Thursday, February 24, 2011

Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 11

“Mai aku nak tumpang kereta kau ye,”beritahu Nurin Hanani. Dia sudah siap berkemas hendak pulang. Sesi pengajaran pada hari itu telah pun tamat. Baru sahaja sebentar tadi dia menghadiri mesyuarat  bersama semua cikgu berkenaan membincangkan soalan peperiksaan akhir tahun yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Mai kau dengar tak ni?”

“Ha?”

Nurin Hanani menggeleng kepala. Maisarah kelihatan terpinga-pinga. Tidak langsung menumpukan perhatian pada pertanyaan Nurin Hanani tadi.

“Aku nak tumpang kereta kau balik nanti. Macam pagi tadi,”ulang Nurin Hanani. Dia mengangkat kedua keningnya.

“Ala,tak boleh lah Hani. Aku ada hal kejap lagi. Nak balik rumah kakak aku kat Cheras. Aku minta maaf sangat ye tak dapat nak tumpangkan kau,”Maisarah berasa bersalah.

“Hurm,yeke…hantar aku balik sekejap pun tak boleh ke?”

“Tak boleh sangat lah Hani. Bukan aku tak nak tolong. Tapi baru kejap tadi kakak aku call suruh datang rumah dia. Ada hal penting katanya nak bincangkan pasal hal tanah kat kampung aku tu. Tu yang aku terkejar-kejar nak terus balik lepas ni. Aku mintak maaf yek.”

“Hurm,takpelah kalau macam tu. Aku balik naik bas ajelah,”gumam Nurin Hanani.

“Sorry yek Hani.”

Nurin Hanani mengangguk perlahan. Dia juga tidak mahu menyusahkan sahabatnya itu. Sebenarnya kereta kancilnya telah dipinjam oleh Abang Man semalam. Kereta Abang Man pula masuk bengkel. Terpaksalah dia memberi pinjam keretanya itu buat sementara waktu memandangkan Abang Man hendak mengambil isterinya yang berada di Batu Pahat,Johor.

Mereka berjalan beriringan menuju ke kawasan pekarangan sekolah. Kelihatan ramai pelajar sekolah yang kebanyakannya sudah pun mahu pulang ke rumah masing-masing. Maisarah mencuit bahu Nurin Hanani tiba-tiba. Dia tersenyum manis. Hairan dia dibuatnya. Apa kenalah dengan minah seorang ni?

“Kau balik dengan boyfriend kau tu aje lah ye,”usik Maisarah.

Nurin Hanani makin pelik. “Boyfriend? Apa yang kau mengarut ni Hani?”

“Tu ha,”Maisarah menjuihkan mulut ke arah yang dimaksudkannya.

“Ha??”

Kelihatan seorang lelaki yang sedang melambaikan tangan ke arahnya dan berdiri di sebelah kereta BMW 3 Series milik lelaki itu. Siapa lagi kalau bukan Zarith. ‘Aii…dia ni lagi? apa yang mamat ni buat kat sini?’

“Hani,tu ke Zarith yang kau cerita kat aku selama ni? Wah,tak sangka aku. Pandai kau cari. Handsome betul lah,”puji Maisarah. Di tangannya erat memegang tiga buah buku subjek Bahasa Inggeris yang diajarnya.

“Err,aku…”

“Eh,Hani. Aku dah lambat ni. Aku balik dulu ye. Kau balik err,dengan Zarith aje lah ye.”

Belum sempat dia hendak bersuara Maisarah cepat-cepat meninggalkannya. Hendak bagi canlah katakan! Dalam hatinya menyumpah seranah sahabatnya itu. Geram dia dengan Maisarah yang seolah-olah sengaja meninggalkannya itu. Inilah dia kawan bila susah ditinggalkan. Rungut hatinya.

Berat kakinya hendak melangkah ke arah pemuda itu. Hendak buat tidak tahu nanti tidak sampai hati pula. Semakin lama dia semakin mendekati. Akhirnya dia kini berada di hadapan lelaki tersebut yang sedang menguntum senyuman manis buatnya. Dia membalasnya walau terasa malu dan segan yang menguasai diri. Hatinya berdebar semacam.

“Hai Hani,”sapa lelaki itu dengan mesra.

“Assalamualaikum,”balas Nurin Hanani. Serta merta Zarith terasa malu. Mujurlah dia memakai ray ban. Dapat juga cover wajahnya yang sedang menahan malu itu. ‘Patutnya aku bagi salam dulu. Ini terbalik pulak…’

“Err,waalaikumussalam. Dah balik ke?”

