Friday, February 25, 2011

Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 23

“Adik aku kirim salam kat kau Rul,”beritahu Fakhrul.

Dia sedang duduk berehat di satu sudut gelanggang futsal. Melepaskan lelah setelah bermain futsal sebentar tadi. Zarul yang duduk di sebelahnya mendongak dengan wajah kehairanan. Dia tertunduk-tunduk sambil menyimpul tali kasut sukannya. Diikatnya dengan kemas. Penampilannya begitu ringkas sekali dengan mengenakan T shirt kelabu dan berseluar track warna hitam. Mereka menghabiskan masa dengan bermain futsal pada petang itu.

“Adik kau yang mana?”

Dia bertanya hairan. Walaubagaimana pun,dia tetap menjawab salam itu di dalam hati.

“Liyana tu lah. Takkan adik aku si Boboi tu pulak. Kau ni pun Rul,”Fakhrul menyiku lengan sahabatnya itu sambil tersengih.

Zarul tersengih-sengih. Terbayang pula adik lelaki Fakhrul yang baru berusia tiga belas tahun itu. Sangat nakal budaknya. Macam abangnya juga. Jangan marah Fakhrul. He he he…

“Yelah,manalah aku tau. Adik kau ramai sangat Fakhrul. Yang bawah kau tu ada lagi lima orang. Manalah tau Zahra yang baru form 2 ke yang kirim salam,ataupun si Boboi yang kau cakap tadi ke…”

Dia tergelak. Begitu juga dengan Fakhrul. “Ala,mestilah adik aku si Liyana tu. Kau tak ingat ke yang kau ada pernah kasi dia bunga dulu?”

Zarul terdiam. Dia terasa segan apabila mengingatkan kembali kejadian yang tidak diduga itu. Betapa malunya dia pada Fakhrul tika itu. Begitu juga dengan gadis yang bernama Liyana itu. Manis juga orangnya. Berdebar dia mengingati nama itu.

“Mestilah aku ingat. Mana boleh lupa…”

Sudah lama dia tidak bertemu dengan gadis itu. Andailah ada lagi pertemuan antara mereka. Aduh,manalah hendak disorok muka ni!

“Dia suka sangat bunga yang kau bagi tu. Dia cakap kau lelaki yang baik dan syumul (sempurna),”Fakhrul tersenyum-senyum. Makin galak mengusik temannya itu.

“Hah,dia cakap macam tu ke?”

“Yup,dia cakap macam tu. Nampak gaya kau bakal jadi adik ipar akulah nanti Rul.”

Merah padam muka Zarul. ‘Ya Allah…malunya aku.’

“Kau ni merepek aje Fakhrul.”

“Lah,apa salahnya kan. Aku pun setuju sangat kalau adik aku tu suka kat kau. Kau kan kawan baik aku Rul.”

“Tapi aku malu Fakhrul.”

Fakhrul melepaskan tawa. Makin lama makin galak. Dia menepuk bahu Zarul yang sudah menyeringai.
“Maknanya kau pun suka jugaklah kat Liyana?”

“Wei,dah,dah…end of discussion okay.”

Zarul mengangkat kedua tangannya. Tetapi Fakhrul tidak peduli.

“Kau kena cepatlah Rul. Takkan nak melepas lagi? dulu kau cakap pernah suka kat Nurin Hanani kan. Sekarang dia dah selamat jadi kakak ipar kau. Takkan sekarang kau nak melepas lagi? takpe,kali ni aku akan tolong kau. Amacam?”

Zarul terkedu mendengar kata-kata yang selamba keluar dari mulut Fakhrul.

“Ala,kau jangan risaulah. Adik aku tu belum berpunya lagi. Dia tu lain sikit. Awal tahun depan dia dah nak berangkat ke Jordan. Sambung Master kat sana.”

“Dia nak sambung apa kat sana?”Zarul mula menunjukkan minat.

“Em,kalau tak silap aku Pengajian Dakwah ke apa entah. Tapi dalam bidang yang berkaitan agama jugak lah. Dia tu lain sikit Rul. Aku pun kadang-kadang malu dengan dia…”Fakhrul merendah diri.

