Friday, February 25, 2011

Hey, Mr. Bad Guy!


Bab 21

Pagi mula menampakkan sinar cahaya mentarinya yang menerangi segenap pelosok alam semesta. Seperti juga hari-hari hujung minggu yang lainnya,Nurin Hanani hanya menghabiskan masa terluang yang ada dengan duduk bersantai di rumah sahaja. Mengemas rumah dan memasak atau pun menonton televisyen. Begitulah aktiviti seharian yang dilakukannya.

Kadang-kadang bila dia teringatkan Maisarah,terasa rindu pula. Semasa dia masih belum lagi bergelar isteri,mereka akan selalu menghabiskan waktu bersiar-siar bersama pada hujung minggu. Jika tidak pun keluar bershopping di SACC Mall atau Plaza Alam Central sekitar Shah Alam. Ataupun berjogging sekitar tasik. Kini dia sudah jarang melakukannya. Zarith jarang sekali hendak mengajaknya keluar bersama.

Teringat sewaktu mereka berbulan madu di Pulau Langkawi dahulu. Walaupun nama sahaja berbulan madu tetapi sebenarnya tidak pun. Pergi sekadar memenuhi syarat sahaja. Sesampai sahaja di sana,dia lebih banyak bersendirian di bilik dan bersiar-siar di tepi pantai keseorangan. Tidak banyak tempat yang dapat dilawatinya sedangkan ada  macam-macam tempat yang menarik di sana. Dia tiada perasaan hendak berjalan sendirian tanpa Zarith di sisi. Sedangkan suaminya awal-awal lagi sudah menghilang entah ke mana. Katanya ingin bertemu kawan.

 Mereka hanya bersama ketika hendak keluar makan dan membeli sedikit cenderahati sahaja. Itu sahaja. Itupun sekali sahaja dia menikmati saat bahagia yang sementara ketika bersama Zarith menaiki cable car.
Bulan madu ke namanya tu? Yang sepatutnya menjadi kenangan manis buat mereka. Betapa pilu sungguh hatinya saat itu.

Zarith cuma hanya berlakon sebagai suami yang penyayang ketika berada di hadapan keluarga sahaja. Dia pada mulanya sering memikirkan di mana silapnya sehingga menyebabkan lelaki itu berubah sikap dan melayaninya sedemikian rupa. Sehingga dia mengesyaki sesuatu tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Nurin Hanani masih leka menonton televisyen sehingga lah terdengar suara seseorang memberi salam dari luar rumahnya. Dia menjawab salam itu. Ketika itu Zarith tiada di rumah. Dia pantas mencapai tudung yang tersadai di atas sofa. Memakainya ala kadar dan terus menuju ke muka pintu. Bibirnya mengukir senyuman manis sebaik terlihat Encik Idham dan juga Zarul yang sedang berdiri tercegat di hadapan pintu pagar rumahnya.

“Eh,papa,Rul…masuk lah dalam dulu.”

Lekas-lekas dia menyarung selipar jepun dan menuju ke arah ayah mertuanya itu. Dibuka pintu pagar yang tidak berkunci. Kedatangan mereka disambutnya mesra.

Sebenarnya hari itu dia memang sedang menunggu kedatangan mereka memandangkan papa sudah beritahu awal-awal lagi yang dia teringin hendak melawat anak menantunya. Lebih-lebih lagi sejak mereka berdua sudah berpindah ke rumah baru. Tetapi masih lagi tidak berjauhan dengan rumah Encik Idham kerana berdekatan di sekitar Shah Alam juga. Tetapi Zarith pula tidak ada di rumah hari itu. Padahal dia telah berpesan kepada suaminya mengenai kedatangan papa pada pagi itu.

“Hani apa khabar?sihat?”tanya Encik Idham dengan mesra.

“Alhamdulillah,Hani baik-baik aje papa. Papa pulak apa khabar?”

“Papa pun macam tu jugak. Setakat ni masih sihat lagi. Maklumlah masih muda lagi,”seloroh Encik Idham. Nurin Hanani tergelak begitu juga dengan ayah mertuanya yang gemar bergurau itu.

Mereka berjalan beriringan manakala Zarul sudah pun mendahului memasuki ke dalam rumahnya. Dia perasan yang adik iparnya sekadar tersenyum hambar sahaja. Menegur pun tidak. Sedikit kurang mesra dengannya.

“Hani sorang aje ke ni?”

“Ha’ah pa. Abang Zarith baru aje keluar tadi. Dalam kejap lagi balik lah tu. Hani dah beritahu dah yang papa dan Rul nak datang hari ni,”dia cuba tersenyum. Sebenarnya dia sendiri pun tidak pasti bila suaminya itu akan pulang.

“Aii…cuti macam ni dia keluar ke mana pulak?”

“Err,entah lah papa. Agaknya dia ada hal sikit tu.”

Seketika Encik Idham menghentikan langkahnya. Begitu juga Nurin Hanani. Pelik dengan papa yang begitu asyik memerhati hiasan pokok yang tersusun rapi di taman kecil halaman rumahnya. Padahal taman itu tidak seberapa pun. Dia masih lagi perlu mengubahsuai banyak bagi memperbaiki taman kecil itu. Tetapi buat masa ini dia masih lagi sibuk dengan tugas di sekolah dan tiada masa lagi hendak menghias taman. Dia bukan seperti emaknya yang gemar bercucuk tanam.

“Kenapa pa?”

