja dia ingin melangkah menaiki anak tangga ke tingkat atas,tiba-tiba tangannya ditarik Zarith. Tetapi dia segera menepis kasar.

“Lepaskan Hani. Hani benci tengok muka abang. Biarkan Hani pergi dari sini!”

“Hani,please…”

Dia pegang lagi tangan isterinya. Sekali lagi ditepis.

“Jangan buat abang macam ni…”

“Hani benci abang tau tak! Benci!!”

Dia cepat-cepat mendaki tangga. Tiba-tiba terasa satu pelukan dari arah belakangnya. Dia terpana dengan tindakan drastik itu. Terasa hangat pelukan itu. Tubuhnya jadi lemah selemah-lemahnya di situ.

“Jangan tinggalkan abang,sayang…tolong lah,jangan tinggalkan abang.”

Zarith menangis tersedu-sedan. Sehingga terasa basah bahunya dengan air mata lelaki itu. Dia benar-benar tergamam dengan kejadian tidak diduga itu.

‘Sayang?’

Tersentuh hatinya dengan panggilan itu. Dan…tidak percaya Zarith pertama kali menitiskan air mata. Tidak pernah dia melihat lelaki itu menangis selama ini. Namun begitu,dia masih membiarkan lelaki itu memeluknya erat. Matanya dipejamkan.

“Abang tau abang dah banyak lukakan perasaan Hani. Tapi percayalah sayang…yang abang tak pernah pun kahwin dengan Maya. Hani lah satu-satunya isteri abang. Abang tak tipu sayang. Memang abang mengaku abang pernah ada hubungan dengan dia. Tapi itu semua dah lama berlalu. Masa tu abang masih lagi tinggal di US…

Dan perkahwinan kita ni…walaupun mulanya abang terpaksa mengikut segala kata-kata papa,akhirnya abang mengaku jugak yang Hani dah berjaya buka pintu hati abang untuk merasai apa itu cinta sejati. Hani cinta pertama dan terakhir abang. Sejak kita mula-mula berjumpa lagi masa accident dulu. Abang memang dah sukakan Hani. Cuma abang aje yang ego tak nak mengaku.”

Zarith menarik nafas. Terasa hembusan nafas hangatnya di wajah Nurin Hanani.

“Honey,I really,really love you so much sweetheart. Tak pernah abang rasakan peritnya bila berpisah dengan Hani. Jangan tinggalkan abang lagi okey? Maafkanlah segala kesilapan abang. Bagi abang peluang untuk buktikan cinta abang pada Hani. Bagi lah abang peluang kedua untuk abang bahagiakan Hani…”

Zarith melepaskan pelukannya. Ditarik tubuh isterinya supaya menghadapnya. Supaya dia dapat menatap wajah ayu itu yang amat dirinduinya. Nurin Hanani hanya mengikut sahaja rentak Zarith.

“Betul ke abang tak pernah kahwin dengan Maya?”

“Hani masih tak percayakan abang?”

Dia terdiam lama. Perlukah dia mempercayai kata-kata suaminya?

“Abang tak paksa kalau Hani masih tak percayakan abang. Salah abang juga sebab dah terlalu banyak melukakan perasaan Hani. Tapi hanya satu aje yang abang minta. Abang harap Hani sudi bagi peluang kedua pada abang. Abang nak buktikan yang kata-kata Maya tu semua fitnah belaka. Abang sayangkan Hani. Dan hanya Hani saja yang abang kasihi…”

Wajahnya ditundukkan. Dia masih sebak. Kata-kata Zarith sangat menyentuh hatinya. Hatinya yang panas tadi kini menjadi sejuk bak salju. Luluh mendengar kata-kata ikhlas itu. Terasa tangan kasar suaminya itu mengangkat dagunya perlahan. Pandangan mereka saling bertautan. Hingga jatuh ke hati. Dan menyelinap ke sanubari.

“Sayang…jangan tinggalkan abang lagi okey?”

Nurin Hanani menatap mata Zarith. Mencari keikhlasan yang bertamu di situ.

“Maafkan abang okey?”