“La,nak malu kenapa pulak? Kau pun budak sekolah agama jugak kan,”tempelak Zarul.

“Memanglah aku ni dulu budak sekolah agama. Tapi aku ni budak nakal. Selalu ponteng kelas.”

“Nakal-nakal pun nasib baik kau pandai jugak.”

Zarul mengusik sahabat akrabnya itu. Fakhrul sudah menjegilkan matanya. Mereka serentak tertawa. Bergema satu dewan gelanggang futsal itu.

“Rul,tapi aku memang serius tanya kau tadi.”

“Pasal apa?”

“Pasal Liyana tulah…”

Zarul terdiam. Lama dia memikirkannya. Memanglah dia akui yang dia sudah mula menyukai gadis itu sejak pertemuan mereka tidak lama dahulu. Tetapi buat masa ini biarlah dia melupakan dahulu akan hal yang berkaitan dengan hati dan perasaan.

Tambah pula dia sedikit sebanyak sudah boleh menerima hakikat pernikahan antara abangnya dan Nurin Hanani. Dia tidak ingin terus menghukum diri atas apa yang terjadi. Baginya cukuplah jika Nurin Hanani bahagia dengan pilihan hatinya sendiri. Dia juga akan sentiasa mendoakan kebahagiaan wanita itu. Sedaya upaya dia akan menjaga hubungan baik dengan kakak iparnya itu.

Masa yang berlalu telah mendewasakan fikirannya. Sejak pertemuan dengan Liyana hatinya terdetik sesuatu ingin mengenali gadis itu dengan lebih rapat lagi. Sengaja dirahsiakan terlebih dahulu daripada pengetahuan Fakhrul.

Tiba-tiba tercetus satu pertanyaan dari bibirnya,

“Bila dia akan ke Jordan?”

**********

Hadiff Akmal meletakkan buku-buku latihan Bahasa Malaysia Tingkatan 3 di atas meja Nurin Hanani. Bertimbun-timbun banyaknya buku tersebut sehingga memaksa Nurin Hanani meminta pertolongan pelajarnya itu yang juga merupakan ketua kelas Tingkatan 3 Mutiara.

“Terima kasih.”

Dia menganggukkan kepala sebelum berlalu dari situ.

“Eh,Hadiff…tunggu kejap,”dia menahan.

Pelajarnya itu kembali semula ke meja Nurin Hanani.

“Ada apa cikgu?”tanya Hadiff.

“Cikgu nak tanya ni,dah lama sangat ke Yusra tak datang sekolah?”

Hadiff terdiam sejenak. Dahinya berkerut-kerut memikirkan nya. Kemudian dia mengangguk.

“Ha’ah cikgu. Dah seminggu dah dia tak datang kalau tak silap saya. Kenapa cikgu?”

Nurin Hanani tidak segera menjawab pertanyaan pelajarnya itu. Sebaliknya dia mencapai sebuah buku kedatangan pelajar berwarna biru yang terletak di bawah buku-buku rujukannya. Dia menyemak dan meneliti kedatangan Yusra ke sekolah. Memang benar kata Hadiff. Sudah seminggu dia tidak hadir ke sekolah tanpa sebarang berita.

“Hadiff tau tak kenapa dia tak datang?”

“Saya pun tak tau lah cikgu. Tapi err,saya ada dengar cerita…err,”teragak-agak Hadiff menutur kata.
Nurin Hanani memandang tepat wajah pelajarnya itu. Dia menanti kata-kata seterusnya dengan sabar.

“Hadiff dengar pasal apa?”

“Saya ada dengar dari kawan-kawan Yusra. Diorang ada cerita yang Yusra tengah ada masalah sikit dengan keluarga dia cikgu…”

“Oh,begitu.”

“Saya rasa sebab tu agaknya dia berubah.”

“Berubah macam mana tu maksud Hadiff?”

