Thursday, February 24, 2011

Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 3
Kereta BMW 3 Series itu memasuki perkarangan halaman sebuah banglo mewah milik Encik Idham Shah. Segera Zarith menolak keluar pintu lalu menerobos keluar dari keretanya. Dihempas kuat pintu itu. Dia berasa sungguh sakit hati dan bengang dengan kejadian yang baru menimpanya sebentar tadi. Malang datang bertimpa-timpa. Sudah lah hatinya sakit dengan kerenah Maya yang tidak sudah-sudah mengajaknya kahwin. Kini,keretanya pula ditimpa kemalangan kecil tadi. Mujur juga dia tidak cedera. Jika tidak…
Dia malas hendak mengingati hal dirinya dengan Maya. Baginya hubungan mereka telah pun berakhir. Titik. Maya sudah tiada kaitan lagi dengan dirinya kini. Hatinya senang dengan itu. Dia masih boleh mencari ramai lagi pengganti Maya yang jauh lebih cantik. Jauh lebih hebat. Dia tersenyum sinis.
Zarith mengambil beg besar berisi pakaian miliknya di belakang kereta. Lantas,dia melangkah menghampiri pintu hadapan rumahnya. Sempat dia memerhatikan keadaan sekeliling rumah tersebut. Langkahnya terhenti seketika. Pandangannya tertancap di taman mini milik encik Idham. Keindahan landskap dengan patio dan sebuah kolam kecil terletak di tengah laman sungguh menarik hatinya. Rasa sejuk mata memandang pada malam-malam sunyi begini.
Taman itu sudah pun jauh berubah kerana telah diubah suai terutama tanaman hiasannya. Ada pula spesies pokok bunga Heliconia yang tumbuh subur di sebelah kolam tersebut. Di situlah tempat dia selalu bermain dengan Zarul dan mencipta kenangan indah bersama mummy dan papa mereka. Namun,segalanya seperti mustahil untuk berulang kembali kenangan itu. Hatinya tersentuh.
‘Ah,lupakan semua itu. Tak guna nak ingat balik,’dia menggumam. Malas ingin memikirkan. Fikirannya sungguh bercelaru tika itu.
“Zarith?”
Dia tersentak. Dipandang ke arah suara yang menegurnya. Encik Idham sedang tercegat di depan pintu rumahnya. Dia terdengar bunyi enjin kereta tadi lalu segera membuka pintu. Tidak disangka apabila dia melihat kepulangan Zarith yang dinanti-nanti selama ini. Hatinya gembira sekali menyambut kepulangan anaknya itu.
“Kenapa tak masuk Zarith?papa ingatkan siapa tadi. Masuklah dulu. Bawak beg tu sekali,”pelawa encik Idham.
Zarith mengangguk sedikit. Dia tersenyum kekok. Sungguh janggal dirasakan walaupun telah berada di rumah sendiri. Bersama keluarganya. Dia melangkah perlahan. Masuk ke dalam rumah banglo itu. Diperhatikan keadaan papa nya yang masih tidak berubah. Masih sama seperti semasa dia mula bertemu dengan papanya tidak lama dahulu. Sihat kah papa?fikirnya.
“Papa apa khabar,sihat?”dia bertanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam dengan encik Idham. Encik Idham menyambut huluran tangannya mesra.
“Alhamdulillah,papa baik-baik saja. Zarith pulak macam mana?dah lama papa tak jumpa kamu Zarith,”kata encik Idham sambil tersenyum. Terubat sedikit kerinduan terhadap anak sulungnya yang telah lama tidak ditemui itu.
“Err,Zarith okay je. Cuma sejak akhir ni agak sibuk dengan tugas kat sana. Tapi sekarang ni tengah bercuti. Tu yang Zarith balik sekejap,”jawab Zarith jujur.
“Oh,macam tu..kamu dah bekerja sekarang?kamu kerja di mana?”tanya encik Idham pula.
“Zarith kerja dekat Florida sekarang. Err,pa..Zarul mana?tak nampak pun dia,”tanya Zarith. Matanya memandang sekeliling ruang tamu. Mencari kelibat satu-satunya adik lelakinya itu.
“Dia keluar dengan kawannya. Dah lama dah. Kejap lagi balik lah tu. Kamu duduklah dulu. Nanti papa suruh Mak cik kamu buatkan air. Kamu dah makan ke belum Zarith?”
“Takpela pa,Zarith dah makan dah tadi dengan kawan,Zarith ingat nak rehat dulu kat bilik,”jawabnya. Dia sudah mengambil semula beg besarnya untuk dibawa naik ke tingkat atas. Kepalanya masih terasa pening akibat kemalangan yang menimpanya tadi.
“Kalau macam tu takpelah. Tapi kalau kamu dah lapar nanti turunlah bawah makan ye. Mak cik kamu dah masak awal tadi,”kata encik Idham. Sebenarnya ada banyak lagi perkara yang ingin dibualkan dengan anaknya itu. Tetapi dia memahami keadaan Zarith yang keletihan. Jadi dia ingin memberi ruang kepada Zarith untuk berehat sahaja.
Zarith mengangguk lesu. Dia memegang kepalanya yang sakit. Sengaja dia merahsiakan hal kemalangan tadi dari papa. Dia tidak mahu encik Idham berasa risau pula. Dia segera menuju ke biliknya di tingkat atas dengan menaiki satu persatu anak tangga. Di hadapan biliknya yang luas itu terletak bilik Zarul yang tidak berpenghuni tika itu. Mungkin esok sahaja lah dia berjumpa dengan Zarul. Dia berasa sungguh letih sekali lalu memasuki kamarnya.
Zarith meletakkan beg besar di atas lantai. Dia merebahkan dirinya di atas katil king size dan mengelamun seketika. Memikirkan keadaan keluarganya saat ini. Papa langsung tidak bertanyakan perihal mummy. Sejak dia pulang tiga tahun yang lalu,hanya sekali dua sahaja papanya bertanya khabar tentang keadaan mummy di USA. Kemudian selepas pada itu,dia tidak pernah lagi mendengar nama mummy disebut. Mungkin papa sudah tawar hati dengan sikap mummy itu. Hatinya begitu teruk terluka dan banyak memendam hingga ke saat ini. Zarith mengeluh perlahan.
