Thursday, February 24, 2011

Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 13

Nurin Hanani menutup buku kedatangan pelajar yang telah pun siap disemak dan ditanda sebentar tadi. Dia terpandangkan sapu tangan berwarna biru lembut yang terletak di sudut meja. Cukup lembut hingga menyentuh hatinya. Menggamit sebuah kenangan yang cukup manis dirasakan. Menerjah ke dalam kotak fikirannya. Sapu tangan itu milik Zarith. Dan Zarith yang memberikannya untuk disimpan sebelum pemergian lelaki itu ke Amerika Syarikat beberapa minggu yang lalu.

Dia melepaskan keluhan. Perlahan tangannya mencapai sapu tangan yang dilipat kemas itu. Dibeleknya. Direnungnya lama. Fikirannya jauh melayang mengingati saat mula perkenalan mereka berdua. Serta ketika lelaki itu berusaha membantunya dan keluarga melakukan kerja-kerja semasa kenduri perkahwinan Abang Man dahulu.

Paling sukar dilupakan,saat lelaki itu menyelamatkan dirinya dari perlakuan biadap Shahrul. Hatinya cukup tersentuh tika itu. Betapa Zarith cukup mengambil berat akan dirinya. Lalu menjadi penyelamatnya. Terasa diri dilindungi. Terasa diri ikhlas disayangi.

Nurin Hanani merenung lama sapu tangan itu. Dia tidak tahu mengapa dia asyik terfikirkan Zarith. Mengapa dia sering mengingati lelaki itu. Padahal sudah acap kali dirinya menafikan perasaan rindu di hati yang mulai timbul. Entah bila agaknya Zarith akan kembali semula ke Malaysia?

Dia memikirkan kata-kata Zarith sebelum kali terakhir mereka bertemu. Lelaki itu pasti akan merinduinya saat ini. Seperti dirinya juga. Dia harus mengaku hatinya yang sudah terpaut pada Zarith. Buat apa hendak menipu pada kebenaran?

Walaupun dia menafikan dengan mengatakan tidak. Dia tidak merindui Zarith. Dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Zarith. Buat apa?sedangkan dirinya sering memikirkan lelaki itu. Setiap masa. Setiap saat. Setiap detik dan ketika. Jantungnya berdegup kencang setiap kali teringatkan renungan tajam lelaki itu. Hatinya menjadi tidak keruan mendengar ungkapan rindu lelaki itu. Dirinya seperti berada di alam lain. Hati yang keras menjadi luluh dalam sekelip mata.

‘Aku sudah jatuh cinta ke?’         

Zarith telah membuatnya lupa pada kisah cinta yang lalu. Zarith juga telah membuatnya terasa ingin disayangi. Kelukaan yang ditinggalkan Shahrul suatu ketika dahulu telah terubat dengan kehadiran lelaki itu. Dia tahu dia pernah membenci Zarith. Bahkan hendak memandang mukanya pun dia tidak mahu. Layanan yang diberikan sangat buruk. Dia malah menganggap yang bukan-bukan terhadap Zarith. Semenjak lelaki itu telah menyelamatkannya dahulu,persepsi terhadap lelaki itu nyata berubah.

Sudah hampir dua bulan lelaki itu menghilang. Tiada langsung khabar berita darinya. Dia berasa sangat rindu. Hendak bertanya terasa malu. Sedar yang dirinya seorang perempuan yang cukup kuat berpegang pada adab sopan. Bukan sifatnya perigi mencari timba. Walau hati dah suka tetapi dia harus bersabar. Teringat akan janji Zarith. Dia terus setia menanti kehadiran lelaki itu walaupun di dalam mimpi. Hanya sapu tangan biru itu sahaja sebagai pengubat rindu di hati. Lelaki itu seolah-olah tahu sahaja yang dia sangat meminati warna biru. Hampir separuh baju miliknya di dalam almari pakaian berwarna biru. Tidak kira lah baju blouse atau baju kurung pun. Betapa obsesnya dia terhadap warna kegemarannya itu.

Terasa bahunya dicuit seseorang. Maisarah menarik kerusi di tempatnya. Buku-buku latihan yang bertimbun diletakkan di atas meja.

“Jauh termenung. Ingatkan cik abang tu ke?”Maisarah tergelak. Sengaja hendak mengusik.

Wajah Nurin Hanani merona kemerahan menahan malu. “Hisy…mana adalah. Mengarut aje kau ni Mai.”

“Eleh,tak nak mengaku pulak dia. Kau tak payah nak tipu akulah Hani.”

“La,betul lah aku cakap. Aku ni tengah fikirkan markah exam  beberapa orang pelajar aku ni. Entah nak buat macam mana lagilah nak tingkatkan prestasi mereka ni.”

“Betul ke ni?”

Laju dia mengangguk.

“Dah tu sapu tangan kat tangan kau tu apa?”

“Hah??”

Pandangannya tertumpah pada sapu tangan yang diberikan Zarith. Tidak sedar yang dia masih lagi memegang erat sapu tangan itu. Dia berasa malu dengan Maisarah.