“Entah lah cikgu. Saya tengok dia dah tak ceria macam dulu. Lebih banyak termenung aje dalam kelas. Dengan kitorang pun dia dah takde nak join sangat dah,”cerita Hadiff lagi.

Nurin Hanani terangguk-angguk. Cuba mengumpul sebanyak mungkin maklumat yang diberi Hadiff.
“Lagi apa lagi yang Hadiff dengar tentang Yusra?”

“Em,ada dalam dua hari lepas kan cikgu,Qistina pernah datang rumah Yusra sebab dah lama sangat tak jumpa dia…”

“Habis tu?”

“Tapi semua pintu berkunci. Takde sorang pun kat dalam rumah tu. Yusra pun takde.”

“Yusra ada berapa orang adik-beradik ye?”

“Em,saya pun tak pasti sangatlah cikgu. Yang paling rapat dengan dia pun Qistina lah. Saya rasa dia tau kot cikgu,”jawab Hadiff jujur.

Nurin Hanani mengangguk. “Kalau macam tu takpelah Hadiff. Terima kasih ye. Awak boleh balik ke kelas.”

“Sama-sama cikgu.”

Setelah Hadiff berlalu dari bilik guru,Nurin Hanani menongkat dagunya sambil memikirkan kembali kata-kata pelajarnya itu tadi. Patutlah Yusra nampak bermasalah sahaja sekarang ini. Rupanya benar jangkaannya selama ini. Yusra ada masalah keluarga. Cuma dia tidak tahu masalah yang bagaimana.

Teringat kejadian sewaktu Yusra menelefonnya seminggu yang lepas. Seolah-olah dia ingin menceritakan sesuatu. Tetapi hampa kerana talian telah terputus.

Dia ada cuba menghubungi semula gadis itu. Tetapi sudah banyak kali gagal. Tiba-tiba sahaja Yusra tidak hadir ke sekolah sehingga seminggu lamanya. Pening dia memikirkan.

Bimbang juga dengan keadaan anak muridnya itu. Sedangkan tinggal tiga bulan sahaja lagi peperiksaan PMR bakal menjelang tiba. Risau jika konsentrasi Yusra terhadap pelajarannya akan terganggu.

Padahal dia sedar yang Yusra ada potensi untuk maju dan berjaya di dalam akademik. Pelajar itu salah seorang dari pelajar harapan sekolah yang bakal memperolehi keseluruhan A di dalam semua matapelajaran. Berdasarkan markah yang dinilai sebelum ini,Yusra tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Masalah yang dihadapinya juga tidak harus dipandang remeh.

Gerak hatinya mengatakan ada sesuatu yang sedang berlaku terhadap Yusra ketika ini. Kadangkala gerak hati yang kuat juga boleh membantu. Teringat dia akan pepatah Inggeris, ‘A woman uses her intelligence to support the reason of her intuition.’

Dan memang benar telahannya selama ini tepat sekali. Dia berdoa semoga Tuhan memberinya jalan petunjuk agar masalah Yusra dapat diselesaikan secepatnya.


 Bab 24

Tangannya menumbuk meja dengan kuat. Kepalanya sakit mengenangkan pelbagai masalah yang menimpa dirinya sejak akhir-akhir ini. Kemelut rumahtangga yang melanda dirinya dengan Nurin Hanani masih tidak sudah-sudah lagi. Inikan pula timbul masalah baru.

“Gila ke apa Dato’ Ishak ni. Dia fikir aku ni budak hingusan yang dia boleh buat main ke?”gumam Zarith sendirian.

Habis semua file berterabur di atas mejanya akibat amukannya tadi. Sakit hatinya mengingatkan kata sindiran pedas Dato’ Ishak tadi. Dasar orang tua tak sedar diri!

Dia baru sahaja habis mesyuarat berkenaan pembentangan kerja projek yang baru bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Projek pembangunan bangunan kedai yang akan diusahakan di sekitar Kuala Lumpur itu menelan belanja jutaan ringgit. Susah payah dia mendapatkan projek itu. Rupanya dia telah mendapat khabar dari salah seorang kakitangan syarikatnya. Ada ura-ura mengatakan bahawa Dato’ Ishak telah bertemu dengan client tersebut dan memberikan rasuah demi mendapatkan projek tersebut. Seterusnya beralih arah dari syarikat Aras Hijau Holdings.