Nurin Hanani mengangguk. Hatinya resah berada di situ bersama Zarith. Bimbang ada mata yang memerhati.

 “Saya balik dulu ye…”

“Eh,nanti dulu. Kenapa cepat sangat ni. Zarith nak jumpa Hani kejap. At least before Zarith balik US nanti. Mana kereta Hani?”cepat-cepat lelaki itu menahannya.

“Abang saya pinjam kejap. Nak ambil isterinya yang ada kat Johor,”jawab Nurin Hanani.

“Oh,macam tu. Habis tu Hani balik naik apa?”

“Naik bas,”ringkas jawapannya.

Dia ingin melangkah pergi dari situ. Tetapi sekali lagi tangan sasa Zarith menahannya. Mujurlah dia sempat berhenti daripada bersentuhan dengan lelaki itu.

“Biar Zarith yang tolong hantarkan Hani boleh?”

“Ha?? Tak nak lah. Saya boleh balik sendiri.”

“Hani,please…Zarith boleh hantarkan. Lagipun Zarith kan pernah tolong Hani sebelum ni. Takkan tak biasa lagi dengan Zarith. Kita kan kawan,”sengaja dia berkata begitu. Bukan dia hendak mengungkit kebaikannya tetapi dia mahu gadis itu sesekali beralah dengannya.

Nurin Hanani mengerutkan dahi. Dia malas hendak berlama-lama di situ. Dia terasa lain macam setiap kali bersama lelaki itu. Entah kenapalah dengan dirinya kali ini. Rasa benci yang sejak dulu ditanam kini sudah hilang entah ke mana. Adakah dia sudah mula menyukai lelaki itu?

“Please…”rayu lelaki itu lagi. Dia menatap lama wajah gadis itu yang tampak serba tidak kena sahaja.
Ketika itu jugalah pandangannya tertancap pada seseorang yang sangat dikenali. Bulat matanya memandang Shahrul yang baru sahaja hendak keluar dari pejabat sekolah. Dia tidak mahu lelaki itu nampak yang dia sedang bersama Zarith ketika itu. Bimbang sekali lagi akan mencetuskan pertengkaran. Tidak mahu habis kecoh SMK Seri Budiman itu nanti.

“Okey,”jawabnya bersetuju dengan pelawaan lelaki itu. Tergesa-gesa tanpa dipaksa tangannya membuka pintu kereta dan cepat-cepat meloloskan diri ke dalam kereta.

Zarith terpana dengan tindakan gadis itu. ‘Aii…tadi bukan main beria menolak. Ni terus masuk aje tak payah aku suruh pun?’ dia tersenyum simpul. Menahan rasa geli hati. Namun dia gembira pujukannya tadi berhasil juga. Segera dia menuju ke sebelah dan masuk ke dalam keretanya. Enjin dihidupkan.

Nurin Hanani resah gelisah. Dia mengutuk dirinya kerana bersetuju dengan pelawaan itu. Tetapi apa lagi yang bisa dilakukan? Daripada Shahrul nampak lebih baik dia bersetuju sahaja. Keadaan betul-betul sangat mendesak!

“Lain kali Zarith tak payah lah jumpa saya kat sekolah ye,”pinta Nurin Hanani.

“La,kenapa pulak macam tu? Salah ke?”

“Saya…err,tak selesa.”

Zarith tertawa kecil. “Okey,Zarith minta maaf.”

Dia bernyanyi kecil mengikut rentak lagu yang berkumandang dari radio Fly FM. Perlahan sahaja suaranya. Sesekali matanya melirik memandang Nurin Hanani yang diam membisu di sebelahnya. Gadis itu meramas kedua tangannya. Berpeluh badannya menahan rasa gementar walaupun penghawa dingin sudah dipasangkan. Dia tersenyum lagi.

“Kenapa risau aje Zarith tengok ni? Hani tak payah lah nak takut dengan Zarith. Zarith bukan nak buat apa pun. Bukannya Zarith nak culik Hani,”usiknya.

Nurin Hanani memandangnya sekilas. Tetapi tidak lama. Pandangannya kembali menghadap ke hadapan. Malas dia hendak berbual dengan lelaki itu. Dia cuma mahu segera sampai sahaja. Tidak betah berlama-lama dan berduaan dengan lelaki itu. Sewaktu hampir tiba di satu simpang yang menuju ke rumah sewanya barulah dia bersuara.

“Err,masuk ikut simpang ni okey.”

Tetapi lain yang disuruh lain pula jadinya. Zarith masih selamba meneruskan perjalanan tanpa membelok ke simpang yang dimaksudkan Nurin Hanani tadi. Gadis itu mengerutkan dahi.