“Hani pun ada pokok ni?”tanya Encik Idham. Tangannya membelek-belek daun pokok bunga yang dimaksudkan.

“Oh,pokok ni ke maksud papa?ha’ah pa. memang Hani ada tanam pokok ni. Pokok apa entah namanya…Hani ni main tanam aje. Tak tau sangat pun spesies pokok-pokok bunga ni. Yang agak-agak glamour tu Hani tau lah sikit-sikit. Hani takdelah macam papa. Papa kan memang orang landskap,”dia menjawab dengan senyuman.

Encik Idham tergelak. “Yang ni spesies Hymenocallis Speciosa. Tengok tu bunganya warna putih kan. Sebab itulah kalau ikut nama yang biasa orang pakai ialah White Spice ataupun Spider Lily berdasarkan bentuk bunga ni dan warnanya. Pokok ni berasal dari West Indies sebelum diimport dan dikomersialkan di negara kita ni. Dan sekarang menjadi salah satu tanaman ornamental yang begitu digemari. Terutamanya sesuai ditanam di taman-taman awam,”jawab ayah mertuanya panjang lebar.

Nurin Hanani mengangguk-angguk. Nah,keluar dah segala istilah landskap papa. Papa memang pantang jika diajak berbual berkenaan hal yang berkaitan dengan landskap dan pembinaan. Itu memang bidangnya. Disebabkan minat dan usaha gigihnya dia berjaya memiliki sebuah syarikat sendiri yang menceburi bidang pembinaan hasil titik peluhnya sendiri. Zarith juga mengikut jejak langkah papa.

“Papa ni. Hani kagum betul lah dengan pengetahuan papa. Kalau Hani lah kan. Berbelit lidah sampai terseliuh nak sebut nama saintifik pokok. Kalau setakat pokok bunga raya ke…Hani tau lah jugak.”

Encik Idham tertawa mendengar kata-kata menantunya itu. “Papa dulu pernah hidup susah Hani. Arwah atuk Zarith dulu hanya bekerja sebagai nelayan. Hidup kami sangat susah ketika itu. Semua yang papa kecapi hari ni bukanlah dapat dalam sekelip mata. Bagi papa hanya dengan ilmu sahaja yang dapat mengubah hidup kita. Disebabkan minat,papa sambung belajar sampai ke US demi nak capai cita-cita papa dan ubah hidup papa yang miskin. Di sanalah papa berjumpa dengan mummy…buat pertama kalinya…”

Kata-kata papa kedengaran sayu. Ternyata masih ada lagi sekelumit sisa-sisa kasih di hati papa buat mummy walaupun mereka telah lama berpisah. Jiwa Nurin Hanani tersentuh mendengarnya. Dia sudah tahu segalanya kisah kehidupan keluarga itu sejak dia menjadi sebahagian dari mereka. Kasihan papa. Dan Zarith serta Zarul.

Dia masih tidak tahu apa masalahnya yang menyebabkan mummy meninggalkan mereka. Dia teringin juga hendak bertemu dengan mummy Zarith itu. Mesti cantik dan tinggi lampai orangnya. Kata papa Zarith banyak mewarisi paras rupa mummy. Sebab itulah Zarith kelihatan berbeza sedikit dengan adiknya,Zarul. Orang lain yang tidak tahu pun tidak menyangka mereka berdua adalah adik-beradik. Darah daging sendiri.

“Dan sebab mengenangkan kesusahan papa satu masa dulu lah papa selalu pesan kat Zarith dan Zarul. Jangan sesekali lupa diri walau berada di mana sekalipun.  Mesti kena ingat siapa diri kita dan asal usul kita. Yang penting agama perlu dijaga sebaik mungkin. Sebab Dia yang bagi kita rezeki ni.”

“Betul tu papa. Hani pun setuju. Pa,walau apa pun berlaku kita mesti banyakkan sabar. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ni. Kalau ikutkan Hani teringin nak tengok siapa mummy Abang Zarith…”dia menyuarakan keinginannya.

Encik Idham tergelak kecil. “Mummy Zarith tu kan mummy Hani jugak. Takde ke dia tunjuk pada Hani gambar mummy? Papa rasa Zarith mesti ada simpan kan gambarnya.”

Nurin Hanani menggeleng. Zarith tidak pernah bercerita perihal mummy kepadanya. Dia banyak tahu pun sebab papa lah yang banyak bercerita. Dia menjadi sangat rapat dengan ayah mertuanya. Mereka selalu menghabiskan masa berbual setiap kali bertemu dan sewaktu dia bertandang ke rumah ayah mertuanya itu. Dengan suaminya sendiri pun jarang dia dapat berbual begitu. Inikan pula hendak bercerita pasal mummy nya itu. Gambarnya pun tidak pernah dia hendak tunjuk.

“Mungkin dia takde masa lagi agaknya. Tapi kalau Hani teringin nak tengok pun nanti bila-bila Hani datang rumah papa akan tunjukkan. Ada lagi gambar-gambar mummy yang papa simpan dalam album lama.”

“Baiklah papa. Eh,papa jom kita masuk dalam dulu. Dah lama sangat papa berdiri kat luar ni,”pelawa Nurin Hanani.

**********

Selepas makan tengah hari,mereka beristirehat di ruang tamu. Nurin Hanani sudah siap mengemas di dapur. Kelihatan kelibat Zarul memasuki dapur kerana ingin minum air suam. Selepas itu cepat-cepat dia berlalu dari situ. Cuba mengelak daripada berada lama-lama di situ.