Apa lagi,mengamuk sakanlah Zarith. Habis semua kakitangan syarikat ditengkingnya. Pantang ada silap sedikit walaupun sejemput. Pasti akan keluar kata makian dan caciannya. Semua terketar lutut melihatkan dirinya. Akhirnya masing-masing membisu dan meneruskan kerja masing-masing.

“Huh,bapak dengan anak sama aje. Dua-dua tak sedar diri!”

Dia terkenangkan Maya lalu dibandingkan dengan Dato’ Ishak. Dua-dua anak beranak perangai sama sahaja. Hanya tahu menyusahkan orang. Tetapi hairan pula dia. Bagaimana papa boleh rapat dengan Dato’ Ishak?
Jangan-jangan papa juga telah hidup-hidup ditipu oleh orang tua itu. Dia menggenggam erat penumbuknya. Kalau lah Dato’ Ishak ada di hadapannya sekarang ini,mahu bengkak wajah orang tua itu ditumbuknya. Baru puas hatinya. Baru padan muka!

Panas hatinya. Dia tidak menyangka semua ini akan berlaku. Otaknya kembali mengatur strategi. Dia tidak boleh membiarkan hal itu berlarutan tanpa mengambil sebarang tindakan. Dia melihat jam di pergelangan tangannya. Masih ada masa lagi untuknya menyelesaikan beberapa urusan. Nampaknya dia akan pulang lambat ke rumah hari ini.

**********

Petang itu Nurin Hanani memberanikan dirinya mendekati Zarith yang sedang beristirehat di ruang tamu. Walaupun dia teragak-agak untuk menyatakan hasratnya itu tetapi mengenangkan keinginannya begitu membuak di hati,akhirnya dia terpaksa juga. Dia duduk di sebelah Zarith. 

Zarith memejamkan matanya. Wajahnya kelihatan keletihan dan begitu kusut sekali. Nurin Hanani tidak sampai hati pula. Nanti dikatakan mengganggu pula.

‘Macam mana ni? nak beritahu ke tak payah? Ke nak tunggu malam karang aje?’

Hatinya berbelah bahagi. Tetapi Hajah Zaharah telah menelefonnya semalam. Bertanyakan persetujuan dia sama ada hendak pulang ke kampung mereka yang berada di Terengganu ataupun tidak. Kalau boleh dia harus memberikan kata putus pada emaknya itu secepat mungkin. Kalau nak tunggu sampai malam baru hendak beritahu bimbang Zarith pula yang keluar nanti. Suaminya itu memang jarang hendak melekat di rumah.

“Hm,kenapa ni?”

Zarith bersuara. Matanya masih lagi dipejamkan. Dia agak terkejut dengan pertanyaan suaminya itu. Dia fikir tadi yang Zarith tidak menyedari kehadirannya di situ.

“Abang,kita balik Terengganu okey? Hani teringin sangat nak jumpa family Hani kat sana tu. Dah lama sangat tak balik. Abang pun ikutlah sekali ye. Kita ambil cuti dalam tiga hari aje.”

Zarith membuka matanya sebaik mendengar pertanyaan isterinya itu.

Nurin Hanani berusaha memujuk suaminya. Dia tidak berkesempatan untuk memberitahu hal itu kepada Zarith semalam. Sudah puas dia menunggu kepulangan Zarith ke rumah. Tetapi sampai ke pagi tadi barulah Zarith pulang. Itupun sampaikan dia tertidur di atas sofa kerana keletihan menunggu suaminya itu.

“Nantilah aku fikir macam mana…”

Dia sedikit hampa. Namun begitu dia masih mahu memujuk. Dia tidak berputus asa.

“Mak dah telefon semalam. Dia beria ajak kita balik sekali bang. Hani dah lama tak berjalan ke sana bang. Abang Man dengan Kak Ros pun ada jugak. Boleh lah ye bang. Kita balik sekejap aje.”