“Zarith nak ke mana ni? Kan saya suruh masuk simpang tu tadi?”marah Nurin Hanani.

“Hani temankan Zarith lunch boleh tak? Zarith laparlah,tak makan lagi ni,”dia bersuara perlahan.

Hendak meminta simpati kononnya. Padahal semasa di rumahnya tadi dia sudah bantai makan nasi dengan lauk kari ayam masakan Mak cik Hajar. Siap tambah dua pinggan lagi.

“Apa ni Zarith?  Janganlah buat macam ni. Cepat hantarkan saya balik sekarang. Kalau tak saya lompat keluar dari kereta ni baru awak tau!”gertak Nurin Hanani. Geram sungguh dirinya kerana telah dipermainkan. Menyesal sungguh kerana menerima pelawaan lelaki itu tadi.

“Tak nak. Zarith tak kira. Hani tetap kena temankan Zarith lunch hari ni. Kalau tak,Zarith langsung tak nak hantar Hani balik rumah. Lantak lah apa nak jadi pun,”dia berdegil. Jika gadis itu berkeras dia pun akan turut berkeras juga. Bukannya apa,bimbang jika terlalu berlembut hati perkara yang dihajatinya itu tidak menjadi. Dia tidak akan berputus asa untuk memiliki gadis itu.

Nurin Hanani menggigit bibirnya geram. ‘Hisy,ikut suka hati dia aje nak bawak aku ke mana-mana. Ingat aku ni apa?’

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengikut sahaja. Malas hendak bertengkar dengan lelaki itu. Buat sakit hati sahaja. Akhirnya masing-masing mendiamkan diri. Zarith kembali memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduannya.

**********

Zarith memarkir kenderaannya di hadapan sebuah restoran kegemarannya. Restoran tersebut berada di sekitar Shah Alam juga. Kelihatan agak ramai pengunjung yang datang menjamu selera di situ. Zarith sudah pun mematikan enjin keretanya. Ray ban yang dipakai sejak tadi ditanggalkan. Sempat dia menoleh pada cermin pandang belakang lalu meraup rambutnya ke belakang. Agar tampak lebih kemas.

“Jom Hani,”dia mengajak gadis itu.

Nurin Hanani mengerutkan dahi. Tiba-tiba sahaja perutnya terasa sakit. Tangannya menekan perutnya yang terasa senak.

“Em,kenapa?”tanya Zarith.

“Err,takde apa-apa,”jawabnya sambil menggeleng kepala.

Zarith tersenyum memandangnya. Terus dia menolak pintu dan keluar. Nurin Hanani menahan sakit perutnya. Tetapi tidak lama kemudian dia sudah tidak berasa sakit lagi. Zarith sudah pun membuka pintu untuknya. Dia terpandangkan senyuman manis lelaki itu. Dia terpana dengan layanan romantis lelaki itu. Sedikit sebanyak hatinya mula diulit rasa bahagia. Terasa seolah-olah dirinya ibarat seorang puteri yang dilayani istimewa. Nurin Hanani membalas senyuman itu. Hilang rasa sakit hatinya sebentar tadi. Dia akhirnya keluar dari kereta tersebut.

Mereka berjalan beriringan menuju ke restoran yang dimaksudkan Zarith tadi. Sebenarnya jika diikutkan dia segan untuk berada di sisi lelaki itu. Kelihatan beberapa pasang mata memerhatikan dirinya tatkala dia melangkah masuk ke dalam restoran tersebut. Eh,bukan dia...tetapi Zarith rupanya. Perasan betul!

Beberapa orang gadis yang duduk semeja sedang berbisik-bisik sambil mata mereka tidak berkelip langsung memandang Zarith. Entah mengapa hatinya terusik dengan renungan itu. Dia berasa cemburu tiba-tiba.
Melihatkan Zarith yang berwajah selamba itu memang patutlah menjadi tumpuan para gadis tersebut. Gaya dan paras rupanya menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandang malah tidak padan langsung jika bergandingan dengan dirinya yang hanya mengenakan baju kurung itu. Tetapi Zarith masih bersikap biasa sahaja. Barangkali sudah biasa menjadi perhatian ramai wanita.

“Hani,kita duduk kat sini aje lah okey. Tempat lain dah penuh lah,”kata Zarith. Dia menarik kerusi di hadapannya yang kosong.