Perlahan dia mengangguk. Air matanya menitis lagi. Sesungguhnya itu adalah air mata bahagia. Zarith menyeka mutiara jernih itu dengan ibu jarinya.

“Abang minta maaf. Abang janji takkan buat Hani menangis lagi…I love you so much…”

Didakap erat tubuh isterinya seakan enggan dilepaskan lagi. Satu kucupan hangat singgah ke dahi isterinya. Nurin Hanani membalas pelukan itu. Sama-sama merasai kehangatan cinta pertama yang hadir kurniaanNya itu. Sama-sama mensyukuri anugerah cinta dari Yang Maha Penyayang.

Bab 28

Senja semakin melabuhkan tirai nya dari angkasa yang terhampar luas nun jauh di atas sana. Di balik awan yang redup dan putih bak salji itu,seakan-akan melambai ke arahnya. Menandakan ia akan pergi buat seketika dengan malam pula yang bakal berganti. Mungkin hari esok akan menjelma lagi. Bersesuaian dengan fitrah alam. Dia merenung kebesaran ciptaanNya itu.

Setelah sekian lamanya hidup di dalam keperitan,baru lah sekarang dia merasai nikmat berumahtangga. Nurin Hanani benar-benar telah merubah dirinya. Dia bukan lagi seperti dahulu. Dirinya kini adalah Zarith yang baru. Seperti dilahirkan semula. Lebih bertanggungjawab dan mulai mengenal erti cinta yang sejati.

Dan dia bahagia dengan hidupnya bersama Nurin Hanani. Isteri yang amat disayangi dan dirindui selalu. Sehari tanpa Nurin Hanani di sisi perasaan rindu makin membuak. Setiap hari dia merindui isterinya itu. Lama sekali dia berendam di dalam kolam renang di rumahnya. Tenang sungguh hatinya saat ini. Sudah tidak kusut lagi seperti suatu ketika dahulu.

“Abang,dah lah berendam tu. Dah lama sangat tu. Nak maghrib dah ni!”laung isterinya.

Dia tersengih memandang ke arah Nurin Hanani yang sedang bercekak pinggang dengan mata terbeliak. Kedua tangannya disandar ke lantai. Isterinya itu menghampirinya. Ada sehelai tuala yang tersangkut di bahu.
“Amboi,sedapnya berendam. Sampai dah lupa nak balik ye.”

Tanpa disedari,telinganya ditarik oleh Nurin Hanani. Dia menyeringai.

“Aduh,yang…sakit lah ayang ni. Okey,okey…abang dah siap dah ni. Bak sini towel tu.”

“Itulah,degil sangat. Dah nak azan dah tu. Tadi bukan main beria ajak solat berjemaah. Petang tadi dia jugak yang ingatkan kita. Abang ingat Hani dah lupa ke?”bebel isterinya sambil menghulurkan tuala kepadanya.
Dia tersengih sahaja. Makin lebar sengihannya mendengar bebelan isterinya itu. Tangan kanannya mencapai tuala. Tiba-tiba datang pula idea hendak menyakat isterinya.

“Err,sayang. Sini kejap…”

Nurin Hanani mendekatinya.

“Ada apa bang?”

Tidak semena wajahnya terkena percikan air kolam. Habis basah mukanya. Bajunya juga sedikit basah akibat percikan air itu.

“Abang!”jeritnya.

Zarith sudah tergelak besar. Berjaya juga dia menyakat isterinya itu. Dia sudah pun keluar dari kolam. Air menitik banyak sehingga membasahi lantai. Basah kuyup tubuhnya yang hanya memakai seluar paras lutut. Lekas-lekas dia membalut tubuhnya dengan tuala.

“Ala,yelah abang tau abang salah mandi lama sangat sampai Maghrib. Dah lama sangat tak mandi kolam. Tulah…ajak sayang mandi sekali tak nak…”usiknya.

Nurin Hanani menjuihkan mulutnya. Berpura-pura marah walaupun sebenarnya dia hendak ketawa melihat gelagat Zarith itu. Pening dengan tingkah nakal suaminya. Suaminya itu gemar betul mengusik. Dia mengesat mukanya yang basah dengan lengan baju.

