Friday, February 25, 2011

Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 31

“Hari ni Hani tak payah masaklah. Kita makan kat luar okey?”

“Betul ke bang?”

Zarith angguk. Dia membalas senyuman manis isterinya.

“Tapi tengok ni…Hani dah potong kentang dah pun. Tinggal nak masuk dalam kari tu aje.”

Dia menjuihkan bibirnya ke arah kuah kari ayam yang sedang menggelegak panas di dalam periuk. Terus senyuman Zarith mati.

“Hurm,abang ingatkan ayang belum masak lagi…”

Nurin Hanani tergelak kecil. Zarith memeluk erat pinggangnya dari belakang. Terbau aroma kari ayam yang sememangnya menjadi kegemarannya itu. Makin bertambah sayang pada isterinya itu.

“Takpelah bang, lain kali ajelah kita makan kat luar. Bila-bila masa pun boleh. Siapa suruh abang cakap lambat sangat?”

“Ala,abang tengah basuh kereta tadi. Abang ingat ayang tak masak lagi. Tapi takpelah. Tengok lauk kari ni terus terliur abang dibuatnya. Terus cancel nak makan kat luar.”

Satu kucupan singgah ke pipi isterinya. Nurin Hanani tersenyum mendengar pujian suaminya itu. dia berasa sungguh senang dengan sifat romantik Zarith. Makin hari kasih sayang antara mereka suami isteri semakin bercambah.

“Em,jimat pun jimat.”

“Betul tu sayang. Tapi abang kesiankan Hani. Siang malam tak henti-henti buat kerja rumah. Tu belum ada anak lagi. Sebab tulah abang nak Hani sesekali berehat aje. Abang nak tolong masak sekali nanti karang lain pulak jadinya. Mahu hangus nanti.”

Dia tertawa mendengar kata-kata Zarith itu. Memang betul pun. Zarith bukan tau masak pun. Setakat masak meggi tu boleh lah…

Nurin Hanani meneruskan kerjanya yang sudah pun hampir hendak siap itu. Sebenarnya dia ingin memberitahu sesuatu kepada suaminya itu. Pagi tadi Fazlina telah menelefonnya dan mengkhabarkan sesuatu. Berita kepulangan Angelica ke rumah Encik Idham benar-benar mengejutkannya. Fazlina telah mengajaknya dan Zarith untuk pulang ke rumah mertuanya itu.

Dia sudah tidak sabar lagi hendak bertemu dengan Angelica. Hendak tak hendak dia perlu lah memberitahu Zarith berkenaan kepulangan mummy.

“Abang…”panggilnya lembut.

“Em,kenapa sayang?”sahut Zarith.

“Hani nak beritahu something ni.”

“Err,apa dia sayang? Ayang pregnant ke?”terpacul soalan tidak dijangka itu dari mulut Zarith.

Terbeliak mata Nurin Hanani. Ingin ketawa pun ada.

“Hisy,abang ni. Ke situ pulak dia. Bukanlah…Hani nak beritahu benda lain.”

Meletus ketawa Zarith.

“La…manalah tau kan kot-kot ayang pregnant ke. Mesti abang gembira sangat-sangat tau. Tapi abang perasan something lah kat sayang.”

“Perasan apa bang?”tanya isterinya yang makin hairan.

“Sekarang ni ayang nampak agak berisi sikit. Err, ayang ada tak rasa loya ke? Nak muntah ke? Ada tak?”

“Eh,takde pun. Cuma kadang-kadang rasa macam tak sedap badan tu adalah sejak dua tiga hari ni. Tapi bukan lah bang. Err,tapi pasal…err,Hani…”

“Cakaplah sayang. Pasal apa?”

Pelukan semakin dieratkan. Nurin Hanani mengetap bibirnya.

“Tapi abang mesti janji tau tak marah Hani nanti?”

“Ala,buat apa abang nak marah. Cepatlah beritahu sayang…”gesa Zarith tidak sabar.

“Em,pagi tadi kan Faz ada call Hani. Dia cakap kan em,mummy ada datang sini…”

Serta-merta riak wajah Zarith berubah. Dia terkedu.

