Thursday, February 24, 2011

Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 5

Suasana di rumah Nurin Hanani begitu gamat dan hingar bingar sekali dengan kehadiran ramai orang kampung yang datang membantu keluarganya. Semuanya bagi mengadakan persiapan kenduri perkahwinan Abang Man. Abang sulung Nurin Hanani bakal bergelar pengantin baru tidak lama lagi. Oleh itu,kenduri itu akan diadakan secara besar-besaran bagi menyambut kedatangan menantu sulung kedua ibu bapa mereka. Haji Harun dan Hajah Zaharah begitu teruja sekali nampaknya. Begitu juga dengan dirinya yang tumpang bahagia dengan perkahwinan abangnya itu.

“Hoi,Hani! Kau buat apa tu ha?”

Satu sergahan yang agak kuat menyapanya dari belakang. Terperanjat dia mendengarnya. Terasa luruh jantungnya. Kalau orang yang sakit jantung dengar pun boleh jatuh pengsan agaknya. Hampir-hampir sahaja dulang minuman yang dibawa terlepas dari pegangan. Lantas dia berpaling.

“Ya Allah,Kak Zura ni….buat orang terperanjat je lah. Geram betul Hani. Tak boleh bagi salam ke?”perli Nurin Hanani. Anak Mak Longnya itu menyeringai. Suka benar agaknya dapat menyakat sepupunya itu. Dia faham benar dengan sikap Kak Zura yang kecoh dan havoc itu. Ada sahaja yang ingin disakatnya.

“Ala,sorry sorry,akak saja je tengok dari tadi lagi Hani beria angkat gelas. Ke sana ke mari. Akak ni tengah bosan lah takde kerja. Pening jugak ye tengok orang ramai kat rumah ni.”

Nurin Hanani sekadar menggeleng kepala. “Takde kerja akak cakap?tu ha yang kat dapur tu,entah berapa banyak kerja kosong akak boleh mintak tau. Tanyalah mak-mak sedara kita tu…”

“Yelah,nanti akak pergilah jenguk. Lagipun akak nak beritahu something kat Hani ni. Tadi ada kawan Hani datang. Dia nak cari Hani,”beritahu Kak Zura.

“Eh,siapa kak?”

“Entah la,akak pun tak kenal lah. Agaknya adik-adik Hani kenal lah kot…”

“Jangan-jangan Faz tak?”teka gadis itu. Memang sebelum ini dia lah yang beria benar mengajak Fazlina datang ke kenduri Abang Man. Fazlina merupakan kawan baiknya yang sudah seperti adik-beradik sendiri. Mereka berdua memang sangat rapat sejak dari zaman sekolah lagi. Kedua ibu bapa mereka juga saling mengenali antara satu sama lain.

“Agaknya lah tu kot. Hani pergilah tengok sendiri. Kesian dia tunggu lama kat luar tu.”

Nurin Hanani mengangguk. Dia terus meletakkan dulang berisi gelas minuman di atas meja. Dia melangkah ke luar rumah untuk berjumpa dengan kawannya itu. Sesekali ada juga yang menyapanya. Keadaan di perkarangan rumah juga begitu gamat dengan orang ramai dan belia-belia kampung yang datang membantu.

Mereka sedang bergotong-royong memasak dan melakukan kerja yang sepatutnya.
Matanya meliar mencari seseorang. Kelihatan seorang perempuan dari jauh melambai ke arahnya. Dia tersenyum sambil membalas lambaian itu. Memang benar,Fazlina lah orangnya. Mereka terus berdakapan sebentar dan bersalaman. Manakala Aira di sebelah Fazlina berdiri memerhatikan gelagat mereka berdua.

“Kenapa tak call Hani tadi yang Faz nak datang?”

“Amboi…nak kena call dulu ke kalau nak datang?”usik Fazlina.

“Ala,bukan apa. Hani ingatkan Faz nak datang masa kenduri esok nanti. Hani tak nak susahkan Faz. Faz masuklah dalam dulu. Makan dulu ke. Minum-minum dulu ke,”pelawanya.

“Nak susah apanya Hani. Faz memang datang ni nak tolong Hani lah. Oh ya,mak kirim salam. Dia cakap nak datang masa kenduri nantilah. Aira, salam Mak cik Hani…”

Dia menjawab salam. Sementara Aira sudah pun menghulurkan tangan nya untuk bersalam dan mencium tangan Nurin Hanani. “Eh,Aira pun ada sekali ye. Nak tolong-tolong Mak cik jugak ke?”usik Nurin Hanani.

“Aira tak tolong….Mak cik,Uncle Zarith cakap nak tolong…”balas anak kecil itu.

 Nurin Hanani mengerutkan dahi. “Uncle Zarith?siapa tu Faz?”

“Uncle Zarith tu pak cik kepada Aira ni ha. Sepupu Faz ada datang jugak sebab dia lah yang tolong hantarkan tadi. Husband Faz kan tengah kerja sekarang ni. So,tu yang mintak tolong dia sekali…”
“Oh,macam tu. Mana dia nya?ajaklah dia masuk sekali Faz,”pelawa Nurin Hanani lagi.

“Aira tolong panggilkan Uncle Zarith okay?”