“Kau dah angau ni Hani…”

Maisarah memandangnya yang tersipu-sipu. Dia tersenyum lebar. Suka benar dapat mengusik sahabatnya itu yang merangkap house mate nya.

“Kan aku cakap tadi takde apa-apa. Sapu tangan ni aku punya. Err,macam mana kelas kau tadi?”soal Nurin Hanani. Sengaja hendak mengalih topik perbualan.

“Okey lah jugak. Hari ni nasib baik mood aku baik. Kerja yang aku suruh buat tu pun semua dah siapkan. Jadi takde masalah lah. Aku cuma lebih nak fokuskan dan bagi tumpuan pada ulang kaji soalan-soalan  peperiksaan tahun lepas punya. Maklumlah budak-budak ni tak lama lagi dah nak periksa akhir tahun. Tinggal berapa bulan aje lagi,”jawab Maisarah.

“Betul tu. Kita kena lebih tekankan pada soalan-soalan yang mungkin dijangka akan keluar nanti. Tapi kadang-kadang soalan yang tak dijangka pun ada yang keluar juga. Budak-budak ni kalau rajin ulang kaji dan banyak bertanya Insya Allah takkan ada masalahnya,”Nurin Hanani mengiakan.

“Eh,kejap-kejap…tadi aku rasa kita discuss pasal kau kan?macam mana pulak boleh bertukar ke topik lain pula ni?”

 Pandangannya dikalih pada beberapa orang guru yang tekun dengan kerja masing-masing di ruang bilik guru itu. Sesekali kedengaran juga suara orang berbual. Dia mengalih pandangannya pada Nurin Hanani pula. Gadis itu berpura-pura leka membelek sebuah buku latihan Bahasa Melayu Tingkatan 3 terbitan Sasbadi yang berada di atas mejanya.

“Hani,kau dengar tak aku tanya ni?”

Nurin Hanani buat-buat tidak dengar. Dia malas sebenarnya hendak melayan Maisarah jika hal berkaitan peribadi itu diutarakan. Tidak mahu rahsia hatinya terbongkar.

“Hani!”

Volume suaranya dikuatkan sedikit. Namun masih lagi terkawal. Nurin Hanani mengerling sekilas. Dia tersengih. “Mai,aku tak nak cakap pasal tu lagi okey.”

“Ala,dengan aku pun nak berahsia ke?sapu tangan tu mesti ada someone yang bagi kan?mesti orang tu special di hati kau kan,”Maisarah tersenyum-senyum.

‘Special?’

Nurin Hanani terasa lain pula. “Em,sebenarnya kan…memang betul sapu tangan ni bukan aku yang punya…”dia berterus terang.

“Hah,kan betul aku agak tadi kan. Siapa yang admire kau tu Hani?cuba cerita sikit kat aku,”Maisarah sedikit mendesak. Tidak sabar hendak tahu. Selama ini dia mengenali Nurin Hanani  iaitu seorang yang sukar untuk dimengerti hatinya. Gadis itu pula sangat keras hatinya. Dia bukanlah jenis yang mudah untuk jatuh cinta.

“Zarith yang bagi…”dia menjawab ringkas.

“Ha kan…sebenarnya memang aku dah agak dah dari tadi. Macam lah kau tak pernah bercerita pasal mamat tu,”Maisarah tergelak-gelak.

 “Ha’ah,dia yang bagi kat aku. Aku tak faham lah Mai kenapa dengan aku sekarang ni. Aku asyik teringatkan dia aje sejak akhir-akhir ni. Lepas dia selamatkan aku dari Shahrul dulu. Aku jadi keliru dengan perasaan aku sendiri…”Nurin Hanani meluahkan rasa hatinya.

“Ala Hani,kau nak keliru apa lagi?dah memang sah-sah korang berdua ni saling suka sama suka. Kalau tak,takkan dia sanggup luang masa nak tolong masa kenduri kahwin Abang Man kau dulu?lelaki kalau dah suka sanggup buat apa saja kau tau. Sanggup menangis kerana seorang wanita. Kalau aku jadi kau lah kan,memang lah aku pun boleh cair masa dia selamatkan kau dari Shahrul. Bahagianya aku…”

Maisarah menongkat dagu. Dia dapat membayangkan sikap gentleman dan penyayang Zarith itu. Betapa beruntungnya Nurin Hanani jika dapat memiliki lelaki itu. Mana-mana wanita pun akan suka dan terasa diri mereka dilindungi sewaktu dalam keadaan genting dan mencemaskan itu.

“Tapi aku tak nak perkara ni diperbesarkan Mai. Kisah yang berlaku antara aku dengan Shah biarlah habis setakat tu aje.”