Nurin Hanani mengerutkan dahinya. Meja itu bersebelahan sahaja dengan meja gadis-gadis tersebut. Dia makin tidak tahan dengan renungan mereka yang terus-terusan pada Zarith. Hatinya menggelegak panas. Menahan rasa cemburu yang tiba-tiba sahaja singgah di hati. Dia meliar memandang ke sekeliling. Pandangannya tertumpu pada sepasang pasangan suami isteri yang sudah bangkit dari kerusi masing-masing. Meja mereka terletak agak jauh dari kumpulan gadis itu.

“Err,apa kata kita duduk kat sana ajelah ye.”

Tanpa menunggu jawapan dari Zarith,dia terus menuju ke meja yang sudah kosong tersebut. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggung nya di situ. Barulah hatinya lega. Meja itu terletak di sudut paling hujung restoran tersebut. Zarith mengekorinya. Lelaki itu memilih untuk duduk menghadapnya. Supaya dia dapat menatap lama wajah gadis itu.

Zarith tersenyum-senyum. Nurin Hanani makin pelik. “Kenapa senyum-senyum ni?”

“Hani jealous ye tadi?”senyumannya melebar.

“Eh,kenapa pulak saya nak jealous?”

“Kalau tak kenapa tadi ajak Zarith duduk kat meja ni? Hani cemburu kan sebab perempuan tu tadi pandang Zarith lama-lama kan?”usik lelaki itu lagi.

“Hisy,tolong sikit ye. Jangan nak perasan pulak. Tak kuasa saya nak jealous ni. Buang masa saya aje. Lagipun duduk kat sini sejuk sikit.”

“Yeke,ala…kalau betul pun apa salahnya. Bukan kah cemburu tu tandanya sayang?”

Nurin Hanani menjeling tajam. Tidak membalas usikan Zarith itu. Hatinya berdebar dengan usikan lelaki itu. Dia masih cuba menafikan perasaan cemburunya yang hadir tadi.

Tidak lama kemudian,datang seorang pelayan lelaki mengambil pesanan. Zarith memesan mee hailam dan segelas milo panas sahaja. Manakala Nurin Hanani pula memesan nasi goreng kampung dan jus tembikai. Sejurus kemudian,pelayan itu mengangguk dan berlalu dari situ.

“Kenapa pesan mee hailam aje? Kata tadi lapar.”

“Err,Zarith makan sikit dulu. Kalau lapar lagi boleh ambil order balik,”Zarith memberi alasan.

“Em,yeke ni. Duduk lama kat US pun takkan balik sini makan sikit aje? Kalau saya lah kan,dalam sehari tak boleh kalau tak makan nasi.”

Zarith tergelak. “Eh,siapa kata Zarith makan sikit? Masakan melayu lah yang Zarith paling cari tau bila dapat balik sini. Semua Zarith bantai habis. Nanti kalau kita dah kahwin Hani kenalah selalu masak untuk Zarith…”lelaki itu merenung wajahnya sambil tersengih.

Nurin Hanani menjuihkan mulutnya. “Eii,tak kuasa saya nak kahwin dengan awak. Jangan nak perasan pulak ye. Tujuan saya keluar dan temankan awak makan ni semata-mata sebab awak pernah tolong saya dulu. Kalau tak…jangan haraplah saya nak keluar dengan awak.”

Nurin Hanani berasa geli geleman pula mendengar kata-kata lelaki itu. ‘Sesuka hati dia sahaja. Tak ingin aku nak kahwin dengan dia.’ Dia memandang lelaki itu dengan rasa sebal. Tetapi tidak lama apabila tiada reaksi langsung pada wajah Zarith. Sebaliknya lelaki itu masih tertunduk lama. Tiada lagi kata usikan seperti tadi. Nurin Hanani mula berasa bersalah. Tersedar akan keterlanjuran percakapannya tadi. Barangkali Zarith telah tersinggung dengan kata-kata pedasnya tadi.

“Err,Zarith. saya mintak maaf pasal tadi.”

Senyap. Rasa bersalah makin menguasai diri.

“Zarith…please,maafkan saya…”

Zarith mengangkat wajahnya. Dia kehairanan. “Apa dia Hani?”

“Saya mintak maaf cakap macam tu tadi.”

“La,kenapa nak mintak maaf pulak tiba-tiba ni?”dia makin hairan. Begitu juga dengan gadis itu.
“Sebab saya cakap kasar tadi lah.”

“Oh,takde apalah okey. Zarith tengah check handset Zarith ni. Tak boleh bukak pulak. Tiba-tiba aje jammed. Hai,nak kena tukar baru lah ni…”rungut lelaki itu sambil mengunjukkan telefon bimbitnya.