Aira terus berlari-lari anak menuju ke arah kereta BMW yang sedia terparkir di luar halaman rumah. Dia dapat melihat dengan jelas sekujur tubuh sasa dan tinggi lampai seorang lelaki muda yang keluar dari kereta itu. Lelaki itu kelihatan segak bergaya walaupun sekadar mengenakan  T-shirt dan berseluar jeans. Dia menanggalkan ray ban berwarna hitam yang dipakainya.

Nurin Hanani membulatkan matanya tidak percaya. Sungguh tidak menyangka sama sekali sebaik melihat lelaki yang sedang berpeluk tubuh dan berdiri selamba bersebelahan kereta mewahnya itu. ‘Hah,mamat tak guna ni lagi?’bisiknya.

Hatinya mula tidak keruan. Tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan lelaki yang baru dikenali itu. Tapi…masakan dia hendak buat tidak layan sahaja lelaki itu di hadapan Fazlina nanti?apa pula kata Fazlina nanti.

Tidak mungkin! Bimbang juga Fazlina berfikir yang tidak elok terhadapnya. Dia harus bersikap profesional. Lagipun,baginya hal antara mereka berkenaan insiden itu telah pun selesai. Lelaki itu telah mengotakan janji dengan membayar ganti rugi keretanya yang remuk itu. Nak tak nak,mahu tak mahu,sanggup tak sanggup pun terpaksalah dia melayan dengan baik sebagai tetamunya.

Zarith berjalan dengan penuh gaya ke arah mereka sambil memimpin tangan Aira. Dia melemparkan senyuman manis ke arah lelaki itu. Huh,terpaksa! Jika diikutkan hati,mahu sahaja dia terus masuk ke dalam rumah. Dan tidak mahu keluar terus dari rumah daripada terpaksa menghadap muka lelaki itu. Handsome tu memanglah handsome. Dia akui sendiri. Tapi melihatkan gaya lelaki itu yang seperti playboy sahaja terus membuatkan dirinya jadi menyampah. Apatah lagi mengingatkan mesej yang dihantar Zarith itu.

“Hani…nilah Zarith,sepupu Faz tu,”Fazlina memperkenalkan.

“Hai…”Zarith menyapa sambil tersenyum-senyum. Dia membalas senyuman itu dengan kelat. Lelaki itu seperti pura-pura tidak mengenalinya sahaja. Seolah-olah mereka bagaikan orang asing yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain sahaja sebelum ini. Masakan dia sudah lupa dengan insiden kemalangan yang berlaku antara mereka baru-baru ini. ‘Ke aku salah orang?tapi macam tak mungkin je….’

“Hani sihat ke?”

“Err,Alhamdulillah…saya sihat. Encik Zarith pulak apa khabar?”dia berbasa basi.

“Saya okay. Tak payah lah nak berencik dengan saya. Panggil aje Zarith. Okay?”dia berkata sambil mengenyitkan mata kanan.

“Hurm..okay…”

Nurin Hanani segera mempelawa mereka masuk ke dalam rumahnya. Malas mahu berlama-lama di situ. Bukannya apa,dia malas sebenarnya mahu melayan Zarith. Tapi,nak buat macam mana. Dia terpaksa. Mujurlah ada Fazlina sekali. Jika tidak,jangan haraplah dia mahu berbual dengan lelaki itu.

“Faz dengan Zarith duduklah dulu ye. Hani nak pergi buat air dulu.” Nurin Hanani bergegas ke dapur.

 “Faz dengan siapa tu Hani?” Hajah Zaharah menyoalnya. Dia bersama dengan beberapa orang wanita yang berada di situ sedang bertungkus lumus menyediakan bahan-bahan untuk memasak.

“Eh,mak nampak ke?”

“Apa pulak tak nampaknya. Mak naik atas tadi ambil kad jemputan nak bagi Pok Teh kamu. Tu yang nampak Faz dengan Aira. Tapi yang lelaki tu siapa Hani?mak tak pernah nampak pun sebelum ni. ”

“Yang tu sepupu Faz mak. Zarith namanya. Dia tolong hantarkan Faz dengan Aira datang ke sini. Jadi alang-alang tu Hani jemput lah dia naik sekali,”jawabnya. Dia sedang menyediakan minuman teh panas kepada tetamunya itu.

“Kak Ngah…oo,Kak Ngah…”panggil Nida,adik bongsunya itu.

“Apa dia Nida?”sahutnya.

“Kak Ngah,Kak Faz dengan siapa tu?”

‘Adoii…seorang lagi yang bertanya…’rungutnya dalam hati.

“Yang tu Zarith,sepupu Kak Faz,”jawabnya ringkas.

“Yeke,wah…handsome gila siot. Nida ingatkan siapa lah tadi. Ingatkan boyfriend Kak Ngah tadi,hehe…”

“Hish,jangan nak mengarutlah. Cakap tu baik-baik la sikit. Baik kau tolong Kak Ngah ni hidangkan minuman dengan kuih muih ni kat tetamu kita tu.”

“Ditanggung beres kak. Yang penting Nida dapat tengok muka abang yang handsome tu dekat-dekat. Ni kalau cik Farra kita tau habislah. Melepas Nida. Langsung dia tak kasi can…”

Satu cubitan singgah di lengannya tiba-tiba. Nida mengaduh sakit. “Kak Ngah ni…sakitlah orang. Mak,tengok la Kak Ngah ni. Suka betul cubit Nida. Eleh,nak jealous la tu Nida nak ngorat pakwe dia.”