“Tak kuasa lah Hani nak mandi. Hani kan tengah busy semak kertas soalan yang berlambak-lambak kat meja tu. Takkan abang tak tau. Abang mandi ajelah sorang-sorang.”

Zarith tergelak kecil.

“Abang tau sayang. Tapi lepas ni abang nak Hani sesekali temankan abang mandi boleh?”dia mengusik lagi.

“Tengoklah macam mana.”

“Tengok lah? ala,ayang ni tak sporting lah…”Zarith pura-pura merajuk.

“Okey,nanti Hani temankan lah. Dah lah malas nak layan abang. Jom kita masuk. Dah azan dah tu,”Nurin Hanani segera menarik tangan suaminya.

Zarith tersenyum simpul. Kedengaran suara laungan azan yang berkumandang menandakan telah masuk waktu Maghrib. Mereka berjalan sambil berpimpin tangan dan masuk ke dalam rumah. Ingin bersama-sama menunaikan tanggungjawab bersolat berjemaah bersama.

**********

Usai menunaikan solat Maghrib dan Isya’ secara berjemaah,Nurin Hanani menghulurkan tangan menyalami tangan suaminya yang segak berbaju melayu dan berkain pelekat. Zarith mengucup dahinya penuh syahdu. Dia mengusap pipi isterinya dengan sepenuh kasih. Satu senyuman manis terukir di bibir.

Sejak hubungan mereka semakin baik,mereka telah menjadikan solat berjemaah sebagai rutin harian.  Zarith juga telah banyak berubah. Dia kini tidak pernah mengabaikan solat lima waktu yang dahulunya ditinggalkan. Malah saban malam apabila tersedar dari tidur dia pasti akan melakukan solat sunat Tahajjud dan taubat. Sebagai memohon keampunan dari Yang Maha Esa atas segala dosa-dosanya di masa silam.

 Sekurang-kurangnya dia masih mengingati lagi sedikit sebanyak ilmu agama yang dipelajarinya sejak kecil semasa berada di luar negara dahulu. Sebenarnya dia bukannya terlalu jahil sehingga tidak tahu langsung membaca Al-Quran atau bersolat. Sedangkan ada sahaja kelas-kelas agama yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Timur Tengah untuk pelajar-pelajar Muslim yang tinggal di Amerika Syarikat. Cuma dia sahaja yang terpengaruh dengan cara hidup bebas di negara barat sana. Sehingga segala yang dipelajari diabainya.
Nurin Hanani lah yang telah membuka matanya supaya mendekati agama. Dia berasa sungguh bersyukur dengan kehidupan yang dilalui sekarang di samping isteri tercinta.

“Hani…terima kasih sebab sudi bagi peluang untuk abang baiki kesilapan abang.”

Nurin Hanani tersenyum manis.

“Abang…setiap orang ada buat salah. Hani pun ada salah. Hani ni siapalah nak hukum abang sedangkan Hani pun hambaNya yang lemah.”

Zarith mengangguk.

“Abang takkan sia-siakan kesempatan yang sayang dah bagi. Dulu abang terlalu hanyut dengan kehidupan abang. Langsung abang tak fikir untuk berubah. Tapi abang rasa bersyukur sangat sebab Allah S.W.T pertemukan Hani dengan abang. Baru sekarang abang kenal tikar sembahyang yang dah lama abang tinggalkan.”

Dia menatap wajah tampan Zarith. Mata suaminya bergenang. Jelas menampakkan keikhlasan hati.
“Abang…kita sama-sama ada kelebihan dan kekurangan kan? Kita saling memerlukan dan Hani yakin yang Hani boleh bahagia hidup dengan abang. Sampai bila-bila pun…”

“Hani,abang pun harap macam tu. Abang bahagia hidup dengan Hani. Abang sayang Hani sangat-sangat.”
Nurin Hanani tersenyum bahagia sebaik mendengar kata itu.