“Err,Rul…”panggil Nurin Hanani.

Langkah Zarul terhenti di situ. Dia menoleh menghadap wajah Nurin Hanani yang telah menjadi kakak iparnya. Wanita itu meletakkan kain lap yang digunakan tadi di atas meja makan.

“Kenapa Rul macam cuba nak larikan diri dari Hani aje sejak kebelakangan ni?”

“Takdelah,mana ada. Rul biasa-biasa aje,”jawab Zarul cuba berlagak selamba. Membuang rasa gelisah yang tiba-tiba bertandang di sanubari.

“Ye ke ni? Habis tu kenapa Hani tengok Rul dah tak banyak cakap macam dulu?”

“Rul memang macam ni. Hani aje yang tak tau…”

Nurin Hanani agak kurang percaya. “Hani ada buat salah ke kat Rul?”

Zarul menggeleng. Dia tidak memandang wajah itu. Sebaliknya kakinya sedari tadi dikuis ke lantai.

“Kalau Rul nak tanya satu perkara boleh?”

“Okey,apa dia nya?”Nurin Hanani menyilangkan kedua tangannya. Dia bersedia mendengarnya.

“Hani bahagia ke dengan perkahwinan ni?”

Nurin Hanani tergamam. Tidak menyangka Zarul akan menanyakan soalan begitu padanya. Apakah adik iparnya itu dapat mengagak masalah yang sedang dihadapinya dengan Zarith ketika ini?

“Err,mesti lah Hani bahagia. Kenapa Rul tanya macam tu?”dia tersenyum paksa. Menyembunyikan rahsia perkahwinannya yang masih baru itu.

“Takde apa-apa. Rul saja tanya. Lagipun Rul tau Along dengan Hani kenal pun tak lama kan sebelum ni. Bercinta pun tak pernah kan. Alih-alih aje Rul dengar cerita Along nak masuk melamar Hani. Nak bandingkan Rul yang dah lama kenal Hani ni. Rul pun harap Hani bahagia hidup bersama dengan Along. Itu aje yang Rul harapkan…”dia berkata hambar.

Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan garisan duka dari terukir di wajahnya. Walaupun hatinya masih bersedih dengan perkahwinan abangnya itu dengan wanita yang pernah mendapat tempat di hatinya,dia tetap redha. Biarlah perasaan sayang yang pernah singgah di hati ini dia sahaja yang tahu. Lalu sedikit masa nanti mungkin akan berganti dengan rasa kasih seorang adik terhadap kakaknya. Dia tidak cukup kuat lagi buat masa ini untuk menerima hakikat tersebut.

“Terima kasih Rul. Walaupun Hani dengan abang Rul tu tak pernah bercinta pun sebelum ni,tapi tak menghalang pun untuk kami hidup bahagia bersama. Hani memang sayangkan dia,”dia berkata ikhlas.
Zarul mengangguk faham. Tahulah dia bahawa wanita itu tidak pernah menipu. Ungkapan ‘sayang’ itu memang ikhlas ditujukan buat Zarith. Bukan dirinya atau lelaki lain. Dia mungkin tidak dapat memaafkan Zarith jika abangnya itu merancang untuk mempermainkan wanita yang tulus mencintai abangnya itu.

“Well,well…buat apa kat sini?macam ada cerita best aje ni. Boleh Along tau?”

Kedengaran suara garau milik Zarith yang entah bila agaknya muncul di dapur. Mereka serentak berpaling. Kelihatan Zarith yang sedang berpeluk tubuh sambil menyandarkan dirinya pada dinding. Lelaki itu kelihatan selamba sahaja.

Zarul menghulurkan tangan dan bersalam dengan abangnya. Zarith menepuk perlahan bahu adiknya. “Bila Along sampai ni?”dia kelihatan canggung. Berasa malu kerana ditegur begitu.

“Baru aje tadi. Nampak papa sorang-sorang kat depan tu yang Along berborak kejap dengan papa. Cari Rul tak jumpa pulak. Rupanya ada kat sini…dengan sayang,”dia merenung tajam wajah Nurin Hanani sambil tersengih. Isterinya kelihatan gugup.

“Tak nak salam abang?”

Perlahan Nurin Hanani menghulurkan tangannya. Zarith menyambut dan mengenggam erat. Kemas. Dikucupnya tangan suaminya itu. Hatinya berdebar dengan cara Zarith merenungnya tadi. Seolah-olah hendak ditelan hidup-hidup sahaja. Zarul sekadar menjadi pemerhati sahaja.

“Em,ayang masak apa hari ni?ada lagi ke tinggalkan lauk untuk abang?”tanya Zarith. Dia memeluk bahu isterinya mesra.

Nurin Hanani terasa menyampah pula. Dia faham benar yang Zarith sedang berlakon semata-mata. Di hadapan Zarul dan papa boleh lah hendak panggil ‘sayang’ dan ‘abang’. Sedangkan malam tadi dirinya puas dimarahi sesuka hati. Dia tidak memandang Zarul yang sedang memerhatikan mereka berdua. Terasa segan dan malu. Juga tidak selesa dengan kelakuan Zarith itu.

“Ada lagi lauk untuk abang tu. Hani tolong sendukkan nasi untuk abang ye.”