Nurin Hanani menyuarakan kebimbangannya. Dia tidak mahu hal itu tersebar sampai satu sekolah tahu. Shahrul juga merupakan guru di sekolah tempatnya mengajar. Dia sedaya upaya untuk bersikap profesional dan berfikir secara rasional. Walaupun setiap kali mereka bertembung,lelaki itu cepat-cepat melarikan diri ke jalan lain. Dia sendiri pun sangat benci menatap wajah lelaki itu. Teringat pada perbuatan Shahrul membuatnya sukar untuk memaafkan. Biarlah lelaki itu melutut sekalipun dia tetap tidak akan menerima lelaki itu dalam hatinya. Biarlah masa sahaja yang menentukan.

“Shah tu memang kurang ajar betul lah Hani. Kau tak report kat polis ke?”Soal Maisarah geram.

“Abah aku dah cakap dulu tu. Tahu pulak takut bila dah kena ugut. Aku ni kira baiklah masih fikir kredibiliti dia sebagai cikgu.”

Nurin Hanani teringatkan betapa mengamuk Haji Harun sebaik mendapat tahu tentang perkara itu. Mujurlah dia mampu menenangkan abahnya yang hendak menyerang Shahrul pada waktu kejadian. Siap ugut dengan parang lagi! baru lelaki itu kecut perut.

“Orang macam tu tak payah diberi muka sangat Hani. Kita kena ajar dia betul-betul barulah dia insaf. Nanti dia akan buat balik. Silap hari bulan lagi teruk agaknya.”

Nurin Hanani membisu. Sebenarnya perkara itu sangat dirahsiakan dari pengetahuan sesiapa. Tidak ada seorang cikgu pun yang tahu berkenaan hal yang telah terjadi antara dirinya dan Shahrul. Cuma Maisarah sahaja yang tahu. Baginya hal itu terlalu peribadi untuk dikongsi bersama. Sangat mengaibkan. Biarlah mereka semua cuma sekadar tahu yang dia telah lama putus tunang dengan Shahrul atas alasan tiada jodoh lagi antara mereka. Dia tidak mahu kredibiliti mereka berdua sebagai guru terjejas pula nanti.

Sebab itulah semasa Zarith pertama kali datang untuk berjumpa dengannya di SMK Seri Budiman dia sangat risau. Lelaki itu nyaris hendak bertemu sekali lagi dengan Shahrul ketika itu. Sekali lagi dia bimbang akan tercetus pertengkaran antara mereka. Disebabkan kejadian itu,tidak pasal-pasal dia terpaksa keluar dengan Zarith. Dan mencipta satu kenangan yang tidak disengajakan.

“Dia pun senyap macam tu aje. Aku tengok dia macam rasa bersalah kat kau. Tahu pulak dia rasa malu,”gumam Maisarah.

“Aku pun dah malas nak ambil tahu pasal dia lagi. Aku pun bukannya ada apa-apa hubungan lagi dah dengan dia. Hubungan rakan sekerja tu mungkin lah…”

Kadang-kadang dia terasa seperti ingin memohon pertukaran ke sekolah lain sahaja. Teringat pula pada cadangan Zarith tidak berapa lama dahulu. Memikirkan masalah itu dan gangguan Shahrul membuatnya sangat tertekan. Dia cuba juga menumpukan sepenuh perhatian terhadap kariernya. Demi anak-anak didiknya. Jika tidak sudah tentulah dia tidak dapat melakukan sebarang kerja jika terlalu asyik memikirkannya.

“Sekarang ni kau just ambil tahu pasal Zarith jelah Hani yek,”usik Maisarah.

Nurin Hanani sengaja membeliakkan mata. Buat-buat marah. Tetapi dalam hati suka sebenarnya. Hatinya berbunga mekar tatkala mendengar nama itu disebut.

“Oh ya,bila dia nak balik Hani?”

Nurin Hanani mengangkat bahu tanda tidak tahu. Dia juga tidak tahu apakah dia dapat bertemu lagi dengan lelaki itu selepas ini. Adakah hanya dia sahaja yang berangan dan memendam rasa?tetapi lelaki itu tidak dan hanya sekadar ingin mempermainkan nya semata?tetapi dirasakan tidak mungkin. Zarith telah melayani nya dengan baik sebelum ini. Tidak mungkin lelaki itu hanya berpura-pura. Ungkapan rindu lelaki itu masih lagi segar di ingatan.

Dia hanya mampu berdoa semoga akan ada lagi pertemuan antara mereka. Pertemuan ke arah suatu perhubungan yang lebih serius mungkin. Hatinya begitu tulus dan ikhlas. Begitu suci mengimpikan perhubungan yang diredhai Tuhan. Tetapi dia tidak mahu terlalu mengharap. Risau juga akan dikecewakan nanti.

“Cikgu Hani…”

Serentak mereka berdua berpaling. Suraya yang merupakan guru Matematik itu tersenyum memandang ke arah mereka. Entah dari mana agaknya dia muncul. Tiga kuntum  bunga ros berwarna merah yang harum semerbak dihulurkan kepada Nurin Hanani. Tercengang dia dibuatnya. Maisarah kelihatan tergamam.
‘Siapa pulak yang bagi ni….?’

“Hani kau dapat bunga?!!”suara jeritan Maisarah mengganggu lamunannya.