“Kita pergi rumah papa nak tak bang? Jumpa mummy.”

Satu keluhan dilepaskan. Terdengar desah nafas Zarith di telinganya. Pelukan yang sedari tadi erat dilepaskan perlahan-lahan. Nurin Hanani merasa serba-salah.

“Abang…”

“Kalau Hani nak pergi jumpa mummy pergilah. Abang izinkan.”

“Abang,jangan lah macam ni…”pujuknya.

Zarith memegang kedua bahunya. Merenung tepat ke dalam anak mata Nurin Hanani.

“Abang akan fikirkan macam mana nanti. Tapi abang tak kisah pun kalau Hani nak jumpa mummy okay?”
“Tapi…” 
                                                      
“Em,abang nak naik atas dulu. Nak salin baju. Kejap lagi kita makan sama-sama ye sayang.”

Zarith mencuit hidung isterinya. Dia tersenyum walaupun Nurin Hanani menyedari yang senyuman itu adalah kerana terpaksa. Zarith seolah mahu menyembunyikan sesuatu darinya. Walaubagaimana pun dia tidak akan sesekali berputus asa untuk terus memujuk suaminya itu.

**********

Lama dia mengelamun di tepi kolam renang rumah nya. Memikirkan pujukan Nurin Hanani siang tadi yang mengajaknya bertemu dengan mummy. Mengapa mummy tiba-tiba datang ke mari? Pasti ada sesuatu yang berlaku. Cuma kini dia sahaja yang masih tidak tahu apa sebabnya.

Dan bagaimana pula dengan penerimaan papa dan Zarul?

Air kolam yang tenang itu dan berwarna kebiruan sekaligus berjaya menenteramkan sedikit fikirannya yang berkecamuk. Terimbas di minda bayangan mummy. Kali terakhir dia menatap wajah itu ketika dia ingin berangkat ke Malaysia. Sudah terlalu lama dia tidak bertemu dengan mummy nya sendiri.

Hatinya agak keberatan untuk bertemu dengan mummy. Entah lah. Dia tidak tahu mengapa. Tetapi hatinya masih sakit mengenangkan segala perlakuan mummy padanya sebelum ini. Sampai dia merasakan adakah masih ada lagi kasih sayang wanita itu padanya.

Terasa bahunya dipaut lembut. Dia menoleh. Wajah Nurin Hanani begitu hampir sekali dengannya. Sedang tersenyum dan dia membalasnya. Serta-merta mati lamunannya. Isterinya duduk bersebelahan dengan kedua belah tangan memeluk lutut.

“Apa yang abang menungkan tu?”

“Takde apa sayang. Abang saja je nak keluar ambil angin malam ni.”

“Jangan nak tipu Hani lah. Hani tau abang tengah fikirkan mummy kan?”

Dia melihat Zarith dengan wajah keruh. Seperti menanggung beban masalah. Ingin sahaja dia membantu suaminya keluar dari masalah itu. Tetapi sikap suaminya itu lebih suka memendam jika mempunyai apa-apa masalah.

“Abang…”

Dia memegang lengan Zarith. Kepalanya dilentokkan ke bahu suaminya itu. Mereka sama-sama merenung bulan yang sedang mengambang penuh. Cahaya rembulan begitu terang menerangi kegelapan malam. Kesepian malam mengusik tangkai hati. Seakan mengerti perasaan keduanya yang saling mendambakan pengertian antara sesamanya.

“Hani,abang pernah hidup dalam dua situasi yang sangat berbeza dengan sekarang. Satu kehidupan yang penuh kepahitan. Dan satu lagi hidup yang penuh kemanisan. Saat bersama dengan Hani adalah yang paling manis dalam hidup abang. Betapa Hani dah merubah diri abang. Abang kenal erti hidup yang sebenar. Macam papa pernah beritahu kat abang dulu yang hidup ni bukan sekadar nak enjoy aje.”