Nurin Hanani menjelirkan lidahnya. Malas dia mahu melayan kerenah adiknya yang sudah berusia enam belas tahun itu. Dia mengangkat dulang berisi gelas minuman manakala adiknya pula membawa dua pinggan berisi kuih muih yang ada.

“La…kenapa nak susah-susah pulak ni Hani?”

“Ala,sikit je ni. Takde apalah. Minumlah dulu Faz,Zarith,” Dia menuangkan teh ke dalam gelas. Lalu dihidangkan kepada mereka.

“Adik Hani ni dah masuk form berapa dah?”tanya Fazlina.

“Nida dah tingkatan empat. Kak Faz,lamanya tak jumpa,”jawab Nida mesra.

“Tulah. Akak tak dapat nak datang selalu sebab sibuk bekerja kan. Kadang-kadang adalah jenguk Hani yang tinggal kat rumah sewa.”

“Oh,yang ni sepupu Kak Faz ye?”

“Ha’a yang ni Abang Zarith. Dia baru je balik Malaysia ni.”

“Abang Zarith tinggal kat mana sebelum ni?”

“Abang duduk dekat US. Ni pun tengah bercuti. So,abang balik lah sini kejap,”jawab Zarith. Dia membalas senyuman Nida.

“Wah…jauhnya. Mesti abang Zarith ni kaya kan. Dah la handsome. Untung kalau Kak Ngah…”

“Err,Nida tadi mak ada suruh basuh pinggan kan?nak tunggu bila lagi?”

Nurin Hanani menegur adiknya. Tidak mahu adiknya itu sengaja hendak bertanya soalan macam-macam kepada Zarith. Pantang betul adiknya yang seorang itu. Terlebih mesra pula. Tidak tahu malu sungguh! Sementara Nida menjuihkan mulut sambil berlalu. Zarith hendak tergelak sahaja melihatkan telatah dua beradik itu. Namun cepat-cepat ditahannya.

“Hani,kalau saya nak tolong-tolong pun boleh jugak. Takpe kan?”dia bertanya.

“Eh,takpelah. Takut nanti menyusahkan Zarith pulak…”Nurin Hanani agak keberatan. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu.

“Takdelah,tak menyusahkan pun. Saya memang betul-betul ikhlas nak tolong. Seronok pulak tengok orang-orang kat sini bergotong-royong. Buat kerja ramai-ramai. Tak salah kan kalau saya nak tolong mereka sekali?”

“Betul tu Hani. Biarlah Zarith tolong sekali. Faz ingat nak borak lama sikit dengan Hani. Sambil tu Faz boleh jugak tolong apa-apa yang patut. Mak cik mana?”

“Ada kat dapur. Em,kalau macam tu baiklah. Terima kasih ye Faz,Zarith…”

Dia berterima kasih atas kesudian mereka membantu keluarganya. Dalam hati dia dapat merasakan bahawa lelaki itu tidaklah seteruk mana seperti yang disangkakan sebelum ini. Dia cuba memberi peluang supaya tidak menilai terlalu awal mengenai diri lelaki itu. ‘Salah aku kah jika berfikiran begini…?’kata-kata itu dibiarkan berlalu seperti ditiup angin lalu.

**********

“Rajin betul si Zarith tu tolong kita buat kerja kenduri tadi ye Hani,”puji Hajah Zaharah.

Nurin Hanani sedang melipat kain baju di ruang tamu sebaik sahaja selesai bersolat isya’. Seluruh ahli keluarganya turut berada di situ berkumpul bersama. Termasuklah Abang Man nya sekali. Masing-masing riuh bercerita macam-macam perkara. Terutamanya soal kedatangan sepupu Fazlina. Dirinya tiba-tiba sahaja menjadi bahan usikan mereka.

“Yelah mak,dia memang tengah takde kerja pun sekarang ni. Katanya tengah bercuti. Tu yang dia nak tolong sekali,”balas Nurin Hanani.

“Kau dah lama ke kenal dia Hani?”tanya emaknya lagi.

“Tak sampai seminggu pun mak Hani kenal dia. Dia lah yang langgar kereta Hani malam tu yang Hani cerita kat mak. Tak sangka pula dia tu rupanya sepupu Faz.”

Hajah Zaharah terkejut sedikit. “La…yeke Hani?tak sangka mak. Tapi hal tu dah selesai ke belum?”

Dia mengangguk kepala. “Dah mak. Cepat je selesainya. Lagipun accident sikit je. Biarlah hal tu…”

“Tapi berkenan betul lah mak dengan si Zarith tu. Banyak betul dia tolong tadi. Yang mesin kelapa tadi tu pun dia,pasang kanopi dengan belia tu semua dan macam-macam lagi lah. Abah kau dah kata tak payah tadi. Tapi dia nak buat jugak. Hish,susah betul nak jumpa budak muda yang rajin macam tu. Tak berkira langsung. Gaya nya tengok macam anak orang kaya je. Tapi takde lah nak berlagak macam setengah yang lain,”kata Hajah Zaharah.

“Yelah Kak Ngah. Nida tengok Abang Zarith tu rajin sangat tau. Macam lah kenduri ni dia yang punya. Nida suka lah dengan Abang Zarith tu. Muka dia macam ada iras-iras pelakon Hollywood lah Kak Ngah. Macam pelakon Korea sikit-sikit pun ada jugak,”Nida yang sejak tadi leka menonton berita di televisyen mula menyampuk perbualan mereka. Rupanya,dia pun tengah pasang telinga. Hai,budak-budak sekarang…

“Hah,lepas tu ada iras-iras pelakon mana pulak ni?macam Bollywood pulak ke?”sindir Nurin Hanani. Nida terdiam. Dia menjungkit bahu.