Zarith mengangguk. Dia mengerling Zarul yang masih berdiri di situ. Sengaja hendak tunjuk romantik di depan adiknya itu. Dia tahu yang pasti hati Zarul sedang menggelegak cemburu melihatkan kemesraannya dengan Nurin Hanani yang dibuat-buat. Biar dia rasa!

“Err,Rul nak duduk kat depan dulu lah ye. Kesian pulak papa tunggu sorang-sorang tu,”Zarul meminta diri.

“Okey,kejap lagi Along datang.”

Sebaik kelibat Zarul sudah tiada di situ,barulah dia melepaskan pautannya dari bahu Nurin Hanani. Wajahnya kembali serius. Nurin Hanani menyenduk nasi buat suaminya ke dalam pinggan. Buat-buat sibuk.
Sedangkan hatinya sudah tidak keruan dengan sikap Zarith yang tidak menentu. Seperti cuaca pula yang sering berubah-ubah. Sekejap cerah. Sekejap mendung seperti hendak hujan. Entah apa pula lah keadaan ‘cuaca’ suaminya itu kali ini.

“Rul ada tanya apa-apa ke tadi?”dia mendekatkan suara ke telinga isterinya.

Nurin Hanani mengerutkan dahi. “Takde apa-apa. Kenapa abang tanya?”

“Manalah tau kan. Aku tak nak dia tau apa-apa pun pasal kita. Jangan kau memandai pulak nak bukak cerita kat sesiapa. Faham?”

“Takkanlah Hani nak cerita kat orang lain tentang hal perkahwinan kita ni bang. Walaupun Hani tak tau apa salah Hani sampai abang layan Hani macam ni…”dia berkata sebak.

Zarith terdiam. Tidak tahu ingin berkata apa. Sedikit sebanyak hati lelakinya tersentuh juga mendengar suara Nurin Hanani yang kedengaran sayu. Akhirnya mereka berdua masing-masing menyepikan diri. Nurin Hanani masih setia menemani Zarith makan tengah hari. Walaupun begitu,hanya dirinya sahaja berada di situ. Sedangkan fikirannya sudah jauh melayang ke arah lain. Mengingatkan pertanyaan Zarul sebentar tadi benar-benar membuatkan jiwanya terusik.

‘Hani bahagia ke dengan perkahwinan ni?’

**********

Ketika Encik Idham pergi menunaikan solat Zohor di bilik tetamu,kesempatan yang ada diambil oleh Zarul sepenuhnya untuk mencungkil rahsia perkahwinan abangnya,Zarith. Dia mengajak Zarith duduk-duduk di kerusi yang terletak di taman kecil halaman rumah. Zarith sekadar menurut sahaja tanpa menyedari tujuan adiknya itu.

“Along ke mana pagi tadi?”Zarul berbasa-basi.

“Pergi jumpa kawan. Lepas tu Along isi minyak kat Petronas depan tu.”

Zarul mengangguk kepala. “Along,Rul tau tujuan sebenar Along nak kahwin dengan Hani. Tak payah lah Along nak berpura-pura lagi depan Rul dan papa.”

Zarul merasakan dia harus berterus terang pada pokok pangkalnya mengajak Zarith berbual. Tidak lain dan tidak bukan tujuannya hanya satu. Apakah abangnya telah merencana sesuatu dengan perkahwinan itu? Sebenarnya sejak sebelum mereka bernikah lagi dia sudah dapat mengagak. Bukan dia tidak tahu dengan ugutan papa yang mahukan Zarith segera  menikah sebelum abangnya pulang semula ke Amerika Syarikat satu ketika dahulu.

“Baguslah kalau Rul dah tau…”

Jawab Zarith sambil tersenyum sinis. Dia masih berwajah selamba. Tiada langsung perasaan bersalah yang terpamer pada wajahnya. Anehnya…lelaki ini tiada perasaan langsung kah?

“Rul memang dah agak dari dulu lagi yang tujuan Along ambil keputusan melamar Hani dulu adalah semata-mata kerana desakan papa kan?”

“Buat apa tanya lagi kalau Rul dah tau?!”tengking Zarith.

Zarul tersentak. Dia juga panas hati dengan sikap abangnya itu. Tetapi dia cuba bersabar.

“Kenapa Along buat macam ni? Along tau tak yang Hani tu memang ada perasaan kat Along tau. Dia sayangkan Along. Rul kenal dia dah lama sejak dari kami bersekolah lagi. Memang Rul kenal dia tu macam mana. Tak boleh ke Along layan dia baik-baik sebagai isteri selayaknya?”

“Tak payah la nak bagi ceramah kat Along. Along tau apa yang Along buat okey.”

“Hanya disebabkan dendam Along pada mummy sampaikan Along dera perasaan Hani?macam tu?”
Zarith terdiam sejenak. Dia meraup wajahnya yang tampan itu.

“Kenapa Rul beria sangat nak bela perempuan tu? Jangan-jangan Rul memang ada hati kat Hani tak?”

“Ya,memang Rul betul ada hati kat dia. Tapi disebabkan Along dah rampas dia dulu dari Rul jadi terpaksalah Rul mengalah. Kalau ikutkan hati Rul memang tak setuju langsung dengan perkahwinan ni. Tapi sebab Rul fikirkan papa tau…

 Dan Rul takkan maafkan Along sampai bila-bila kalau Along cuba nak permainkan Hani. Along sepatutnya bertuah sebab memiliki Hani. Dan Along pernah hidup bersama mummy sebelum ni. Sedangkan Rul? I have nothing! Rul tak pernah rasa kasih sayang mummy pun selama ni. Rul dah gagal memiliki cinta Rul pada Hani. Semuanya sebab Along! Sebab Along!!”