“Abang,nak tau sesuatu tak?”
“Apa dia sayang?”
“Sapu tangan yang abang kasi kat Hani dulu ada lagi Hani simpan tau.”
“Abang dah tau sayang…”
“Hah? Abang dah tau?”
Zarith tergelak kecil sambil mencuit hidung isterinya. Nurin Hanani hairan.
“Tapi macam mana abang tau?”

“Abang tau lah sebab abang nampak sapu tangan tu terjatuh masa Hani kemas baju nak balik kampung dulu. Masa tu lah baru abang sedar yang abang memang dah jatuh cinta pada Hani. Abang menyesal sangat-sangat masa tu. Abang cari Hani tapi tak tau Hani ada kat mana.”

“Tapi sekarang kan Hani dah ada depan abang kan.”

“Betul sayang…and I won’t lose you again. Forever and ever…”

Nurin Hanani senang sekali dengan kata-kata romantis Zarith. Bunga-bunga cinta antara mereka semakin berkembang mekar.

“Tapi sejak dari masa abang selamatkan Hani dari perlakuan Shahrul dulu,Hani dapat rasakan yang Hani pun dah jatuh hati kat abang…”

“Betul ke sayang? Bukan masa yang abang tolong kat kenduri Abang Man tu ke?”usik Zarith.

“Ala,masa tu Hani belum ada apa-apa perasaan lagi kat abang. Tapi perasaan tu hadir secara tiba-tiba aje. Tanpa Hani sedar. Yang pasti Hani rindukan abang masa abang balik US dulu. Lama Hani tunggu abang tau. Tak sangka rupanya dia dah lamar kita senyap-senyap dulu.”

Zarith sudah tertawa besar. Begitu juga Nurin Hanani. Kelakar juga apabila diingatkan semula kenangan itu.
“Tapi abang memang dah lama tau cintakan Hani. Love at first sight. Itulah yang abang rasa…”

Dia menundukkan muka. Terasa malu pula ditenung lama-lama begitu walaupun Zarith telahpun sah menjadi suaminya.

“Kenapa sayang?”

“Err,Hani…”

“Hani apa?”Zarith tersengih. Berniat ingin mengusik isterinya yang sudah kemerahan wajahnya menahan malu.
“Takde apa-apa lah…”

“Betul ke ni? ke ada sesuatu yang ingin Hani katakan kat abang?”

“Hani rasa…bahagia sangat.”

“Abang pun. Abang bersyukur sangat sayang dah terima abang semula.”

Mereka berbalas senyuman. Zarith merenung wajah isterinya lagi. Ke dalam anak matanya, jatuh ke hidungnya yang agak mancung dan turun pula ke bibir kemerahan Nurin Hanani. Dia menelan air liurnya. Sebagai seorang lelaki yang hatinya terlalu mencintai dan merindui isterinya, sudah tentulah keinginannya sebagai suami itu ada. Betapa menderitanya menghadapi perpisahan selama seminggu bersama Nurin Hanani.

“Hani…abang…terlalu rindukan Hani.”

Hati Nurin Hanani bergetar hebat. Ada maksud yang tersirat di sebalik renungan tajam suaminya itu. Jantungnya berdegup dengan kencang.

Perlahan-lahan, telekung sembahyang yang dipakainya semasa bersolat tadi ditanggalkan oleh Zarith. Menampakkan leher nya yang jinjang itu. Rambut halusnya yang panjang mengurai itu dibelai Zarith. Suaminya tersenyum dan dia membalasnya walau terasa agak kekok.

Diraih kedua tangan halus isterinya. Dikucup belakang tangan isterinya dengan sepenuh kasih. Betapa hanya Tuhan sahaja yang mengerti perasaannya yang tulus mencintai isterinya. Sesungguhnya inilah cinta pertamanya. Dan ini jugalah cinta terakhirnya. Dia tidak mahu berpaling lagi dari menikmati cinta suci ini. Kalau boleh dia ingin kekal begini sampai akhir hayatnya.

Lantas perlahan-lahan wajah Zarith mendekati wajahnya. Dipejamkan matanya dengan debaran yang semakin melantun-lantun dalam diri. Terasa hembusan nafas hangat suaminya itu.

“I love you…”bisik suaminya perlahan.