Tangannya diletakkan di dahi. Matanya merenung siling bilik. Nyaman betul suasana di rumah ini. Tidak seperti suasana di rumahnya. Dia tidak tahu mengapa sejak dari dia baru sampai ke rumah keluarganya dia berasa sungguh tenang.
Tiba-tiba dia teringat pula kejadian kemalangan sebentar tadi. Serta pertengkaran antaranya dengan Maya. Tetapi dia malas sebenarnya mahu memikirkan soal Maya. Buat sakit hati sahaja. Dia lebih memikirkan masalah baru pula yang timbul sekembalinya ke Malaysia. Soal seorang wanita muda yang baru dikenalinya tadi.
Nurin Hanani. Begitu nama gadis itu. Zarith mengetap bibirnya. Tidak disangka pula gadis bertudung yang kelihatan seperti lembut itu akan menengkingnya tadi. Tetapi,memang patut pun dia akan dimarahi begitu. Salahnya juga kerana cuai memandu sehingga mengakibatkan keretanya melanggar kereta kancil milik gadis itu. Namun begitu,bukan salahnya sepenuhnya. Jika tidak kerana Maya,pastilah masalah seperti itu tidak akan timbul.
 “Macam mana awak boleh langgar kereta saya ni?”
Zarith sudah keluar dari kereta mewahnya. Maya masih lagi duduk di dalam kereta. Masih tidak mahu keluar dan berpeluk tubuh sahaja. Dia berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku. Manakala Zarith pula melihat-lihat keadaan belakang kereta kancil berwarna hijau yang dilanggarnya itu. Mujurlah sedikit saja yang remuk. Dia menggaru kepala yang tidak gatal.
“I’m so sorry…saya tau saya salah. Maafkan saya sangat-sangat cik,”dia menuturkan kata. Dia berasa bersalah terhadap gadis itu.
“Hai,nasib baik lah kereta tu tak bawak laju. Kalau tak boleh teruk accident tau,”kata gadis itu. Dia bercekak pinggang sambil menggeleng perlahan.
‘Seriusnya muka dia. Takut jugak aku…’bisik Zarith.
“So,macam mana sekarang ni?nak buat report polis ke?”
“Saya rasa better kita setel sesama sendiri jelah okay,tak payah buat report lah,”Zarith tidak setuju.
Lama gadis itu terdiam. Wajahnya begitu serius sekali memikirkan hal tersebut. “Hm..kalau macam tu okay lah. Kita setel sesama sendiri je.”
“Ha,okay..saya tau saya dah salah langgar kereta awak jadi saya akan bayar sebagai ganti rugi belakang kereta awak yang remuk tu.”
Gadis itu segera mengangguk tanda setuju. Dia lega kerana hal itu selesai dengan mudah. Sebenarnya dia risau juga bimbang kalau-kalau lelaki itu jenis pembuli jalanraya. Tambah-tambah pula dia seorang perempuan.
‘Kalau dia ni buat benda yang tak elok nanti dengan siapa lah aku nak mintak tolong. Hish,mintak dijauhkan lah,’dia berdoa di dalam hati.
“Lain kali hati-hati sikit bawak kereta tu. Jangan nak berlagak. Saya tau lah kereta awak tu lagi besar dari kancil saya ni. Ni sampai dah menyusahkan orang je..”bebel gadis itu.
“Relaxlah okay,I know I was wrong and I really apologize. Lagipun,sikit je ni. Tak teruk mana pun…”
“Apa?relax awak cakap??hei,pikirlah sikit dalam keadaan macam ni pun awak masih nak relax lagi. kalau teruk kena tadi tak mustahil masuk hospital tau!”
Zarith terkedu seketika. Lama dia merenung gadis itu. Tidak pernah seumur hidupnya dimarahi seorang perempuan sebegitu rupa. Jika sebelum ini dia begitu dipuja kerana rupanya dan kerana hartanya. Tapi sekarang..hampeh! dia seperti insan biasa yang langsung tidak dipandang segala kelebihan tersebut. Dia menelan air liur yang dirasakan tersekat di tekaknya. Terasa pahit pula untuk ditelan.
“Hei,awak dengar tak saya cakap apa ni?saya ni nak nasihat je. Lain kali pandu tu biarlah perlahan sikit. Kalau perlahan sangat pun takut jugak sampai menyusahkan orang. Tapi janganlah leka sangat sampai langgar kereta orang. Tak pasal-pasal jadi macam tadi. Tak risau ke?Ha lagi satu,boleh bagi contact number awak tak?senang sikit nak berurusan nanti.”bebelnya lagi.
Dia mula berasa geram dan rimas dengan wajah lelaki itu yang selamba. Rimas kerana ditenung lama-lama dengan pandangan lelaki itu yang tajam. Tiba-tiba terasa meremang pula bulu romanya. Tak sedap hati betul dengan lelaki yang telah melanggar keretanya itu. Sudah lah suasana di situ sunyi sepi tanpa kereta lain yang lalu lalang di saat itu. ‘Ya Allah,aku mohon perlindunganMu dari sebarang kemungkinan…’doanya dalam hati.
“Err,boleh..tapi,saya pun ingat nak minta nombor cik sekali,”pinta Zarith.
Gadis itu memberikan nombor telefonnya untuk dihubungi Zarith. Begitu juga dengan Zarith. “Saya nak perkara ni diselesaikan secepat yang mungkin. Jangan cuba nak tangguh-tangguh pulak. Orang kaya macam awak tentu takde masalah nak bayar ganti rugi tu kan?”
“Awak tau mana saya ni orang kaya?”Zarith tersenyum geli hati menyoal gadis itu.