“Eleh,piiirahhh….Kak Ngah mula nak cover line lah tu. Buatlah macam tak suka Abang Zarith tu. Tapi sebenarnya hati dia dah cair tengok masa Abang Zarith tengah pasang kanopi tadi. Macamlah Farra tak nampak,”usik adiknya itu. Wajahnya merah padam.

“Apa yang Farra merepek kan ni?”

“Yelah,Farra nampak masa Kak Ngah tengok Abang Zarith tengah tolong pasang kanopi tu. Dok perhatikan sampai tak perasan Farra kat sebelah. Lepas tu dari cara layanan Abang Zarith tu kan,Farra dapat rasa dia macam suka Kak Ngah aje. Macam nak tackle je lagaknya,”Farra tergelak. Nida dan Abang Man pun begitu juga.

“Jangan nak memandai ye. Kak Ngah tak suka dialah. Menggatal aje tau nya. Dah la baru kenal…”dia berkata geram.

Tetapi hatinya mulai terasa lain macam lebih-lebih lagi sewaktu dia teringatkan hal yang berlaku antara dirinya dengan Zarith. Sewaktu dia sedang membantu mencuci pinggan dan mangkuk yang berlambak-lambak di belakang rumahnya,tanpa disedari Zarith sudah berdiri tercegat di situ. Entah dari mana agaknya lelaki itu datang. Alih-alih dilihatnya sudah berada di belakangnya.

“Hani…”perlahan sahaja suara garau itu menegurnya. Kedengaran bernada romantis pada pendengaran telinganya.

Dia tercari-cari arah dari mana suara itu. Terperanjat benar sewaktu dia berpaling. Lelaki itu sudah duduk bersebelahannya dan berada dekat sekali dengannya. Meremang bulu romanya. Terbau pula haruman minyak wangi yang dipakai lelaki itu. Hatinya terasa bergetar tatkala direnungi tajam oleh lelaki berwajah kacak itu. ‘Aduh….kenapa lah dengan mamat ni?nak goda aku ke….’

“Hmm…nak apa?”

“Zarith nak tolong Hani sekali boleh tak?”lelaki itu tersengih.

“Takpelah,tak payah nak susah-susah. Saya boleh buat sendiri.”

“Habis tu,bila nak boleh?”

Nurin Hanani terdiam. Lelaki itu seperti sengaja hendak mengusiknya. “Hani…Zarith tanya ni. bila nak boleh?”makin lama makin perlahan suaranya. Makin dekat di telinganya. Dirinya terasa lemah mendengar suara yang begitu romantis itu.

‘Arggghhhh!!!kenapa dengan aku ni?wake up Hani,please…’

“Zarith boleh tolong belia-belia yang kat sana tu. Saya boleh buat kerja ni sendiri. Err,lagipun saya dah biasa,”jawabnya. Tangannya mencapai cawan plastik untuk dicuci dengan sabun.

“Taklah,bukan itu maksud Zarith…”kata itu dibiar meleret. Nurin Hanani kelihatan terpinga-pinga.

“Habis tu apa dia?”

“Maksud Zarith,em..bila Hani boleh terima Zarith?”

“Terima macam mana tu?”dia bertanya.

“Sebagai kawan mungkin…tapi Zarith nak lebih dari tu. Hani faham kan maksud Zarith?”

“Zarith,please…saya memang senang bila Zarith dah berbesar hati nak tolong saya. Dan terima kasih jugak sebab dah bayarkan ganti rugi masa kita accident dulu. Saya boleh terima kalau Zarith nak berkawan dengan saya. Tapi,setakat itu aje. Kita pun masih lagi baru nak kenal antara satu sama lain kan. Saya hormati Zarith sebagai sepupu Faz. Dan saya harap Zarith pun begitu jugak…”

Lelaki itu terkedu. Fikirannya ligat berputar. “Okey,kalau macam tu thanks sebab sudi berkawan dengan Zarith. Tapi Zarith sebenarnya betul-betul dah sukakan Hani. Sejak kali pertama kita bertemu lagi. you are so different than other girls that I’ve met before…”

Dia tergamam mendengar pengakuan yang selamba keluar dari mulut lelaki itu. Dia hanya mendiamkan diri sahaja. Tidak tahu ingin berkata apa lagi. Tetapi sungguh hatinya terasa berdebar semacam. Kelihatan beberapa orang mak cik sudah berbisik sambil memandang ke arah mereka berdua. Dia tidak sedap hati.

“Hani,hujung minggu ni Hani free tak?”tanya Zarith tiba-tiba.

“Kenapa?”

“Em,Zarith ingat nak ajak Hani keluar,boleh?”

“Tak nak lah. Lagipun,I’m not allowed to date…”

“Oh,begitu…”Zarith terangguk-angguk.

“Kalau nak keluar dengan saya pergilah mintak izin dengan abah saya tu dulu. Tapi itupun kalau Zarith berani lah…”dia berkata sinis. Sengaja hendak menduga lelaki itu. ‘Heh,confirm tak berani nya,’dia tersenyum sinis.
Zarith mengukir senyuman manis. “Hani cabar Zarith ye….?”