Beberapa pasang mata memandang mereka namun tidak diendahkan. Mujurlah tidak ramai cikgu di dalam bilik guru ketika itu. Perlahan tangan Nurin Hanani mencapai bunga ros itu. Belum pun sempat dia hendak mengambilnya,Maisarah lebih pantas menyambar. Nurin Hanani mengerutkan dahi melihat kelakuan
Maisarah. Begitu juga dengan Suraya. Cepat-cepat dia merampas balik bunga ros itu dari tangan Maisarah.

“Eii…tak malu betul lah Cikgu Maisarah ni. Macam budak-budak. Bak sini ros tu. Aku nak kasi kat Cikgu Hani lah. Bukannya kau.”

Maisarah mencebik. Nurin Hanani pula hendak ketawa melihat aksi kedua orang rakannya itu. Dia mengambil bunga ros merah yang dihulurkan oleh cikgu muda berusia awal 20-an itu.

“Terima kasih Sue kasi aku bunga yang cantik ni. Sayang kau sangat-sangat,”dia berkata riang.

Suraya mengerutkan dahi. “Eh,bukan aku kasi lah. Tak kuasa aku nak kasi kau bunga tiba-tiba tanpa sebab.”

“Ha…habis tu,siapa yang kasi??”

“Jangan-jangan Shah tak Hani?dia nak pujuk kau kot,”Maisarah pasang serkap jarang.

“Hisy,bukan dia lah…”Suraya lekas-lekas menidakkan.

“Dah tu siapa?”

“Ada tadi Kak Ramlah yang beritahu masa aku kat ofis tadi. Ada orang datang nak jumpa kau. Bila suruh dia tunggu dia tak nak. Nampak macam nak cepat aje gayanya. Lepas tu dia pesan suruh kasi bunga ros ni kat Cikgu Hani,”jawab Suraya jujur.

“Siapa orang tu Sue?”

“Entah,mana lah aku kenal. Kata Kak Ramlah tadi orang tu lelaki.”

‘Lelaki?’Hatinya berdebar-debar. Siapa pula ni?fikirnya. Maisarah tersenyum-senyum memandang. Entah apa agaknya yang difikirkan gadis itu.

“Hm,ehem…I guess your Mr. Right tak Hani?”

“Mr. Right? Siapa?”Suraya bertanya.

“Err,takde apalah Sue. Mai ni memang lah. Suka betul mengusik,”Nurin Hanani menjeling tajam ke arah Maisarah.

“Eh,takpelah ye. Aku nak cepat ni. Lupa pulak aku ada kelas sekarang ni.Takut lambat pulak nanti,”Suraya meminta diri sambil melihat jam di pergelangan tangannya.

Setelah melihat kelibat Suraya yang telah lesap di balik pintu,segera Nurin Hanani menyiku lengan Maisarah. “Kau ni tak sayang mulut betul lah Mai. Eii…takde insurans.”

Maisarah tergelak lagi. Suka benar dia dapat mengusik sahabatnya itu. Dia kembali menumpukan perhatian pada kerjanya menyemak buku-buku latihan matapelajaran Bahasa Inggeris yang diajarnya. Nurin Hanani membelek-belek bunga ros yang diterimanya itu. Manalah tahu ada kot kad yang terselit di situ. Boleh dia tahu siapa pengirimnya. Tetapi tidak ada pula. Dia mengeluh hampa.

‘Siapa agaknya yang bagi ye…?’dirinya diasak seribu tanda tanya.
 
Bab 14

Hari ini dia telah menerima bunga ros lagi. Jika semalam tiga kuntum tetapi kali ini sejambak bunga ros berwarna merah kini berada betul-betul di atas mejanya. Benar-benar makin membuatnya jadi bingung. Nurin Hanani bertambah-tambah hairan kerana tidak langsung diketahui siapa pengirim bunga ros tersebut. Bila ditanya Kak Ramlah dia sendiri pun tidak kenal siapa. Lelaki yang mengirimkan bunga itu pula sebenarnya seorang penghantar yang diupah dari kedai bunga berhampiran. Bermakna pengirim sebenar bunga ros itu masih lagi menjadi misteri hingga ke hari ini.

Nurin Hanani segan juga sebenarnya. Sudah lah pejabat sekolahnya berdekatan dengan bilik pengetua. Kalau tuan pengetua nampak tak ke haru?Tidak pasal-pasal dirinya menjadi tumpuan dan usikan beberapa orang cikgu di SMK Seri Budiman. Nak kata Hari Guru masih belum sampai masanya lagi. Kebiasaannya anak murid lah yang selalu memberikan hadiah bunga kepadanya. Tetapi ini sampai dah masuk dua hari sudah dia menerima bunga ros yang sama. Hairan betul dibuatnya.