Merona kemerahan wajah Nurin Hanani. Menahan rasa malu. ‘La…aku ingatkan merajuk dengan aku tadi. Ceh!! Buang karan aje aku pujuk dia…’

“Hani,kalau Zarith tanya sesuatu boleh tak?”tanya Zarith tiba-tiba.

‘Dia ni kalau nak tanya tu tanya ajelah. Tak payah lah nak minta izin pulak!’bisik hatinya.

“Em,tanya lah. Apa dia?”lain pula ayat yang keluar dari bibir comelnya.

“Shahrul masih ganggu Hani lagi ke?”

“Tak dah. Saya pun dah tak perlu pening lagi dengan dia. Cuma kadang-kadang tu selalu jugak jumpa masa kat sekolah,”jawab Nurin Hanani jujur.

Zarith terkejut. “Ha? Dia tu mengajar satu sekolah dengan Hani ke?”

“Ha’ah,kenapa?”

Zarith mula rasa tidak sedap hati. Tidak tahu pula yang bekas tunang Nurin Hanani mengajar di sekolah yang sama dengan gadis itu. “Kalau macam tu Hani mintak lah tukar mengajar kat sekolah lain. Tak boleh ke macam tu?”

“Hisy,tak nak lah saya. Buat apa? Zarith ingat senang ke nak mintak tukar ni?”

Nurin Hanani makin tidak faham dengan sikap lelaki itu. Ikut suka hati sahaja menyuruh dirinya membuat pertukaran sekolah. Belum ada apa-apa hubungan lagi sudah menyuruhnya membuat macam-macam. Ini belum kahwin lagi. Kahwin? Eii,tidak mungkin dia ingin berkahwin dengan lelaki itu. Gatal semacam sahaja. Meremang bulu romanya.

“Kalau Hani dah cakap macam tu,Zarith tak boleh nak buat apalah. Nampaknya kena cepat lah kalau macam ni…”dia meleretkan kata-kata. Panahan mata lelaki itu begitu tajam menusuk ke hatinya.

“Kena cepat? Apa maksud Zarith ni?”tidak jelas dia dengan maksud kata-kata lelaki itu. Berdebar dia dengan pandangan semacam lelaki itu.

Zarith sekadar menggeleng kepala. Dia tersenyum penuh makna. Nurin Hanani yang memerhati makin tidak faham. Dia ingin bertanya lagi tetapi seorang pelayan wanita telah menghampiri meja mereka lalu menghidangkan makanan serta minuman yang telah dipesan tadi. Akhirnya masing-masing terus menyepikan diri sambil menikmati hidangan makan tengah hari. Persoalan yang tadinya bermain dalam ingatan Nurin Hanani terus lenyap begitu sahaja.

Bab 12

Zarith membelokkan kereta BMW 3 Series nya menuju ke stesen minyak Petronas. Dia perlu mengisi minyak terlebih dahulu memandangkan minyak dalam tangki keretanya hanya tinggal suku sahaja lagi. “Zarith nak isi minyak dulu ni. Hani tunggu kat dalam ni okey,”pinta Zarith.

Nurin Hanani mengangguk kepala. Dia tersenyum memandang lelaki itu. Sejurus selepas Zarith keluar dari keretanya,senyumannya terus mati. Dahinya berkerut seribu. Sakit perutnya datang lagi. Terasa begitu mencucuk-cucuk seperti ditusuk dengan jarum. Peluh memercik di dahinya.

‘Aduh,kenapa lah tiba-tiba aje sakit perut ni,’rungutnya. Macam hendak pitam sahaja dia saat itu.
Kesakitan yang amat sangat itu sejak tadi lagi ditahannya. ‘Ke aku salah makan ni?’ Tetapi dirasakan macam tak logik pula memandangkan dia sudah berasa sakit perut lagi sebelum Zarith mengajaknya makan tengah hari di restoran tadi. Dia terasa sesuatu. Hatinya berdebar semacam.

‘Ke…aku….?’                     

Dia menggagahkan diri juga yang sedang kesakitan untuk keluar dari kereta. Dia mahu pergi ke tandas yang berhampiran dan juga terletak di stesen minyak Petronas itu. Nurin Hanani memandang ke sekeliling. Mencari kelibat Zarith. Kelihatan Zarith yang sedang membuat bayaran di kaunter. Terus sahaja dia mempercepatkan langkahnya menuju ke bilik air.

Tidak sampai lima belas minit dia sudah keluar dari bilik air tersebut. Riak wajahnya kelihatan sangat pucat sekali. Agaknya jika ditoreh dengan pisau pasti darah pun tidak mengalir keluar. Dia betul-betul panik ketika itu. Memang benar dan tepat sekali telahannya tadi. Seperti yang telah dijangkakan. ‘Kenapa aku boleh kena uzur time macam ni?’ Patutlah sakit perutnya lain macam sahaja.