Dia terkedu seketika. Hatinya berdebar-debar melihat senyuman itu. Seperti mengandungi makna yang tersirat di sebalik senyuman itu. ‘Beranikah dia?’ persoalan itu terus bermain di mindanya hingga ke saat ini.

“Kak Ngah jangan benci sangat tau. Bahaya. Nanti benci bertukar jadi sayang…”Nida pula mengusiknya.

“Ala,kalau dah memang rajin tu apalah salahnya. Boleh dah tu nak jadi calon menantu kedua mak dengan abah. Mak pun dah berkenan tu,”usik Abang Man pula. Nurin Hanani mencebik bibir.

“Abang Man jangan nak memandai ye. Hani tak terfikir lagi tau nak kahwin setakat ni. Dengan mana-mana lelaki pun. Hani belum bersedia lagi lah. Kalau Abang Man tu takpelah dah jumpa dengan calon yang memang sesuai.”

“Eh,mestilah. Mana lagi lah Abang Man nak cari yang macam Kak Ros tu. Susah tau,”jawab Abang Man sambil tersengih. Jelas terpancar kebahagiaan dari sinar matanya.

“Eleh,nak tunggu bersedia tu bila lagi Hani?umur kau pun dah nak masuk dua puluh enam tahun. Nak tunggu sampai ke tua baru kau nak bersedia?”balas Hajah Zaharah.

“Biar jelah budak tu sendiri yang tentukan dengan siapa dia nak kahwin Zah oii…yang awak nak paksa dia tu kenapa?”Haji Harun mula bersuara setelah lama menatap surat khabar.

Nurin Hanani tergelak. Tetapi pandangan Hajah Zaharah yang tajam memandang ke arahnya membuatkan dia tidak jadi hendak meneruskan gelak. Cepat-cepat dia menekup mulutnya.

“Mak tak kira Hani. Kau tak tau apa yang orang kampung ni dok kata masa lepas je kau putus tunang dengan si Shahrul dulu. Mak yang dengar ni sakit telinga kau tau. Sebelum ni pun dah ada yang nak kau tolak. Kalau Shahrul tu mintak nak balik dengan kau memang mak tak setuju langsung. Mak nak terima lelaki yang rajin,yang pandai ambil hati aje lepas ni macam Zarith tu. Kalau dia suka dan nak masuk meminang mak terus je terima.  Lagipun kita bukannya tak kenal dengan Faz tu. Dah macam keluarga kita sendiri.”

Nurin Hanani menelan air liur. Dia tersentak tatkala mendengar kata-kata berbaur ugutan yang keluar dari mulut emaknya. Benarkah itu atau emak hanya bergurau sahaja?

“Mak janganlah buat macam tu. Memanglah kita kenal Faz. Dia memang baik pun. Tapi Hani tak kenal pun Zarith tu macam mana orangnya. Tak pernah berjumpa pun sebelum ni.”

“Mak tak kira. Mak tak main-main tau…”

Kata-kata yang terakhir itu benar-benar telah melontarnya dalam dilema. Apakah yang harus dilakukan saat ini. Memang lah dia sendiri masih tidak punya sesiapa yang istimewa dalam hidupnya untuk dijadikan calon yang sesuai sebagai teman hidup. Dia belum terfikir tentang itu lagi. Lagipun dia sendiri sudah serik setelah pernah putus tunang satu ketika dahulu dengan seorang lelaki bernama Shahrul. Lelaki itu mengaku tidak berpunya tetapi rupanya di belakang dia bermain kayu tiga.

Memikirkan sikap lelaki itu dia jadi serik untuk berkawan dengan mana-mana lelaki. Shahrul,bekas tunangnya yang dikenali sewaktu mereka berdua masih lagi melanjutkan pengajian di IPTA. Tetapi hancur musnah akibat sikap Shahrul yang telah mempermainkan perasaannya. Rupanya dalam diam lelaki itu telah bermain dengan cinta lain tanpa pengetahuannya.

Hatinya sungguh terluka. Dia mengambil masa yang agak lama juga untuk melupakan bekas tunangnya. Pelbagai cara dilakukan termasuklah menyibukkan diri dengan kerjayanya sebagai guru bagi melupakan kenangan silam. Dan akhirnya dia masih dapat meneruskan hidup seperti biasa hingga ke hari ini. Cuma sejak dua bulan yang lalu Shahrul kembali menghubunginya. Kata lelaki itu dia sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi dengan kekasihnya. Nampak dari gaya seperti mahu memujuk Nurin Hanani menerimanya kembali.

 Ah lelaki! Jika tidak mahu dicampak dan dibuang sesuka hati. Bila diri diinginkan kembali barulah datang menghampiri. Dirinya diperlakukan sesuka hati seperti tidak punya harga diri. Nurin Hanani sudak serik untuk mempercayai lelaki lagi.

Kini muncul pula Zarith dalam hidupnya. Lelaki itu pula semakin mendekatinya walaupun dia sedaya upaya ingin menjauhkan diri. Tetapi dia tersilap menilai. Lelaki itu tidak pernah kenal erti putus asa dengan layanan yang diberikan. Walaupun dia sedang cuba untuk menerima huluran persahabatan dari lelaki tersebut,tetapi dia tahu yang dirinya perlu berhati-hati. Tidak mahu dirinya tertipu lagi.