Desakan Nurin Hanani makin membuatkan Zarith bertambah berang. Dia sudah lah keletihan akibat pulang lewat malam tadi. Isterinya itu sudah tidak tahu erti sabar lagi kah?

“Yang kau tak sabar sangat ni kenapa hah? Kau tak nampak ke aku tengah penat ni? kalau kau nak balik sangat meh sini. Aku hantar kan kau sampai ke stesen bas sekarang ni jugak. Hah,pergilah bersiap. Tunggu apa lagi?!!”jerkah Zarith.

Gerun Nurin Hanani melihatnya. Dia ketakutan. Zarith betul-betul mengamuk nampaknya. Dia sudah dapat mengagak. Tetapi Zarith juga yang bertanyakan dia tadi. Bukan niatnya hendak menganggu ketenteraman suaminya itu.

“Hani nak tanya je dulu. Bukan Hani nak kita balik sekarang…”dia menikus.

“Kau ni tak faham ke apa aku cakap tadi?!”

Zarith sudah mula hilang sabar. Sudah lah masalah kerja projek di syarikatnya masih membelenggu dirinya hingga kini. Dia sudah pening hendak memikirkannya. Kini desakan Nurin Hanani yang seperti memaksanya itu sangat membuatkan dia sakit hati.

Tiba-tiba tangan Nurin Hanani ditarik kasar menuju ke tingkat atas. Dia terjerit kecil. Berkerut dahinya menahan rasa sakit. Satu persatu anak tangga dinaiki dalam keterpaksaan. Dia meronta-ronta melepaskan diri dari cengkaman tangan Zarith yang kuat. Apakan daya kudratnya begitu lemah jauh sekali dibandingkan dengan Zarith.

“Abang,kenapa ni bang?”

Tubuhnya ditolak dan terdorong ke depan. Zarith berdiri dengan muka menyinga. Dia bercekak pinggang di muka pintu bilik. Berbirat kemerahan pergelangan tangan Nurin Hanani akibat cengkaman kuat Zarith tadi.

“Hah,sekarang ni jugak aku nak kau kemas semua baju-baju kau masuk dalam beg. Jangan ada satu pun yang tertinggal. Kau nak sangat balik kampung kau kan?”

Nurin Hanani terduduk di atas lantai. Terketar-ketar bibirnya yang sedikit terbuka ingin mengatakan sesuatu. Tetapi dia amat takut sekali.

“Tunggu apa lagi? cepat kemas barang kau sekarang!!”

Suara Zarith bagai halilintar membelah bumi. Perit rasa telinganya. Perlahan dia bangkit dan menuju ke almari pakaian. Dengan lelehan air mata,dia segera mengemas dan memasukkan pakaiannya ke dalam beg baju yang agak besar. Setelah itu dia menuju ke bilik air untuk menyalin pakaiannya.

Baju kurung sudah sedia disarung ke tubuhnya yang kelihatan agak susut itu. Merah matanya akibat menangis tadi. Ditaburkan sedikit bedak bayi Johnson dan disapukan ke wajahnya. Namun masih tidak mampu menutup bengkak di bawah matanya.

Setelah mengenakan tudung, dia mencapai beg besar lalu menuruni anak tangga. Zarith sudah sedia menunggu di ruang tamu. Wajah suaminya tidak berani dipandang. Tanpa bersuara terus Zarith mencapai kunci keretanya.

Setelah keduanya memasuki kereta,barulah enjin dihidupkan. Laju sahaja kereta BMW 3 Series itu meluncur keluar dari perkarangan rumah mereka. Sepanjang perjalanan Nurin Hanani tidak berani hendak bersuara. Dia ingin mengatakan sesuatu. Tetapi bimbang jika Zarith akan menengkingnya seperti tadi.

Akhirnya mereka sampai juga di Hentian Putra yang berdekatan dengan PWTC. Zarith menghentikan keretanya. Nurin Hanani teragak-agak untuk keluar. Dia serba salah.