Dia terlupa pula hendak membawa tas tangannya yang tertinggal di dalam kereta Zarith tadi. Itulah…hendak cepat punya pasal. Satu kerja pula kena ulang-alik ke tandas berulang kali. Tetapi masalah wanita yang dihadapinya kini betul-betul merupakan satu masalah besar. Dirasakan sangat tidak sesuai pada waktu ini.
 Segera dia melangkah dengan pantas sebelum Zarith siap mengisi minyak kereta. Tetapi Zarith tiada di situ. Dia menarik nafas lega. Bermakna masih sempatlah jika dia ingin pergi ke bilik air semula. Cuma dia perlu mengambil tas tangannya. Dia segera membuka pintu kereta.

‘Alamak?!’ Rupanya Zarith sudah siap sedia menunggunya di dalam kereta. Nurin Hanani teragak-agak untuk masuk.

“Kenapa tak masuk?”soal lelaki itu yang kehairanan.

“Err,ddd…dah…isi minyak ke?”tergagap-gagap dia bertanya.

Zarith mengangguk kepala. Dia masuk juga ke dalam kereta. Otaknya ligat berputar. ‘Macam mana ni yek. Apa aku nak buat ni? nak bagi alasan apa?’ dalam keadaan begitu dia sangat-sangat terdesak. Dia perlu ke tandas semula. Tangannya mencapai tas tangan yang berada di tempat duduknya.

“Err,saya…”

“Hani temankan Zarith pergi SACC Mall kejap ye. Ada something nak cari sebelum Zarith hantar Hani balik okey,”lelaki itu cepat-cepat memintas percakapannya. Memang dia betul-betul ada sesuatu yang mustahak ingin dibelinya. Bukan alasan semata-mata.

“Err,Zarith…”perlahan sahaja suaranya sehingga gagal didengari oleh Zarith.

Tanpa menunggu jawapannya Zarith sudah memandu  kereta BMW 3 Series nya keluar dari stesen minyak. Begitu pantas sekali tanpa dia sempat berbuat apa-apa. Dia menahan sabar di dalam hati. Jika diikutkan dia mahu menolak sebenarnya ajakan lelaki itu ke SACC Mall dan terus menyuruh menghantarnya pulang ke rumah sewa. Tetapi sakit perutnya masih belum hilang lagi saat ini. Melebihi segalanya sehingga dia tiada kuasa hendak menghalang. Tangannya menekan perut menahan sakit.

**********

Mereka berdua berjalan seiringan dan melangkah masuk ke dalam SACC Mall. Nurin Hanani memegang erat tas tangannya. Berpeluh-peluh tubuhnya. Langsung tidak terasa suhu penghawa dingin di dalam pusat membeli-belah terkemuka itu. Matanya meliar mencari bilik air. Sesekali tangannya menekan perut menahan rasa sakit.

Lambat sekali dia berjalan sehingga memaksa Zarith menghentikan langkahnya beberapa kali bagi menyainginya. Lelaki itu mulai mengesyaki sesuatu.

“Kenapa ni Hani? Ada masalah ke?”

Risau dia melihatnya. Wajah Nurin Hanani kelihatan begitu pucat. Tetapi gadis itu hanya menggeleng lemah. Ingin memberitahu Zarith terasa malu pula. Biarlah memandangkan buat masa ini dia masih boleh bertahan lagi. Hendak tak hendak,dia hanya mengikut sahaja langkah lelaki itu kerana kini mereka sudah pun berada  di pusat membeli-belah tersebut.

“Betul ke ni?”tanya Zarith lagi. dahinya berkerut inginkan kepastian.

“Betul. Zarith cakap nak cari barang kan. Tolong cepat sikit boleh tak? Hani nak balik cepat ni,”pinta Nurin Hanani.

Zarith mengangguk. Dia juga ingin cepat sebenarnya. Nurin Hanani mengekorinya di belakang. “Zarith nak cari apa ni sebenarnya?”

Zarith tersenyum sedikit. Dia sedikit teragak-agak untuk memberitahu. Tangannya menggaru kepala. “Err,em…adalah. Segan lah nak cakap. Hani,kat sini ada kedai The Body Shop tak?”

“Oh,ada…tapi dah lupa kat floor mana. Dah lama tak pergi sini,”jawab Nurin Hanani.