Zarith menarik nafas. Dan menghelanya perlahan. Nurin Hanani masih menyepikan diri. Memberi peluang dia meluahkan isi hatinya.

“Sejak usia abang lima tahun lagi abang dah menyaksikan satu peristiwa pahit dalam hidup. Abang menyaksikan mummy dan papa berpisah. Mummy bawa abang tinggalkan papa dan Zarul. Dan tinggal di US selama bertahun-tahun lamanya.”

“Tapi langsung takde sikit pun rasa bahagia dan gembira masa tinggal dengan mummy. Abang tak rasa kasih sayang mummy.”

“Tak lama lepas tu mummy serahkan abang pada atuk dan nenek suruh mereka bela abang. Semuanya sebab mummy terpengaruh dengan kata-kata Henry,teman lelaki mummy. Henry masa tu sangat membenci abang. Abang dipukul,disepak terajang dan dimaki tanpa perasaan. Mummy sikit pun tak endahkan abang…”

Nurin Hanani agak terkejut mendengar pengakuan Zarith. Dia menekup mulut dengan kedua tangan. Tidak menduga betapa menderita hidup Zarith semasa kecil. Dia merasa simpati dengan nasib suaminya yang menjadi mangsa perceraian kedua ibu bapa.

“Tapi semua tu abang dah lupakan. Tak guna nak kenang balik. Sebab sekarang abang dah dapat balik kasih sayang yang sejak dulu lagi abang dambakan. Abang dah ada Hani. Ada papa dan adik abang semula. Itu pun dah cukup bagi abang sayang…”

“Tapi Hani tau yang abang masih perlukan mummy dalam hidup abang kan?”

Dia memaut kembali lengan Zarith yang terdiam seketika.

“Tipulah kalau abang cakap abang tak perlukan mummy lagi. Tapi mummy sendiri yang dah buang abang dari hidup dia.”

“Abang,kesilapan yang lalu adalah kesilapan mereka bang. Abang pernah tak tanya kenapa mummy buat macam tu dulu?”

Zarith geleng kepala.

“Abang memang tak tau apa puncanya. Lagipun mummy tak pernah nak cerita pun kat abang.”

“Sebab kita tak tau lah kita tak boleh nak salahkan sebelah pihak seratus peratus bang. Manalah tau mummy ada sebab kenapa dia terpaksa tinggalkan papa dan Rul dulu. Takde ibu yang tak sayangkan anaknya bang. Melainkan dia dah betul-betul buang anaknya atas keterlanjurannya sendiri. Memang setengahnya ada yang macam tu….

Hani faham hati perempuan ni macam mana. Bukan niat Hani nak bela sesiapa. Tapi sebagai anak,tak patut kita nak buang terus ibu yang dah melahirkan kita susah payah. Walau teruk macam mana sekalipun dia tetap mummy abang dunia dan akhirat.”

Keheningan malam semakin menambahkan rasa sebak di hati Zarith. apatah lagi mendengar kata-kata isterinya yang ada kebenaran di sebaliknya. Jiwanya dihambat seribu penyesalan.

“Abang tau abang tak patut membenci mummy…”

“Abang,yang dah lepas tu janganlah dikenang lagi. Hani yakin yang tujuan mummy datang ke sini hanya satu. Tak lain tak bukan mesti dia nak jumpa dengan papa dan anak-anak nya. Kalau betul dia dah lupakan abang,Rul dan papa takkan lah dia sanggup ambil risiko datang ke sini sedangkan dia tau yang abang mesti benci sangat nak jumpa dia. Bukan abang aje. Sanggup ke papa dengan Rul nak terima dia nanti? Rul tu lebih-lebih lagi bang.”

Wajah Zarith ditatapnya lama.

“Masa sekolah dulu,Rul selalu cerita kat Hani yang dia teringin sangat nak jumpa mummy. Dia siap kumpul duit lagi semata-mata nak pergi ke luar negara dan jumpa mummy. Walaupun dia tau bila-bila masa aje dia boleh mintak duit kat papa untuk pergi sana sebab papa lebih dari mampu,tapi dia tak nak. Dia lebih suka kumpul duit sendiri dan rasa erti susah. Sampai macam tu sekali bang.”