“Huh,tengok kereta pun dah tau.” Wajah gadis itu masam mencuka.
 ‘Berlagak nak mampus dia ni. Tak suka betul aku dengan lelaki macam ni,’kutuknya dalam hati.
“Tapi saya nak save nombor cik ni nak guna nama apa?”tanya Zarith.
“Err,ye tak ye jugak kan. Saya Nurin Hanani,”jawabnya ringkas.
Zarith tersenyum sebaik teringat kejadian yang berlaku tadi. Yang membawa perkenalannya dengan gadis bernama Nurin Hanani itu. Tambahan pula dia jenis yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja terutama wanita. Maklumlah lelaki playboy sepertinya memang pantang jumpa perempuan berdahi licin. Pasti ada sahaja alasan yang digunakan bagi mendekati perempuan yang baru dikenali.
Gadis bertudung biru lembut itu masih bermain di mindanya. Boleh tahan juga orangnya. Lawa dan manis. Kelihatan lembut dan menarik pada pandangan matanya walaupun agak garang! Matanya yang bundar dengan alis yang terbentuk sempurna. Berkulit putih bersih. Memang menepati citarasanya sebagai seorang lelaki. Cuma kurang bergaya sahaja. Sekadar mengenakan baju kurung baginya cukup tidak sesuai untuk dipadankan dengan dirinya yang lebih bergaya moden dan mewah.
‘Macam perempuan kampung yang biasa-biasa je aku tengok…’
Dia tidak tahu mengapa tiba-tiba fikirannya masih lagi mengingati gadis bernama Nurin Hanani itu. Sedangkan jika dibandingkan dengan Maya sungguh jauh perbezaannya. Sungguh ketara dari segi gaya mereka.
‘Apa yang special nya dia tu?arghh…kenapa aku nak pikir pasal dia pula ni?’
 Zarith tidak peduli itu. Apa yang dia tahu kini dia cuma ingin mendekati gadis itu sahaja. Sekadar ingin mencuba. Atau dalam erti kata lain…suka-suka and just for fun! Sesekali bertukar selera apa salahnya. Sebelum ini pun semasa di luar negara dia telah banyak kenal dan mempermainkan ramai wanita bermata biru. Malah,wanita tersebut yang merayu agar tidak ditinggalkan. Zarith berasa bangga pula begitu.
Fikiran nakalnya ligat berputar. Dia berasakan begitu ingin mendekati gadis bertudung biru yang dikenalinya itu. Dia mula mengatur strategi. Yakin benar bahawa mustahil dirinya akan ditolak. Selama ini tidak pernah mana-mana wanita pun yang menolak huluran perkenalannya. Setelah puas mereka dipermainkan lalu ditinggalkan. The game of love...baginya, cinta ibarat permainan. Bagai PS3 yang selalu dimainkan ketika masa lapangnya. Begitulah Zarith Idham Shah. Siapa yang tidak kenal.
“Perempuan macam dia tu ibarat kacang je bagi aku…”bicara Zarith sendirian. Dia ketawa di dalam hati.  Lantas dia menyeluk telefon bimbit nya lalu menekan butang untuk menaip SMS.
**********
Nurin Hanani membuka pintu rumahnya. Kelihatan temannya Maisarah sedang leka menatap TV sambil mulutnya mengunyah keropok. Maisarah menyedari kepulangan rakan serumahnya itu tetapi matanya masih menatap pada rancangan CSI Miami yang ditayangkan di skrin televisyen.
“Lambat kau balik hari ni?”soal Maisarah.
Nurin Hanani mengeluh perlahan. Dia meletakkan tas tangannya dengan beg plastik berisi kertas soalan peperiksaan di atas meja. Lantas melabuhkan punggung di atas sofa empuk. Kepalanya diurut. Dia berasa sakit kepala dan..sakit hati!
“Aku balik rumah mak aku kejap petang tadi lepas je habis mengajar. Lepas tu tiba-tiba je aku boleh ter’accident’ tadi,”keluhnya.
Maisarah membuntangkan mata. Terkejut benar dia. “Kau accident?Ya Allah,macam mana boleh kena?habis tu kau okay tak ni?”bertalu-talu soalan diajukan.
“Hm..aku okay. Nasib baik lah tak teruk sangat. Langgar sikit je belakang kereta aku tu. Tapi remuk jugaklah. Hish,ni semua sebab mamat tak guna tu. Harap muka je handsome!”ngomelnya.
Marah benar dia. Dia berasa sakit hati mengenangkan sikap lelaki yang telah melanggar belakang keretanya tadi. Sudah lah tu,ada hati nak mengorat dia pula. Sedangkan sudah terang lagi bersuluh dia nampak sendiri teman wanita lelaki itu di dalam kereta. Bukan dia nak perasan atau syok sendiri. Tapi melihatkan gaya lelaki itu tadi memang benarlah jangkaannya yang lelaki itu seorang playboy. Walaupun tidak baik berfikiran yang kurang elok terhadap orang lain,apatah lagi seseorang yang tidak pernah dikenali selama ini,tetapi dia tahu hatinya sendiri.
“Wah,yeke?handsome sangat ke dia tu Hani?”tanya Maisarah. Dia mula menumpukan perhatian yang lebih terhadap cerita Nurin Hanani.
Wajah Nurin Hanani berkerut. “Yang kau tiba-tiba excited sangat ni kenapa?dengar je aku sebut handsome laju je kau ye,pantang betul dengar pasal lelaki handsome kau ni.”
“Ala,beritahulah aku Hani. Handsome sangat ke lelaki yang kau langgar tu?ada macam Johnny Depp tak?err,Orlando Bloom ke...”dia mula membayangkan dua hero Hollywood dari filem kegemarannya,Pirates of the Caribbean itu.
“Hello,bukan aku yang langgar okay. Dia yang langgar aku tau.”
Maisarah tersenyum simpul ditegur begitu. “Ala,sorry,sorry aku silap..tapi beritahulah aku Hani. Handsome sangat ke dia?”