‘Dia nak cari apa ye? Em,maybe barang orang lelaki kot. Tak patut aku tanya. Lantak dialah,’bisiknya dalam hati. Dia sekadar memandang Zarith dari belakang. Dalam diam dia mula membuat penilaian terhadap lelaki itu. Bertubuh tegap dan tinggi lampai macam gaya model sahaja. Dari segi rupa paras hm…memang handsome pun. Macho pun ada. Begitu fikirnya.

Jika diikutkan dia sedikit sebanyak berasa bahagia juga dapat berada di samping lelaki itu saat ini. Sikap ambil berat lelaki itu dan kebaikannya membuat diri ini senang sekali dengan layanan yang diberikan. Tercetus senyuman kecil di bibirnya. Sewaktu itulah Zarith berpaling ke belakang. Cepat-cepat dia mematikan senyumannya. Tidak mahu lelaki itu melihatnya.

“Em,Zarith. Hari tu masa Zarith hantar saya kan saya ingatkan kita dah tak jumpa lagi,”dia bersuara.
Zarith mengerutkan dahi. “Hari tu? Masa bila ye?”

“Masa Zarith selamatkan saya dari Shahrul hari tu.”

“Oh,betul tu. Tapi Zarith memang nak curi sikit masa lagi nak jumpa Hani. Tak boleh kalau tak jumpa Hani sebelum balik ni. Rasa rindu pulak.”

Merona kemerahan wajah gadis itu. Tetapi Zarith sekadar tersenyum sahaja. “Kenapa? Tak boleh ke kita nak rindukan pada orang yang kita suka?”usiknya lagi.

“Tapi kita baru aje kenal…”

“Hani,walaupun Zarith akui seseorang tu perlukan masa jugak nak mengenali antara satu sama lain,tapi bagi Zarith sejak pertama kali lagi kita jumpa hati ni dah terpaut dan suka pada Hani. Nak kata apa lagi? Zarith memang betul-betul ikhlas nak berkawan dan mengenali Hani. Zarith memang betul-betul maksudkannya.”
Pandangan mata lelaki itu tajam sekali sehingga menusuk ke jantungnya yang berdebar-debar. Mengapa dia berasa sangat aneh sekali bila berada di samping lelaki itu?

“Em,flight Zarith nanti pukul berapa?”segera dia mengalih topik perbualan. Menyembunyikan rahsia hati.
Zarith tersenyum. Faham benar yang gadis itu tidak mahu berbicara lagi soal itu.

“Tonight honey…”ringkas dia menjawab. Nurin Hanani tidak menyedari perkataan ‘honey’ yang diguna pakainya. Dia tersenyum nakal.

Nurin Hanani terasa perutnya makin sakit dirasakan. Tiba-tiba pandangannya terpaku ke arah satu laluan yang menuju ke bilik air.

“Err,saya nak pergi bilik air kejap. Zarith carilah dulu barang yang Zarith nak beli tu. Nanti dah sudah kita jumpa balik kat sini ye,”beritahu Nurin Hanani.

‘Aii,berapa kali dia ni nak pergi toilet?’fikir Zarith sendirian.

“Okey,dah siap nanti tunggu Zarith kat sini tau. Hani jangan nak merayau ke mana-mana pulak.”

Nurin Hanani mengerutkan dahi. ‘Merayau? Hisy,dia ingat aku ni budak kecil ke?’ Tetapi dia sudah tidak peduli lagi. Cepat-cepat kakinya melangkah pantas menuju ke bilik air.

**********

Tidak lama kemudian Nurin Hanani melangkah keluar dari bilik air. Dia berasa lega sedikit walaupun perutnya masih terasa sakit lagi. Jika dia berada di rumah saat ini sudah tentulah dia sudah lama berbaring di atas katil. Dia lebih rela tidur sahaja dari terpaksa menahan kesakitan yang amat sangat itu.

Dia berdiri menunggu Zarith sambil tubuhnya disandarkan ke dinding. Tetapi tidak lama apabila perlahan-lahan dia duduk mencangkung sambil menekan perutnya. ‘Argghhh,sakitnya…’rungutnya sendirian. Mukanya berkerut seribu. ‘Mana dia ni? kenapa lama sangat?’

“Hani,kenapa ni?”kedengaran suara seseorang menegurnya.

Dia mengangkat wajahnya. Jelas kelihatan riak wajah tampan milik Zarith yang kerisauan. Di tangan kanannya memegang erat plastik putih. Barangkali itulah barang yang ingin dibelinya.

Dia masih mendiamkan diri. Tidak menjawab pertanyaan lelaki itu tadi. Zarith makin risau. Dia bangkit perlahan-lahan. Cuba menggagahkan dirinya untuk bangun.