Zarul berkata sayu. Dia bangun dari tempat duduknya dan segera berlalu dari situ. Meninggalkan Zarith sendirian. Hatinya puas. Sedikit sebanyak dia berjaya juga meluahkan segala yang terpendam di sanubari selama ini. Biar Zarith tahu betapa menderita jiwanya. Biar abangnya tahu menghargai kasih sayang orang lain. Dia tidak tahu bila agaknya Zarith akan lembut hati dan akhirnya berubah sebagai insan yang tahu menghargai perasaan orang lain.

Zarith tertunduk lama. Dia memikirkan kata-kata Zarul yang sangat mengusik hatinya. Bukan dia tidak faham dan mengerti. Dia tahu dan sedar akan salahnya itu. Tetapi dia sendiri tidak tahu mengapa dirinya sangat sukar untuk mempercayai pada cinta sejati. Peristiwa sewaktu masih kecil dahulu benar-benar meninggalkan kesan yang amat mendalam. Kelukaan itu masih terasa hingga kini. Terbayang betapa peritnya hidup dibesarkan mummy.

“Where are you going little boy?”

Zarith yang ketika itu baru berusia sepuluh tahun hanya mendiamkan diri. Gerun melihat teman lelaki mummy yang bernama Henry itu. Seolah-olah hendak menerkamnya bila-bila masa sahaja.

“Hell, I ask you! Answer me!!!”jerit Henry.

Zarith menutup hidungnya. Bau arak yang keluar dari mulut lelaki itu begitu menusuk-nusuk sekali. Ada sebatang rokok di tangan kanannya. Dia memandang mummy yang tidak mempedulikan keadaan itu.

“I…I…err,I don’t go anywhere…right…mummy?”terketar-ketar dia menjawab. Dia memandang Angelica. Agar membantunya lari dari lelaki pemabuk yang amat dibencinya. Tetapi mummy masih buat tidak tahu sahaja. Sebaliknya mummy hanya tersenyum sinis.

“Hell! You better don’t lie boy. I really hate when someone try to tell something shit about me. You know why I ask you?!”

Zarith memejam matanya. Terketar-ketar tubuhnya. Peluh sudah memercik ke seluruh badan. Dia menggeleng kepala. Setahunya dia tidak pernah pun menceritakan perihal Henry kepada sesiapa pun sebelum ini. Termasuklah teman sepermainannya,Jared ataupun jiran sebelah rumah mereka yang begitu mengambil berat akan dirinya. Walau seburuk mana pun layanan lelaki itu terhadapnya dia tidak berani memberitahu pada sesiapa pun.

“Don’t tell me you don’t know anything about this idiot. I think…you better ask your stupid Uncle Wilson and tell him everything what I have done to you. Is that what you want huh?!”

“No!!”

Tahulah dia sekarang yang rupanya dalam diam Uncle Wilson iaitu jirannya ada memberitahu dan mengugut Henry agar tidak lagi mengapa-apakan dirinya. Mungkin jirannya itu dapat menghidu perangai buruk Henry walaupun dia tidak pernah menceritakan hal tersebut.

Tiba-tiba terasa kepalanya dihentak sesuatu dengan kuat. Pecah berderai botol arak yang digunakan Henry untuk memukulnya. Dia terjatuh ke atas lantai. Henry terus memukulnya tanpa belas kasihan. Dirinya disepak terajang tanpa perasaan belas. Dia menangis dan terus menangis di situ. Merayu agar dilepaskan. Tetapi Henry sudah mabuk. Dia sudah hilang pertimbangan.

“Mummy…”

Dia memanggil lemah. Mengharapkan pertolongan. Tetapi yang dia nampak hanya senyuman sinis wanita itu. Sebelum pandangannya menjadi kabur dan gelap gelita. Tiada lagi kedengaran suara jeritan Henry memaki hamun dirinya. Dia pengsan di situ juga.

Bayangan hitam itu terus lenyap dari ingatannya. Dia memejamkan mata. Setitis butiran air mata menitis dari pelupuk matanya. Hingga saat ini dia begitu membenci mummy. Tiada guna menyayangi wanita itu yang juga dirasakan tidak layak bergelar seorang ibu. Dalam masa yang sama tidak menyangka rupanya Zarul memang ada hati pada Nurin Hanani yang kini telah sah menjadi isterinya.

‘Cemburukah aku?’

Entah lah. Nak kata cemburu,dia sendiri memang tidak langsung mencintai Nurin Hanani. Perasaan sayang tiada langsung di hatinya. Perkahwinan yang terjadi juga kerana keadaan yang betul-betul terdesak!
Zarul tidak faham. Memang dia bertuah dibesarkan oleh mummy sendiri. Tetapi tiada langsung kasih sayang mummy padanya. Dia tidak seperti Zarul yang begitu mendapat didikan sempurna dari segi agama dan akhlaknya. Sebab itulah Zarul lebih baik berbanding dirinya. Adiknya tidak akan mengerti.