Bab 6

“Dengan siapa kau keluar semalam Zarith?” Suara Encik Idham kedengaran tegas dan bernada marah. Suasana di ruang tamu sunyi sepi.

Zarul yang menjadi pemerhati hanya mendiamkan diri. Tahu yang papa sedang marah. Jarang dia melihat papa naik angin begitu. Tapi sikap Zarith benar sudah keterlaluan. Dia sendiri tahu sikap abangnya yang tidak pernah mahu berubah. Jadi memang logik lah jika papa hendak marah sekali pun.

“Dengan kawan lama Zarith pa,”selamba Zarith menuturkan kata setelah agak lama mendiamkan diri.

“Kawan ke kalau dah berkepit macam tu?tak berenggang langsung,siap boleh bertepuk tampar lagi. berpelukan dan cium-cium pipi…kau ingat papa tak nampak ke hah?!”tengking Encik Idham.

“Come on pa,it’s only happened just like that. Nothing much. Zarith bukan buat apa pun…”

“Tak buat apa kau cakap?habis tu yang kau jumpa betina tu kat hotel tu buat apa?balik sampai ke pagi. Kau tidur dengan betina tu ke hah?”marah encik Idham.

Encik Idham memegang kepala nya yang sakit. Hatinya sungguh sakit mengenangkan sikap Zarith yang liar dan kaki perempuan itu. Dia nampak pun secara kebetulan semasa dia sedang menghadiri majlis makan malam bersama kakitangan syarikatnya yang diadakan di Casa Hotel malam semalam.

Malu sungguh tatkala rakan-rakan perniagaan dan kakitangannya melihat Zarith yang sedang berpimpin tangan dengan seorang gadis tidak dikenali. Sudah lah gadis itu berpakaian seksi. Seperti tidak cukup kain sahaja. Langsung tidak mencirikan adab sopan seorang gadis timur. Malu sungguh dia tika itu.

Selama ini dia tidak tahu apa yang dilakukan oleh anak sulungnya sehinggalah apabila Zarith kembali ke pangkuan keluarga dan pulang ke Malaysia. Sering keluar lewat malam dan balik sampai pukul 3 hingga 4 pagi. Dia tidak pasti apa lah yang dibuat Zarith semasa berada lama di Amerika Syarikat dulu. Barangkali lagi teruk agaknya. Nauzubillah…tidak sanggup dia hendak memikirkannya.

“Papa,Zarith memang tak buat apa pun dengan Sally. Kitorang just hang out and then join member-member Zarith kat kelab. Lepas tu Zarith balik lah,”dia menjawab.

 Pening betul lah papa ni. Takkanlah apa yang dilakukannya itu salah?selama ni dia sudah terbiasa dengan gaya hidup sebegitu. Mummy tak pernah pun hendak menegur. Dia bebas melakukan apa sahaja.Tetapi apabila tinggal bersama papa,ada sahaja peraturan yang harus diikutinya. Ini tak boleh,itu tak boleh. Habis tu apa yang boleh?

“Kau tau tak bergaul bebas,minum arak dan berzina tu berdosa?apa,mummy tak pernah ajar kau ke?”

“So,papa nak salahkan mummy lah ni?”

“I never blame her for what she did to me. Tapi apa yang papa kesal kan sekarang adalah sikap kamu Zarith. Takkan mummy tak ajar kau tentang agama?tentang dosa dan pahala?”

Zarith menundukkan wajahnya ke lantai. Lama dia memikirkan kata-kata itu. Memang benar kata papa. Mummy tidak pernah mengajarnya soal kehidupan,nilai-nilai moral dan agama Islam yang seharusnya dipupuk semenjak dari kecil lagi. Situasi yang berlaku di sana adalah sebaliknya. Papa tidak boleh menyalahkannya seratus peratus. Dalam diam dia memberontak.

“Habis tu,kenapa papa biarkan mummy bawa Zarith untuk tinggal bersamanya dulu?”

Encik Idham terdiam. “Papa…”

“Papa memang tak sayangkan Zarith kan. Mummy pun sama je. Papa tak pernah tahu apa yang terjadi pada Zarith masa tinggal dengan mummy. You just let it happen. Papa fikir Zarith happy ke selama ni?”dia meluahkan isi hati yang dipendam selama ini. Hatinya terasa sebak dan sayu.

Dia bukan sahaja diabaikan,malah dirinya juga pernah dipukul dengan teruk oleh teman lelaki mummy yang pemabuk itu ketika usianya mencecah sepuluh tahun. Dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana masih kecil. Ketika usianya mencecah remaja,dia mulai berubah tingkah laku. Dia membenci mummy nya yang hanya mahu mengejar harta kemewahan lelaki itu. Hinggakan anak sendiri diabaikan lalu lebih rela diserah dan dipelihara oleh atuk dan neneknya.

“Papa sayangkan Zarith,begitu juga dengan Zarul. Semua anak-anak papa,papa sayang. Situasi dua puluh satu tahun yang dulu betul-betul mendesak papa. Papa tak dapat berbuat apa-apa pun masa tu. Maafkan papa Zarith…”Encik Idham mengendurkan suaranya. Dia kesal dengan apa yang berlaku. Dengan Angelica. Dan juga dirinya sendiri.

“Semua tu dah lama berlalu. Dan sekarang papa nak salahkan Zarith pulak atas apa yang terjadi?”