“Taklah,perut boroi. Kepala separuh botak. Hah,puas hati?”perli Nurin Hanani.
Maisarah menjuihkan mulut. Tahu benar dirinya disindir. “Ala,aku cuma nak tau je. Habis tu kau buat apa lepas kena langgar?”
“Aku ingat nak buat report polis. Tapi dialah beria sangat mintak nak setel sendiri je. So,tunggu dia jelah bayar ganti rugi. Siapa suruh dia bawak cuai sangat. Hah,padanlah dengan muka dia tu.”
“Yeke,tapi nasib baik kau takde apa-apa kan Hani. Risau jugak aku kalau jadi apa-apa kat kau. Kau tu dah la perempuan. Zaman sekarang ni macam-macam boleh jadi. Ada aku dengar dalam berita baru-baru ni ha,seorang perempuan muda kena belasah dengan pembuli jalan raya. Sampai cedera teruk kau tau tak. Memanglah salah perempuan tu sebab langgar orang tu. Tapi,takkan lah sampai pukul macam tu sekali. Nauzubillah,minta-minta kita ni dijauhkanlah dari segala yang tak elok tu..”panjang lebar Maisarah bercerita.
“Tulah,aku pun syukur sangat takde apa-apa yang berlaku tadi. Risau jugak aku. Dah la sorang-sorang tadi. Tapi,sakit hati betul dengan mamat tu. Dia boleh buat muka selamba je. Macam takde apa je. Tu yang aku geram!”Nurin Hanani meluahkan rasa tidak puas hati.
“Siapa nama mamat tu?”
“Zarith. Aku tau pun sebab terpaksa mintak contact number dia tadi.”
“Aku rasa baik kau rest je dulu Hani. Tenangkan fikiran kau tu dulu. Jangan pikirkan sangat pasal hal tadi okay?”cadang Maisarah pula.
Nurin Hanani mengangguk lemah. Tidak guna dia hendak marah-marah lagi saat itu. Lelaki itu bukan dengar pun segala makiannya tika itu. Lagipun,dia sudah puas memberi ‘ceramah’ kepada lelaki bernama Zarith itu tadi. Tidak tahu sama ada lelaki itu mendengar kata-katanya atau pun bak kata pepatah ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Dan apa-apalah lagi kata-kata yang sewaktu dengannya.
“Entahla Mai..aku pun tengah pening ni. Pening pikirkan hal tadi. Pening dengan perangai pelajar aku masa kat sekolah lagi. Hai,boleh jadi sakit jiwa aku dibuatnya.”
Maisarah tergelak kecil. “Dah la tu Cikgu Hani oii…tak habis lagi ke?agaknya puaslah lelaki tu terpaksa tadah telinga dengar syarahan kau. Aku pun tak tahan dengar kau membebel. Macam mak nenek je…”
Belum pun sempat dia menghabiskan kata-kata,wajahnya terkena balingan tepat teddy bear yang sederhana besar saiznya yang terletak di sofa. Serentak mereka berdua tertawa.
**********
Nurin Hanani melangkah keluar dari kamar mandi. Dia sudah lengkap berpakaian tidur. Tubuhnya keletihan sekali. Matanya memandang tilam yang empuk. Barulah dia teringat yang dia masih belum bersolat isya’ lagi. Dia hanya sempat menjenguk kedua ibu bapanya di rumah hanya seketika cuma. Itupun terkejar-kejar dia selepas pulang mengajar dari sekolahnya iaitu di SMK Seri Budiman.
Lantas dia segera menunaikan solat fardhu isya’. Hak Allah S.W.T perlu ditunaikan terlebih dahulu. Selepas itu,barulah dia melangkah menuju ke katilnya. Tidak tahan rasanya. Rasa mengantuk mulai menguasai diri. Dia terus merebahkan diri di atas tilam. Lega benar rasanya.
Dia mencapai telefon bimbit yang terletak di atas meja kecil di sebelahnya. Sengaja ingin melihat kalau-kalau ada pesanan ringkas yang penting atau panggilan telefon yang tidak disedarinya semasa mandi tadi.
‘Eh,ada mesej?’                                                                                            
Memang benar tertera tiga pesanan ringkas pada skrin telefon bimbit. Cepat-cepat dia membuka peti mesej. Dia membaca satu persatu ayat itu. dahinya berkerut seribu. ‘Apa kena pula dia ni?mesej aku malam-malam macam ni…’ Dia membaca kembali mesej itu.
‘Hi cik Nurin. Maafkn sy psl hal td. Anyway,nice 2 meet u..-Zarith’
Hai,sempat pula dia nak berkenal-kenal dengan aku. Huh,tidak kuasa dia hendak melayan lelaki yang berlagak itu. Getus hatinya sendirian. Dia membuka satu lagi mesej yang merupakan dari pengirim yang sama.
‘Cik Nurin tgh buat apa 2?bz ke?sy mintk maaf klu gnggu cik Nurin msa ni…’
Dia tersenyum sinis sebaik membaca mesej kedua kiriman Zarith itu. ‘Memang menganggu pun!’Mesej ketiga pula dibukanya.
‘Cik Nurin msti dh tdo kn msa ni?ok xpelh..sy tetp tnggu smpai cik Nurin bls msg sy ni. Ape2 pn tdo elok2 tau. Sweetdream dear…’
Mesej ketiga dan juga merupakan yang terakhir dari Zarith itu benar-benar makin membuatkan hati Nurin Hanani meluat. Menyampah benar dia.
‘Eiii..!! boleh pulak dia panggil aku ni dear?suka-suka hati dia je. Hish,lelaki kalau dah dasar buaya tu memang lah. Dasar playboy!’ Geli betul dia untuk membaca sekali lagi isi kesemua mesej-mesej yang diterimanya itu. Cepat-cepat dia menekan butang delete. Ingin membuang kesemua mesej yang dirasakan mengarut itu.