**********

Sementara itu, ada mutiara jernih yang mengalir membasahi wajah putih mulus itu. Nurin Hanani terduduk di atas tanah. Dirinya masih memerhati Zarith dari kejauhan. Siapa sangka dia telah mendengar segala-galanya. Ketika itu dia terasa hendak mengangkat pakaian yang dijemur di belakang rumah mereka. Tanpa disengajakan dia telah terdengar perbualan dua beradik itu. Betapa hatinya hancur terluka. Hanya ALLAH S.W.T sahaja yang tahu.

Barulah dia mengerti sekarang. Mengapa lelaki itu beria sangat hendak mengahwininya. Saat manis perkenalan,usikan dan kata rindu lelaki itu sebelum ini rupanya hanya sandiwara dan dusta belaka. Dirinya telah dipermainkan. Telah diperbodohkan. Semuanya kerana desakan papa rupanya.
 Tetapi dia tidak pernah menyalahkan papa. Tidak juga menyalahkan Zarith. Dirinya yang bersalah kerana terlanjur mencintai lelaki itu. Dan akhirnya dia perlu menelan segala kepahitan ini, mungkin untuk selamanya….

Bab 22

Nurin Hanani menghempaskan tubuhnya di atas katil. Dia menangis tersedu-sedan di situ. Melepaskan segala kekesalan yang terbuku di dada. Ayah mertuanya dan juga Zarul telah lama pulang. Kini tinggal lah dirinya dan Zarith di rumah berduaan. Suaminya itu masih lagi berada di tingkat bawah. Dia sudah tidak mempedulikan semua itu. Hatinya tersayat mendengar pengakuan Zarith secara tidak sengaja tadi.

Zarith membuka pintu kamar. Dia mencari isterinya semasa di bawah tadi. Tetapi tidak ada pula. Rupanya dia berada di bilik tidur mereka. Dahinya berkerut seribu. Kelihatan Nurin Hanani yang berbaring sambil menekup wajah pada bantal. Bahunya terangkat sedikit. Esak tangisnya kedengaran perlahan.

Zarith mengesyaki sesuatu yang tidak kena. ‘Dia dengar perbualan aku ke tadi?’

Jika tidak mengapa isterinya itu tiba-tiba sahaja menangis? Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung dan duduk di hujung katil. Melihatkan keadaan Nurin Hanani ketika itu dia terasa teragak-agak pula. Hendak menegur nanti bimbang akan makin mengeruhkan keadaan. Tetapi dia juga tidak patut membiarkan sahaja tanpa bertanya. Dia perlukan kepastian.

“Kenapa menangis ni?”

Nurin Hanani tersentak. Tidak sedar pula bila suaminya ada di situ. Dia terasa benci mendengar suara itu. Benci pada Zarith yang memperlakukannya begitu. Lantas dia bangkit perlahan-lahan. Cuba mencari sedikit kekuatan dalam diri. Dia menyeka air mata. Cuba memandang wajah Zarith.

“Hani dah dengar segalanya. Perbualan abang dan Rul tadi.”

‘Nah,aku dah agak dah! Ni tak lain tak bukan mesti pasal tadi.’

Zarith melepaskan keluhan perlahan. “Maafkan aku. Aku rasa tak payah lah aku nak cakap banyak lagi pasal ni. Sebab kau pun dah tau kan sebabnya…”

‘Maaf?’ begitu mudah sekali dia mengungkap kata maaf padanya. Hati yang luka ini siapa yang tahu?

“Kalau macam tu lepaskan Hani!”jerit Nurin Hanani lantang.

Dia sudah tidak mampu mengawal diri. Air matanya merembes keluar. Lantak lah jika dirinya dikatakan kurang ajar sekalipun.

Dia sedar bergegar tiang arasy jika seorang isteri meminta cerai dari suaminya. Tetapi jiwanya sungguh terseksa. Usia perkahwinan mereka masih baru lagi. Dia sudah tidak tahan jika Zarith melayaninya begitu. Dia didera perasaan jiwa dan raga. Walaupun pada hakikatnya dia tahu Zarith tidak pernah mengabaikannya sehingga lupa memberikan nafkah. Cuma perasaan sayang itu sahaja yang tiada dalam diri lelaki itu.

“Aku takkan sesekali ceraikan kau. Takkan sesekali. Kan aku dah cakap tadi yang aku minta maaf.”

“Abang anggap senang aje kan. Hanya dengan sekali maaf abang fikir abang boleh beli jiwa Hani?abang fikir Hani ni apa? Patung yang boleh dibuat main sesuka hati? Hani ada perasaan bang. Hani tak sangka abang tergamak buat Hani macam ni. Kalau tak cinta kenapa nak kita kahwin dulu?!”

Zarith tertunduk menekur lantai.

“Aku tau. Tapi situasi betul-betul mendesak aku. Aku tak dapat nak paksa hati aku sayangkan kau. Aku…aku memang tak pernah cintakan kau selama ni. Tapi aku janji yang aku takkan layan kau macam sebelum ni lagi. I promise okay?”

Nurin Hanani terasa sakit yang teramat-sangat. Ternyata memang benar telahannya. Rupanya hanya dia sahaja yang tulus mencintai suaminya. Sedangkan lelaki itu tiada langsung perasaan buatnya. Bodohnya dia selama ini.

‘Argghhh…bodohnya aku ni!!’