Zarith tertunduk. Memang dia tahu hasrat adiknya itu. Zarul sendiri pernah memberitahu ingin mengikut nya pulang ke luar negara semata-mata terlalu ingin bertemu dengan mummy. Dan sikap Zarul yang tidak terlalu membiarkan dirinya menumpang kemewahan papa itulah paling dikagumi nya. Sehingga kini Zarul masih memakai motornya yang lama walaupun dia tahu yang papa boleh sahaja membelikannya sebuah kereta.

“Abang tak tau lah Hani. Apa yang abang rasa sekarang ni…”

“Abang,Hani bukan nak paksa tapi abang fikirkanlah kata Hani tu. Sementara mummy ada di sini pergilah bang jumpa dia. Sekejap pun takpelah. Mummy nak sangat jumpa kita tu. Bila lagi keluarga kita nak berkumpul macam sekarang ni? bukan senang bang. Esok lusa kita tak tau lagi apa yang akan berlaku. Semua orang ada buat silap bang. Tak salah kalau abang nak bagi peluang pada mummy sekali lagi.”

Wajah Nurin Hanani penuh mengharap. Zarith merenungnya lama. Matanya sudah bertakung. Dia sungguh terharu dengan nasihat yang diberikan isterinya.

Sekurang-kurangnya keresahan yang sekian lama bertamu di hati dapat juga diusirkan sedikit demi sedikit. Mungkin dia masih lagi sukar menerima segala perbuatan Angelica terhadapnya dahulu. Tetapi biarlah masa yang menentukan.

Mungkin satu masa nanti,Angelica akan sedar akan silapnya kerana telah mengabaikan dirinya dahulu. Itulah yang diharapkan.

“Baiklah,esok kita pergi rumah papa…”

Nurin Hanani tersenyum suka mendengarnya. Akhirnya berjaya juga dia memujuk hati Zarith yang keras itu. Dia bersyukur kerana berjaya menyatukan kembali hubungan antara ibu dan anak yang sekian lama renggang itu.

Kepalanya disandarkan kembali ke bahu suaminya. Terasa tangan milik Zarith memaut bahunya erat dan diusap lembut.

Mereka berdua merenungi angkasa yang dihiasi bintang-bintang berkelipan. Menampakkan cahaya nya yang terang menghiasi langit. Ibarat kanvas berwarna putih yang diwarnakan dengan warna gelap, tetapi masih juga kekal indah dengan sedikit percikan warna yang terang. Siapa tahu hati yang dahulunya gelap dan kosong,akhirnya kini menjadi lembut dan terang dengan sinar keinsafan.

 Bab 32

‘Speechless…!’ Itulah yang mampu digambarkan keadaan Zarul ketika itu. Berdepan dengan gadis itu sekali lagi membuat dirinya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Hatinya penuh debaran. Jiwanya jadi tidak keruan. Anehnya,gadis yang bertudung litup itu masih sahaja kelihatan tenang. Bagaimana dia boleh setenang itu? Sedangkan dirinya sendiri sudah berpeluh satu badan. Padahal bukan dia berdua-duaan dengan gadis itu pun.

Dia berada di rumah Fakhrul ketika itu. Fakhrul beria menjemputnya datang ke rumah. Dilihatnya ada juga adik-adik Fakhrul yang lainnya. Naufal,Boboi,Zahra,Najihah…dan Liyana!

Malunya dia tatkala bertentang mata dengan Liyana. Teringat kenangan lama. Pemberian sejambak bunga ros dan teddy bear pada gadis itu. Aduhh…mana lah hendak disorok muka ni?

“Kau langkah kanan hari ni Rul,”beritahu Fakhrul.

“Langkah kanan kenapa?”

“Sebab mak aku masak nasi beriyani hari ni. Sebab tulah aku beria ajak kau datang sini. Selain tu…ehem,”dia mengerling ke arah Liyana yang sedang menyusun pinggan di meja makan.