Mungkinkah Shahrul?dia berfikir sejenak. Cuba mencari alasan di sebalik kewajaran lelaki itu memberinya bunga. Sebagai tanda kemaafan mungkin. Tetapi sikap Shahrul hingga ke saat ini langsung tidak meyakinkan alasan tersebut. Bekas tunangnya itu masih lagi tidak menunjukkan sebarang tanda ingin berdamai. Masih lagi mengelak jika bertembung dengannya. Kecuali jika di bilik mesyuarat.

Sedangkan jika benar lah Shahrul ingin memberinya bunga,buat apa dia perlu bersusah payah menghantar hingga ke pejabat sekolah?adalah lebih baik jika Shahrul memberikan sendiri hadiah itu. Orang lain pun tidak lah tahu. Tidak lah heboh satu sekolah.

‘Zarith?’

Sebenarnya sejak dari semalam lagi dia sudah memikirkan nama lelaki itu. Besar kemungkinan juga adalah lelaki itu yang memberikannya bunga tersebut. Bukan hendak perasan ataupun syok sendiri. Tetapi hatinya sering memikirkan Zarith sejak lelaki itu menghilang sekian lamanya. Wajar kah dia berfikiran begitu? Tetapi dirasakan juga tidak mungkin. Kerana jika dihitung hari ini sudah masuk dua bulan dia tidak mendengar perkhabaran lelaki itu. Fazlina sendiri mengatakan Zarith masih belum pulang dari Amerika Syarikat sejak dari hari terakhir mereka bertemu dahulu.

‘Habis tu siapa?’

Dia sudah tidak mampu lagi hendak memikirkan. Ah,lantaklah siapa yang bagi pun. Bunga itu akan disimpannya. Dan sekiranya dia masih lagi menerima bunga ros merah pada hari-hari seterusnya,dia akan membuang sahaja. Tidak kuasa lagi dia hendak mengambil tahu. Malas dia hendak menyiasat lagi. Lagipun dia sudah tidak mahu memeningkan kepala berfikir hal remeh-temeh seperti itu. Kesudahannya nanti bakal mengganggu tugasan lain yang lebih penting pula.

Dia memandang satu persatu wajah anak-anak muridnya. Masing-masing begitu khusyuk menjawab soalan Bahasa Malaysia yang telah diberikannya sebentar tadi. Dia terpandangkan Yusra. Tumpuannya singgah di situ. Wajah lesu dan tidak bermaya gadis berusia lima belas tahun itu ditenung lama. Hampir sebaya dengan Nida,adik bongsunya. Ada sesuatu yang bermain di benak fikirannya sejak dia menyedari perubahan sikap salah seorang pelajarnya itu. Sejak markah ujian bulanan nya yang jatuh mendadak sehingga hampir-hampir gagal. Dia risaukan keadaan Yusra tika ini.

Mana tidaknya,jika sebelum ini Yusra merupakan pelajar paling pintar dan hebat di kelas itu. Sebagai guru tingkatan 3 Mutiara dia sememangnya bangga memiliki pelajar terbaik di SMK Seri Budiman. Yusra telah mengharumkan nama kelasnya. Ada beberapa orang lagi pelajar lain yang juga cemerlang di dalam pelajaran seperti Yusra. Tetapi paling rapat dan sering bertanya soalan padanya adalah gadis remaja itu. Sebagai guru tingkatan dia akan berusaha membantu selagi termampu. Bukan pada Yusra sahaja. Tetapi pada semua anak-anak didiknya yang dikasihi.

“Yusra,”dia memanggil.

Kepalanya dianggukkan sedikit memberi isyarat agar pelajar itu datang ke mejanya yang terletak di hadapan kelas. Gadis yang sedari tadi lagi mengelamun itu tersentak sewaktu namanya dipanggil. Reaksi nya terus berubah. Wajahnya kelihatan pucat lesi. Semua rakan memandangnya.

Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi. Menampakkan pakaian sekolah yang sudah lusuh dan pudar warnanya. Dia mengorak langkah ke hadapan. Menuju ke arah Nurin Hanani yang langsung tidak memandangnya. Gurunya itu sedang menyemak kertas-kertas soalan ujian bulanan dengan khusyuk dan begitu teliti. Barangkali kertas soalannya juga turut berada di situ. Begitu fikirnya.

Saat dia sampai dan berdiri betul-betul di hadapan meja,barulah Nurin Hanani mengangkat muka. Dia tersenyum. Yusra membalasnya dengan hambar. Ada tanda tanya pada riak wajahnya yang keruh itu.

“Err,kenapa cikgu panggil saya?”

Nurin Hanani melepaskan keluhan perlahan. Dia meletakkan pen dakwat merah di atas meja.

“Saya nak tanya pasal markah awak masa ujian bulanan baru-baru ni. Saya dah periksa hampir separuh kertas kawan-kawan awak termasuklah kertas awak sekali Yusra. Ada lagi sebahagian yang saya belum semak lagi.”

Dia menghentikan bicara. Ingin melihat reaksi pelajarnya itu. Yusra masih mendiamkan diri dengan wajah yang ditundukkan ke lantai. Ibarat seorang pesalah yang menanti bakal dijatuhkan hukuman di mahkamah sahaja lagaknya.