Mengharapkan bintang jatuh ke ribaan. Sedangkan perkara itu mustahil berlaku. Hendak menggapai bintang di langit pun tidak termampu. Apatah lagi hendak memetiknya. Lemah terasa dirinya tika itu.
Zarith berasa takut juga saat Nurin Hanani minta agar dilepaskan. Bukannya apa,perkahwinan yang dilalui masih terlalu singkat. Bimbang pula papa akan menyalahkannya jika mereka bercerai nanti. Hendak tak hendak,selepas ini dia perlu lah berlembut sedikit dengan isterinya itu. Nurin Hanani sendiri sudah tahu dia tidak mempunyai apa-apa perasaan pun terhadapnya. Baguslah jika wanita itu sudah tahu. Tidak perlulah dia hendak berpura-pura lagi.

“Hani,aku…”kata itu tersekat di kerongkongnya.

Nurin Hanani menyeka air matanya. Dia tidak mahu dilihat terlalu lemah di mata suaminya. Dia perlu kuat. Dia perlu tabah menghadapi ujian ini. Biarlah dirinya terus setia mencintai lelaki itu. Dia tidak kisah lagi tentang semua itu. Dia tidak dapat menipu yang dirinya sangat menyayangi Zarith sepenuh hati. Walaupun dia masih terkejut sebenarnya dengan pengakuan Zarul yang rupanya telah lama menaruh hati padanya selama ini.

“Hani tak peduli apa perasaan Rul pada Hani. Bagi Hani dia hanyalah sebagai adik ipar dan tak lebih dari itu. Hani tetap tak peduli walau macam mana abang nak layan Hani sekalipun. Hani terima aje segala ketentuan ni. Perasaan yang lahir dari hati Hani buat abang tetap takkan berubah sampai bila-bila pun.”

“Cukup Hani! Boleh tak kau jangan berfikiran macam tu? Kau hanya menyeksa diri sendiri kau tau tak. Jangan nak jadi bodoh!”marah Zarith.

“Hani…tak…boleh…nak halang perasaan ni lagi. Hani dah tak berdaya lagi…sekali abang dah buat Hani jatuh cinta,selamanya Hani akan setia,”dia bersuara sayu.

“Ikut suka hati kau lah. Aku tak cintakan kau. Faham tak? Aku tak mungkin cintakan kau!!”bentaknya.
Zarith bingkas bangun dari katil. Dia memegang kepalanya yang terasa sakit. Dia tertekan sungguh. Tanpa menoleh wajah isterinya,dia keluar dari bilik itu. Meninggalkan Nurin Hanani yang kembali keseorangan. Melayani rajuk hatinya sendirian.

**********

Nurin Hanani tersedar dari lenanya yang panjang. Setelah agak lama mengelamun akibat mamai dari tidurnya dia bangkit perlahan-lahan. Terpisat-pisat dirinya menggosok kedua belah matanya. Dia berasa pening sekali. Tangan kanannya melekap pada dahi. Panas.

Dia telah demam. Patutlah tubuhnya terasa tidak sedap sahaja. ‘Alamak,dah pukul berapa ni? dah subuh ke?’ dia melihat jam yang terletak di atas meja kecil bersebelahan katilnya. Jarum jam menunjukkan sudah pukul 6.45 petang. Tersilap rupanya. Ingatkan sudah subuh tadi. Lama dia terlelap rupanya. Tidak sedar yang dia telah terlajak tidur.

Jarang dia tidur pada waktu petang. Tetapi badannya keletihan yang teramat sangat akibat terlalu banyak menangis tadi. Semuanya kerana Zarith. Akhirnya dia tertidur juga.

Terlupa yang dia masih belum menunaikan solat Asar. Cepat-cepat dia bangun. Tapi dia terduduk semula di atas katilnya. Memegang kepalanya dan memicit-micit dahi.

‘Aduh,sakit nya kepala aku ni…’

Berdenyut-denyut kepalanya. Bagai hendak pecah sahaja. Tetapi dikuatkan semangat untuk bangun. Dia perlu bersolat Asar terlebih dahulu. Dia menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’ seterusnya bersolat.
Usai menunaikan solat dan berdoa ke hadrat Ilahi,dia melipat telekungnya lalu digantung pada hanger. Telefon bimbitnya berbunyi. Cepat-cepat dia menjawabnya. Nombor yang tertera tidak dikenalinya.

“Assalamualaikum.”

Senyap.

“Helo,siapa ni?”

“Cikgu…”kedengaran satu suara halus.

“Ya,ni Cikgu Hani. Siapa ni?”

“Cikgu,ni Yusra…”

‘Yusra?’ hatinya berdetik hairan.

“Yusra,ada apa Yusra call cikgu? Ada hal ke?

Talian sepi.

“Err,Yusra…”

Nurin Hanani makin pelik. Kenapa ni?

“Kenapa Yusra? Kalau ada apa-apa beritahu lah cikgu.”

Dia tidak menjawab. Sebaliknya kedengaran esak tangis gadis remaja itu di hujung talian. Nurin Hanani makin hairan.

“Yusra,kenapa ni? ada masalah ke? Cuba cerita dekat cikgu okey.”

Namun belum sempat dia mahu bertanya lagi,talian telah terputus. Nurin Hanani mendail kembali nombor telefon rumah pelajarnya itu. Tetapi panggilan tidak berjawab. Dua tiga kali dia mencuba lagi. namun masih lagi gagal. Dia hampa.

Dia terduduk di atas katil. Memang benar Yusra sedang dilanda masalah seperti jangkaannya. Tetapi masalah apa ye? Esok dia akan kembali mengajar ke sekolah. Dia akan menyuruh Yusra datang berjumpanya di bilik guru nanti. Dia harus tahu apa sebenarnya yang terjadi.