“Hish,tak guna punya mamat. Ada hati nak ngorat pulak tu. Dia pikir aku ni perempuan jenis apa?dasar lelaki buaya! Tak ingin aku nak balas mesej dia. Baik aku tidur je,”ngomelnya sendirian.
Dia menarik selimut membaluti tubuhnya. Malas hendak memikirkan mesej tersebut. Fikirannya terasa kusut. Tujuannya memberikan contact number supaya senang untuk berurusan dengan lelaki tersebut berkenaan hal insiden tadi. Bukannya untuk berkenalan atau mengeratkan silaturrahim lebih-lebih lagi dengan lelaki berlagak dan perasan itu. Terasa menyesal pula. Kenapalah dia ditakdirkan untuk bertemu dengan lelaki seperti itu? Arghhh…sakit kepalanya datang kembali. Hai,bersabarlah Nurin Hanani!
Bab 4
Cahaya mentari menerobos masuk ke ruang kamar tidurnya. Zarith menggeliat selepas bangkit dari tidur. Diraup wajahnya perlahan. Jam di dinding sudah menunjukkan tepat pukul 10 pagi. ‘Lama juga aku tidur ni…’desis hatinya. Dia menguap. Masih lagi terasa mamai dari sisa mengantuk yang masih ada. Tubuhnya yang sasa terasa sejuk pula. Setelah itu,dia segera bangkit mencapai tuala lalu menuju ke kamar mandi.
Kira-kira dua puluh minit kemudian,Zarith turun menuruni anak tangga untuk ke tingkat bawah. Perutnya terasa lapar pula kerana tidak makan sebaik sahaja sampai semalam. Terus dia menuju ke ruang makan. Mencari apa yang ada untuk dimakan.
“Ha,Zarith. Dah bangun kamu?”tegur Mak cik Hajar. Kelihatan Mak cik Hajar yang sibuk mengemas di dapur dan mencuci pinggan mangkuk.
Zarith mengangguk sedikit. “Ha’a baru bangun. Letih betul semalam. Mak cik sihat ke?”
“Mak cik macam nilah Zarith. Bila dah tua ni macam-macam penyakit yang datang. Kamu duduklah dulu. Nasi goreng tu ada lagi. Mak cik memang saja tinggalkan untuk kamu.”
Zarith segera menarik kerusi untuk duduk. Dia menjadi berselera betul melihat nasi goreng yang berada di meja. Kuih muih pun masih ada lagi di situ.
“Selalu ke Mak cik datang sini?”soalnya sambil menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan.
“Taklah selalu sangat. Itupun masa  Faz takde kat rumah bekerja Mak cik datanglah. Bosan betul bila dia takde. Anaknya si Aira tu pulak dah masuk tadika. Bila takde apa-apa Mak cik datang lah jenguk ke sini. Tolong mana-mana yang patut. Kamu dah kerja ye sekarang?”jawab Mak cik Hajar. Dia bercerita tentang anak perempuannya yang sudah pun berumah tangga iaitu Fazlina.
Zarith mengangguk. Fazlina, iaitu sepupu yang muda setahun darinya itu pun sudah lama tidak ditemui. “Faz kerja dekat mana Mak cik?”
“Dekat area Shah Alam jugak. Dia tu bila hujung minggu je baru nak lekat kat rumah. Kalau tak sibuk je memanjang. Kamu bercuti sampai bila Zarith?”
“Erm,sampai next week. Tapi sebenarnya Zarith dah plan nak tinggal sini terus nanti.”
“Kamu dah beritahu papa kamu ke pasal ni?”
“Belum lagi. Tunggulah masa yang sesuai nanti baru Zarith bincang dengan papa.”
“Elok sangatlah tu kamu tinggal di sini Zarith. Papa kamu tu dah lama sangat tak jumpa kamu. Dia pun tinggal berdua je dengan si Zarul sejak mummy kau takde.”
Zarith terdiam sebaik sahaja Mak cik Hajar menyebut nama mummy. Kedengaran bunyi deringan telefon dari ruang tamu tiba-tiba. “Kamu makanlah dulu ye. Mak cik nak pergi angkat telefon kejap.” Zarith mengangguk. Dia menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Eh,Along. Bila sampai?”                                           
Zarul yang muncul tiba-tiba di dapur menegurnya. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan abangnya. “Along baru sampai malam tadi. Papa tak beritahu ke?”Zarith tersengih sambil menyambut huluran tangan Zarul. Adiknya itu kelihatan santai dengan mengenakan T-shirt putih dan seluar jeans.
Zarul menjungkit bahu. Dia menarik kerusi berhadapan dengan abangnya lalu melabuhkan punggung di situ. “Takde pun. Lagipun Rul balik lambat semalam. Motor buat hal pulak. Bengang betul Rul. Masa sampai di rumah pun papa dah tidur agaknya. Along buat apa sekarang ni?”
“Along tengah cuti ni. Sampai next week je. Lepas tu Along balik sana balik nak setelkan macam-macam hal sebab Along dah buat keputusan nak tinggal kat sini terus nanti.”
“Yeke,seronok lah Along dah ada nanti. Tapi mummy pulak macam mana?”
Zarith terdiam sebentar. Dia mengeluh. “Tak guna kau tanya pasal mummy. Dia bukan nak ikut pun tinggal kat sini…”
Zarul mengangguk perlahan. “Maknanya Along nak biarkan mummy tinggal sorang ke kat sana nanti?tanpa Along di sisi nya?”
“Alah,takkan dia nak ikut pulak. Lagipun kalau dia ada bukannya dapat tinggal dengan kita. Dia mana ada hubungan apa-apa lagi dengan papa. Dah lah,Along malas nak bukak cerita pasal dia. Jangan tanya apa-apa lagi pasal mummy okay?”
“Erm,along,mummy tak pernah ke tanya pasal Rul?”balas Zarul hampa. Dia sedar yang abangnya tidak akan membuka mulut bercerita pasal mummy jika tidak ditanya.
Zarith terdiam. Nafasnya terasa sesak mendengar pertanyaan adiknya. “Mummy ada bertanyakan keadaan Rul. She always asks me okay. Always…she never forgets you.”