“Saya nak tahu apa masalah awak sebenarnya Yusra? Markah ujian awak untuk semua subjek termasuklah subjek saya,BM jatuh teruk. Untuk subjek saya,Bahasa Inggeris dan Matematik hampir-hampir nak fail awak tahu tak. Awak dah gagal untuk dua subjek lain. Yang okey setakat ni hanya Pendidikan Islam sahaja. Saya betul-betul risau. Dulu awak tak macam ni pun. Susah sangat ke soalan ujian kali ni hm?”

Yusra masih menundukkan wajah. Dia terdiam tidak berkata sepatah pun.

“Pandang muka saya ni Yusra,”Nurin Hanani mengawal suaranya agar tidak mengganggu konsentrasi pelajar yang lain.

Yusra mengangkat wajahnya perlahan. Keruh sekali air mukanya. Sudah jelas nampak di situ yang gadis itu benar-benar sedang menanggung beban masalah. Cuma tidak tahu sama ada besar ataupun kecil masalah itu.

“Cuba awak beritahu saya. Ceritakan apa masalah awak sebenarnya. Kalau tak saya tak mungkin tahu sampai bila-bila,”Nurin Hanani cuba berdiplomasi.

Dia tidak mahu menunjukkan yang dia memaksa pelajar itu. Masalah sebegini walaupun jarang dihadapinya sebagai guru yang masih lagi mentah dan baru dalam pengalaman. Memang profesion perguruan ini baru sahaja diceburinya. Tetapi harus ditangani dengan bijak. Dengan menggunakan pendekatan psikologi yang telah dipelajari selama ini. Ada juga pelajar yang tidak suka diri mereka dipaksa melakukan sesuatu. Bimbang mereka akan memberontak. Golongan pelajar sebegini harus ditangani secara berhemah.

Abah juga pernah menasihatinya begitu. Sebagai seorang bekas guru yang telah berpuluh tahun menceburi bidang yang mulia ini sudah tentulah abah mempunyai bermacam-macam pengalaman. Suka dan duka. Pahit dan manis. Kata abah pengalaman paling manis adalah saat melihat satu persatu anak-anak didiknya berjaya dalam hidup mereka. Kini dia bahagia melihat kesemua mereka telah berjaya dan menarik nafas lega atas segala usaha dan penat lelahnya mendidik anak bangsa selama ini.

“Saya takde apa-apa masalah cikgu,”jawab Yusra. Dia menggeleng kepala.

“Jangan nak tipu saya Yusra. Saya tengok awak pun saya dah boleh agak yang awak sedang ada masalah sekarang ni. Saya kenal awak ni macam mana. Inilah pertama kali result awak teruk macam ni. Sebelum ni tak pun.”

“Saya…”

“Atau soalan ujian tu susah sangat bagi awak?”

Yusra geleng kepala.

“Awak sakit?”

Geleng lagi.

Nurin Hanani sudah buntu. Nampak gayanya seperti dia tidak mahu bercerita. Mungkin pelajarnya itu masih belum bersedia. Mungkin juga atas sebab-sebab peribadi lain yang membuatkan gadis itu malu untuk bercerita. Apa yang pasti dia tidak akan putus asa. Dia akan cuba lagi menyiasat pada lain hari.

“Kalau macam tu takpelah. Tapi saya harap lepas ni awak dapat tingkatkan balik markah bagi ujian yang seterusnya. Awak kena ingat Yusra. Tak lama lagi nak masuk periksa percubaan PMR. Tinggal beberapa bulan aje lagi sebelum PMR sebenar. Kalau awak betul-betul ada masalah nanti datang jumpa saya okey? Tak kisah lah masalah pelajaran ke atau apa-apa sekali pun. Awak faham tak ni?”

Yusra mengangguk perlahan.

“Baik cikgu.”

“Okey,awak boleh balik semula ke tempat awak. Sambung balik  jawab soalan yang saya bagi tadi,”dia mengarah.

Yusra mengangguk lagi. Sewaktu dia hendak berjalan ke tempat duduknya sekali lagi dirinya menjadi tumpuan semua rakannya. Dia tidak mengendahkan pandangan rakan-rakannya yang lain. Itu semua tidak penting. Sebaliknya dia meneruskan kerja yang tergendala tadi. Tetapi sebentar cuma. Yusra seolah-olah di dalam dunia yang berbeza. Meneruskan khayalan nya seperti tadi. Dia menongkat dagu.

Pening Nurin Hanani memikirkan sikap pelajarnya itu. Entah apa yang tidak kena dia pun tidak tahu. Yang pasti perubahan Yusra menjadi semakin ketara sekali sejak akhir-akhir ini. Sebenarnya bukan dia seorang sahaja yang menyedarinya. Bahkan cikgu-cikgu lain yang mengajar kelas tingkatan 3 Mutiara pun menyedari akan hal tersebut.