Zarul memahami maksud Fakhrul itu. Tetapi sengaja dia buat-buat tidak reti!

“Wah,untung jugak aku datang rumah kau ye. Dapat lah aku merasa nasi beriyani buatan mak kau. Bila lagi kan?”

“Mak aku masak,Liyana pun ada tolong-tolong sekali kat dapur tadi. Maknanya kau dapat rasa air tangan mak aku dengan Liyana sekali lah!”

Fakhrul sengaja menguatkan suaranya. Liyana menjeling tajam. Tidak habis-habis dengan kelakuan nakal abang sulungnya itu. Dia mengetap bibir geram.

“Err,kau ni jangan lah over sangat Fakhrul. Kesian aku tengok adik kau tu,”tegur Zarul dengan suara yang perlahan.

Fakhrul sekadar tersengih sahaja. Dia memang begitu. Gemar mengusik adiknya. Liyana pun bukannya selalu ada di rumah. Dapat balik pun masa bercuti semester sahaja.

“Mana ayah kau Fakhrul?”                                  
              
“Dia ke rumah kawannya. Pergi ziarah kawan dia yang sakit.”

Zarul mengangguk-angguk.

“Bang,jom lah makan sekali. Dah siap hidang dah tu,”pelawa Liyana.

“Aii…ajak abang sorang aje? Kawan abang tak nak pelawa ke?”usik Fakhrul.

Merona kemerahan wajah Liyana dengan usikan abang nya. Zarul serba salah. Hisy,geram benar dia dengan Fakhrul. Mentang-mentang dia sudah tahu kelemahannya yang satu itu makin galak pula hendak mengusik.

“Err,jom lah makan sekali.”

Liyana mempelawanya. Sedikit kekok kerana tidak tahu ingin membahasakan diri sebagai apa. Awak ke…abang…? Hisy,jauh sekali. Segan dia hendak memanggilnya begitu. Zarul mengangguk serta menuruti langkah Fakhrul ke meja makan. Sekali lagi dia bertentang mata dengan Liyana. Gadis itu nampak tergamam. Cepat-cepat dia mengalih pandang. Menuju ke arah Zahra. Segan barangkali.

**********

‘Astaghfirullah…’

Zarul beristighfar di dalam hati. Apa kena dengan aku ni? tidak habis-habis memikirkan tentang gadis yang turut berada di pekarangan rumahnya itu. Liyana sedang berbual dengan Zahra. Sementara Fakhrul sedang menghantarnya untuk pulang ke muka pintu pagar. Baru sahaja sebentar tadi dia bersalaman dengan ayah Fakhrul,yang pernah menjadi ustaz nya ketika masih bersekolah dahulu.

“Aku balik dulu ye Fakhrul.”

“Okey,nanti kalau kau dapat cuti jangan lupa beritahu aku. Boleh lah aku lepak kat rumah kau pulak.”

Fakhrul menepuk-nepuk bahunya. Zarul mengangguk.

“Err,kirim salam kat Ustaz Zaid dan mak kau ye Fakhrul. Cakap kat mak kau sedap dia masak nasi beriyani tu,”dia tersengih.

“Okey,Insya Allah. Kat adik aku tak nak kirim salam jugak ke?”sengih Fakhrul.

“Err,kirim salam jugak kat dia…”

Perlahan nada suaranya. Matanya tidak lepas-lepas mengerling ke arah Liyana. Fakhrul menyedari keadaan itu dan tersenyum-senyum.

“Hai…kalau dah suka tu mengaku ajelah. Dari tadi tak habis-habis jeling kat adik aku tu Rul. Kau ingat aku tak tau ke?”

“Aku…err,aku segan lah Fakhrul.”

“Segan? Nak segan apa pulak Rul. Cakap ajelah yang kau suka kat dia. Apa yang susahnya?”

“Yelah,aku ni siapa Fakhrul. Aku ni mana layak nak berdampingan dengan dia. Lagipun ayah kau tu ustaz aku. Aku…tak yakin lah,”jawab Zarul jujur.