“Papa memang tetap tak suka dengan sikap Zarith tu. Mana ada ibu bapa yang suka anaknya bersikap liar macam tu!”encik Idham melenting.

Zarith mengeluh. “Pa,Zarith memang betul-betul tak buat apa pun. Zarith tak pernah terfikir pun nak merosakkan mana-mana perempuan yang Zarith kenal. Zarith takdelah sejahat itu. Relax lah papa,okey?”

“Macam ni kau nak suruh papa bertenang Zarith?perbuatan kau tu benar-benar dah merosakkan reputasi papa kau tau tak?habis semua orang mengata papa macam-macam. Tak pandai ajar anak. Ini ke yang kau belajar selama bertahun-tahun tinggal kat US tu hah?”

“Pa,I’m sorry okey…”

“Papa nak kau menikah Zarith. Secepat yang mungkin. Kalau boleh lepas je kau balik dari US nanti. Kalau macam nilah…Papa dah tak sanggup nak terima perbuatan kau yang liar tu. Yang penting perempuan tu mestilah perempuan yang elok pekertinya. Bukan macam betina yang kau asyik dok berkepit je semalam tu,”nada Encik Idham begitu tegas sekali.

“What?!!”

Jelas terpancar riak terkejut di wajahnya. Permintaan papa yang dirasakan sangat mustahil baginya. Dia dipaksa untuk berkahwin?papa main-main agaknya…papa ingat senang ke nak mencari cinta yang betul-betul sejati sekarang ni?apatah lagi dalam masa yang terlalu singkat. No way!

“Err,papa betul ke nak suruh Along kahwin ni?”tanya Zarul pula. Dia sendiri turut terkejut mendengar permintaan tidak semena itu.

“Papa serius ni. kau fikir papa main-main ke?”

“No way pa,Zarith tak pernah terfikir pun nak kahwin selama ni. Dan sekarang,papa suruh Zarith menikah secepat yang mungkin?impossible pa,that’s impossible…”

“Habis tu,kalau papa tak buat macam ni sampai bila kau nak berubah?kau perlu kenal apa itu erti kehidupan Zarith. Hidup ni bukan sekadar nak enjoy aje lepas tu berkepit dengan perempuan yang takde ikatan halal ke sana ke mari. Kau menjaja nama buruk papa Zarith. Mana papa nak letak muka ni?kau kena belajar bagaimana nak bertanggungjawab mulai sekarang ni,faham?”

“Tapi pa…”

“Takde tapi-tapi lagi. kalau kau tak boleh cari sendiri biar papa je yang carikan calon yang sesuai untuk kau. Mana satu kau nak pilih?Yang penting,lepas kau balik dari US next month papa nak kau menikah seawal yang mungkin. Takde tangguh-tangguh lagi. keputusan papa muktamad.”

“Papa,please…janganlah paksa Zarith macam ni,”dia separuh merayu. Mengapa papa perlu memaksanya sebegini?

“Kalau tak,jangan kau harap nak jejakkan kaki ke rumah ni,kau faham!”

Zarith mengeluh berat. Kepalanya terasa sakit. Berat sungguh permintaan papa ni. Sampai begitu sekali papa telah memaksanya untuk berkahwin. Kahwin?huh,bahana apa lah yang menimpa dirinya kali ini. Dia pun tidak pernah terfikir sampai ke situ. Papa dah tak betul agaknya!

Masakan papa mahu mencarikan pasangan hidup yang sesuai buatnya. Walhal,dia perlu masa juga untuk mengenali betul-betul seorang wanita yang mungkin boleh dijadikan isterinya nanti. Mahu mencari perempuan solehah seperti yang diinginkan papa bukannya mudah pula tu sekarang ni. Memanglah dia mempunyai ramai teman wanita. Tetapi tiada seorang pun yang menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh papa.

‘Apa yang harus aku lakukan?Argghhh!!aku belum bersedia lagi…’

Apakah yang harus dilakukannya sekarang?esok lusa dia sudah berangkat ke Amerika Syarikat. Awal bulan depan dia akan kembali lagi ke sini. Dan papa mahukannya segera menikah. Gila! Ini semua kerja gila. Dia berasa sebal sungguh tika itu.

Zarith sudah pun berada di dalam keretanya. Dia terus keluar dari rumah selepas puas mendengar papa memberikan ceramah sebentar tadi. Marah benar papa nampaknya. Tangannya membuka telefon bimbit. Melihat satu persatu nama teman-teman wanitanya. Mana lah tahu ada kot yang sesuai. Dia mengharapkan akan ada yang sudi menolongnya. Arghhh…dia bukan mahukan perkahwinan yang dalam erti kata sebenarnya. Tetapi kalau boleh ada sesiapa yang sanggup membantunya lari dari masalah ini.

Dia mula memikirkan nama kesemua teman wanitanya. Diana..Sally..Sandra…Reesha…Shireen…Andrea……Sara……..Gina………Aduhhh,kesemuanya tiada langsung yang menepati kriteria yang ditetapkan oleh papa. Papa mahukan wanita yang solehah,beriman dan sewaktu dengannya. Dia frust.
Maya?terfikir dia akan gadis itu. Huh,tapi tidak mungkin dia sanggup hidup bersama perempuan itu. Perempuan itu pun dua kali lima sama je dengan yang lain. Fikir sampai sepuluh kali pun dia tidak sanggup.