Dia tidak mahu terus-terusan membiarkan hal tersebut berlaku tanpa mengambil sebarang tindakan sewajarnya. Dia harus melakukan sesuatu. Tetapi dia harus mencungkil masalah Yusra terlebih dahulu. Tetapi bagaimana ya?

Sebaik sahaja habis sesi mengajar,masa persekolahan juga telah tamat. Dia tergesa-gesa mengemas meja. Dia harus cepat pulang. Baru pagi tadi Hajah Zaharah menelefon menyuruh nya lekas pulang ke rumah. Ada hal yang sangat mustahak kata emaknya.

Hatinya terasa berdebar semacam pula. Entah apalah agaknya perkara yang ingin sangat diberitahu Hajah Zaharah itu. Kakinya melangkah menuju ke tempat parkir kereta. Dia ingin cepat sampai ke rumah.

**********

“Ada orang datang merisik kau tadi Hani,”beritahu Hajah Zaharah.

Nurin Hanani menghentikan kunyahannya. Dia sedang leka menikmati keenakan goreng pisang panas petang itu. Dia memandang Hajah Zaharah yang sedang menggoreng pisang di kuali. Tidak percaya.
‘Apa aku salah dengar ke ni?’

“Mak ni. kot ye pun nak gurau takkan macam tu sekali,”dia tertawa kecil. Tidak mempercayai kata-kata Hajah Zaharah.

“Mak tak bergurau Hani. Takkan benda macam ni mak nak buat main-main pulak,”wajah Hajah Zaharah serius sekali. Jelas menunjukkan yang dia tidak main-main dengan katanya itu.

Gadis itu terkejut bukan kepalang. “Betul ke ni mak?”

“La,kau ingat mak main-main ke Hani. Mak dengan abah dah bincang dengan pihak lelaki tu tadi. Kami memang dah setuju…”

“Mak!!kenapa tak tanya Hani dulu??”

Belum sempat Hajah Zaharah menghabiskan kata dia sudah memintas. Terjerit kecil. Dia makin terkejut. Masih tidak mahu mempercayai kata-kata Hajah Zaharah.

Hajah Zaharah mengerutkan dahi. “Kau ada tunggu sesiapa ke?atau dah ada boyfriend?”

“Takde…”Nurin Hanani menjawab lemah.

“Dah tu?”

“Tapi kenapa mak dengan abah terus aje terima lamaran orang tu?”dia tidak puas hati. Walaupun dirinya masih belum berpunya sekalipun tetapi bukan sewenangnya mak dan abah terus menerima lamaran dari orang tersebut. Seharusnya mereka berbincang dahulu dengannya sama ada dia bersetuju ataupun tidak.

“Mak dengan abah kau tak nak tangguhkan lagi. Lepas ni terus aje menikah. Tak payah nak bertunang lama-lama. Takut tak jadi macam masa kau dengan Shahrul dulu. Benda elok tak baik dilengah-lengahkan. Lagipun mak kenal budak tu. Baik orangnya. ”

“Tapi Hani belum bersedia lagi lah mak. Kenapa mak terus terima?”

“Mak dah tak sanggup dah Hani tengok Shahrul  tu terus-terusan ganggu kau. Abah kau pun macam tu jugak. Sebab tu kami terima aje. Sekurang-kurangnya bila kau dah kahwin nanti selamat lah sikit. Lega hati kami dah ada orang yang boleh jaga kau. Tengok-tengok kan kau. Kau pun bukannya tinggal dengan kami. Mak dengan abah tak dapat nak tengok sangat.”

“Hani boleh jaga diri sendiri mak.”

“Mak tak kira. Mak tetap nak kau cepat-cepat menikah Hani. Kau tu perempuan. Budak tu pun baik dan berbudi pekerti orangnya. Pandai ambil hati orang tua. Nama budak tu…err,kejap ye mak nak ingat balik,”Hajah Zaharah mengerutkan dahi.

Cuba mengingati kembali nama pemuda itu. Kenapa susah benar dia hendak menyebutnya?Kalau tak silap namanya Haris…?Fariz…? Hisyy…bagaimana dia boleh lupa pula ni. Hai,susah betul bila dah tua-tua macam ni. Asyik terlupa sahaja.

“Takpelah mak. Terpulang lah kat mak dengan abah yang tentukan. Hani malas nak ambil tahu. Sampai nak menikah pun Hani tak nak tau apa-apa. Ikut mak lah. Hani tak nak dengar apa-apa lagi…”

Nurin Hanani berasa sungguh kecewa sekali. Ternyata keputusan bukan lagi di tangannya. Dia berasa marah,terkilan dan terluka. Sampai hati mak dan abah buatnya begini. Sedangkan di hatinya hanya ada seorang sahaja yang dirasakan layak untuk mendampingi nya. Menjadi teman hidupnya. Tetapi penantian itu sungguh satu penyeksaan. Betapa lama dia menanti pun lelaki itu masih tidak kunjung tiba.

Ke mana lelaki itu menghilang dia pun tidak tahu. Dia mengangkat punggung dan berlalu dari situ. Mencari sedikit ruang bagi menenteramkan perasaan yang tidak keruan. Jiwanya lemah. Begitu lemah.