Entah macam mana dia boleh jatuh hati pula pada Liyana. Anak ustaz nya sendiri! Semuanya kerana usikan Fakhrul yang akhirnya menjadi kenyataan. Tetapi dia sedar siapa dirinya.

“Ala,kau jangan lah fikir macam tu Rul. Aku tengok kau memang sesuai sangat dengan adik aku tu. Aku memang sokong sangat lah. Kau jangan lah risau. Aku mesti tolong kau punya. Apa guna member beb!”

“Lama ke dia kat Jordan nanti?”

“Em,aku pun tak berapa sure lah Rul. Kau try lah tanya dia sendiri nanti. Okey?”

Zarul mengangguk. Dia mencapai sesuatu di dalam beg galasnya. Dikeluarkan sebuah buku yang berwarna biru. Masih berbungkus dengan pembalut plastik. Fakhrul mengerutkan dahi memandang gelagatnya.

“Eh,apa ni Rul?”

“Em,ni novel Salju Sakinah. Kau tolong kasi kat Liyana ye. Puas aku cari kat kedai buku. Jumpa jugak akhirnya.”

“Eh,buku ni lah yang Liyana cari dulu tu. Tapi tak jumpa. Wah,aku tak sangka lah Rul. Kau jumpa jugak buku ni akhirnya.”

Zarul tersenyum. Teringat sewaktu dia terserempak dengan Fakhrul dan Liyana. Ketika itu dia secara tidak sengaja telah memberikan sejambak bunga ros pada gadis itu. Peristiwa itu masih lagi segar di ingatannya.
Dia sudah pun bersalaman dengan Fakhrul. Ketika dia ingin berlalu mendapatkan motornya yang tersadai di depan rumah teres itu,kedengaran namanya dipanggil.

“Zarul!”

Dia menoleh. Terpandang kelibat Liyana yang sudah menghampirinya. Di tangannya tergenggam novel Salju Sakinah yang dihadiahkan tadi. Fakhrul di belakang pula tersenyum lebar. Aduhh,lemah terasa urat sendinya tatkala Liyana makin mendekati.

“Err,ada apa?”

“Terima kasih lah ye hadiahkan novel ni. Saya memang dah lama tercari-cari novel ni. Tak jumpa pulak kat kedai buku Popular masa pergi hari tu. Terima kasih sangat-sangat.”

Liyana kelihatan begitu teruja sekali. Matanya bersinar. Dia mengukir senyuman.

“Sama-sama. Kebetulan saya tengah nak cari buku jadi tu yang tiba-tiba terjumpa tu.”

Sengaja dia memberikan alasan. Padahal dia memang bertujuan hendak mencari novel tersebut. Hendak memberi sesuatu sebelum gadis itu berangkat ke Jordan tidak berapa lama sahaja lagi.

“Oh,begitu…”

“Err,bila Liyana nak pergi sana?”

“Insya Allah, awal bulan depan. Saya akan simpan novel ni baik-baik. Zarul macam-macam bagi hadiah kat saya. Tapi saya takde apa pun nak bagi.”

Zarul tersipu-sipu mendengar kata-kata gadis manis itu.

“Em,takde apalah. Saya memang ikhlas nak bagi kat Liyana pun.”

“Insya Allah, saya tetap akan bagi hadiah kat Zarul sebagai balasannya.”

“Hadiah? Hadiah apa?”

Liyana mengukir sebuah senyuman menawan.

“Asrar…”

Zarul mengerutkan dahi.  Asrar(rahsia)? Nampaknya terpaksalah dia bermain teka-teki dengan kata-kata Liyana itu. Belum sempat dia hendak bertanya lebih lanjut gadis itu telah pun berlalu dari situ. Sengaja membiarkan persoalan itu bermukim di hatinya. Bibirnya mengukir senyuman.

Gembirakah dia?

 Hatinya memang gembira sehingga tidak sedar yang dia tidak habis-habis tersenyum sampai lah dia tiba ke rumahnya.