Hujan sudah turun renyai-renyai. Awan mendung yang nampak jelas di angkasa kelihatan gelap dan laju berarak menandakan tidak lama lagi hujan akan turun dengan lebatnya. Seolah mengerti yang hatinya juga sedang menangisi nasibnya.

“Hah,kau tunggu apa lagi? nak aku tolong bukakan pintu untuk kau ke? Banyak cantik muka kau. Ingat kau ni tuan puteri ke hah? Aku kira tahanlah ni dah hantar kau sampai sini!”

Nurin Hanani menundukkan wajahnya yang pucat itu. Terguris hatinya dengan herdikan Zarith itu. Apakah terlalu besar kesalahannya sehingga diperlakukan sebegitu sekali? Zarith memang kejam!

“Turunlah. Kau tunggu apa lagi?!”

“Abang…Hani…”

“Keluar aku kata!”

Tersentak dia dengan tengkingan itu.

“Abang,Hani tak nak balik sorang-sorang…”

“Keluar!!!”

Dia tergamam. Patah hatinya mendengar tengkingan yang kuat itu. Tersedu-sedan tangisannya. Dia menangis lagi. Terlalu murah sungguh air matanya sejak hidup bersama Zarith. Dia membuka pintu untuk keluar. Sempat dia menoleh untuk menatap wajah suaminya. Tetapi hampa sekali. Zarith tidak langsung memandang wajahnya. Sayu hatinya.

Sebaik dia menutup pintu,Zarith terus menukar ke gear satu dan menekan pedal minyak. Menderum laju bunyi enjin kereta BMW 3 Series itu. Meninggalkan Nurin Hanani yang menangis teresak-esak di situ. Tidak dipedulikan lagi pandangan mata orang ramai yang berada di situ. Tidak kisah lagi jika dirinya dikatakan seperti orang gila menangis di situ.

‘Sampai hati abang buat Hani macam ni…’hatinya merintih lagi.

*********

Dia sudah hilang punca.
Dia sudah hilang arah.
Ke mana kah lagi hendak dibawa kakinya melangkah?

Akhirnya Nurin Hanani terduduk di sebuah bangku yang tersedia di situ. Suasana di Hentian Putra makin meresahkan jiwanya. Orang ramai begitu menyesakkan dadanya.

Tersayat hatinya mengenangkan perlakuan Zarith tadi. Tetapi dalam keadaan sebegitu masakan dia hendak meneruskan rancangannya untuk pulang ke Terengganu? Bagaimana dia harus pulang tanpa Zarith di sisinya? Apa pula yang akan difikirkan oleh ahli keluarga yang lain nanti. Dia harus menjaga nama baik suaminya walaupun Zarith memperlakukan dirinya sedemikian rupa.

Tetapi aku harus ke mana?

Dia sudah tawar hati untuk pulang semula ke rumah. Dia benar-benar telah kecewa dengan sikap Zarith. Walaupun dia sudah puas mengajar dirinya supaya membenci lelaki itu tapi masih jua gagal. Dia malah makin lama makin menyayangi Zarith.

Biarlah kali ini dia keluar dari rumah untuk mencari ketenangan. Untuk mencari harga diri yang hilang. Bukan dia yang lari dari rumah. Tetapi Zarith sendiri yang menyuruhnya pergi. Agaknya kalau boleh lelaki itu ingin melihat dirinya tiada dan hilang terus dari hidup lelaki itu. Mungkin juga.

Diseka air mata yang mengalir. Sudahlah. Cukuplah air mata ini mengalir keluar. Walau seberapa banyak pun dia menangis,ataupun hingga keluar air mata darah sekalipun,tidak mungkin akan merubah hati keras Zarith. Tidak mungkin akan melunturkan ego lelaki itu. Dia berjanji tidak akan menangis lagi.

Dia teringatkan Maisarah. Satu-satunya teman yang dia boleh menumpang untuk tinggal sementara waktu. Mungkin dia boleh mengharapkan sedikit belas ihsan sahabatnya itu.


0 ulasan:

Post a Comment