“Tapi kenapa mummy tak pernah datang jumpa Rul sejak dia tinggalkan Rul dengan papa dulu?”Zarul bertanya lagi. Dia masih tidak puas hati.
Hatinya sakit mengenangkan itu. Dia berasakan hanya dirinya sahaja yang mengingati mummy tetapi wanita itu tidak. Hanya dirinya sahaja yang menyayangi mummy. Yang mendoakan kebahagiaan mummy siang dan malam. Telah lama dipendamkan perasaannya yang terluka dan kali ini ingin diluahkan semua kepada abangnya itu. Biar Zarith tahu betapa dia sangat merindui wanita yang telah melahirkannya. Biar semua orang tahu. Dan kalau boleh biarlah Angelica sendiri tahu isi hatinya.
“Dia nak sangat jumpa Rul tau. Tapi dia perlukan masa.”
“Sampai bila?”Zarul berasa sebak. Suaranya hampir tidak kedengaran.
“Dia pasti akan datang jumpa Rul nanti. Along tak pasti bila. Sabarlah ye…”Zarith berusaha menjaga hati adiknya.
Dia berhati-hati menuturkan kata. Dia tidak mahu menyakiti hati Zarul kerana dia amat memahami perasaan adiknya itu. Apakan daya dirinya yang tidak mampu berbuat apa-apa. Bukannya dia tidak pernah memujuk Angelica. Sudah beribu kali namun keadaan masih begitu juga. Tetapi dia tidak menipu Zarul. Memang benar bahawa mummy juga merindui Zarul. Angelica sendiri sudah banyak kali memberitahu hal tersebut. Dia tidak faham mengapa keadaan menjadi begitu rumit sekali.
“Kalau begitu bawaklah Rul jumpa mummy sekali.”
Zarith tergamam mendengar permintaan adiknya itu. ‘Zarul tak boleh tau keadaan mummy di sana…’ fikirnya. Dia tidak mahu Zarul mengetahui yang Angelica tinggal bersama Henry kini dan keadaan itu pastilah akan makin melukakan hati Zarul. Pastilah Zarul sukar untuk menerima keadaan itu.
“Tak boleh Rul. Maafkan Along tapi Along janji tetap akan cuba pujuk mummy datang sini.”
Dia terpaksa berjanji. Dia tahu dia telah memberikan harapan yang tidak pasti kepada Zarul. Tetapi…apa lagi yang harus dilakukannya?
“Baiklah kalau macam tu…”
Zarul berkata perlahan. Dia berharap dan berdoa semoga dibukakan pintu hati mummy untuk pulang ke pangkuan mereka sekeluarga. Biarpun terpaksa menanti walau sekian lamanya. Tetapi sebenarnya dia telah pun menyimpan keinginannya yang tersendiri. Tanpa pengetahuan papa dan juga Zarith hatta sesiapa pun antara saudara maranya. Dia ingin sangat bertemu dengan mummy dan datang sendiri ke Amerika Syarikat di mana mummynya berada. Tetapi dia harus menghabiskan dahulu pengajian semester akhirnya di universiti. Begitulah azam dan impian Zarul. Dia memang sudah bertekad di dalam hati. 
 “Kau takde kelas ke hari ni?”tanya Zarith. Dia cuba mengalih topik. Dia mencapai karipap yang berada di meja.
“Ada,dalam pukul 2 nanti lepas Zohor. Along tolong hantarkan Rul ke kampus boleh?motor Rul tu dah masuk bengkel lah semalam.”
Zarith mengangguk setuju. “Habis tu kau balik dengan apa semalam?”
“Member Rul yang tolong hantarkan. Semalam kitorang saja jelah keluar tengok-tengok PC Fair,”jawab Zarul.
Tiba-tiba kedengaran bunyi mesej dari telefon bimbit milik Zarith. Dia segera membuka peti mesej. Di fikirannya mengharapkan balasan dari seseorang sejak dari malam tadi lagi. Dia berasa frust tatkala matanya tertancap pada nama si pengirim mesej. Bukan seperti yang diharapkan. Tetapi yang diterima adalah mesej dari Sally,teman wanita lamanya yang ingin membuat temu janji dengannya. Zarith melepaskan keluhan hampa. ‘Kenapa bukan dia…’bisiknya.
‘Wanna meet u at Casa Hotel 2.30 P.M. today.Don’t be late. Miss u so much hny. C u there-Sally’
“Siapa tu Along?”tanya Zarul yang memerhatikan gelagat abangnya itu sejak dari tadi lagi.
“Err,kawan lama Along ajak jumpa.”
“Kawan ke…girlfriend Along?”Zarul membuat andaian. Zarith tidak menjawab. Sengaja membiarkan adiknya berteka-teki dan membuat andaian sendiri. Zarul pula seolah-olah memahami sahaja. Bukan tidak tahu perangai abangnya yang satu itu. Dia lantas menukar ke topik lain.
“Habis tu lepas je hantar Rul nanti Along nak ke mana pulak?”
“Along rasa nak pergi hantar kereta Along tu masuk bengkel lah.”
“Eh,kenapa pulak dengan kereta Along tu?”
“Hurm…Along accident semalam.”jawab Zarith ringkas. Teringat pula dia dengan kejadian semalam. Bayangan wajah gadis itu menjelma lagi dalam ingatan. Dia pula menjadi tidak pasti sama ada mahu bertemu dengan Sally pada hari itu ataupun tidak. Mungkin tidak jadi lah nampaknya. Dia harus memberitahu Sally supaya mereka bertemu lain hari sahaja.
“La,yeke…macam mana boleh kena ni?tak sangka pulak Rul,motor Rul buat hal,kereta along pun ada masalah jugak. Habis tu teruk sangat ke remuk?”
“Nasib baik lah tak kena teruk. Sikit je. Tapi Rul jangan beritahu papa pulak. Along tak nak dia risau pulak nanti,”pinta Zarith.