**********

Suasana yang mendamaikan di kawasan Taman Tasik Shah Alam benar-benar memberikan ketenangan di hati Encik Idham. Dia turut membawa Aira berjalan sekali dengannya sambil bersiar-siar sekeliling tasik itu.
Sudah terlalu lama dia tidak meluangkan masa merehatkan fikirannya. Sejak Zarith mengambil alih syarikat Aras Hijau Holdings barulah dia dapat kembali melakukan hobi lama iaitu berkebun dan bersiar-siar. Sementara waktu hujung minggu begitu eloklah jika dia mengambil kesempatan yang ada untuk membawa Aira bersiar-siar.

Cucu saudaranya itu begitu lincah sekali bermain dan berkejar ke sana ke mari. Jika musim cuti persekolahan, adik-beradik nya yang lain akan pulang dan berkumpul bersama-sama. Jadi Aira adalah kawan sepermainannya yang lain. Terutamanya jika Hari Raya Aidilfitri menjelang tiba. Lagilah terasa kemeriahannya.
Encik Idham masih teringat lagi pada zaman susahnya dahulu. Dia mempunyai ramai adik-beradik. Tujuh orang kesemuanya termasuklah Mak cik Hajar yang merupakan kakak nya yang nombor tiga. Dan dia adalah anak kelima.

Walaupun hidup keluarganya dahulu sangat susah oleh kerana kesempitan hidup,namun hubungan kemesraan mereka anak beranak tetap terjalin dengan eratnya.

Dia sendiri pernah mengikat perut dengan makan ala kadar sahaja. Terutamanya ketika musim tengkujuh yang menghalang ayahnya untuk turun menangkap ikan di laut. Oleh kerana hidupnya yang miskin,dia telah berazam untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya di dalam pelajaran.

Baginya kemiskinan bukanlah penghalang untuk seseorang individu berjaya dalam hidupnya. Dia mahu mengubah hidup keluarga. Itulah tekadnya.

Dia juga ingin menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adiknya yang lain. Berkat usahanya dia telah berjaya mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Seterusnya sebaik menamatkan pengajian di universiti,dia telah bekerja sementara di sebuah syarikat swasta. Di situlah dia berazam untuk membuka perusahaan sendiri. Dia kemudiannya kembali menyambung pelajaran ke Amerika Syarikat berbekalkan wang hasil titik peluhnya sendiri.

Beberapa bulan kemudian,barulah dia mendapat tajaan biasiswa dari pihak kerajaan bagi menampung pelajarannya di sana. Itupun semasa di sana dia juga telah menimba pengalaman dengan bekerja sambilan.
Jauh Encik Idham mengelamun. Dia kembali ke alam nyata sebaik terdengar jeritan Aira.

“Tok Chu...!”

“Ada apa Aira?”

Anak kecil itu melambai-lambaikan tangan ke arahnya.

“Aira dapat aiskrim!”
Aira berlari ke arahnya.
“Mana dia aiskrim? Tok tak nampak pun Aira?”
“Ni dia…”

Aira mengunjukkan aiskrim yang berada di tangan kanannya. Encik Idham mengerutkan dahi. Dari mana Aira boleh dapat ais krim pulak ni?

“Tok Chu ni…dah pakai cermin mata pun tak nampak lagi.”

Encik Idham tergelak besar. Dia mengusap-usap rambut cucu saudaranya itu. Geli hati kerana anak kecil itu bijak mengenakannya.

“Tapi…siapa bagi Aira ais krim ni?”

“Aira mintak dengan orang tu. Dia cakap dia belanja…”

Tatkala Aira menudingkan jari telunjuknya ke arah sekujur tubuh yang berdiri tidak jauh dari mereka,terasa jantungnya bagai hendak luruh. Nafasnya terasa tersekat di celah kerongkong. Dia seperti berada di awang-awangan. Dia dapat melihat dengan jelas. Wajah yang cukup dikenalinya walaupun sudah banyak yang berubah. Sehingga dia hampir-hampir sahaja tidak mengecamnya.

“Angie…”

0 ulasan:

Post a Comment