**********

Hatinya berasa sakit. Sungguh sakit sekali. Setelah diselidiki ternyata Zarith masih lagi bersama Nurin Hanani. Malah makin baik pula hubungan mereka berdua. Sepatutnya dengan fitnah yang ditaburkan olehnya mereka akan berpisah. Keduanya dilihat makin mesra dan bahagia pula. Masakan Nurin Hanani tidak mempercayai ceritanya pula semasa di Jusco dahulu.

Beria dia menangis dihadapan wanita itu. Dengan bukti gambar kemesraannya dengan Zarith sudah tentulah akan makin menguatkan ceritanya. Sudah banyak dibazirkan air matanya di hadapan Nurin Hanani. Dia menumbuk-numbuk bantal yang berada di atas sofa.

Argghhh!! Geramnya kerana segala perancangan tidak menjadi. Yang diharapkan adalah kehancuran rumahtangga mereka. Bukannya kebahagiaan yang kekal abadi selamanya.

Dia mengetap bibirnya. Apa lagi yang harus dilakukan? Wanita yang telah menjadi perampas kekasih hatinya itu harus diberi pengajaran. Dia mahu bersemuka sekali lagi dengan wanita itu. Kalau perlu berkasar sekalipun dia akan berkasar.

Yang penting dia dapat memiliki Zarith semula. Barulah hatinya puas. Fikirannya berputar mencari jalan. Fredie muncul dari dapur apartmentnya dengan dua gelas jus oren di tangan. Dia merenung tajam lelaki itu. Langsung tidak membalas senyuman lelaki itu.

Dilabuhkan punggung di sebelah Maya. Dia ingin memeluk wanita yang masih lagi berpakaian tidur satin separas lutut itu seperti malam tadi. Tetapi ditepis kuat. Dia tergamam dengan reaksi Maya yang bad mood tiba-tiba.

“What’s wrong honey?!”

“What’s wrong? Hey, stop asking me that stupid question boleh tak?!”jerkah Maya.

Fredie makin tidak faham. Dia melepaskan keluhan. Meraup wajahnya. Memang sudah diagak yang wanita itu pasti sedang marah benar berdasarkan reaksi nya tadi. Lebih-lebih setelah mereka berdua merancang untuk menyelidiki perkembangan terbaru hubungan Zarith dengan Nurin Hanani di rumah mereka semalam. Melihatkan kemesraan pasangan suami isteri itu ternyata sudah memberikan jawapan terhadap persoalan itu.
Apa lagi mengamuk sakan lah Maya. Lain yang diharapkan lain pula yang jadi. Tetapi apa pula kena mengena dengan dirinya? Dia tidak terlibat langsung dengan persengketaan mereka tiba-tiba pula menjadi sasaran amukan Maya. Dia tidak puas hati.

“Yang you nak marah-marah I pulak ni kenapa Maya?”

Maya dilihatnya sedang berpeluk tubuh. Kakinya disilangkan. Langsung tidak memandang wajahnya. Masam mencuka. Dirinya dikuasai rasa dendam, iri hati dan amarah.

“Semua ni sebab you punya pasal lah. Kalau you tak cadangkan idea bodoh dulu mesti benda macam ni takkan berlaku tau!”

Fredie tergelak kecil. Dia cuba bertenang walaupun hatinya sudah menggelegak panas. Pantang dirinya dimaki begitu.

“Oh,jadi sekarang you tak puas hati lah ni? habis tu you pun bodoh jugak sebab terima idea I tu. Siapa suruh you terima hah?”

“Sebab I harapkan you dapat handle hal ni dengan mudah. You cakap you dah biasa kan buat kerja-kerja macam ni kan? Heh,pakar konon. Lakonan kita betul-betul dah gagal you tau tak.”

Fredie berasa makin sakit hati. Maya langsung menyalahkannya seratu peratus. Ini tidak boleh jadi!

“Memang I mengaku okey I biasa buat kerja-kerja macam ni. Tapi I awal-awal lagi dah cakap kat you kan. I tak berani jamin yang plan kita tu menjadi. Takkan you dah lupa Maya?”