Zarul sekadar mengangguk. Tidak tahu ingin berkata apa lagi.
**********
“Zarith…”
Panggil Mak cik Hajar. Dia baru sahaja selesai menunaikan solat fardhu Zohor sebaik sahaja habis mengemas rumah tadi.
“Ye Mak cik. Ada apa?”sahut Zarith yang sedang membaca surat khabar di ruang tamu rumah.
“Tolong hantarkan Mak cik balik rumah kejap. Si Faz cakap tadi nak datang sini ambil Mak cik. Ni dah pukul berapa dah dia tak datang-datang lagi.”
Mak cik Hajar sudah menunggu dari tadi lagi. Jika diikutkan,rumah anaknya Fazlina tidak lah begitu jauh dengan rumah papa Zarith. Tetapi maklumlah orang tua sepertinya,manalah larat hendak berjalan kaki. Fazlina sudah berjanji untuk mengambilnya sebentar lagi. Sudah lebih sejam menunggu,kelibat anaknya masih tidak sampai lagi. Barangkali ada hal lah tu,fikir Mak cik Hajar. Mujur juga ada Zarith yang boleh tolong menghantarnya pulang ke rumah.
“Okay,nanti Zarith hantar Mak cik balik,”jawabnya. Mujurlah keretanya masih belum dihantar ke bengkel lagi. Dapatlah dia menghantar pulang Mak cik Hajar. Dia sudah berkira-kira selepas mengambil Zarul pulang dari kelas,barulah dia akan membawa kereta itu ke bengkel nanti.
“Papa kamu pun belum balik lagi dari ofis. Ingatkan nak suruh dia je yang hantarkan. Nasib baik dah masak tengah hari awal-awal tadi masa Mak cik kat rumah Faz,”beritahu Mak cik Hajar. Dia sedang berehat di ruang tamu. Manakala Zarith pula masih leka menatap surat khabar. Dia baru sahaja menghantar Zarul ke UiTM. Adiknya ada kelas hari itu. Jadi tinggal lah mereka berdua sahaja di rumah.
“Takpelah Mak cik. Nak tunggu papa entah bila agaknya Mak cik dapat balik. Zarith boleh tolong hantarkan. Dapat jugak jumpa Faz dengan Aira. Husband dia ada ke kat rumah Mak cik?”tanya Zarith pula.
“Firdaus takde kat rumah. Dia kerja hari ni. Petang nanti baru balik. Tak dapatlah kau nak jumpa dia Zarith.”
“Takpelah kalau macam tu,esok lusa pun Zarith boleh datang lagi jumpa Firdaus. Lagipun Zarith kat sini lama lagi.”
Mak cik Hajar sudah bersiap mengenakan selendang di kepala. Dia mengambil begnya yang berisi kain sembahyang. Manakala Zarith mencapai kunci kereta dan keluar rumah. Dia menuju ke arah keretanya yang tersadai di halaman banglo. Enjin kereta dihidupkan. Sebaik sahaja mereka sudah memasuki  ke dalam kereta,lantas kenderaan tersebut dipandu Zarith dan meluncur keluar dari perkarangan rumah banglo itu.
Tidak lama kemudian sampailah mereka di hadapan rumah Fazlina. Rumah itu sederhana sahaja besarnya. Terletak berhampiran dengan kawasan perumahan teres yang lain. Zarith menghentikan kenderaannya di hadapan rumah tersebut.
“Laa…Faz belum balik lagi rupanya. Mak cik ingatkan dia dah sampai rumah. Takde pun keretanya Zarith.”
“Yelah Mak cik. Kereta dia pun takde tu. Err…Mak cik ada bawak kunci rumah tak ni?”tanya Zarith.
Mak cik Hajar menggaru kepalanya yang dilitupi selendang. “Ada rasanya Mak cik bawak. Dalam beg ni ha agaknya,”dia tercari-cari kunci di dalam begnya.
“Ni ha,ada pun. Nasib baiklah Faz ingatkan Mak cik suruh bawak kunci rumah tadi. Hai,kalau tidak tak dapat masuklah kita. Mak cik ni pulak asyik terlupa je dah tua-tua macam ni,”rungut Mak cik Hajar. Zarith tersengih mendengar rungutan emak saudaranya.
Dia sudah mematikan enjin kereta. Pintu dibuka keluar. Begitu juga dengan Mak cik Hajar. Mereka berjalan masuk ke dalam rumah. Kawasan laman yang bersaiz sederhana itu diperhatikan Zarith. Tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan taman mini milik papanya. Namun tetap nampak kemas dan menarik dengan tanaman hiasan.
“Masuklah dulu Zarith. Mak cik nak pergi tengok kat dapur kejap. Duduk dulu ye. Kalau nak lama sikit kat rumah Faz ni pun takpe. Kau tu bukannya orang lain pun,”pelawa Mak cik Hajar.
Belum sempat Zarith membuka mulut ingin berkata,Mak cik Hajar sudah pun menuju ke dapur. Beg diletakkan di atas sofa. Zarith melabuhkan punggung di situ. Sebenarnya dia sekadar ingin menghantar pulang Mak cik Hajar ke rumah sahaja. Kemudian dia ingin terus pulang. Tetapi bila difikirkan,dia bukannya ada apa-apa yang harus dibuat di rumahnya. Jadi baiklah dia melepak sekejap di rumah sepupunya itu.
Tiba-tiba perutnya terasa semacam. ‘Adoi…perut ni meragam pulak dah,’gerutu hatinya. Wajahnya berkerut seribu. Zarith memandang sekeliling. Dia segera bangkit dari sofa. Mencari bilik air.
“Mak cik,bilik air kat mana?”laung Zarith.
“Ada dekat dapur ni ha…”
Dia melangkah dengan pantas ke arah dapur.