“Dammit!!”

Dia menghentak penumbuknya pada stereng kereta. Dibuka radio dengan volume yang kuat bagi meredakan ketegangan yang dialaminya itu. Alunan lagu ‘Need You Now’ nyanyian penyanyi dari barat, Lady Antebellum sedikit sebanyak berjaya menenteramkan fikirannya yang berkecamuk.

Telefon bimbitnya berbunyi. Dia menjawab panggilan itu dengan kasar. “Ha,you nak apa lagi ni?”

“Zarith,helo,Zarith ke ni?”terputus-putus suara itu. Tidak berapa jelas.

“Ye,I lah ni…nak apa lagi ni hah?”suaranya agak keras. Malas hendak melayan kerenah Maya yang tidak habis-habis hendak menganggu hidupnya.

“Err…aaa…saya ganggu ke?”suara wanita itu kedengaran lembut di telinganya.

Dia jadi pelik. Eh?bukan Maya ke?lantas terus dilihat nama pemanggil itu pada skrin handphone nya. Dia menjadi serba salah. Tidak menyangka rupanya pemilik suara lembut itu adalah Nurin Hanani.

“Eh,taklah. Tak ganggu pun. Maafkan Zarith sangat-sangat ye Hani. Zarith ingatkan siapa tadi,”cepat-cepat dia membalas. Suaranya tidak kasar seperti tadi. Berasa bersalah pula kerana tidak pasal-pasal telah menengking gadis itu walaupun tidak sengaja.

“Oh,takpelah…”

“Err,kenapa Hani call ni. Ada apa-apa hal ke?”

“Saya call ni sebenarnya nak beritahu yang dompet Zarith tertinggal kat rumah saya ni. Agaknya terjatuh kot masa kat kenduri hari tu.”

Dia menggaru kepala. ‘Patutlah aku cari bagai nak gila semalam…’

“La,yeke. Kalau macam tu nanti Zarith datang ambil okey. Thanks ye Hani tolong beritahu. Zarith ingatkan dah hilang kat mana semalam,”dia mengutuk dirinya yang begitu cuai itu.

“Oh,boleh,nanti Zarith datanglah ambil. Saya simpankan dulu lah dompet ni ye. Kalau macam tu takpelah. Assalamualaikum…”

“Err,waalaikumusalam,”dia menjawab salam.

 Talian terus terputus. Lama dia merenung telefon bimbitnya. Tidak menyangka gadis itu akan menelefonnya. Itupun pasal dompetnya yang tertinggal. Jika tidak jangan haraplah dia dapat mendengar suara lembut itu lagi. Entah mengapa,jiwanya rasa tenang kembali. Fikiran yang berserabut terasa hilang dalam sekelip mata tatkala mendengar suara itu. Gadis itu seolah-olah mempunyai kuasa magik yang dapat menenteramkan hati yang tengah marah.

‘Mengapa aku mesti berperasaan begini?sedangkan sebelum ini rancanganku adalah untuk mempermainkan dia je.’ Dia memejamkan mata. Cuba menafikan rasa hati yang seperti sudah mula menyukai gadis itu. Dia seolah-olah merindui gadis itu. Seperti cinta pertama yang mulai hadir…ah,tidak mungkin!

Dia teringatkan permintaan papa sebentar tadi. Dia membayangkan gadis bernama Nurin Hanani itu. Gadis itu memiliki pakej lengkap seperti yang dikehendaki papa. Papa mahukan seorang perempuan solehah. Dan saat ini hanya gadis itu sahaja yang bermain di mindanya.

Tetapi bukan mudah hendak memikat gadis itu. Sukar sangat dirasakan. Hatinya begitu keras dan tidak mudah cair walaupun pelbagai cara dan teknik telah dilakukannya bagi menambat hati seorang gadis bernama Nurin Hanani.

Gadis itu kini sepertinya telah dapat menerimanya sedikit demi sedikit. Cuma perlukan sikit masa sahaja lagi. Hendak memiliki gadis itu dia perlu cuba menawan hati kedua orang tuanya terlebih dahulu. Ya,sebolehnya begitulah.Tambahan pula, emak dan abah Nurin Hanani seperti menyukai dirinya sahaja. Dia tersenyum sendirian.

‘Aku takkan lepaskan dia kali ini…’

Keputusannya kali ini bakal menentukan hidup dan matinya. Dia sudah bersedia mengambil risiko ini. Yang penting segala kekusutan masalah dapat dileraikan secepatnya. Secepat yang mungkin. Kemudian setelah masalah itu reda dan selesai,dia akan meninggalkan gadis itu. Hidupnya akan berjalan lancar seperti sedia kala. Perlahan bibirnya mengukir senyuman.

**********

Pertemuan demi pertemuan antara mereka terjadi tanpa diduga. Nurin Hanani tidak faham dengan dirinya sendiri. Mengapalah dia masih mampu bersabar dengan sikap lelaki itu. Dia merasakan walau apa jua layanan endah tak endah,acuh tak acuh yang diberikan masih tidak mampu membuatkan lelaki itu mengerti. Zarith,kenapalah susah benar dia hendak faham?

Sebaik sahaja pulang dari sekolah,dia terus menuju ke rumahnya. Esok kenduri kahwin Abang Man akan berlangsung.

0 ulasan:

Post a Comment