“Ini semua sebabkan kebodohan otak you tu tau tak? Lain yang I harap lain pulak yang you buat. You memang bodoh Fredie. Stupid! Idiot!”

Huh, kan dah kena panggil bodoh tak pasal-pasal! Maya sudah bangun dari sofa. Dia memegang kepalanya yang terasa sudah berdenyut itu.

“Hei,jaga sikit mulut you tu Maya. Jangan celupar sangat ye!”

Fredie sudah meninggikan suaranya.

“Apa? Tak betul ke I cakap? Memang selama ni I tolak cinta you pun sebab kebodohan you tulah Fredie. You tau tak? You tak macam Zarith. He has everything. He’s wealthy and handsome. Apa yang I mintak dia mampu bagi semuanya. Tapi you…habuk pun tarak. Bodoh lagi adalah.”

Maya berkata sinis. Tangannya digawangkan ke udara. Dia memandang Fredie seolah-olah begitu kecil sekali di matanya.

“You…betul-betul dah keterlaluan Maya. Jangan cabar kesabaran I!”

Fredie betul-betul dikuasai amarah. Dia berasa tercabar apabila dibandingkan dengan Zarith. Dia memang pantang. Kalau hendak bandingkan harta dia masih boleh terima lagi. Tetapi ini sampai hendak membandingkan fizikal pula. Ini sudah lebih!

“Apa tak betul ke I cakap? Salah satu faktor I tolak you pun sebab you have nothing Fredie. Nothing…all you have is bullshit!”

Dia tertawa sinis. Merah padam muka Fredie.

“You jangan nak melampau Maya. You fikir you tu bagus sangat ke? Kalau tak takkan lah Zarith boleh buang you kan. Kalau ikutkan memang patutlah dia nak sangat kahwin dengan Nurin Hanani tu. Sebab perempuan tu jauh lagi baik dari you tau tak!”

Maya tergamam. Tidak menyangka Fredie berani berkata begitu padanya. Selama ini lelaki itu hanya mengikut sahaja kata-katanya seperti pak turut. Kini tidak lagi.

“Apa you cakap?”

“Nurin Hanani tu jauh lagi baik dari you. Dia tu cantik serba serbi. Luar dan dalam. Tak macam you. Harap muka aje cantik. Tapi hati busuk. Heh,kalau I jadi Zarith pun I akan pilih dia.”

Wajah Maya sudah kemerahan. Sakit hati mendengar nama wanita itu disebut. Apatah lagi apabila dibandingkan dengan dirinya.

‘Tahu pulak marah!’desis hati Fredie.

“You…get lost now!!”

Tuding jari Maya ke muka pintu apartmentnya. Fredie terkesima.

“What?”

“Get lost! I tak nak tengok muka you lagi lepas ni.”

“Are you kidding me? Come on Maya…”

“Keluar I kata!!”jerkah Maya.

“I takkan keluar dari sini.”

Fredie masih lagi berdegil. Dia memeluk tubuhnya. Tanpa diduga Maya dengan pantas mencapai segelas jus oren di atas meja lalu dicurahkan air tersebut ke wajahnya. Habis basah wajahnya dan baju yang dipakai.
Fredie benar-benar tidak menyangka dengan tindakan drastik itu. Hatinya betul-betul sakit. Tercalar maruahnya sebagai lelaki. Dia bingkas dari tempat duduk. Menyeka wajahnya yang basah. Direnung tajam Maya yang berwajah selamba itu.

“Okey,I akan keluar. Tapi satu aje yang I nak ingatkan you. I takkan lupa perbuatan dan kata-kata you tu. Tengok ajelah nanti apa yang akan I buat. Say hi to hell Maya…”

Kata-kata berbaur ugutan itu dibalas dengan senyuman sinis.

“I tak takut Fredie. You nak buat apa lepas ni terpulanglah.”

Fredie melangkah pergi dari situ dengan rasa dendam membara di hati. Pintu dihempas kuat.
‘Jagalah kau Maya!’

0 ulasan:

Post a Comment