**********

Dia sudah siap menyediakan hidangan makan malam. Walaupun badannya tidak berapa sihat,namun digagahkan juga menunaikan tanggungjawabnya yang satu itu. Zarith masih lagi sedang menonton berita di televisyen di ruang tamu rumah mereka.

Sebenarnya dia menyedari yang sebaik sahaja mereka bertengkar tengah hari tadi,Zarith langsung tidak bertegur sapa dengannya. Pandang muka pun tidak. Dia jadi serba salah. Dia juga salah kerana telah mengeluarkan kata yang tidak sepatutnya. Dia telah meminta Zarith supaya melepaskannya. Terlanjur kata buruk padahnya. Itulah akibatnya bermain dengan api.

Tetapi jika hendak dibandingkan salahnya dengan kesilapan Zarith,dia masih lagi sukar untuk menerima alasan lelaki itu mengahwininya. Kerana terpaksa!

Betapa hancur sungguh hatinya. Kelukaan yang dirasakan lebih perit daripada saat dia putus tunang dengan Shahrul dahulu. Sampai hati Zarith buatnya begini.

Jika dia tahu awal-awal lagi dia akan menghalang perasaan cinta ini dari singgah di hati. Tetapi hendak buat macam mana lagi. sedangkan segalanya telah ditakdirkan.

Akhirnya terpaksalah juga dia yang mengalah. Dia melangkah kaki ke ruang tamu. Baju milik mereka yang masih bertimbun-timbun itu tersadai di atas karpet. Barulah dia teringat yang dia masih belum melipat baju lagi. Ah,banyak betul kerja rumah yang tergendala. Zarith bukannya boleh diharap hendak menolong. Semuanya mahu diharap pada isteri yang melakukannya.

Dia duduk di bawah. Zarith duduk di atas sofa.

Dia mula melipat kain yang tersadai di situ. Zarith masih leka menonton berita.

Masing-masing menyepikan diri. Masing-masing membuat kerja sendiri.

Tidak lama kemudian,Nurin Hanani teragak-agak berbicara. “Err,bang…kalau nak makan pergilah dulu. Hani dah hidangkan lauk kat meja tu.”

“Hm…”

Itu sahaja kah jawapannya?

Nurin Hanani kemudiannya membiarkan sahaja. Tidak tahu ingin berkata apa lagi. Tetapi tidak berapa lama kemudian,Zarith mengambil remote dan menutup televisyen. Suasana semakin sunyi. Dia menuju ke dapur.

“Kita makan sekali,”ajak Zarith.

Tanpa menunggu jawapan dari isterinya,dia melangkah pergi. Nurin Hanani terasa malas pula ingin makan bersama suaminya. Dia masih terasa hati dengan Zarith disebabkan hal yang berlaku siang tadi. Dia ingin terus melayani rajuknya.

Tetapi perlahan dia bangkit juga akhirnya. Tidak mahu membantah kata suaminya itu. Di meja makan,sudah tersedia lauk pauk dan nasi yang terhidang di dalam pinggan. Nurin Hanani mengambil tempat di kerusi bersetentang dengan suaminya. Masih lagi membisu seperti tadi. Entah bilakah hendak jadi begini agaknya,fikirnya.

Dia menyuapkan nasi perlahan-lahan ke mulutnya. Tiba-tiba sahaja dia terbersin. Mula-mula sekali. Selepas itu dia terbersin lagi. Hingga dua tiga kali. Berair matanya. Zarith menghentikan suapannya. Direnung tajam wajah Nurin Hanani.

“Kenapa ni? tak sihat ke?”

Nurin Hanani mengangguk lemah.
“Hani demam. Sakit kepala sikit.”
“Bila kena?”
“Baru aje petang tadi. Takpelah sikit aje ni…”
“Kejap lagi dah sudah makan pergi makan ubat,”arah suaminya.
Nurin Hanani mendiamkan diri.
“Ubat ada ke takde?”tanya Zarith lagi. Serius wajahnya.
“Err,dah habis…”
Zarith menyudahkan suapan terakhirnya.

“Dah habis tapi tak nak cakap. Nak tunggu orang tanya dulu baru nak beritahu,”perli suaminya itu.

Dia terdiam lagi. Dia melihat suaminya itu sudah pun bangkit dari kerusi dan menuju ke singki dengan membawa pinggannya yang telah licin. Tangannya lincah membasuh segala pinggan mangkuk yang kotor di dalam singki tiba-tiba.

‘Aii…?? Pelik betul. Tiba-tiba aje rajin dia basuh semua pinggan. Sebelum ni tak pernah buat pun.’

Itu yang menghairankan dirinya. Sikap Zarith berubah-ubah. Kadangkala dia merasakan Zarith seperti melayannya endah tak endah. Tetapi kadangkala layanannya seolah-olah suaminya itu sangat mengambil berat akan dirinya.

Zarith telah siap membasuh kesemua pinggan mangkuk dan gelas yang kotor. Dia mencapai tuala kecil yang tersangkut di tepi freezer lalu mengelap tangan basahnya. Sebelum berlalu dia sempat bersuara,
“Lepas dah sudah makan nanti terus bersiap. Kita pergi klinik.”

Belum sempat pun dia hendak membantah,suaminya terlebih dahulu menghilang dan menuju semula ke ruang tamu.

0 ulasan:

Post a Comment