“Hisy budak ni…takkanlah tak nak ambil tahu langsung siapa bakal suaminya tu?”rungut Hajah Zaharah.

Namun jauh di sudut hatinya terbit perasaan bersalah juga. Tetapi apa yang dilakukan itu semua adalah untuk kebaikan Nurin Hanani juga. Biarlah buat masa ini dia memberi ruang buat anaknya itu. Tidak mahu memaksa lagi anak gadisnya itu.

Sementara itu di dalam kamar nan sepi,Nurin Hanani sudah menangis semahu-mahunya. Tangisannya perlahan dan cuba dikawal. Tidak mahu Hajah Zaharah menyedari dirinya sedang dirundung duka dan kepiluan yang tidak bertepi. Hatinya berasa sakit sekali. Mengapa ini yang terjadi kepadanya?sedangkan bukan ini yang dia pinta. Hendak ditolak nanti bimbang akan melukakan hati kedua ibu bapa. Apatah lagi lamaran itu telah pun diterima. Sudah tentulah tarikh pernikahan juga telah ditetapkan. Hal-hal yang lain pula sudah dibincangkan oleh mereka.

Hati semua pihak perlu dijaga. Tetapi bagaimana pula dengan hatinya sendiri?

Bagaimana dia harus berterus terang dengan perasaannya tika ini?adakah mak dan abah akan mengerti apa yang dia rasakan?dia telah jatuh cinta…dan sungguh cinta ini teramat menyeksakan. Berapa lama dia menunggu kehadiran lelaki itu sehingga ke saat ini. Ternyata penantian ini hanya sia-sia belaka. Dia kini bakal dimiliki orang lain.

Langsung dia tidak kenal siapa gerangan jejaka itu. Langsung tidak ingin mengambil tahu. Apa yang pasti lelaki itu bukanlah Zarith. Dia sudah tiada hati untuk mengambil kisah lagi mengenai bakal suaminya nanti. Hatinya remuk redam.

Rupanya kata ugutan mak sewaktu majlis pernikahan Abang Man tidak lama dahulu telah menjadi kenyataan. Dan dia tidak sanggup menghadapi kenyataan pahit itu. Sungguh pahit untuk ditelan. Dia mengambil keputusan untuk merelakan sahaja. Apa yang berlaku ini sudah ketentuan dari Ilahi.

Walaupun pada asalnya mak dan abah tidak berniat hendak memaksa. Tetapi mengenangkan perlakuan Shahrul tidak lama dahulu terhadapnya mengundang kegusaran di hati kedua orang tuanya. Lalu dia harus juga terima semua yang berlaku ini. Semua yang telah ditakdirkan untuknya. Andai pilihan hati mak dan abah adalah seorang yang beriman dan baik budi pekerti dia seharusnya bersyukur.

Zarith…

Nama itu diserunya berulang-ulang kali. Ke mana lelaki itu menghilang sehingga menyebabkan tidur malamnya tidak lena. Sentiasa terkenangkan lelaki itu. Walaupun mungkin pertemuan antara mereka berdua begitu singkat. Tetapi siapa tahu hanya dengan sekali dua pertemuan dan perkenalan itu telah mengundang rasa rindu dan rasa cinta yang mulai mekar di hati.

Siapa menyangka dalam diam dia rupanya telah jatuh cinta. Seribu kali hatinya mengatakan tidak. Semakin kuat ingatan terhadap lelaki tersebut. Segala kenangan dan pertemuan itu masih tersimpul rapi di ingatannya. Mana mungkin dia lupa? Lelaki yang telah menyelamatkan maruah dirinya daripada tercemar.
Zarith…hatinya merintih lagi. Di mana lelaki itu berada sebenarnya?

Kebencian terhadap lelaki itu telah lenyap sama sekali. Bertukar dengan satu perasaan yang tulus dan ikhlas mencintai. Mengingati janji lelaki itu untuk segera kembali membuatkan hatinya makin sakit. Makin terluka. Sedangkan dia begitu setia menanti. Hendak dicari ke mana lagi lelaki itu? Bukan dia tidak tahu bahawa Zarith berada nun jauh di negara orang.

Masakan dia perlu ke sana untuk mencari lelaki itu. Apakah selama ini hanya dia sahaja yang mengharap cinta lelaki itu?apakah dia hanya perasan sendiri sahaja?sedangkan lelaki itu sebenarnya tidak menaruh sebarang perasaan terhadapnya. Sebaliknya hanya ingin mempermainkan dirinya sahaja. Tetapi…apa erti ungkapan rindu itu. Dan layanan yang diberikan sebelum ini. Cukup membuatkan hati wanita ini luluh.

Nurin Hanani mengesat air mata yang mengalir. Dia pasrah. Dia redha. Andai ini takdir yang tersurat buat dirinya. Cinta yang mulai hadir ini harus dilupakan. Harus disingkirkan. Buat selamanya.




0 ulasan:

Post a Comment