“Saya…sakit…”

“Sakit? Sakit apa?”

“Sakit perut…”lemah dia menjawab.

Zarith mengeluh sambil meraup wajahnya. “Kenapa tak cakap kat Zarith yang Hani sakit?”marah lelaki itu.
Nurin Hanani tersentak. Zarith benar-benar marah. Inilah kali pertama dia melihat lelaki itu memarahinya. Hatinya bergetar sekali.

“Saya…”

“Maknanya Hani memang dah sakit perut dari masa kat Petronas tadi lah ye?”

Nurin Hanani tertunduk. Dia menggeleng.

“Habis tu?”

“Sebenarnya saya dah rasa sakit masa kita sampai kat restoran tadi lagi…”

Zarith mengeluh lagi. “Kenapa tak cakap? Hani fikir Zarith ni kejam sangat ke sampai nak paksa Hani ikut kehendak Zarith hm?”

Zarith kelihatan tegang sekali. Suaranya masih lagi tinggi seperti tadi. Sebenarnya dia sangat risaukan keadaan Nurin Hanani ketika itu. Bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku. Dia berasa bertanggungjawab untuk menjaga gadis itu memandangkan gadis itu sedang bersamanya kini.

“Maafkan saya…saya tak tau…”sayu gadis itu menjawab. Hatinya tersentuh.

“Kalau diri tu memang dah sakit takkanlah boleh tak tau lagi? yang Zarith hairan kenapa Hani langsung tak beritahu yang Hani sakit perut? Kalau Zarith tau dah lama Zarith hantarkan Hani pergi klinik and then terus aje balik rumah. Kan senang macam tu,”tinggi nada suaranya.

Nurin Hanani mengiakan kata-kata lelaki itu dalam hati. Sesungguhnya dia sendiri tidak tahu mengapa berat sangat mulutnya untuk memberitahu. Dia berasa sangat malu. Dia seolah-olah sengaja semata-mata ingin berada di sisi lelaki tersebut. Ah,dia sendiri tidak faham dengan perasaannya sendiri.

“Dah lah. Jom Zarith hantarkan Hani balik. Or Hani nak pergi klinik dulu?”Zarith mengendurkan suaranya.

Nurin Hanani menggeleng. “Takpelah,Zarith tolong hantar saya balik terus aje.”

**********

Mereka sudah pun sampai di hadapan rumah sewa Nurin Hanani. Kereta Maisarah kelihatan tersadai di bahagian garaj. Teman serumahnya itu telah pulang rupanya. Nurin Hanani mengucap terima kasih kepada Zarith lalu membuka pintu kereta.

“Zarith nak mintak maaf,”kedengaran suara garau lelaki itu.

Nurin Hanani tersenyum sedikit. Bibirnya sedikit pucat. “Takpelah,saya yang salah jugak sebab tak beritahu kat Zarith awal-awal tadi. Maaflah sebab saya ni dah susahkan Zarith.”

“Zarith tak maksud nak marahkan Hani tadi. Cuma Zarith risau sangat. Takut apa-apa hal jadi.”

Nurin Hanani menundukkan wajah. Lelaki itu risaukan dirinya? Mengapa dia begitu risau? Hatinya berdebar-debar menanti ungkapan yang seterusnya dari lelaki itu.

“Hani ni salah makan agaknya sampai boleh sakit perut kan?”Zarith mengagak.

Nurin Hanani terasa malu. Merah mukanya. “Em,agaknya kot…”mana mungkin dia ingin berterus terang.

“Hani,walau apa pun thanks ye dah temankan Zarith lunch hari ni. Zarith gembira sangat bersama Hani dan mengenali diri Hani dengan lebih rapat macam ni. I have a great moment with you when I am here. Zarith tak mungkin dapat lupakan Hani walaupun Zarith berada jauh nanti…”

Ah,kata-kata romantis itu lagi. Dia bagaikan dibuai perasaan bahagia mendengar bicara romantis lelaki itu yang kedengaran ikhlas pada pendengaran telinganya. Jika diikutkan hati mahu sahaja dia menyuruh lelaki itu mengulang kembali kata-kata itu. Agar kata-kata itu dapat menjadi peneman di saat dirinya yang kerinduan. Agar kata-kata itu dijadikan perangsang buatnya meneruskan hari-hari mendatang tanpa kehadiran lelaki itu di sisi. Sesungguhnya dia tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa mereka akan berpisah buat seketika. Tidak tahu bilakah lagi akan bertemu.

Dan saat ini dia dapat merasakan dirinya kini benar-benar sudah jatuh…cinta!



0 ulasan:

Post a Comment