Tidak sampai lima belas minit kemudian,Fazlina sudah pun sampai ke rumah dari mengambil Aira di Tadika Bestari yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Dia memimpin tangan anaknya masuk ke dalam rumah. Manakala tangan kiri pula menjinjit beg galas berwarna merah jambu milik Aira. Dia memberi salam. Kedengaran suara Mak cik Hajar yang sudah berada di dapur menjawab salamnya.
“Aira,pergi masuk bilik dulu. Mandi lepas tu tukar baju. Kejap lagi mama datang,”arah Fazlina. Aira senyap sahaja. Sebaliknya dia mengekori langkah mamanya ke dapur.
“Mak,bila mak sampai?”
Mak cik Hajar sedang menghidangkan pinggan dan gelas minuman di atas meja di ruang makan. Fazlina segera membantu emaknya. “Tak lama pun,dalam lima belas minit tadi. Zarith yang tolong hantarkan. Mak ingatkan kau dah lupa nak ambil mak tadi kat rumah Pak Usu kau.”
“Faz ada datang rumah Pak Usu tadi. Tapi tengok pintu rumah tu berkunci. Tu yang Faz dapat agak mak mesti dah balik rumah. Maknanya Zarith pun ada sekali lah ye?”dia bertanyakan tentang kedatangan sepupunya itu.
“Ha’a mak yang ajak dia duduk sini dulu. Kat rumah tu bukannya ada siapa pun. Pak Usu kau pulak ada kat ofis belum balik lagi. Biarlah dia tinggal dengan kita sementara. Dia pun tak makan lagi tu.”
“Patutlah Faz nampak ada kereta dia kat luar tu tadi. Eh,Aira…kan mama cakap pergi tukar baju dulu. Buat apa duduk kat dapur ni?hish,budak ni…”tegur Fazlina. Aira sibuk bermain pinggan yang disusun di atas meja.
“Aira nak susun ni…”tangannya diunjukkan ke arah pinggan.
“Jangan Aira,pecah pinggan tu nanti. Nenek kan dah susun elok-elok tadi,”marah Fazlina.
“Aira dah makan ke Faz?”tanya Mak cik Hajar. Dia menuju ke arah cucunya itu. Diusap rambutnya.
“Dah,masa dekat tadika tadi teacher nya dah bagi makan. Mak,takpelah biar lauk semua Faz yang hidangkan. Mak pergilah berehat dulu. Dah siap nanti Faz panggil,”ujar Fazlina. Tangannya ligat menceduk kuah asam pedas di dalam periuk dan dimasukkan ke dalam mangkuk berwarna putih.
“Mari Aira. Ikut nenek ye. Kita pergi tukar baju dulu,”ajak Mak cik Hajar. Aira mengekori langkah Mak cik Hajar menuju ke bilik.
Fazlina sudah siap menghidangkan lauk pauk di atas meja. Kelihatan kelibat Zarith yang datang entah dari mana. “Hai,orang jauh dah balik rupanya…”tegur Fazlina.
Zarith tersengih sahaja. “Baru sampai semalam. Faz apa khabar?”
“Alhamdulillah,Faz baik-baik je. Zarith pulak apa cerita?lamanya tak jumpa. Makin handsome pulak Faz tengok,”dia mengusik. Zarith tergelak mendengarnya. Dia masih tetap kelihatan segak walaupun berpakaian ringkas sahaja dengan seluar track nya.
“Zarith pun okay je. Sementara tengah dapat bercuti lama ni tu yang Zarith balik kejap. Firdaus habis kerja biasanya pukul berapa?”jawabnya sambil mengukir senyuman.
“Tak tentu jugak. Kadang-kadang petang baru dia balik. Kerja macam dia memang susah sikit. Lagi-lagi tengah banyak projek kat site sekarang ni. Err,Zarith ada ke mana-mana tak esok?”tanya Fazlina.
“Takde hal kot. Kenapa?”dia bertanya sambil menarik kerusi untuk duduk.
“Faz ingat nak mintak tolong Zarith hantarkan Faz ke rumah kawan pagi esok. Ada nak tolong-tolong sikit dekat kenduri rumahnya tu…”
“Kawan Faz nak kahwin ke?”
“Taklah,yang nak kahwin tu abangnya yang sulung. Ni kawan baik Faz sejak dari sekolah lagi ajak datang ke kenduri rumahnya. Firdaus tak dapat pergi sebab dia tengah sibuk bekerja sekarang ni. Tu yang Faz terpaksa minta tolong Zarith hantarkan. Err,boleh?”
“Boleh jugak tu. Zarith tak kisah pun. Kalau nak Zarith tolong pun takpe jugak sebab Zarith bukan buat apa pun kat rumah. Siapa nama kawan Faz tu?”soalnya lagi. Dia mencapai segelas air yang berada di atas meja lalu diteguknya.
“Ha,bagus sangat lah tu. Nama dia Nurin Hanani. Faz panggil dia Hani je…”
Hampir tersembur air yang diminumnya. Terperanjat benar dia tatkala mendengar nama itu disebut. Tidak disangka pula gadis yang baru dikenali itu rupanya kawan baik Fazlina,sepupunya sendiri. Wah,kalau macam ni ada can lah dia nak tackle gadis itu. Jalan makin terbentang luas nampaknya. Pasti gadis itu akan terkejut melihatnya nanti. Dia tersenyum di dalam hati.
“Oh,macam tu. Okay,esok pagi Zarith tolong hantarkan. Zarith pun ingat nak tolong-tolong jugak orang dekat kenduri tu. Bukan apa,ada jugak kerja yang nak dibuat nanti,”cepat-cepat dia berkata. Alasan yang diberikan sudah cukup baginya meyakinkan Fazlina.
“Okay,nasib baik lah ada Zarith kat sini. Untung betul Faz ada abang sepupu yang rajin macam Zarith ni,”Fazlina tersenyum lebar. Dia sengaja mengusik sepupunya itu. Berasa lega atas kesudian Zarith menolongnya. Zarith membalas senyuman Fazlina. Senyuman yang tersimpan penuh seribu satu makna.



















0 ulasan:

Post a Comment